Assalamualaikum Dan salam sejahtera Mat Santun ucapkan. Mat Santun kira, ini merupakan terbitan yang pertama dipersembahkan buat tetamu blog ini pada tahun 2013. Pada Januari lepas, Halaman Santun-Santai tidak menghasilkan apa-apa terbitan sebagai tatapan anda semua. Oleh sebab terlalu banyak perkara penting dan tugasan utama yang perlu disiapkan sepanjang bulan tersebut, maka pada hari inilah Mat Santun berpeluang membuat kemunculan yang pertama.
Insyaallah, Mat Santun akan menemani anda dalam Segmen Renungan. Topik terbitan pada hari ini ialah mengenai 3 perkara penting yang perlu diketahui bagi seseorang manusia dalam permulaan hidupnya serta semasa hidupnya hingga kepada kematian. Moga-moga, renungan bersama ini dapat memberikan anda serba sedikit manfaat dan kebaikan di dunia mahu pun akhirat.
3 perkara awal dan 3 perkara akhir
Sebaik sahaja kita dilahirkan di dunia, kita sudah ditemani dengan 3 perkara di waktu permulaan usia. Antara perkara yang dimaksudkan iaitu pertamanya ialah fitrah. Seorang makhluk Allah yang bergelar manusia tidak boleh lari dari dikurniakan seberkas fitrah. Fitrah ini bererti kejadian semula jadi. Sebagai manusia, kita tidak mampu mengubah fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah. Misalnya, fitrah manusia yang memerlukan makanan dan minuman untuk dijamu, fitrah manusia yang memerlukan pasangan hidup dengan mengadakan perkahwinan dan banyak lagi.
Keduanya, manusia ini dianugerahkan seberkas nafsu. Nafsu didefinesikan sebagai keinginan terhadap sesuatu perkara. Nafsu manusia boleh membawa kecelakaan hidup dan juga boleh membawa kepada kebaikan hidup. Segalanya berpaksikan kepada tindak-tanduk serta peribadi manusia itu sendiri dalam mengawal dan memandu nafsunya kea rah mana. Apa-apa pun, adalah lebih baik jika manusia memiliki nafsu daripada tidak bernafsu. Ini kerana, “tidak bernafsu” digambarkan lebih teruk berbanding bernafsu besar.
Perkara ketiga yang ada dalam hidup manusia sejak awal kelahiran ialah akal pemikiran. Inilah antara anugerah yang besar dikurniakan oleh Allah kepada manusia yakni khalifah di bumi. Nikmat akal tiada diberikan kepada makhluk Allah yang lain baik binatang mahu pun tumbuh-tumbuhan. Dengan penggunaan akal yang baik berlandaskan sumber dari al-quran dan al-sunnah, maka seseorang manusia itu dapat mengenal Allah dan mengagongi kebesaranNya. Lantaran itu, golongan ini akan berusaha mencari keredaan Allah pada masa yang sama hidup memajukan diri, masyarakat dan Negara.
Itu mengenai 3 perkara awal dalam konteks tajuk ini, apa pula 3 perkara akhir yakni perkara penting semasa hidup manusia sehingga kepada saat kematian?
Pertamanya ialah harta. Setelah menikmati hidup di dunia yang fana ini, seseorang manusia itu akan pergi menghadap Allah. Dengan kata lain, kembali semula kepada Allah namun telah berpindah alam iaitu alam barzakh dan bukannya lagi berada dalam alam roh seperti sebelum kejadian seseorang manusia. Selama manusia itu bekerja mengerjakan urusan dunia, maka manusia itu mengumpul harta yang banyak demi diri dan kaum kerabatnya. Namun, harta ini hanya menemani seseorang manusia hanya setakat berakhir hayatnya. Yakni, hartanya hanya dapat berada di sisinya sebelum kedatangan Malaikat Izrail Alaihis Salam bagi mencabut nyawanya. Apabila itu berlaku, maka hartanya yang dicari bukan menjadi miliknya lagi.
Perkara yang kedua yang menemani hayat manusia sehingga kepada saat sakaratul maut ialah rakan-taulan serta kaum keluarga. Mereka ini akan menemani si mati dari permulaan manusia meninggal dunia hinggalah diarak ke pusara untuk dikebumikan. Mereka akan menemani si mati dengan pelbagai gaya dan tindak-tanduk. Ada yang meratapi pemergian si mati. Ada yang menginsafi diri di atas kematian si mati. Ada uga yang tidak putus-putus mengaminkan doa untuk kebahagian si mati. Golongan inilah yang menggantikan harta untuk menemani si mati, tetapi hanyalah setakat di rumah bertiang dua sahaja. Jadi, apa pula yang dapat menemani si mati sehingga ke akhirnya?
Maka, perkara ketiga inilah yang dapat menemani seseorang yang hidup sehingga ke saat akhir kebangkitannya setelah mati. Perkara yang dapat membahagiakan si mati untuk menyertai Rasulullah SAW dan para sahabat di Syurga Allah. Yakni, iman. Iman ini ialah satu benda yang abstrak. Manusia menilainya melalui peribadi serta akhlak seseorang. Walau pun sebahagian besar megetahui akan kewujudannya, namun sebahagian besar itulah yang masih tidak berusaha untuk mencarinya. Walau pun sebilangan besar tahu bagai mana untuk memperolehnya, namun sebilangan besar itulah yang tidak berusaha untuk beramal dengannya. Pokoknya, iman merupakan perkara terakhir yang dapat membantu si mati dalam menjamin kebahagian hidupnya di akhirat sana. Imanlah peneman hidup si mati buat selama-lamanya. Ingatlah, iman boleh menipis dan boleh juga menebal. Semuanya bergantung kepada pengamalnya sama ada ingin mendekati Allah atau sebaliknya.
Renunglah, ketika kita dilahirkan, kita dibekalkan oleh Allah dengan 3 perkara yakni fitrah, nafsu dan akal fikiran. Maka, apa pula bekalan terakhir kita di saat kita menghadapi kematian? Harta? Pangkat? Pasangan hidup? Atau Nur iman?
Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan