WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Jumaat, 28 Jun 2013

Di Sebalik Fenomena Jerebu

Assalamualaikum dan salam sejahtera Mat Santun ucapkan kepada anda. Segmen Renungan bakal menyusur lagi selepas jarang-jarang berlaku sebarang pengeluaran terbitan-terbitannya.


Apa khabar semua? Diharapkan agar anda sentiasa dalam keadaan yang sihat hendaknya. Sihat seperti mana cuaca di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia kita yang sudah pun segar dan pulih kembali. Jerebu yang dasyat sudah tidak berlaku lagi. Kini, masyarakat yang terlibat boleh keluar rumah kerana jerebu sudah pergi.


Itulah yang dikatakan bahayanya ancaman fenomena jerebu kepada manusia dan alam sekitar. Fenomena ini mampu membuatkan segala urusan manusia terganggu malahan memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia.


Jerebu merupakan ancaman yang biasa berlaku di Negara kita. Kejadian ini merupakan lumrah bagi salah satu daripada bencana alam yang berlaku di Negara Malaysia selain banjir, tanah runtuh dan kemarau. Namun, kejadian bencana alam ini tidak seteruk malapetaka yang lain seperti gempa bumi, tsunami atau letusan gunung berapi.


Biar pun begitu, kejadian ini cukup memberi kesan yang pelbagai kepada ekosistem alam sekitar serta kehidupan manusia. Misalnya, haiwan peliharaan seperti kucing, arnab dan anjing akan mudah mendapat sakit-sakit kerana saiz jantungnya yang kecil membuatkan mereka sukar bernafas dalam udara yang tidak bersih. Manusia yang menghidap penyakit berkaitan pernafasan seperti asma serta radang paru-paru akan berisiko untuk menjadi lebih kronik sekiranya langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan jerebu tidak dipraktikkan. Manusia biasa pula akan kerap kali mendapat sakit-sakit seperti selesema, demam atau batuk sekiranya sering keluar rumah dalam keadaan kualiti udara yang tidak sihat.


Dari segi kajian sains, jerebu dikategorikan sebagai sejenis pencemaran udara yang membawa bahan-bahan tertentu seperti sulfur dioksida dan karbon monoksida di ruang udara akibat beberapa perbuatan tertentu. Antara puncanya dan telah menjadi penyebab kepada fenomena tersebut berlaku baru-baru ini adalah ekoran daripada pembakaran hutan di Sumatera di Indonesia. Angin Barat Daya yang bertiup antara bulan Mei hingga bulan September dari arah Benua Australia ke kawasan pedalaman Benua Asia dengan melalui Malaysia telah membawa bahan-bahan bakar itu ke ruang udara Malaysia. Akibatnya, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Perak telah menerima pencemaran udara ini dan ianya dipanggil jerebu. Sukar diingatkan, jerebu yang berlaku baru-baru ini adalah yang terburuk sejak kejadian ini berlaku pada tahun 2005 dan 2010 yang lalu.


Walaupun jerebu ini sudah tidak berlaku lagi, namun ia cukup memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar memahaminya. Ramai daripada mereka beranggapan bahawa fenomena jerebu ini sekadar sejenis bencana alam yang berlaku secara semula jadi mahu pun perbuatan manusia. Namun, adalah lebih baik seseorang itu memikirkan bahawa fenomena jerebu ini merupakan amaran daripada Allah SWT yang boleh dianggap sebagai suatu musibah. Musibah ini terjadi disebabkan segilintir daripada kita yang sudah kufur denganNya dengan membelakangi segala perintahNya dan ghairah mendepani segala laranganNya.


Sebagai khalifah di atas muka bumi Allah SWT, kita yang terbabit perlu sentiasa diberi peringatan agar beristiqamah menjaga hubungan denganNya. Sesuai dengan sifat manusia itu seniri yang kerap kali disergah kelalaian akibat dimamah kemewahan dunia. Oleh itu, munasabahlah diri sendiri sekiranya ada perlakuan kita yang tidak diredai Allah SWT. Ingatlah, apabila Allah SWT menurunkan suatu musibah seperti yang terjadi baru-baru ini, maka tidak kira mereka yang beriman mahu pun sebaliknya turut mengalami tempiasnya.


Namun, yang menjadi tanda Tanya sewaktu fenomena jerebu berlaku, golongan hawa yang terbabit seolah-olah pandai mencari topeng muka untuk melindungi mereka daripada terdedah kepada pencemaran udara. Tetapi, mereka seolah-olah tidak pandai mencari penutup kepala untuk melindungi aurat mereka daripada terdedah kepada dosa. Mungkin inilah yang dikatakan takut dunia berani akhirat.


Apa-apa pun, ambillah pengajaran daripada kejadian jerebu ini. Allah SWT menurunkan balaNya dengan bersebab. Maka, pembakaran hutan itulah yang menjadi sebab musababnya. Bukankah Allah telah berpesan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu yang berubah sendirinya. Kita masih diberi masa dan ketika untuk berubah menjadi lebih baik. Jangankan kita diturunkan musibah Allah SWT seperti mana diturunkan kepada kaum-kaum terdahulu seperti banjir besar, kemarau panjang atau sekali pun kejadian tsunami yang berlaku pada 26 Desember dahulu.


Sekian…



Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Rabu, 26 Jun 2013

Kejohanan sukan tahunan, Shahbandar menang lagi

Salam sejahtera watak sebenar ucapkan kepada anda semua. Syukur Alhamdulillah, watak sebenar selamat pulang ke rumah lewat petang tadi. Untuk pengetahuan anda, watak sebenar baru sahaja menikmati cuti selama 3 hari bermula esok, Jumaat dan Sabtu. Cuti pada hari Jumaat dan Sabtu adalah kebiasaan bagi di Negeri Kedah kerana itulah merupakan cuti hujung minggu. Tetapi, hari Khamis, esok hari merupakan cuti eklusif hanya untuk SMK watak sebenar sahaja. Sekolah-sekolah lain di sini tidak bercuti pada esok hari. Apa-apa pun, cuti tersebut bukan kerana rentetan fenomena jerebu yang berlaku di sebelah Selatan sana.


Semuanya adalah kerana cuti peristiwa semperna temasya sukan peringkat sekolah yang baru sahaja selesai jam 6.00 petang hari ini. Masuk tahun ini, sudah dua kali watak sebenar meraikan kejohanan sukan sekolah tersebut. Sementara masuk tahun ini,sudah 39 kali sambutan temasya sukan bagi sekolah SMK ini dianjurkan. Alhamdulillah! Kejohanan sukan tahunan petang tadi telah berlangsung dengan jayanya dan ia turut disaksikan  oleh pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.


Terdapat 4 buah rumah sukan berentap untuk mendapatkan gelaran juara keseluruhan kejohanan sukan tahunan 2013. Bendahara, Temenggung, Laksmana dan Shahbandar yang mana keempat-empat buah rumah sukan ini bersaing dengan hebatnya petang tadi. Namun, tuah lebih kepada rumah Shahbandar yang meraih pungutan mata tertinggi sekali gus meletakkannya selaku juara tahunan. Sedikit maklumat, Shahbandar juga telah menjadi juara keseluruhan sukan tahunan pada sesi 2012 yang lalu. Dapatkah team Shahbandar mencipta hatreck pada sesi 2014? Apa-apa pun yang paling bermakna, team Shahbandar juga merupakan rumah sukan watak sebenar.


Bagi anugerah hiasan khemah terbaik dan anugerah perbarisan terbaik, kedua-duanya dibolot oleh rumah sukan Bendahara. Sedikit maklumat, rumah Bendahara telah mempamerkan hiasan seekor rama-rama merah yang besar di hadapan rumah sukannya. Mungkin, itulah daya penarik team tersebut agaknya. Namun, team ini hanya sekadar meraih tempat ketiga di dalam ranking pungutan mata keseluruhan. Walau apa-apa pun, syabas watak sebenar ucapkan kepada team Bendahara kerana orang kuatnya merupakan member watak sebenar sendiri.


Tahun ini, watak sebenar tidak memasuki apa-apa acara kerana acara lari 100 Meter yang diperuntukan oleh penganjur kepada bahagian program inklusif seperti yang dilaksanakan tahun lepas tidak disertakan pada tahun ini. Sedikit maklumat, tahun lalu, watak sebenar merentap bersama-sama 3 orang rakan seperjuangan dalam acara lari 100 Meter lelaki. Watak sebenar dapat menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Kedudukan itu tidak dapat diperbaharui memandangkan acara tersebut tidak dipertandingkan. Justeru, watak sebenar hanya menyertai pelajar-pelajar yang lain di khemah rumah sukan untuk memberi sokongan kepada atlet-atlet yang bertanding.


Acara yang menjadi tumpuan watak sebenar ialah acara larian 1500 Meter dan acara lompat tinggi semua kategori. Acara-acara ini tidak terdapat pada temasya sukan tahunan sekolah watak sebenar yang lepas. Biar pun begitu, acara lompat tinggi ini pernah disertai oleh watak sebenar sewaktu di bangku sekolah rendah dahulu. Ia menjadi kenangan manis apabila watak sebenar yang ketika itu berada dalam darjah 4 dapat beraksi di peringkat separuh akhir. Pendek kata, ada pengalaman yang berharga dalam acara ini.


Apa-apa pun, sekalung tahniah kepada rumah sukan Shahbandar kerana sekali lagi diangkat sebagai pendahulu keseluruhan. Berjuanglah sukan SMK Tunku Abd. Malik!!! Sekian…


Selamat bercuti semua!!!

Selasa, 25 Jun 2013

Di Sebalik Bola Sepak

Assalamualaikum dan selamat sejahtera Mat Santai ucapkan kepada anda tetamu maya halaman ini. Semoga anda sentiasa berada di dalam keadaan sihat-sihat hendaknya. Terbitan kali ini akan diambil alih oleh Mat Santai dalam Segmen yang sudah lama tidak ditampilkan iaitu Segmen Sembang Santai ini.


Mat Santai hanya sekadar ingin berceloteh panjang mengenai dunia bola sepak. Maklumlah, game bola sepak merupakan acara yang paling diminati ramai oleh penduduk dunia. Jadi, Mat Santai juga tidak terkecuali daripada turut menggemarinya. Namun, Mat Santai dan watak sebenar lebih meminati sukan bola sepak antarabangsa khususnya dalam aksi Liga Perdana Inggeris. Sama-sama kita nantikan tirai pembukaan musim baru Liga Perdana Inggeris 2013-2014.


Baiklah, untuk kali ini, Mat Santai ingin berceloteh mengenai sukan bola sepak tempatan. Maklumlah, semua peminat fanatic bola sepak Malaysia sekarang ini hanya tertumpu pada kemuncak Piala FA sahaja ekoran daripada beberapa acara sukan bola sepak sudah menamatkan saingannya seperti Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.


Masih terasa kehangatan 90 minit separuh akhir II Piala FA di antara Pahang dengan Johor Darul Takzim(JDT) tempoh hari?
Ada yang mengatakan ia dan ada yang mengatakan tidak. Mana tidaknya, perlawanan itu berlaku dalam keadaan yang sungguh dramatic sekali. Pahang menang dengan jaringan 2 berbalas 1 malam itu. Namun, secara agregatnya peluang cerah lebih kepada Johor Darul Takzim yang mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri secara agregat dengan 2-2. Maklumlah, tuah si ayam nampaknya di taji, tuah si Johor Nampaknya pada bekalan selesanya 1-0. Apa-apa pun, ucap congratulations juga kepada skuad Tok Gajah terutamanya Penyerang importnya yang dibawa masuk dari Argintina, Matias Conti(tak silap namanya) yang telah menyumbat gol Pahang sebanyak 2 biji(minit 2 dan minit 40) malam 1 Jun itu. Aksinya di padang memang menghiburkan semua lebih-lebih lagi seawall perlawanan sudah tidak membosankan penonton yang menyaksikan. Penyerang import Johor DT juga turut memeriahkan pesta gol. Persoalannya, mana pergi penyerang yang berbisa daripada pemain tempatan sendiri?


Walau apa-apa pun, perlawanan pada hari itu merupakan antara perlawanan yang dianggap controversy oleh sesetengah pihak. Perlawanan yang sepatutnya dijadualkan bermula 28 Mei telah ditunda hingga ke hari Sabtu yang bertarikh 1 Jun 2013. Venue perlawanannya juga terpaksa diubah dari Stadium Pahang ke Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur. Apakah puncanya semua ini?


Semua ini adalah kerana berlakunya limpahan penyokong bola sepak yang membanjiri stadium Pahang melebihi daripada jangkaan. Difahamkan, bilangan mereka yang mengunjungi stadium itu adalah seramai lebih kurang 40000 orang. Sedangkan kapasiti stadium itu hanya mampu memuatkan bilangan penonton seramai 35000 orang sahaja. Justeru, berlakunya limpahan penonton di situ. Lebih malang lagi,  sebahagian daripadanya yang berjumlah sekitar 7000 penonton telah memenuhi ruang treck stadium. Ini menjadi masalah dan sebab kepada perlawanan itu ditangguhkan serta tidak diadakan di Stadium Pahang. Menurut FAM, perlawanan antara Pahang FC dengan JDT FC tidak akan dimulakan selagi mana penonton yang berada di treck tidak berundur dari situ. Itu merupakan peraturan perlawanan yang telah ditetapkan. Namun demikian, situasi tersebut berlarutan. Sehingga lebih kurang 10.30 malam hari Selasa itu, barulah diberitahu kata putus bahawa perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan dan ditunda ke tarikh yang akan datang.


Jika difikirkan, mengapa fenomena limpahan penonton di stadium tersebut boleh berlaku? Sedang hakikatnya, penonton yang ingin menyaksikan perlawanan itu perlu mendapatkan tiket terlebih dahulu sebelum mengambil tempat di stadium. Menurut pihak berkaitan, tiket yang dijual hanyalah sebanyak 32000 keping. Sementara Stadium Darul Makmur tersebut mampu memuatkan bilangan penonton sehingga 35000 orang mengikut kapasitinya.
Mengapa fenomena limpahan penonton boleh berlaku?


Ada sumber yang  mengatakan, lambakan penonton berlaku di stadium itu adalah disebabkan kelima-lima pintu masuknya telah dipecahkan oleh segelintir penonton. Ada sumber yang mengatakan juga kononnya mereka tersebut tidak dibenarkan masuk oleh pihak stadium walau pun memiliki tiket perlawanan. Ada juga sumber yang mengatakan, mereka yang tidak dibenarkan memasuki stadium itu hakikatnya adalah kerana mereka telah memperoleh tiket daripada pengedar tiket palsu.
Mengapa keadaan ini boleh berlaku?


Berbalik kepada masalah limpahan penonton tadi. Segalanya berpunca daripada pemecahan pintu-pintu stadium tersebut. Lanjutan daripada itu, penonton sama ada yang mendapatkan tiket secara sah atau tidak sah mahu pun yang tidak bertiket meluru masuk ke stadium. Lantaran ruang tempat duduk di stadium yang  terhad, sebahagian penonton telah mengambil keputusan untuk menyaksikan perlawanan dengan berada di treck stadium.
Persoalannya, bagai manakah pintu-pintu tersebut mudah untuk dipecahkan?
Sejauh manakah kawalan keselamatan daripada tanggungjawab pihak berkuasa sendiri berkesan kepada kejadian itu?


Tragedi pemecahan pintu stadium itu benar-benar menunjukkan bahawa pihak berkuasa kurang mengawasi kawasan tersebut. Memang telah sedia maklum bahawa pihak berkuasa telah sedia menghadapi apa-apa kemungkinan berlaku yang boleh menganggu kelancaran pada perlawanan tersebut. Tetapi apakan daya, kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan.


Diharapkan tragedy kelewatan atau penangguhan sebarang perlawanan yang sudah ditetapkan tidak akan berlaku lagi selepas ini. Cukuplah hanya setakat 2 buah kejadian sahaja yang telah berlaku dalam tempoh masa yang terdekat ini. Pertamanya di Stadium Larkin yang mana menyaksikan perlawanan antara Kelantan FC dengan Johor DT FC dan keduanya yang menjadi kontroversi baru-baru ini. Pihak FAM juga difahamkan telah menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut. Mereka berusaha menyelidik kekurangan dan kelemahan pada sesuatu anjuran sukan bola sepak itu. Berjuanglah FAM untuk terus meningkatkan mutu segala mutu agar bertambah baik termasuklah dari segi mutu pengadilan, mutu pertandingan, mutu pentadbiran sehinggalah ke mutu dalam mengadakan sesuatu perlawanan. InsyaAllah, Sukan Untuk Bersama! Bersama Untuk Sukan!


Kepada peminat-peminat sukan bola sepak, sama-sama kita nantikan perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan FC dengan Johor Darul Takzim FC yang akan diadakan pada 29 Jun ini iaitu pada hari Sabtu ini. Mengimbau aksi Piala FA tahun lepas, pertempuran di antara pasukan berstatus kelab, Sime Darby dengan juara Liga Supermusim lalu, Kelantan FC telah berkesudahan dengan Kelantan FC menjuarai piala itu selepas berkesudahan dengan jaringan 1-0.


Bagai manakah dengan aksi yang bakal dipamerkan oleh Kelantan FC selaku juara bertahan dalam perlawanan akhir lebih kurang beberapa hari lagi? Entah siapa yang tahu.


Apa-apa pun, mereka yang akan mengunjungi stadium nanti diharapkan datang sebagai seorang penonton yang bertatasusila. Kemudian dari itu, dapatlah membentuk sebuah kelompok penonton yang berkelakuan matang. Barulah muka-muka anda berseri-seri di kaca tv nanti tatkala ditonton oleh penonton yang setia di hadapan tv. Semoga perlawanan akhir bola sepak Piala FA yang dirancang ini tidak menghadapi masalah lagi. Diharapkan juga fenomena jerebu yang juga menerima tempiasnya di Kuala Lumpur tidak menganggu kelancaran perlawanan tersebut. Akhir kata dari Mat Santai, selamat memeriahkan sukan bola sepak tempatan. Berjuanglah bola sepak Malaysia!!!

Seloka Sindiran

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Mat Santun pula akan menemani anda dengan membawakan sebuah segmen yang agak lama tidak diketengahkan belakangan ini. Segmen Karya Oh Karya dengan tajuknya Seloka Sindiran. Tak silap Mat Santun, ini merupakan kali ketiga terbitan seperti ini dikeluarkan untuk tatapan anda. Semoga anda menghayati mesej yang cuba disampaikan!




Encik harimau ke Pekan Rabu,
Bersama sang singa menaiki kereta,
Barang tak perlu habis disapu,
Hutang berjela keluarga terseksa.


Terbang tinggi si bangau coklat,
Mencari rezeki di sekitar ladang,
Lalu hairan si bangau melihat,
Lembu yang kudung dipaksa bertukang.


Penat berjalan si anak kancil,
Mengajak temannya bermain di pantai,
Begitu kecewa hati pun kecil,
Pantai yang indah kotor terabai.


Hati gembira pulang beraya,
Lalu si kuda memandu sopan,
Sedih dan pilu si ibu merasa,
Mendengar anaknya dihimpit kemalangan.




Semoga anda mendapat pengajaran daripada seloka ini. Semoga kehidupan kita seterusnya akan bertambah baik dan sentiasa diredai dan diberkati oleh Tuhan. Ingat, buatlah kebaikan, jauhlah kemungkaran. Sesungguhnya, itulah amalan terbaik dalam kehidupan kita di dunia ini. Jumpa lagi di lain masa.


Seindah bahasa, sesantun bicara, semurni pekerti

Sabtu, 22 Jun 2013

Sebuah Pendakian

Assalammualaikum serta salam bahagia Mat Santun ucapkan kepada anda yang masih setia mengikuti laman blog enciksantai.blogspot. Sudah terlalu lama agaknya Mat Santun tidak bermain falsafah bersama-sama anda. Oleh itu, Mat Santun akan menampilkan kembali terbitan baru dalam Segmen Renungan. (Sebuah Pendakian), itulah tajuk terbitan Mat Santun pada kali ini yang akan dihuraikan. InsyaAllah.


Dalam sebuah perjalanan yang panjang untuk sampai ke sesuatu destinasi, maka semangat diri serta kelengkapan pemanduan adalah wajib diutamakan. Apatah lagi sekiranya anda menyusuri kawasan tanah tinggi sebelum menyambung semula perjalanan di kawasan tanah pamah. Oleh itu, teknik pemanduan yang baik perlu dipraktikkan dalam aksi pendakian itu. Hal ini adalah untuk mengelakkan berlakunya sebarang malapetaka yang dapat meragut nyawa.


Sebelum melakukan pendakian, sewajarnya anda memeriksa fungsi break kenderaan anda sama ada baik atau tidak. Sesetengah kawasan pergunungan juga ada diletakkan papan tanda yang mengingati para pemandu supaya memeriksa fungsi break pada kenderaan sebelum memulakan aksi pendakian. Anda juga pasti mengubah laras gear pada kenderaan yang dipandu agar ianya bertukar kepada gear rendah dengan mengikut kesesuaian pada perjalanan di kawasan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang. Anda juga digalakkan menjauhkan jarak kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan supaya dapat mengambil lajak untuk memecut dengan lebih laju disebabkan kelapangan pada ruang hadapan.


Sewaktu di pertengahan pendakian, Apa yang biasa terjadi kepada anda ialah bakal mendapat kesakitan pada telinga. Fenomena ini berlaku ekoran perubahan pada tekanan udara di persekitaran sewaktu melakukan pendakian. Pada masa yang sama, anda perlu menjaga kawalan stering sama ada membelok ke kiri atau ke kanan mahu pun terus agar sentiasa mengikut arah jalan. Sehubungan itu juga, anda dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kawalan break kerana terleka sedikit sudah mampu membawa anda ke kawasan kuburan sekiranya anda dan kenderaan terbabas ke dalam gaung.


Namun, suatu yang menarik untuk anda ialah semakin anda mendaki, semakin anda merasai kenikmatan demi kenikmatan. Sememangnya anda akan merasai kelembutan hembusan bayu pergunungan yang mendinginkan. Mana tidaknya, setiap 165 Meter perjalanan anda untuk ke atas, penurunan suhu sebanyak 1 darjah celcius akan berlaku. Anda juga bakal dianugerahkan dengan pandangan yang menakjubkan di kiri dan kanan jalan. Pohon-pohon hutan yang menghijau sentiasa menyambut kedatangan anda. Anak-anak sungai kecil juga turut menjadi penghias kepada saujana mata memandang. Di sudut atas, awan-awan putih yang melindungi langit biru kelihatan seakan dekat dengan anda. Tidak terkecuali Kabus-kabus putih, berkumpul seakan menari-nari di hadapan cermin kenderaan.


Setelah anda Berjaya menamatkan pendakian, anda akan merasai pemandangan yang indah tatkala melihat sesuatu yang berada di bawah. Jalan raya yang dilalui tadi dilihat seperti garisan di atas kertas lukisan. Bermacam Bangunan yang ada di bawah dilihat seperti kotak-kotak  mancis yang disusun kemas. Inilah nikmat jika kita berada di atas sesuatu puncak.


Begitu juga dengan anda yang sedang berada di alam pekerjaan. Anda bermula di tangga pertama berbekalkan seberkas pengalaman serta segulung sijil. Di waktu itu, anda sekadar meneruskan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan dan perlu melalui perjalanan yang panjang untuk membiasakan diri dalam sesebuah syarikat atau organisasi. Untuk itu, anda sentiasa perlu produktif dengan kerjaya di samping sedia berkhidmat selain mempelajari lebih banyak lagi ilmu-ilmu yang berkaitan dunia pekerjaan.


Anda akan menaiki beberapa anak tangga lagi setelah diberi penganugerahan kenaikan pangkat setelah tiba masanya. Dalam proses kenaikan pangkat itu, anda perlu bekerja keras tanpa menghiraukan soal kepenatan. Kebanyakan waktu senggang anda juga banyak dihabiskan untuk tujuan kerjaya. Anda juga akan tertekan ddengan persekitaran tempat kerja apabila ada sesetengah rakan sekerja merasai ketidakpuasan hati terhadap pencapaian anda. Anda juga perlu tahan mendengar bermacam-macam tomahan selain prihatin mendengar masalah orang-orang bawahan.


Namun, semakin anda berada di atas, semakin anda merasai kenikmatan demi kenikmatan. Anda akan memperoleh upah wang yang lebih lumayan. Pelbagai faedah sampingan seperti pemberian bonus dan elaun juga turut ditambah kuantitinya berdasarkan pangkat anda. Anda juga akan lebih mendapat kepercayaan daripada majikan dalam urusan syarikat yang penting. Nasib anda akan bertambah baik lagi sekiranya anda diberi hak dalam membuat keputusan berkaitan operasi syarikat.


Setelah anda berada di akhir anak tangga, anda adalah seorang yang Berjaya di alam pekerjaan. Anda akan bertambah Berjaya sekiranya amanat pekerjaan itu dilaksanakan dengan betul. Bekerjalah dengan sejujurnya untuk memperoleh rezeki yang halal. Gunakanlah kuasa anda dengan sebaiknya dalam memberi arahan kepada orang bawahan. Sebarang penglibatan rasuah perlu dijauhkan untuk mengelakkan anda dan pangkat terbabas lalu anda diberhentikan dan pangkat dilucutkan.


Dalam aksi pendakian untuk memperoleh jawatan yang lebih tinggi ini, suatu perkara yang penting perlu diingati. Anda yang berada di atas bekerja untuk orang yang berada di bawah, bukannya orang yang berada di bawah berkerja untuk anda yang berada di atas. Sebuah perjalanan di alam perkerjaan umpama perjalanan mendaki kawasan tanah tinggi. Renunglah sejenak, tatkala anda diberi hak memimpin orang bawahan, bukan bermaksud beban kerja anda berkurangan. Hakikatnya, andalah yang perlu bekerja keras untuk mereka. Sayangnya, ianya berbeza dengan keadaan reality pada hari ini.


Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Ahad, 2 Jun 2013

Memorial Liverpool FC



Sedar tak sedar, kita sudah pun menyusuri separuh daripada perjalanan tahun 2013. Diharapkan juga, blog ini masih Berjaya aktif mengeluarkan terbitan-terbitannya untuk tatapan bersama.


Masih terasa kehangatan perlawanan bola sepak Piala FA di antara Pahang dengan Johor DT semalam?


Tidak kisahla bagaimana reaksi anda. Apa-apa pun, sedia menanti kemuncak perlawanannya dalam peringkat akhirnya yang akan berlangsung tidak lama lagi.


Hari ini, watak sebenar ingin menggulungkan beberapa tarikh memorial penting dalam suatu terbitan. Yang pastinya, ia adalah berkaitan dengan dunia bola sepak antarabangsa atau lebih jelas lagi berkaitan dengan Liga Perdana Inggeris. Untuk pengetahuan anda, watak sebenar amat meminati Kelab Liverpool FC.


Serba sedikit mengenai peristiwa imbas kembali Liga perdana Inggeris musim lalu. Manchester United memperoleh tempat teratas dalam ranking liga tersebut musim 2012-2013. Namun, watak sebenar tetap meminati The Red biar pun lebih kurang 3 tahun, pasukan itu hanya sekadar menamatkan saingan liganya di tempat ketujuh. Tahniah!!! Dikesempatan ini juga, watak sebenar ingin mengucapkan selamat hari ulang tahun kelahiran yang ke 33 kepada kapten Liverpool iaitu Steven Gerrard pada 30 Mei yang lalu. Meski pun watak sebenar telah mengucapkannya di laman twitter pada tarikh tersebut, namun inilah tanda seorang peminat.


Tidak dilupakan juga ucapan selamat berkhidmat kepada Brendan Rodgers yang telah genap setahun berkhidmat sebagai jurulatih Liverpool FC mulai 1 Jun 2012 yang lalu. Masuk hari semalam, beliau telah bersama Liverpool FC selama setahun lamanya. Banyak memorial penting berkaitan Liverpoll dalam masa terdekat ini. Yang paling istimewa, ucapan happy birthday buat Liverpool Fc yang kini telah 121 tahun kewujudannya. Semoga Liverpool FC terus mencapai kejayaan demi kejayaan dan mengembalikan semula zaman kegemilangannya dahulu.
You’ll never walk a lone!


Sekian dahulu memorial Liverpool FC daripada watak sebenar. Bagi anda yang ingin mendekati aktiviti Liverpool FC, bolehlah mengikutinya di laman rasmi twitter miliknya iaitu:


*@LFC
*@MalaysiaLFC
  


Sabtu, 1 Jun 2013

Aktiviti Pertama Di Waktu Cuti

Selamat bertemu kembali bersama-sama watak sebenar dalam Halaman Santun-Santai. Watak sebenar mengharapkan anda berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Watak sebenar ingin menyambung kembali kisah kunjungan watak sebenar ke Pahang tempoh hari dalam bahagian ke II ini.


Setelah kami sekeluarga tiba di Gambang, Pahang dan telah pun melihat Kolej Matrikulasi itu dengan lebih dekat. Kami mengambil keputusan untuk ke Kuantan kerana di situ mempunyai banyak pilihan tempat penginapan untuk ditempah sebagai persedian pada malam itu. Ternyata ianya benar selepas kami sampai di Kuantan dan mendapati banyak hotel-hotel tersergam indah dan turut kelihatan di situ papan tanda yang menunjukkan inap desa(homestay) berhampiran di situ. Apa yang kami jumpa pertamanya sebelum memasuki Bandar Kuantan ialah Pasar Raya Giant, kemudian terdiri bermacam-macam jenis bangunan lain. Barulah kami menemui pembangunan di situ setelah kemarau dengan hutan-hutan, gunung-ganang dan ladang kelapa sawit yang luas.


Kali ini, alat bantuan GPS menjadi serba guna buat sekalian kalinya untuk mencari hotel yang sesuai. Akhirnya kami menjumpai sebuah hotel berhampiran dengan sebuah padang berdekatan sebuah masjid. Ia dikenali sebagai Hotel Suraya. Bangunannya agak tinggi jugak tetapi watak sebenar sudah terlupa akan berapa bilangan tingkatnya. Kami sudah pasti ingin memilih hotel itu dan terus menghala ke pintu utama hotel itu lalu menempah bilik yang sesuai. Alhamdulillah syukur, semuanya berjalan lancer.


Di bilik hotel, masing-masing sudah melepaskan kepenatan. Yang bukan pemandu pun merasakan kepenatan, apatah lagi yang menjadi pemandu. Tidak tahu la berapa tenaga yang habis dalam aksi mengawal pemanduan sepanjang perjalanan tadi lebih-lebih lagi mengharungi highway pelbagai bentuk muka bumi. Watak sebenar terlebih dahulu yang menerjah ke bilik airnya dan merasmikannya untuk membersihkan diri(mandi).


Bilik itu tidaklah begitu  hebat dan tidak juga begitu daif. Cukup setakat untuk keselasaan kami berlima. Di situ, terdapat 2 buah katil bersaiz queen, alat penghawa dingin, tv mempunyai siaran astro dan peralatan memasak seperti cerek, pinggan dan cawan. Bilik airnya pulak dilengkapi dengan alat pemanas air. Yang lain-lain tu tak payah ceritalah nanti jadi macam budak-budak punya pengalaman pulak.


Selepas kami bersolat jamak qasar takhir, masing-masing dengan pekerjaan sendiri. Adik perempuan watak sebenar  membuka satu per satu siaran tv bagi memilih siaran apa yang baik untuk ditonton. Abang watak sebenar sudah keluar dari hotel dan bersiar-siar di kawasan Bandar petang itu. Waktu itu lebih kurang jam 5.30  petang. Keadaan di Kuantan cerah dan tidak mengalami sebarang hujan. Hanya sewaktu permulaan memasuki Gambang tadi sahaja yang berlaku hujan. Tapi, itu sudah beberapa jam yang lepas. Sementara itu, watak sebenar mengikut ayah ke kereta untuk mengeluarkan dan membawa barang apa yang diperlukan untuk digunakan dalam bilik hotel pada malam itu.


Lebih kurang jam 7.00 petang, satu panggilan telefon berdering dari salah sebuah telefon bimbit di antara kami berlima. Ternyata bunyinya datang dari telefon ayah. Bapa saudara watak sebenar (pak teh) yang tinggal di Pahang telah menghubungi ayah untuk mengajak kami keluar malam itu bersama-samanya untuk menjamu selera di luar. Memang kami bercadang untuk makan di luar tetapi masih belum dirancang secara terperinci lagi untuk keluar makan di mana. Maklumlah, kami pun tidak mengetahui di mana restoran yang sesuai untuk dijadikan sasaran di Kuantan tersebut lebih-lebih lagi semuanya belum pernah menjejaki Kuantan. Sebenarnya, watak sebenar pun jarang-jarang mengenali (pak teh) itu kerana ia juga jarang-jarang pulang ke kampung di Parit Buntar biar pun pada hari raya Aidilfitri. Namun, perhubungan kami dengan dia masih belum terputus. (pak teh) lebih senang untuk mengunjungi kampung mentuanya di Kelantan pada hari raya Aidilfitri kerana jarak perjalanannya yang singkat.


Kali ini, giliran Teluk Chempedak pula yang menjadi sasaran lokasi kami pada malam itu. Kami dibawa oleh (pak teh) ke Teluk Chempedak untuk menjamu makan malam di sana. Jaraknya tidak begitu jauh dengan Kuantan. Apa yang pasti, sepanjang perjalanan ke kawasan itulah yang sebenarnya benar-benar Bandar Kuantan. Barulah kami dihadiahkan dengan pandangan pembangunan. Kami menjumpai Stadium Pahang dan pelbagai tempat lagi yang berfungsi sebagai bangunan-bangunan pentadbiran. Watak sebenar beranggapan bahawa Bandar Kuantan ini ialah Bandar yang boleh dikatakan besar juga dan lokasinya amat strategik kerana berdekatan dengan persisiran pantai.


Sampai di Teluk Chempedak lebih kurang pukul 9.00 malam. Kami mengambil masa untuk ke sana lebih kurang 10 minit. Teluk Chempedak merupakan lokasi tempat makan yang menarik dan menjadi tumpuan ramai kerana ianya berhampiran dengan persisiran pantai. Apatah lagi pantai itu boleh dijadikan tempat bermandi-manda kerana airnya yang bersih serta udaranya yang nyaman. Paling penting, makanan yang dijual di situ berpatutan harganya. Bak kata adik perempuan watak sebenar, memang terbaik tempat itu. Dia akan selalu berkujung ke Teluk Chempedak bersama-sama member barunya nanti di kolej tersebut apabila masa lapang.


Kami memilih sebuah restoran yang mana watak sebenar tidak mengetahui nama restorannya. Banyak juga menu yang dipesan oleh (pak teh) watak sebenar. Antara yang tidak boleh dilepaskan ialah tom yam laut dan ikan pari panggang. Ada di antara kami juga turut memesan lauk daging bakar air asam, sayur kailan goring dan ikan siakap masam manis. Memang seronok memesan makanan banyak-banyak apatah lagi dimakan oleh 2 buah keluarga besar yang ada pertalian darah.  Namun, persoalannya? Dapatkah kami semua menghabiskan semua juadah itu. Mungkin inilah yang dikatakan gaya hidup moden.


Apa-apa pun, di antara kami ada yang berfungsi sebagai penghabis makanan. Memang seronok kami menjamu selera di situ apatah lagi berlatarbelakangkan pantai Teluk Chempedak. Ayah mengambil kesempatan bertanya khabar dengan adiknya itu, (pak teh). Begitu juga yang dibuat ibu watak sebenar. Sementara abang watak sebenar berbual-bual dengan sepupu yang berada di sebelah kanannya. Watak sebenar yang duduk di antara ayah dan abang berbual-bual dengan adik perempuan yang berada bertentangan meja dengan dipisahkan oleh juadah di atasnya. Kami berbual-bual mengenai buruk baik kolej matrikulasi itu. Kami yang tadi hanya lima orang tela bertambah menjadi sepuluh orang dengan kehadiran keluarga (pak teh). Keseronokan berbual-bual serta menjamu selera kami sepuluh orang diteruskan sehingga lebih kurang 1.30 jam. Watak sebenar tidak melepaskan peluang menjamu keenakan tom yam laut disertakan bersama kailan goring. Watak sebenar turut juga menyambar ikan pari dan sedikit daging bakar. Nasi yang dipesan terlalu banyak dan ada di antara kami terpaksa menawarkan diri untuk mengisi perut lagi biar pun sudah kenyang. Namun, segala berakhir dengan senyuman setelah mendapati semua juadah di atas meja habis dimakan.


Setelah juadah habis lesap dek dimasukkan dalam perut, wang kertas yang dibawa juga habis lesap dek dibayar kepada pihak restoran. Kami pun berjalan-jalan anak menuju ke persisiran pantai Teluk Chempedak. Angin di pantai itu bertiup nyaman datang dari arah Laut China Selatan. Ternyata tempat itu menjadi tumpuan orang ramai apabila ramai orang pelbagai lapis umur bermain-main di sepanjang pepasir pantai itu. Apa yang kurang enak dipandang ialah tahap social orang-orang di situ kurang baik. Macam-macam jenis kelakuan orang dipamerkan sama ada dari sudut pemakaian, tutur kata dan tingkah laku. Mungkin lain padang lain belalang.


Satu yang menjadi perhatian ibu watak sebenar menurutnya ialah pasir di pantai itu bersih dan halus putih bak permata yang berkilau tatkala terrkena limpahan lampu nion berwarna-warni yang dipasang di gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai cendera mata. Menurut ibu lagi pasir jenis halus itu sukar ditemui di pantai-pantai sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia khususnya di kawasan Kedah. Apa yang menjadi perhatian abang watak sebenar pulak ialah terdapatnya  sebuah tombolo di hujung pandangan kami yang mana bentuk muka bumi itu membentuk pulau di tengah laut. Menurut (pak teh) kawasan yang dimaksudkan abang itu merupakan kawasan popular bagi orang-orang berkelah dan memancing sekiranya di waktu siang. Kami terus melepak di hujung malam itu sambil membiarkan angin-angin manja menggerak-gerakkan kain baju kami. Menurut (pak teh), kawasan pantai Teluk Chempedak ini memang menjadi tumpuan masyarakat sekitar Kuantan lebih-lebih lagi pada waktu hujung minggu. Menurutnya lagi, keadaan riuh-rendah ini akan berterusan sehingga ke esok pagi. Keadaan seperti sebuah pesta ria ini kebiasaannya dilakukan oleh para remaja yang gemar melepak di sini.


Hampir jam 11.15 malam, kami akhirnya bangun dari tempat duduk tadi dan menuju ke kawasan menjual pelbagai barangan cendera mata. Banyak pakaian, beg dan kasut dijual di situ. Dari segi harganya, watak sebenar tidak mahu komen. Pandai-pandailah pilih yang terbaik kerana banyak gerai yang memperagakan barangan yang sama jenis serta harga yang bermacam-macam. Watak sebenar tidak melepaskan peluang membeli baju t-shirt(I Love You …) yang menjadi kegemaran watak sebenar apabila berkunjung ke tempat-tempat terkenal. Sementara yang lain, masing-masing membeli barangan yang dikehendaki sebagai kenangan di Teluk Chempedak khususnya dan di Pahang amnya. Kami berpecah di situ hamper 20 minit lamanya untuk membawa diri masing-masing menerkam barangan yang menjadi perhatian. Seperti biasa, watak sebenar mengikuti ayah dan (pak teh) berjalan-jalan di satu gerai ke gerai yang lain.


Kami pulang mendapatkan kereta masing-masing setelah selesai membeli-belah. Lebih kurang 12.00  tengah malam, kami tiba di pintu utama bangunan Hotel Suraya. Watak sebenar dan salah seorang sepupu berbual-beual kosong sebelum berpisah. Sementara abang watak sebenar yang telah selesai mencari tempat letak kenderaan telah hadir bersama-sama kami di situ. Kami berbual-bual kosong antara satu sama lain sebelum berpisah. Kami akan kembali ke dalam hotel itu dan keluarga (pak teh) akan kembali ke rumah mereka yang juga terletak di sekitar Bandar Kuantan. Setelah bersalam-salaman, kami akhirnya melangkah ke lobi utama sambil memandang kelibat mereka yang berjalan menuju kereta untuk pulang ke rumah. Jam sudahmenunjukkan 12.00 tengah malam, namun masih banyak lagi kereta yang lalu-lalang di kawasan bangunan-bangunan di sekitar Hotel Suraya. Watak sebenar cuba membandingkan suasana Bandar itu di waktu malam dengan suasana Bandar Alor Setar di waktu malam. Nescaya ianya berbeza. Di Alor Setar, kebisingan deruman kereta hanya setakat pukul 10.00 malam sahaja kerana ketandusan sebarang kegiatan di waktu malam. Hanya yang tampak meriah hanyalah di kawasan medan selera sekitar Kolej Universiti Insaniah(KUIN). Itu pun kerana lambakan siswazah yang datang dari kolej itu keluar menjamu selera di tengah malam. Sebab itulah sesetengah daripada rakan sekelas watak sebenar menggelarkan Alor Setar sebagai Bandar mati di waktu malam. Tetapi, sebaliknya bagi Bandar Kuantan ini.


Keesokan paginya yakni lebih kurang pukul 7.00 pagi, kami telah bersiap-siap mengemas barang untuk dimasukkan ke dalam kereta. Hotel Suraya sudah cukup masanya untuk ditinggalkan kerana kami perlu segera sampai ke Kolej Matrikulasi Gambang dengan secepat mungkin. Adik perempuan watak sebenar menyatakan bahawa sesi lapor diri akan bermula seawall 8.00 pagi. Namun, watak sebenar percaya lebih awal daripada itu orang sudah menanti beratur panjang untuk segera selesai urusan.


Lebih kurang pukul 9.00 pagi, segala urusan lapor diri telah selesai dilaksanakan oleh ayah dan adik perempuan watak sebenar. Adik perempuan watak sebenar telah memiliki blog asrama yang boleh dikatakan strategik. Ini kerana blog itu berdekatan dengan sebuah dewan himpunan yang dikenali dengan nama Dewan Mat Kilau. Ia juga berhampiran dengan sebuah kantin dan surau. Sementara biliknya terletak di aras 1 bagi blog itu. Apa-apa pun, lokasinya itu agak sedikit jauh dengan tempat belajar atau dewan kuliah berbanding dengan blog-blog yang lain. Namun, penggerakan untuk ke dewan kuliah sudah memadai dengan hanya berjalan kaki. Adik perempuan watak sebenar juga turut menemui rakan lamanya ketika di MRSM Baling dahulu. Rakannya itu pernah bersamanya dan menjadi ahli homeroom ketika di Kedah dahulu. Namun, menurut  adik perempuan watak sebenar lagi, rakannya itu tinggal di bilik yang berbeza tetapi dalam satu bangunan asrama yang sama. Sungguh pun begitu, jarak bilik mereka tidaklah begitu jauh.


Kami berehat-rehat di kantin yang dimaksudkan dan menjamu sedikit minuman ringan setelah selesai membawa barangan ke dalam asrama. Satu lagi  peristiwa penting telah berlaku di sini apabila tiba giliran adik perempuan watak sebenar pula untuk belajar di tempat yang jauh selepas giliran watak sebenar ketika dulu. Kami berbual-bual kosong sementara menanti jam 10.00 pagi. Banyak pesanan daripada ibu dan ayah kepada adik perempuan watak sebenar diberi satu per satu. Watak sebenar mendengar seperti masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Kemudian, kami menuju ke kereta dan berpisah di situ. Enjin kereta dihidupkan dan kereta terus membelok untuk menghala ke pintu pagar utama kolej itu. Kelihatan lambaian adik perempuan watak sebenar dari belakang. Lama-kelamaan, lambaian itu hilang apabila kereta telah meluncur keluar dari persimpangan yang menghala ke kolej itu. Lambaian itu muncul hanya di skrin kotak fikiran sahaja menjadi kenangan buat sementara. Kereta yang dipandu ayah terus laju mencari susur tol masuk ke lebuh raya untuk melengkapkan perjalanan yang jauh dan panjang sekali.


Apa yang pasti, sebuah perjalanan menuju ke Pahang dan kembali semula ke Kedah merupakan perjalanan yang bermakna dan penuh kenangan. Perjalanan yang boleh dikatakan jauh menyusuri beratus kilometer dan membelah beberapa buah negeri di Malaysia untuk sampai ke destinasinya. Di waktu itu, banyaklah cabaran dan dugaan terpaksa diharungi serta ianya menganggu kelancaran pada perjalanan itu. Begitu juga yang dikatakan dengan perjalanan hidup. Perjalanan hidup tidak pernah selesai. Perjalanan yang menujU kejayaan di samping mencari keredaan Allah SWT tidak pernah lenyap dengan rintangan dan onar-duri. Di waktu itu, perjalanan mencari ilmu amatlah perlu diutamakan kerana perjalanan mencari ilmu itu membuka persimpangan baru untuk perjalanan yang akan menuju kejayaan pula. Bagi adik perempuan watak sebenar, perjalanan ke Kolej Matrikulasi Gambang itu merupakan perjalanan dua dalam satu. Perjalanan menjejaki kolej itu telah selesai dilakukannya. Kini, perjalanan untuk menjejaki kejayaan di kolej itu masih belum dilakukannya. Segalanya akan bermula dengan langkah yang perlahan lalu berlari laju seterusnya mencipta sebuah perjalanan yang bermakna dan perjuangan mengejar kecemerlangan yang satu. Berjuanglah!!!




Tamat

5 Penjimatan Terbaik

Selamat sejahtera kepada semua yang mengikuti Halaman Santun-Santai. Sudah lama agaknya Mat Santai tidak memaparkan terbitan dalam segmen 5 tak boleh bla ini. Tetapi hari ini, Halaman Santun-Santai bakal tidak mengecewakan anda. Dengan tajuknya 5 penjimatan terhebat, maka anda bakal meraih serva sedikit pengetahuan daripadanya. Terus layan.
Setelah Mat Santai membuat kajian dan bancian di merata-rata perusuk dunia. Banyak yang memberikan maklumat mengenai cara berjimat-cermat. Antaranya yang menarik perhatian Mat Santai adalah seperti di bawah.
Oleh sebab segmen ini ialah 5 tak boleh bla, maka penggunaan ayatnya tidak mengikut struktur tatabahasa yang betul. Pendek kata, ayatnya pun tak boleh bla juge.


Seperti yang kita ketahui, tranformasi ekonomi dunia hari ini telah memaksa arus pemodenan melangkah merentasi zaman. Maka, ekonomi Malaysia turut bertindak seiring ke arah yang lebih tinggi untuk berdiri setanding negara-negara maju. Oleh demikian, banyak sektor-sektor baru khususnya yang membabitkan perkhidmatan berkembang dengan pesat. Antara yang diancam hebat ilah sektor perindustrian yang semakin mendapat tempat dan perubahannya bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan itu, banyak pengeluar-pengeluar barang bersaing antara satu sama lain untuk merebut pasaran. Antara stratergi yang dibuat termasuklah mempraktikkan konsep mekanisme harga selain mengeluarkan barangan edisi terhad bagi memancing keuntungan besar. Semuanya adalah untuk memuaskan pasaran pengguna. Tambahan lagi, dasar kerajaan dalam Program Tranformasi Ekonomi(PTE) merancakkan lagi perindustrian Negara agar setaraf dengan Negara-negara perindustrian maju seperti Jepun, China dan Jerman. Walau bagaimana pun, fenomena harga Barang Naik tetap berlaku disebabkan input-input pengeluaran yang semakin terhakis. Dengan itu, kos seunit bagi sesuatu barang akan menjadi mahal.
Kesan daripada itu, Pasti Ada Sesuatu ketidakpuasan masyarakat. Dalam Aksi Protes itu, pasti Kebanyakannya Rungsing dan pasti selebihnya bergembira. Bagi yang berstatus ekonomi rendah, jangan risau. Mat Santai ada penawarnya. Oleh itu, hayatilah 5 penjimatan terhebat ini. Gerenti ada manfaatnya.


5 penjimatan terhebat


Kelima: Jimat petrol kereta
Bagi semue yang ade kereta, petrol 95 atau 97 kite tu boleh dijimatkan. Tapi, bukan isi sikit-sikit minyak tu. Itu, salah. Yang betul, kena ringankan sikit muatan kereta tu. Jangan sampai anak-anak kat belakang tu nak ditinggalakan pulak. Jimat punye pasal, adik happy holiday abang happy sad day lepak rumah. Itu, giler namenye. Sebenarnye, kite perlu buangkan muatan barang yang tak penting terutamanya dalam bonet tu. Barulah jimat petrol. Ular sawa pun tak datang bersarang sebab tak bersepah. Ini tidak, tong deram la, botol buruk la, semua humban kat situ. Impaknye, petrol perlu diisi kerap kali dalam masa yang singkat. Keadaan sebigini benar-benar merugikan kite. Satu lagi pasal petrol ialah kite kene isi minyak waktu pagi atau malam. Itu waktu yang sebaik-baiknye. Jika tengah hari, petrol yang diisi adalah sedikit kerane waktu tu panas. Jadi, bayar banyak-banyak harganye, petrol yang diisi kurang dari pada sepatutnye. Itu tak jimat namenye.


Keempat: Jimat tenaga elektrik
Hari ini, sudah banyak rumah yang ade bekalan elektrik. Nak kurangkan kos hidup, kene jimat gune elektrik jugak. Tapi, takdelah sampai nak bergelap tengah malam. Kang, penanggal kasi salam, habis kecoh. Esok hari, demam berpanjangan. Yang betulnya,kite perlu gune barang-barang elektrik tertentu pada masa-masa tertentu. Misalnye, nak iron baju tu, buatlah waktu pagi atau malam. Macam tu juge komputer. Lebih baik layan facebook, blogger atau main game waktu tersebut. Kalau nak charge handphone pun lebih baik waktu macam tu. Boleh jimat elektrik sikit. Sebabnye, waktu tu arus elektik tak mengembang tak seperti tengah hari yang mengembang alirannye. Oleh itu, buatlah ape yang patut. Tapi, jangan pulak peti sejuk nak onn malam saje. Kang, nazak barang basah dalamnye.


Ketiga: Jimat kos pengangkutan.
Untuk kite yang keseorangan ke tempat kerja, bolehlah layan public transport. Kan boleh jimat duit. Kalau dengan member, lebih baik gune kereta persendirian. Berkongsi kereta ke tempat yang same. Nanti, minyak petrol dan bayar duit tol pun same. Takde lah 5 orang lepak kereta, 5 orang kene bayar. Kalu naik bas, train, atau teksi yelah. Masing-masing hulur duit poket sendiri. Pendek kate, kalau kite sorang-sorang, eloklah gune pengangkutan awam. Takdelah jem sangat. Kalu ramai, eloklah berkongsi kereta. Takdelah padat sangat jalan raya tu. Kemalangan jalan raya pun mungkin boleh berkurang. Ini, baru betul-betul jimat habis.


Kedua: Jimat duit bahan dapur.
Ini khas untuk suri rumah alias tukang masak rumah. Barang dapur yang dimaksudkan tu ialah herba dalam masakan. Kite boleh tanam bende tu belakang rumah. Contohnye, daun kari ke, daun sup ke, pokok cili ke  atau lain-lain. Tapi, tanam daun pokok durian memang tak tumbuh-tumbuh. Dan, janganlah pulak ghairah sangat nak menanam ni sampai nak tanam strawberry belakang rumah. Itu tak logik namenye. Kalau takde tanah,
tanamlah dalam pasu. Macam kat rumah pangsapuri tu, sesuailah kite nak apply. Tuntasnye, eloklah kite tanam sendiri bahan-bahan masak tu daripada beli kat market. Lagi pun, kadang-kadang harganye kelentong. Bagi yang ade banyak tanah tu, bolehlah tanam sayur. Misalnye macam bendi ke, terung ke, petola ke atau lain-lain. Jangan pulak nak tanam belacan macam P. Ramli Ahmad Albab tu, itu bukan tumbuhan. Itu dah save duit sikit. Silap hari bulan, kite jadi kaye sebab bergelar penjual sayur terkemuka. Ape-ape pun, inilah sebahagian daripada penjimatan hidup. Penjimatan yang mampu kite buat.


Pertama: Jimat beli barang.
Yang ni, semue orang boleh buat. Kalau bab-bab nak beli barang ni, lebih baik kite tunggu promosinye. Gerenti murah sikit harganye. Biasenye, diorang akan buat harga runtuh bile hujung tahun, hari ulang tahun syarikat atau lain-lain. Waktu tu, rebutlah peluang yang ade. Tak kan nak biar durian runtuh kat depan mate. Silap-silapn beli satu percuma lapan belas. Betul-betul macam datuk durian runtuh. Tak cukup dengan itu, kite juge kene ambil kire tempat membeli. Kalau jauh sangat dari rumah, tak balik modal la walau pun murah. Antara lainya juge, kite perlu bandingkan harga. Bukan bandingkan penjual. Itu baru pengguna yang bijak. Tapi, janganlah terlalu bijak sampai nak beli gula-gula sepeket pun nak ambil kira semue aspek pembelian. Nanti menyusahkan diri pulak. Barang-barang yang boleh apply tu, macam tv ke, penghawa dingin ke, set bilik tidur ke atau beli kereta pun boleh. Pendek kate, kite kene peka mengira semue aspek dalam membeli sesuatu barang. Bagi yang belajar PD tu, aplikasikan segale ilmu yang ade.

Setakat ini saja pertua penjimatan kita. Kepade para responden Mat Santai tempoh hari, diucapkan terima kasih dan sejuta penghargaan kerana sudi berkongsi kaedah penjimatan yang dipraktikkan seharian hidup. Selamat bercuti sekolah buat kawan-kawan yang bergelar pelajar sekolah. Jangan habiskan duit mak bapak anda dengan benda yang bukan-bukan. Lebih baik jimat duit kalau tak boleh nak cari duit untuk ayah bonda tu. Jumpa lagi di lain hari dalam segmen yang sama dengan terbitan yang baru pula.
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa. Ade hari, boleh kite jumpa lagi. Salam!



Nak Santai, bukan sekadar lepak tepi pantai.