WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Jumaat, 27 April 2012

Hati-hati bila bekerja episod 2

Selamat bertemu lagi bersama-sama Mat Santai dalam segmen Sembang Santai. Diharapkan agar anda semua sihat ketika ini. Kali ini Mat Santai akan menyambung cerita Bijan yang seterusnya. Sama-samalah kita nantikan kesudahannya. Pagi masih lagi muda. Mentari juga seperti tidak kelihatan lagi. Namun, aku dan Bijan sudah berada di ladang milik arwah bapa Bijan. Kunjungan kami ke tempat itu adalah untuk mengenal pasti bahagian-bahagian tanah yang diperkatakan dalam surat wasiat. Indah sungguh permandangan di sekitar ladang itu. Dengan hamparan pokok-pokok yang menghijau serta panorama bukit-bukau yang cantik memukau penglihatan aku. Seketika, aku menghirup udara segar yang berada di sekeliling. Kesempatan itu perlu aku gunakan sepuas-puasnya. Jikalau di bandar, perkara-perkara seperti ini seakan sukar diperolehi. Malah, keadaannya lebih tenat kerana ditambah dengan pelbagai pencemaran kota. Dari jauh, aku terpandang seorang lelaki tua berkopiah putih melangkah menghampiriku. Pada anggapanku, lelaki ini merupakan tuan tanah ladang sebelah. Sudah tentu dia ingin berehat di pondok ini. (Assalamualaikum, pak cik. Nampaknya pak cik sudah penat bekerja.) Tegur aku selamber sambil mempersilakan pak cik itu duduk bersebelahanku. Sementara itu, Bijan sibuk mengait langsat sebagai buah tangan bagi kepulanganku nanti. (Waalaikum salam. Pak cik tunggu durian gugur. Sejak Subuh tadi, banyak durian yang pak cik kumpul) balas pak cik itu sambil merebahkan punggungnya. (Kampung ni subur dengan buah-buahan. Untung la siapa yang ada dusun. Betul tak Pak cik?) Aku memulakan perbualan dengan bersoal. Entah apa yang menyebabkan aku untuk berani menyoal. Seketika, aku melemparkan pandangan ke persekitaran. Sejuk mataku memandang kehijauan-kehijauan alam. Memang indah anugerah yang tuhan kurniakan untuk hamba-hambaNya. Sebagai manusia, kita perlulah menjaga anugerah itu dari pada kemusnahan. (Di sini, tanahnya memang subur. Tapi sayangnya, anak-anak kampung ini telah berhijrah ke bandar.) Lelaki tua itu membalas. Seketika, dia turut bertindak seperti aku. Menghias pandangan dengan persembahan alam. Beberapa ketika, dia menyambung lagi. (Jadi, banyak tanah ladang di sini terbiar. Orang-orang tua mereka kebanyakannya sudah tiada.) Kali ini terbit nada kecewa dari lelaki tua itu. Belum sempat aku bertanya yang lain, tiba-tiba pak cik itu telah tiada sebaik saja aku mengalih pandangan ke arah sisi. Batang hidungnya langsung tidak aku temui. Apa tah lagi mencari kelibatnya. Hari ini benar-benar menghairankan aku. Sudah cukup malam tadi, pagi ini pula berlaku. Aku cuba menyelami perristiwa semalam. Isteri Bijan itu benar-benar memelikkan. Tatkala aku ingin ke tandas semalam, tiba-tiba dengan tidak sengaja aku ternampak kelibat perempuan itu di dapur. Entah apa yang dibuat tengah malam tadi. Apabila aku semakin menghampiri, aku seakan tidak percaya. Tidak menyangka perempuan itu sedang makan dengan lahapnya. Dia duduk bersimpuh rapi tekun memandang ke arah makanan di depan. Ketika itu, serta-merta fikiranku berkata yang positif. Jika diamati secara logik, memang perempuan itu lapar kerana dia terlebih dahulu melenyapkan mata. Apa tah lagi ketika itu baru sahaja tepat 9.15 malam. Ketika makan malam bersama-sama Bijan juga, dia tidak kelihatan. Langkahku segera menyelesaikan hajatku tadi. Kemudian berpura-pura tidak mengetahui apa-apa lalu kembali ke bilik. Sungguh memeranjatkan aku apabila aku ternampak isteri Bijan itu. Kali ini dia terbaring tidur bersama-sama suaminya. Dari ruang bilik mereka yang berbuka sedikit itu, sudah jelas meyakinkan segala-galanya. Aku berpatah balik ke gigi dapur, namun hasratku mencari perempuan tadi gagal. :Begitu pantas isteri Bijan itu makan. Malah, lebih pantas dari pada aku yang membuang air di tandas. Kini, perkara yang sama terjadi lagi. Perkara yang aneh menghantui diriku. Fikiranku sudah mulai bercelaru. Pelbagai jenis perasaan bercampur-baur mencorakkan hati yang satu. Malah, lebih bercelaru kerana tugas sebagai seorang peguam ini masih belum diselesaikan. Hatiku perlahan-perlahan tenang tatkala melihat kecantikan alam. Memang itulah penawar bagi insan yang gundah-gulana. Aku mulai sedar yang tugas sebenarku masih belum dilaksanakan. Situasi tadi benar-benar mengugat perasaanku. Perasaan yang menterjemahkan ketakutan. Malah, ketakutan itu mulai meresap dalam semua ceruk anggota badan. Lebih menakutkan aku kini, tiada siapa yang menemani aku. Aku terdampar di ladang ini keseorangan. Seolah-olah pengembara yang tersesat di negeri orang. Aku mulai teringatkan Bijan. Entah pelanggganku itu ke mana. Katanya tadi hendak mengait langsat. Namun, sejak tadi masih belum kelihatan. Aku berjalan di ladang itu keseorangan mencari kelibat Bijan. Malah, bukan setakat itu. kelibat pak cik tadi juga diharapkan agar kutemui. Aku berpura-pura mengetahui selok-belok ladang itu walau pun itu bukan hakikatnya. Aku tiba di sebatang sungai. Begitu teruja aku Memerhatikan kejernihan airnya. Kelihatan di situ, anak-anak ikan berlumba-lumba berenang melawan arus sungai yang agak deras. Aku bersyukur menikmati nikmat ini. Nikmat alam semula jadi yang mengghairahkan aku. Aku seakan terlupa tujuanku yang sebenar. Malah, terlupa akan ketakutan tadi. Jauh di hujung sungai, kelihatan sebuah air terjun kecil yang menghempaskan air dengan laju. Tertarik pula hati aku ingin mendekatinya. Belum sempat aku melangkah ke sana, tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi orang meratap. Seperti bunyi itu berhampiran dengan tebing sungai ini. Aku serta-merta membatalkan hasratku tadi. Kali ini, bunyi itu pula yang menarik minat aku untuk mengetahuinya. Manalah tahu, orang itu boleh membantu aku mencari jalan keluar dari lagdang ini. Malah, mungkin dapat mencari Bijan juga. ANamun, sekelip mata keadaan berubah. Semakin aku jejak bunyi ratapan tadi, semakin hilang gemaannya. Apakah aku salah menjejak arahnya. Tiba-tiba, aku terpandang sekujul badan tergantung di celah-celah salah satu pohon yang besar di situ. Sementara itu, angin pagi masih metiup kedinginan sehinggakan kedinginan itu mengigit tulang-temulangku. Tersentak hatiku dipanah situasi itu. Terpaku mataku tanpa berkelip berhadapan dengan apa yang kulihat. Kakiku terundur sedikit merenung tepat ke arah tubuh itu. Kelihatan posisinya tergantung songsang. Kepalanya ke bawah dan kakinya di atas. Dari amatanku, tubuh itu milik lelaki. Lebih memeranjatkan aku, tubuh itu tidak bernyawa. Bukan baru berlaku, tetapi sudah lama dibiarkan. Dengan kelihatan tulang tengkorak sedikit keluar dari kepalanya serta bau-bau yang begitu busuk cukup meyakinkan aku bahawa mayat itu sudah lama begitu. Aku diancam kepanikan. Namun, berusaha sedaya-ppaya untuk terus bertenang. (Tuan! Tuan! Nak ke mana tu. Tolong lah saya. Semadikan saya.) Tiba-tiba aku terdengar suara memanggil aku. Nadanya agak perlahan tetapi keras. Suara itu agak menyeramkan. Naik bulu romaku mendengarkan rayuan itu. Seperti penunggu hutan pula yang bersuara. Yang menghairankan, suara itu memanggil (tuan.) Mungkin sekali Bijan, pelangganku yang sibuk mengait langsat. Mungkin juga, sebaliknya. Itu memang Bijan. Memang Bijan yang datang. Datang untuk menyelamatkan aku dari kemistikan ladang ini. Namun, harapanku hampa. Perkara yang lebih menakutkan pula berlaku.Ketakutan yang kurasai kerana melihatkan Bijan tiba-tiba bertenggek di atas sebuah pohon. Entah apa yang ingin dibuat. Namun, yang pasti lelaki itu tidak ubah seperti kelibat hantu pokok zaman dahulu kala. Dia merenung tajam mataku mengiringi suara ratapannya. Suara itu seperti sama dengan. suara ratapan tadi. Yang menyeramkan aku, dia mengusap-usap mayat lelaki yang tergantung itu sambil bersuara rendah. (Tuan! tolonglah aku! Tolong la!) Serentak dengan itu, terdengar suara mengilai-ngilai sambil menyebut-nyebut namaku. Aku sedar keadaan sudah berubah. Bijan yang aku kenal semalam benar-benar menjelma semacam makhluk asing. Dengan tidak semena-mena, Bijan terjun dari pohon meningalkan mayat yang bergantungan itu. Tindakannya pantas ingin menerkam aku. Namun, aku terlebih dahulu pantas memulakan langkah seribu. Langkah tanpa arah semata-mata ingin menyelamatkan diri. Suara ngilaian itu masih sayup-sayup kedengaran walau pun sudah hampir jauh aku berlari. Sekelilingku mempamerkan hutan belukar. Seperti aku sudah jauh tersesat. Tiba-tiba, hidungku menusuk bau-bau yang kurang menyenangkan. Seperti bau mayat difikirkanku. Tiba-tiba juga sesuatu yang mengejarku tadi kelihatan terhencut-hencut menghampiriku. Matanya merah menjala memandang anak mataku. Rambutnya melayap ke sisi muka menampilkan wajah yang menyeramkan. Kegelapan awal pagi itu benar-benar memancing rasa ketakutanku. (Ya Allah! Selamatkan hambaMu ini.) Aku cuba bertenang menolak jauh ketakutan yang ada. Serentak dengan itu, suara ngilaian tadi bergema membelah kesunyian hutan. Kepada: Tuan. Sebenarnya, Ayah saya sudah lama tiada. Kematian ayah pun menjadi misteri sehingga kini. Yang bersama ibu itu ialah rohnya. roh yang masih bebas dek jasad yang tidak dikuburkan. Aku menyedari perkara ini, namun apa boleh buat, roh ayah selalu saban hari mengganggu aku. Akhirnya, ddemam panas menimpa usiaku dan hidupku seakan hampir berakhir. Sebelum itu verlaku, Baiklah aku menjelaskan segalanya. Dulu, ayah memang berdendam dengan abangnya. Ayahlah juga yang menghasut datuk supaya tidak memberikan hak pusaka kepada abangnya. Entah apa yang menjadi perangsang ke arah itu. Setahu aku, bapa saudara aku itu memang kaya. Apatah lagi berkahwin dengan perempuan kenamaan. Mungkin itulah sebabnya. Apa-apa pun, selamatkanlah ayah saya. semadikan lah jasad ayah ke tempat sepatutnya. Aku tidak sanggup melihat ibu ditemani roh suaminya. Aku juga mengharapkan agar nasib ibu baik. tidak diganggu dengan roh ayah. Dan, siasatlah siapa yang menjadikan ayah begitu. Membunuh ayah sehingga mayatnya belum dijumpai. Walau pun orang-orang kampung berusaha, namun, tetap gagal. Gagal menemui di mana jasadnya. Sekian: Terima kasih. Mendengar isi surat itu, timbul rasa kasihan kepada Bijan. Kini, barulah aku tahu, bukan sahaja isteri Bijan yang dipermainkannya, malah aku juga ditimpa nasib yang sama. Rupa-rupanya, Bijan sudah lama tiada. Yang berurusan dengan aku tempoh hari itu ialah rohnya. Rohnya yang masih bebas di awang-awangan. Mujurlah kegilaan isterinya membuatkan perempuan itu tidak mengetahui apa-apa. aku membuat kesimpulan sendiri. Seketika, aku memandang tingkap ward yang aku ditempatkan. Kaki kiriku patah. Semuanya berlaku setelah aku berjaya keluar dari ladang misteri itu. Ketika itu, sebuah kereta merempuh diriku. Mujurlah, kereta itu bergerak perlahan. Jika sebaliknya, entah apa yang berlaku pada diriku. Keluar . Waktu itu juga aku diselamatkan pemilik kereta itu dari gangguan makhluk yang mengekoriku. Atas jasa baiknya, aku telah terlantar di sini. Kembali ke alam moden yang dikelilingi oleh hutan batu. Kepada anda semua, berhati-hatilah ketika membuat sebarang tindakan. Berwaspadalah jika berurusan dengan pelanggan yang kurang dikenali. Berwaspadalah juga dengan orang yang tidak dikenali. Bukan bermaksud ingin bersangka buruk kepada orang itu. Tetapi, sekadar berhati-hati menjaga diri. Mat Santai tidak meminta perkara di atas berlaku. Namun, kebarangkalian untuk berlaku tetap ada. Mungkin pada Mat Santai, Mungkin juga pada anda. Ketuk hati, tanyalah diri. Dan. Jika roh Bijan itu meminta tolong daripada anda, apakah tindakan anda? Mahukah anda menyemadikan tubuhnya, Demi rohnya yang tanpa arah? Fikir-fikirkan. Kisah ini tidak ada kema-mengena dengan sesiapa. Sebarang watak dan perwatakan yang digarap dalam karya ini adalah secara kebetulan. Pendek kata, kisah ini adalah untuk bersantai semata-mata. Semoga terhibur... Akhir kata: Nak santai, bukan sekadar lepak tepi pantai.

Tiada ulasan:

Catat Komen