Jumaat, 26 Oktober 2012
1 Hari Raya
Suasana hari ini sungguh baik sekali. Keadaan hujan yang sering berlaku tidak berlaku pada pagi tadi. Inilah yang dikatakan nikmat hari raya. Hari di mana umat Islam seluruh dunia berkumpul berjemaah di masjid menunaikan Solat Sunat Aidiladha sekali gus melaungkan kalimah kebesaran yakni takbir raya.
Pagi tadi, watak sebenar tidak terkecuali daripada turut bersama-sama jemaah yang lain di masjid di sini “Masjid Taman Intan” untuk menunaikan solat sunat Aidiladha. Memang ramai yang datang memenuhi ruang masjid sehingga ada sebahagiannya yang terpaksa bersolat di halaman masjid beralaskan tikar. Selepas bersolat tadi, khatib Membawakan khutbah yang memaparkan pengisian mengenai pengorbanan. Katanya, pengorbanan itu luas skopnya. Pengorbanan terhadap diri, keluarga, masyarakat, alam sekitar, Negara, dunia dan sesucinya ialah pengorbanan terhadap agama. Ini kerana, pengorbanan terhadap agama adalah seluhur pengorbanan yang dilakukan kerana ianya meliputi kesemua aspek dalam kehidupan. Sepastinya, soal agama begitu rapat dengan soal kehidupan. Tiada agama, maka tiadalah kehidupan. Atas soal agamalah, manusia dihidupkan dan dituntut melakukan apa yang disuruh Tuhan serta menjauhi kemungkaran.
Itu kisah khutbah pada pagi tadi. Khutbah yang diadakan semperna sambutan Aidiladha. Namun, watak sebenar lebih tertarik untuk memerihalkan kepada anda mengenai khutbah Jumaat tadi yang benar-benar berbeza daripada yang lain. Tegas dan penuh pengisian! Itulah yang watak sebenar dapat gambarkan dan ia berkisar mengenai kisah silam pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan juga puteranya Nabi Ismail AS secara terperinci dan penuh penghayatan. Nantikan kupasan kisah ini dalam terbitan Halaman Santun-santai yang seterusnya.
Walau apa-apa pun, untuk terbitan ini watak sebenar ingin mengucapkan kepada anda semua selamat menyambut Hari Raya Aidiladha 1433 di samping menjalani ibadah korban yang dituntut sebagai sebuah ibadah yang mempunyai banyak fadilat ini. Tahun ini, watak sebenar berpeluang meraikan perayaan Islam terbesar ini bersama-sama ahli keluarga sekitar 4 hari sebelum menempuh peperiksaan semester yang pertama pra November ini.
Ringkasnya, sambutan Aidiladha tahun ini meriah walau pun tidak semeriah Aidilfitri lalu. Di sini “Masjid Taman Intan”, kami menjalani ibadah korban pada hari raya kedua. Watak sebenar difahamkan kira-kira 10 ekor lembu di sini akan ditumbangkan. Tidak sabar rasanya menantikan kemeriahan itu pada esok hari. Pada esok hari juga, watak sebenar mendapat undangan untuk meraikan majlis terbuka di beberapa tempat sekitar di sini. Pendek kata, hari ini watak sebenar lebih tertumpu di rumah. Kesempatan ini watak sebenar gunakan untuk mengulang kaji pelajaran. Semestinya anda berasa hairan jika seseorang membaca buku di hari raya pertama. Hakikatnya, itulah yang berlaku pada diri watak sebenar. Bagi anda pula? Apakah suasana yang digambarkan semperna sambutan Aidiladha di tempat anda? Panas? Sejuk? Hambar? Rancak? Riang? Sedih? Hanya anda yang tahu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan