WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Selasa, 28 Mei 2013

Aktiviti Pertama Di Waktu Cuti

Salam  sejahtera kepada semua yang sedang melawati Halaman Santun-Santai ini. Watak sebenar mengharapkan kalian berada dalam keadaan sihat hendaknya. Watak sebenar juga ingin mengucapkan selamat bercuti kepada pelajar-pelajar yang digelar pelajar sekolah. Manfaat cuti sekolah dengan sebaik mungkin.


Seperti watak sebenar juga, cuti sekolah(CUTI SEM 2) telah dimanfaatkan pada peringkat awalnya lagi. Watak sebenar telah mengisi masa lapang di hujung minggu lepas dengan mengikuti seisi keluarga ke Pahang. Bukan untuk melancong, tetapi menghantar adik perempuan belajar ke Kolej Matrikulasi Gambang, Pahang. Kami lima orang termasuk watak sebenar telah melalui banyak kawasan baru yang belum pernah dijejaki. Kata orang, jauh perjalanan luas pandangan.


Kami bertolak dari Sungai Petani pada hari Ahad seawall jam 7.00 pagi. Keadaan jalan raya di lebuh raya PLUS lancer selain tidak menghadapi masalah cuaca hujan. Memang jauh perjalanan kami dan dipercayai akan memakan jarak sejauh lebih kurang 550 KM. Oleh itu, persiapan perjalanan telah dilakukan sebaiknya.


Kereta Proton Waja yang pada mulanya dipandu abang watak sebenar telah keluar susur lebuh raya PLUS di Tanjung Malim untuk melalui jalan persekutuan/negeri di Kota Kubu Baru, Batang Kali dan seterusnya ke Genting Sepah. Di sini, kami menghadapi sedikit masalah yakni tidak tahu di mana persimpangan yang sebenar untuk menuju laluan yang betul. Maklumlah, kami belum pernah melalui kawasan itu sebelum ini. Namun, itu tidak menjadi masalah setelah abang watak sebenar mengaktifkan aplikasi GPS untuk mengesan laluan yang tepat untuk dimasuki. Ternyata, ia benar-benar seperti apa yang diharapkan. Syukur Alhamdulillah!


Kali ini, keadaan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang pula yang agak sedikit mengganggu kelancaran perjalanan kami. Jalan yang kami lalui ini ialah jalan yang sama untuk mendaki Tanah Tinggi Genting. Oleh itu, pemanduan yang baik perlu diletakkan pada peringkat yang tertinggi ketika ini. Tersalah langkah, merana menanti. Namun, segalanya berakhir dengan senyuman apabila ekspedisi mendaki serta menuruni pinggiran Banjaran Titiwangsa telah Berjaya disudahkan.


Dalam tempoh perjalanan itu, kami telah memasuki persimpangan ke Tanah Tinggi Genting bukan kerana ingin menawan puncak Awana, tetapi sekali lagi abang watak sebenar memasuki persimpangan yang salah. Namun, setelah kami menyedari dia(abang)  tersalah, kami terus memaklumkannya. Tetapi, keras kepalanya seakan sukar untuk dipecahkan. Setelah kami sedari lagi, rupa-rupanya dia(abang) ingin berhenti rehat di sebuah perhentian rehat yang bukan rasmi tetapi telah menjadi maslahah orang untuk berehat di situ.


Cuacanya dingin, landskapnya menarik, udaranya segar sesuai untuk kami mengalas perut dengan makanan yang dibawa setelah bersarapan pagi di R N R Bukit Gantang ketika di lebuh raya tadi. Kali ini, roti cap arnab(nama diberi)  serta air milo buatan sendiri telah menjadi sasaran watak sebenar. Tidak jauh dari situ, terdapat sebuah air terjun mengalirkan airnya dengan deras. Aliran air itu berpecah membawa diri masing-masing ke anak-anak sungai lalu menuruni lerengan-lerengan gunung itu entah ke mana. Paku-pakis gunung juga kelihatan dari situ menghiasi tebing-tebing jalan berselang-seli dengan  ppohon-pohon kayu hutan. Cukup indah sekali panorama itu bagi orang yang melihat serta menghayatinya.


Kami menyambung perjalanan ke destinasi semula. Kali ini, giliran Lebuh Raya Karak pula menjadi laluan kami. Ramai orang kata highway ini berbahaya untuk dilalui bagi kereta yang belum pernah melaluinya lebih-lebih lagi waktu malam. Ramai orang kata juga, highway ini telah menyaksikan bermacam-macam jenis aksi kenderaan yang terlibat dengan kemalangan apatah lagi yang melibatkan kehilangan nyawa manusia. Tetapi kami kata, tidak perlu ditakuti semua itu, jalan terus dan berusaha menjadi pemandu terbaik. Bantuan dari Allah SWT akan sentiasa diperoleh untuk hamba-hambaNya yang musafir dengan niat yang baik. InsyaAllah.


Kami terus memasuki lebuh raya yang baru dikenali sebagai Lebuh Raya Timur Barat. Lebuh raya ini yang akan menghubungkan kami dengan Gambang di Pahang. Lebuh raya ini memang panjang untuk dilalui. Maklumlah, dari tengah peta Semenanjung Malaysia hingga ke sebelah timur pantai Semenanjung Malaysia. Kami turut menjumpai sesuatu yang boleh dianggap menarik seperti persimpangan ke Bukit Tinggi Pahang, keindahan Sungai Pahang, penanaman pokok kelapa sawit secara besar-besaran dan kawasan paya bakau yang luas di sebelah kiri dan kanan. Menurut salah seorang yang berada di dalam kereta, laluan Lebuh Raya PLUS menuju ke utara tidak memiliki landskap sebegitu. Sebaliknya hanyalah keadaan bukit-bukau yang tersergam di kiri dan kanan selain lurah-lurah dan gaung-gaung yang berbahaya juga di kiri dan kanan jalan. Jika diamati Peta Semenanjung Malaysia, Banjaran Titiwangsa itu bermula dari utara dan menganjur ke Selatan. Apabila di Selatan, ia sudah melandai rendah dan membentuk tanah jenis gambut. Itulah yang dikatakan Johor sesuai dengan penanaman nanas kerana tanahnya dari jenis gambut. Sementara puncak banjaran ini yang tertinggi ialah di Gunung Korbu yang mana terletak di Negeri Pahang sendiri.


Selesai perjalanan kami di lebuh raya itu, maka selesailah misi kami mencari daerah yang dikenali dengan nama Gambang ini. Perjalanan yang jauh dan panjang dari Sungai Petani ke Gambang ini telah mengambil masa selama 8.30 jam bermula jam 7.00 pagi hingga kami tiba di sini lebih kurang 3.30 petang. Kami perlu mencari di mana letaknya pula lokasi Kolej Matrikulasi Gambang, Pahang. Kata adik perempuan watak sebenar, Sebelum ini dia hanya memandang kawasan itu di paparan skrin computer menggunakan perkhidmatan atas talian. Namun, dia telah menjejaki sendiri kawasan yang bernama Gambang itu dan akan menjadi kawasannya selama lebih kurang setahun lamanya. Kini, maya sudah diterjemahkan menjadi reality.


Beberapa lama kemudian, dapatlah kami menjejaki lokasi sebenar tempat belajar adik perempuan watak sebenar itu. Lokasinya berhampiran dengan Taman Tema Air Gambang(Gambang Water Park) dan lebih kurang 25 KM dari ibu Negeri Pahang, Kuantan. Kami tidak dibenarkan masuk ke dalam kolej itu oleh salah seorang pengawal keselamatan meski pun berniat untuk melihat kawasan sekelilingnya dengan lebih dekat. Itu tidak menjadi masalah dan kami terus mencari tempat penginapan untuk persedian tidur pada malam itu supaya tidaklah kami tidru di dalam kereta. Semua yang berada di dalam kereta itu tidak tahu selok-belok kawasan Gambang lebih-lebih lagi yang menulis terbitan ini. Segalanya diserahkan pada Allah SWT dengan bantuan alat telekomunikasi GPS yang dibawa oleh abang watak sebenar.


Di waktu ini, berlakulah pelbagai cadangan dari kami berlima. Ada yang mengatakan mencari tempat penginapan di Gambang sahaja dengan menempah Homestay berdekatan. Ada juga yang mengatakan perlu ke Kuantan untuk mencari hotel kerana pilihan lebih banyak di situ. Ada juga yang mengatakan tidurlah di dalam kereta sebagai penjimatan kos dan masa agar tidak berlaku kelam-kabut untuk menghadiri sesi lapor diri keesokan paginya.
Di dalam pencarian itu, banyaklah kawasan telah ditemui. Antara yang menarik ialah kem tentera diraja yang menempatkan bermacam-macam jenis jentera tentera diraja seperti kereta kebal, helekkopter dan meriam. Kami juga turut melihat Gambang Water Park dengan lebih dekat.


Apa-apa pun, kami berasa bersyukur kerana dapat juga tiba di Pahang Darul Makmur pada masa yang telah dirancang. Bagi watak sebenar, kunjungan ke Pahang ini sudah beberapa kali dilakukan yang di antaranya bersama program-program sekolah dahulu dan sewaktu usia kecil dahulu. Bagi adik perempuan watak sebenar, kunjungannya ini adalah baru kali pertama. Kali pertama itulah akan menjadi pembuka jalan kepadanya untuk berada di Pahang selama setahun lamanya. Bagi ibu dan bapa pula, sebelum ini mereka sudah mengunjungi Pahang buat beberapa kali dan kali terakhir adalah ketika berkunjung sempena jemputan ke majlis kenduri kahwin saudara-mara.




Ingin tahu, apa kesudahan keputusan kami mengenai tempat penginapan? Apa pula yang kami lakukan di Gambang dan Kuantan selepas menempuh perjalanan yang jauh dari Kedah? Nantikan terbitan yang seterusnya dalam bahagian II















Tiada ulasan:

Catat Ulasan