WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Rabu, 30 April 2014

Liga Barclays Hampir Kemuncak



Assalamualaikum dan berjumpa lagi. Untuk terbitan kali ini, watak sebenar ingin membicarakan berkenaan perjalanan Liga Barclays musim 2013-2014 yang sudah hamper kemuncaknya.


Ramai peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris sudah semakin ghairah untuk menantikan kelab yang mana akan bergelar juara liga pada musim ini. Maklumlah, saingan liga hanya berbaki 2 perlawanan sahaja bagi rata-rata kelab bola sepak yang berjuang. Selepas mengharungi 36 perlawanan, Liga Barclays memperlihatkan bahawa kelab LiverpoolFC  masih menjadi pendahulu dengan mengutip 80 mata, diikuti oleh kelab ChelseaFC dengan 78 mata dan kelab Mancity dengan 77 mata tetapi masih berbaki 3 perlawanan yang belum dilalui.


Liga Barclays pada musim ini juga memperlihatkan penyandang juara 19 kali, Manchester United gagal untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim hadapan. Hal ini adalah kerana kelab itu menunjukkan prestasi semasa hanya di tangga ke7 liga. Dengan berbaki 3 perlawanan untuk United, dirasakan amat sukar untuk mengatasi Arsenal yang kini berada di tangga ke4 liga di mana kedudukan itu melayakkan mana-mana kelab beraksi di UCL.


Di bawah liga pula, Cardiff City dan Fulham masih mencari-cari rentak prestasi terbaik untuk keluar daripada zon penyingkiran. Walau apa-apa pun, tumpuan lebih diberikan kepada 3 kelab teratas yang begitu hebat menunjukkan kekuatan masing-masing bagi merebut kejuaraan liga. Bagi Liverpool, 2 perlawanan yang masih berbaki ialah berhadapan dengan Cristal Palace dan Newcastle United. Chelsea pula perlu berdepan dengan Norwich City dan selepas itu adalah Cardiff City. Sementara Manchester City bakal menentang everton, Aston Villa dan Hull City.


Apa yang uniknya, sekiranya Liverpool dan Manchester City Berjaya memenangi setiap perlawanan mereka selepas ini, maka penentuan juara akan dikira berdasarkan jumlah jaringan dan jumlah bolos daripada kedua-dua kelab tersebut. Bagi watak sebenar, Mancity akan berhadapan dengan laluan sukar selepas ini apabila akan bertemu Everton di laman lawan. Chelsea pula masih memiliki perlawanan di luar liga iaitu di kejohanan Liga Juara-juara Eropah UCL. Namun apa yang pasti, macam-macam perkara boleh terjadi di Liga Barclays. Lihatlah sendiri, selepas Chelsea Berjaya mengalahkan Liverpool dengan jaringan 0 – 2 di Anfield, peluang Mancity untuk bergelar juara menjadi cerah semula. Kini tiba pula giliran Liverpool untuk mengharapkan rakan setempat, Everton untuk mampu menumbangkan Mancity. Sepastinya, saingan di puncak   liga menjadi semakin sengit. Ditambah pula dengan perang minda oleh pengurus-pengurus yang melakukannya serta perang mulut di media social oleh peminat-peminat, perjalanan di akhir-akhir liga menjadi cukup-cukup kontroversi. Apa pun, saksikan saingan liga yang masih berbaki ini sehingga ke penghujungnya. Mungkin sehingga perlawanan yang terakhir,  barulah kita dapat mengetahui kelab mana menjadi juara. Huh, betul-betul dramatic.

Sekitar Hari Anugerah Kecemerlangan 2014

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Sekitar majlis Hari Anugerah Kecemerlangan 2014 yang diadakan di sekolah pagi semalam, majlis berlangsung dengan begitu lancar tanpa adanya masalah cuaca dan hal-hal lain. Majlis bermula lebih kurang pukul 8.30 pagi. Watak sebenar tiba di sekolah pada jam 8.00 pagi setelah bertolak dari rumah di Sungai Petani pukul 7.00 pagi. Majlis ini berlangsung di Dewan Wawasan sekolah tersebut, venue yang sama seperti tahun-tahun yang lepas.


Hari Anungerah Kecemerlangan ini diadakan sebagai menghargai kejayaan para pelajar sekolah tersebut dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Ramai juga peserta yang terlibat sama ada dalam kalangan para pelajar sekolah itu serta pelajar lepasan PMR, SPM dan STPM dari sekolah tersebut.


Bagi watak sebenar, kesempatan majlis ini digunakan untuk bertemu semula dengan rakan-rakan seperjuangan sewaktu di tingkatan 6 dahulu. Kami yang diundang untuk menghadiri majlis ini masing-masing telah meraih kejayaan dalam keputusan STPM baharu dengan memperoleh 3.00 pointer ke atas. Meski pun tidak semua rakan setingkatan yang hadir, namun rakan setingkatan yang hadir sedikit sebanyak telah merakamkan kenangan-kenangan terakhir watak sebenar bersama yang lain di sekolah tersebut. Kalau 2 tahun lalu, kami sama-sama belajar di dalam satu bangunan, sekarang ini pula kami sama-sama mendapat penghargaan di bangunan yang sama juga. Syabas buat kalian, semoga kita diizinkan Allah untuk dapat melangkah ke menara gading pula.


Terima kasih juga diucapkan kepada AJK AJK majlis yang bertungkus-lumus dalam menjayakan hari yang boleh dianggap sebagai balasan kepada usaha pelajar ini. Harapnya, majlis hari anugerah cemerlang pada tahun hadapan juga berkeadaan baik dan berjalan lancar. Terima kasih cikgu-cikgu sekolah atas hadiah yang diberikan. Bagi watak sebenar, mungkin ini ialah anugerah STPM watak sebenar yang terakhir setelah bermulanya di peringkat kebangsaan sebulan setengah yang lalu. Kepada yang kurang berjaya, anda boleh berusaha lagi dan mungkin rezeki anda untuk hadir ke majlis seumpama ini adalah pada tahun hadapan. InsyaAllah.

Ahad, 27 April 2014

Menghadiri Temu Duga 2014



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Sudah agak lama watak sebenar tidak menjengah blog ini. Disebabkan kurang kesempatan masa dan sedikit sedikit ketandusan idea, maka enciksantai.blogspot tidak berfungsi awal awal bulan April ini.


Baiklah, pada terbitan kali ini, watak sebenar ingin menceritakan kisah pengalaman watak sebenar menghadiri sesi temu duga bagi mendapatkan biasiswa pembiayaan kos di institute pengajian tinggi kelak. Bermulanya apabila watak sebenar menerima suatu pesanan ringkas sms dari agensi berkenaan mengatakan watak sebenar disenarai pendek untuk tujuan tersebut. Setelah itu, watak sebenar melayari laman web yang diberi dalam pesanan ringkas tersebut lalu mengisi borang pengesahan kehadiran dan penempatan temu duga iaitu di bahagian utara.


Tiba hari sesi temu duga iaitu hari Sabtu 26 April, watak sebenar bersama-sama kakak pergi ke lokasi temu duga yang telah dinyatakan. Lokasi bagi bahagian utara adalah di Sunway Hotel Seberang Jaya Pulau Pinang. Jaraknya tidaklah jauh dari rumah watak sebenar di Sungai Petani. Oleh sebab watak sebenar menyatakan untuk hadir sesi sebelah petang, maka kami tela tiba di destinasi sebelum pukul 2 petang. Watak sebenar terus sahaja ke tingkat 1 tempat diadakan sesi temu duga tersebut. Selepas mendaftar nama dan dimaklumkan bahawa sesi temu duga itu dimulakan pukul 3.00 petang, watak sebenar mengambil kesempatan waktu itu untuk menunaikan solat zohor terlebih dahulu.


Memang ramai peserta temu duga yang hadir mewakili bahagian utara semenanjung Malaysia. Peserta pesertanya meliputi mereka yang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak utara. Peserta peserta juga terdiri daripada pelajar pelajar lepasan SPM dan STPM. Watak sebenar masuk semula ke dewan peserta menghabiskan masa yang berbaki. Tidak berapa lama watak sebenar membosankan diri, ada seorang peserta menghampiri watak sebenar menyapa lalu memberi salam. Dia mengatakan yang dia mengenali watak sebenar dan pernah pun berjumpa sebelum ini. Tetapi watak sebenar tidak mengenali dia dan percaya yang dia bukannya rakan sekolah watak sebenar belajar di tingkatan 6 dahulu. Setelah berkenalan, barulah watak sebenar tahu. Pelajar itu memang pernah watak sebenar jumpa sebelum ini. 2 minggu yang lepas, kami sama-sama menghadiri majlis kecemerlangan STPM 2013 di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Rupa-rupanya rakan baru watak sebenar itu belajar di salah sebuah sekolah menengah di Pendang, kira satu negeri la kita.


Tepat jam 3.00 petang, taklimat oleh staff agensi yang bakal memberikan biasiswa itu dimulakan. Sesi taklimat diadakan dalam Bahasa Inggeris. Fikir watak sebenar, sudah tentu temu duganya juga diadakan dalam Bahasa Inggeris. Menurut taklimat itu, peserta perlu melalui dua sesi. Pertama ialah ujian betulis dan keduanya ialah sesi temu duga. Agak baik bagi watak sebenar kerana tidak perlu melalui ujian bertulis itu sebelaiknya terus melalui peringkat seterusnya. watak sebenar mendapat tahu yang ujian bertulis itu lebih bersifat uji minda. Soalannya lebih berkaitan akademik. Malahan, ada soalan matematik ala ala tingkatan 3 yang melibatkan pengiraan dan gambar rajah. Turut juga watak sebenar mencuri dengar ada soalan Bahasa Inggeris yang menyentuh keupayaan tatabahasa Inggeris. Satu yang menarik bagi watak sebenar tentang pemberi biasiswa ini ialah kos perjalanan para peserta boleh diklimkan. Agak payah juga nak cari mana mana pemberi biasiswa seperti ini. Turut juga diberikan ialah hidangan makan petang di ruang hotel yang disediakan.


Bagi watak sebenar, sesi temu duga yang watak sebenar lalui tidak berapa banyak masalah. Semuanya boleh dikatakan lancar. Mungkin yang membezakan di antara peserta sewaktu temu duga ialah peragaan dan kelengkapan dokumen dokumen yang dibawa. Mungkin ramai jugak yang tidak tahu, peragaan dokumen yang perlu dibawa itu ada prosedurnya. Mungkin juga apa yang membezakan di antara peserta sewaktu temu duga ialah pengalaman yang mereka miliki. Setelah selesai semuanya, watak sebenar pulang dengan seberkas harapan. InsyaAllah, usaha membuahkan hasil.


Kepada peserta peserta yang lain, diharapkan anda juga mendapat apa yang anda kehendaki daripada sesi temu duga itu. Terima kasih juga kerana sudi berkenalan dengan diri ini. Moga moga kita mendapat apa yang terbaik. Kepada agensi yang bakal memberikan biasiswa ini,  terima kasih kerana memberikan peluang kepada watak sebenar untuk melangkah sebelah kaki ke dunia pihak tuan puan. Agensi yang dimaksudkan ialah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputra   iaitu salah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Moga moga jasa pihak tuan puan untuk membantu bakal bakal mahasiswa dan mahasiswi dibalas dengan kebaikan daripada Tuhan. InsyaAllah.