WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Sabtu, 24 Mac 2012

Gurindam Nasihat Pelajar Cemerlang

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bertemu lagi bersama Mat Santun dalam segmen Karya Oh Karya dengan paparan kali ini ialah sebuah puisi bertemakan nasihat buat para pelajar. Puisi ini dikenali sebagai Gurindam dan tajuknya ialah Sifat-Sifat Seorang Pelajar Cemerlang.


Jika impikan nak jadi cemerlang,
Usaha dan doa sentiasa ditandang.


Jika harapkan ilmu diberkati,
Rajin jejakinya sentiasa hargai.


Jika inginkan sahabat berjuta,
Pamerkan kebaikan tunjukkan yang mulia.


Jika mahukan keredaan guru,
Patuh kata-katanya hormati selalu,


Jika hasratkan belajar yang senang,
Masa yang datang jangan dibuang.


Jika inginkan ilmu yang banyak,
Tekun usaha biar berbenak.


Jika berjaya dalam kehidupan,
Jangan diikut sikap lupa daratan.


Jika bersenang di masa depan,
Jangan terlupa ucapkan kesyukuran.


    Semoga gurindam ini memberi teladan kepada kita semua. Buat mereka yang sudahpun menamatkan alam persekolahan, jangan dilupa jasa dan pengorbanan guru. Merekalah orang yang telah berdiri di belakang kita. Orang yang telah menyokong harapan kita untuk berjaya.
Semoga sikap mengenang budi kita akan membuatkan kejayaan itu datang berterusan serta sentiasa diberkati Tuhan selamanya.


Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Rabu, 21 Mac 2012

Pekerjaan animal paling popular

Jumpa lagi bersama-sama Mat Santai di segmen 5 tak boleh bla. Kali ini tajuknya ialah pekerjaan animal paling popular. Setelah membuat tinjauan terhadap pekerjaan haiwan di dunia, inilah hasilnya.
Oleh sebab segmen ini ialah 5 tak boleh bla, maka struktur ayatnya tidak menggunakan tatabahasa yang betul. Dengan kata lain, ayatnya pun tak boleh bla juge.

5 pekerjaan animal paling popular.

No. 5. Pelayan tetamu.
Yang ni bukan pelayan customer di restoran tu. Tapi, kerjanya di pulau sebagai penyambut tetamu. Siapa lagi yang kerja macam ini, tentulah Sang Helang kita atau gelarannya dipanggil Langkawi Eagle. Dialah yang say welcome dan dialah juga wish good bye kepada para pelancong. Walau pun dia kaku dibatukan, tetapi dia setia dengan kerjanya itu. Sang Helang bukan saja baik dengan pelancong tempatan, malah pelancong dunia. Apa-apa pun, kita ucapkan tq kepada Encik Helang kita yang berkhidmat di Langkawi.

No. 4. Ahli perniagaan terkemuka.
Kalau sebut pasal perniagaan ni, mesti la ada kaitan dengan barang jualan. Yang tu betul, produknya merata-rata ceruk tempat ada. Kerja ni pula ayam kita yang pakar. Ayam dalam gambar tin sardine tu kan jenama dia. Mana-mana kawasan, semua menguntungkan. Mesti dulu animal ini ambil bidang pemasaran kat universitinya. Sebab tu la popular masuk carta ni.

No. 3. Pengawal keselamatan.
Agak-agaknya, apa pula binatang yang nak keluar? Yang ni kerja kerah tenaga lagi membahayakan diri. Bukan saja jaga keselamatan rumah, malah control keamanan Negara. Dia ni ada ekor panjang, fobia dengan getah dan baby crocodile. Tak salah lagi, dialah cicak. Tapi apa kaitannya? Yelah, diakan pemakan nyamuk tergarang di kediaman kita. Sebab dia, nyamuk boleh lari lintang-pukang. Dia juga boleh jadi kuat. Powernya digunakan untuk membasmi musuh luar dan dalam Negara. Itu pun, kalau dia marah lalu menjelma sebagai Cicakman. Menentang kejahatan dan Menjaga keamanan. Murni tau kerja yang dia buat.

No. 2. Usahawan Berjaya.
Kerja ni dibuat oleh dua animal. Mereka buat produk yang selalu kita guna. Mereka ialah buaya dan burung Kiwi. Mesti ada kaitan dengan kasut. Emm, betul. Sang buaya ni sedekahkan kulitnya untuk dibuat kasut. Si Kiwi pula keluarkan liurnya gilapkan kasut hitam agar berkilat. Dengan kerjasama mereka tu, dapatlah kita guna kasut yang perfect. Kita ucapkan selamat berjaya kat diorang.
No. 1. Pegawai bank.
Binatang apa pula yang pandai kira duit ni? Tak tahu la. Kalau nak tahu? Mr. Harimau la jawapannya. Yang ada kat Maybank tu. Dia ni memang pandai bab-bab matematik. Kalau bertanding, kancil yang bijak tu pun tersungkur. Kadang-kadang kalau dia bosan, Mr. Harimau ni akan ajak membernya main bola. Sebab tu lah ada Harimau Malaya. Gempakkan kalau diorang beraksi di padang?

Terima kasih kepada sesiapa yang membaca. 5 tak boleh bla ini hanyalah sekadar untuk santai-santai, ingin rehatkan minda. Tidak bertujuan untuk membuat keburukan terhadap mana-mana pihak. Ok, Mat Santai pergi dulu.

Nak santai, bukan sekadar lepak tepi pantai.

Merdekakan Pantai Merdeka

Oh indahnya,
Peristiwa,
Cinta kita di Pantai Merdeka.

Apa khabar semua yang masih setia dengan halaman maya ini. Kali ini dalam Segmen Renungan, Mat Santai akan membicarakan tentang pantai yang merupakan kurnian Tuhan yang sungguh menakjubkan ini. Kurnian alam ini diperuntukkan kepada kita semua sebagai makhluk bumi. Tidak juga terkecuali kepada makhluk-makhluk yang lain. Nak tahu lebih lanjut, bacalah.

(Cinta kita di Pantai Merdeka,) itulah saat-saat manis yang tidak semua orang memilikinya. Sungguh indahkan suasana sebegitu rupa. Sambil bercinta, sambil ditemani dengan nyanyian ombak yang menghempas pepasir pantai yang penuh kemanjaan. Begitulah juga anda bermanja dengan pasangan anda di tepian pantai. kebahagiannya akan terungkap lebih-lebih lagi apabila berada dalam suasana langit jingga yang bakal menjemput kegelapan. Ketika itu, cahaya mentari silih berganti dengan cahaya nion yang dipasang di merata-rata sudut kawasan pepantai. Kemudiannya, cahaya-cahaya itu berkolaberasi menerangi semua yang ada di persekitarannya.
Tatkala menikmati suasana itu, terdengar pula suara beburung gembira pulang ke sarang memungut rezeki yang berlimpahan di ceruk-ceruk alam. Kemerduan alunan muzik yang dipersembahkan oleh makhluk bersayap itu menambahkan lagi suasana romantis anda. Jauh di hujung laut, kelihatan sampan-sampan nelayan menghala ke daratan membawakan buah tangan dari alam iaitu hasil laut yang melimpah-ruah. Tidak ketinggalan juga hembusan angin yang lembut sepoi-sepoi bahasa turut menerpa ke arah daratan. Hembusan itu kemudiannya menghadiahkan kedinginan yang menterjemahkan ketenangan. Keadaan ini benar-benar menarik keasyikan pengelana pantai untuk terus bersantai dalam halaman kurnian tuhan ini. Apabila petang menutup jendelanya, maka muncul pula cahaya purnama indah mempersonakan menghiasi malam-malam anda.
Ketika itu juga cahaya-cahaya nion rancak memuntahkan keterangan menyuluh persekitaran pantai. Seolah-olah nion-nion ini berhasrat melawan cahaya purnama. Dari jauh pula kelihatan berkelompok-kelompok gerai dengan jualan pelbagai jenis. Ada yang menjual makanan dan minuman. Tidak kurang juga yang menjual cendera hati. Gerai-gerai ini seperti bersusun rapi sepanjang persisiran pantai. Segalanya enak apabila menjamu selera sambil menghias pandangan ke arah laut yang mempamerkan bayang-bayang purnama pada airnya yang berombak. Menikmati makanan malam secara eklusif sambil ditemani cahaya purnama selaku raja cahaya amat-amat diimpikan oleh pengelana pantai. Apatah lagi angin malam bertiup sopan turut mencantikkan permandangan dan suasana. Yang lebih menggemhbirakan lagi, jika suasana eklusif ini turut dapat dikongsi bersama-sama ahli keluarga, rakan-rakan atau pasangan kekasih. Pasti tidak kering gusi berjenaka serta bergurau senda antara satu sama lain. Segalanya tampak seperti sebuah panorama klasik namun bertatahkan elemen-elemen moden yang membahagiakan.
Memang menakjubkan gambaran suasana pantai yang diharapkan. Dengan kejernihan air laut yang dipamerkan serta pepasir pantai yang tidak ubah seperti kilauan permata putih,pasti memukau setiap pengunjung yang bersantai. Amat sesuai sekali untuk anda membawa rakan istimewa bersiar-siar. Amat sesuai sekali untuk ibu dan bapa membawa anak-anaknya bermandi-manda. Dan... Amat sesuai sekali untuk seseorang itu melepaskan tekanan jiwa. Itulah segala perwatakan yang dipamerkan oleh Pantai Merdeka. Sebuah pantai yang terletak di daerah Kuala Muda Negeri Kedah. Keindahan... Keasyikan... Ketenangan... Semuanya terdapat di dalam sebuah pantai yang begitu mempersonakan. Walau pun pantainya tidak begitu panjang, namun sudah cukup untuk meraih kegirangan apabila bermandi-manda. Dengan limpahan bukit-bukau yang menghijau serta sifat lautnya yang tidak berbuka luas ke arah lautan besar, menjadikan pengunjung-pengunjung lebih tertarik untuk mendekatinya.

Tetapi, gambaran suasana indah itu hanya tinggal kenangan buat Pantai Merdeka ini. Tidak ada lagi kecantikan panorama yang ghah seperti dulu. Tidak ada lagi kejernihan airnya yang membiru ketika dulu. Segala-galanya mengungkapkan permandangan yang merencatkan penglihatan. Seolah-olah Pantai Merdeka kita sudah tidak sihat lagi. Keasyikan permandangannya yang pernah dipuji-puji ketika dahulu kini telah berlalu bersama-sama kelodak-kelodak lumpur yang menemani air lautnya.
Sekiranya dulu, ramai pengunjung yang menjadikan pantai ini sebagai halaman menemani cinta. Menemani kekasih bersiar-siar di pantai sambil menghirup udara segar. Segala-galanya tampak sebagai (Cinta )Pantai Merdeka) kerana keadaan pantainya yang bersih menyebabkan kebahagian cinta dapat dicari. Ditambah pula dengan alunan lagu Cinta Pantai Merdeka benar-benar menjadikan pantai ini sebagai destinasi pilihan untuk menemani cinta. Tetapi, kini kemanisan itu sukar dicipta. Hanya lagu yang tinggal menemani usia pantai itu. Hanya lirik-lirik lagunya sahaja yang mampu dinyanyikan. Sedangkan, apa yang terkandung dalam lirik-lirik itu seakan sukar untuk diterjemahkan sebagai kenyataan. Dan, alunan muziknya sudah ketandusan suasana romantik yang sebenar. Masakan ada lagi jiwa-jiwa yang berhasrat menemani cintanya di pantai ini. Masakan ada lagi jiwa-jiwa yang sudi mengikut kekasihnya bersiar-siar di pantai ini. Mengapa bisa jadi begini? Mengapa Pantai Merdeka yang diserang penyakit? Dan, mengapa pengunjung yang datang tidak seceria dulu?
Segala persoalan itu memang mudah dilontarkan kepada sesiapa pun. Barangkali, turut mudah dijawab. Namun, usaha untuk merealitikan jawapan itu begitu sukar untuk dikotakannya. Mengapa? Mengapa begitu sukar? Sebab segalanya berpunca dari pada manusia, Dari pada sikap kita sendiri. Sikap negatif seperti mementingkan diri sendiri sehingga terlupa akan tanggungjawab menjaga kebersihan dan kebajikan pantai. Namun, seakan mudah kita mempersoalkan tentang kecacatan pantai. Sedangkan kecacatan itu adalah dari tangan-tangan kita sendiri. Lihatlah sendiri, Pantai Merdeka sudah kelihatan kusut masai. Ombaknya kini menghempas perlahan semacam tenat. Lebih teruk dari itu, ombak itu turut membawa kelodak-kelodak kotor ke gigi air. Ombak-ombak itu juga turut menghasilkan bau lumpur yang tidak menyenangkan. Persoalannya, entah dari mana kelodak-kelodak itu datang. Mungkin sekali dari Tanjung Dawai? Mungkin juga dari Pulau Sayak? Atau juga dari Sungai Kuala Muda sendiri. Apa-apa pun, Situasi ini sekali gus merencatkan aktiviti mandi-manda di situ. Lebih malang lagi, sebahagian habitat hidupan akuatik seperti ketam dan bermacam siput di situ telah musnah sama sekali.
Tidak cukup dengan itu, terdapat sesetengah pengunjung yang sanggup membuang sampah merata-rata tempat sedangkan tempat pembuangan sampah telah disediakan. Mala petaka ini seterusnya bakal mengundang lalat dan lipas yang sememangnya bersifat kotor dan lebih dasyat lagi serangga ini mampu membawa penyakit. Kesan dari itu juga, bau-bau busuk sering terhidu di ceruk-ceruk perkarangan pantai.Akhirnya telah menyebabkan pengurangan pengunjung di sini. Sementara itu, situasi sebigini bakal memberi persepsi yang buruk terhadap Pantai Merdeka oleh pengunjung dari negeri lain.
Oleh itu, tanggungjawab terletak pada semua pihak Mahu pun kerajaan, peniaga dan pengunjung. Sebagai peniaga, mereka perlulah menjaga kebersihan pantai dengan tidak membuang sisa-sisa jualan merata-rata Di samping kualiti jualan harus ditingkatkan untuk terus memancing lebih banyak pengunjung datang. Bagi pihak kerajaan, memang tidak dinafikan bahawa sudah terdapat undang-undang berkenaan yang terlah dilancarkan. Namun malangnya, ada segelintir pengunjung yang bersantai di Pantai Merdeka ini seakan tidak mengerti. Apa yang boleh dilakukan, hanyalah penegasan dan penguatkuasaan ke atas peraturan tersebut supaya lebih bersifat drastik. Kepada para pengunjung, amalkanlah adab-adab berekreasi di tempat-tempat awam. Jika itu tidak dilakukan, nescaya Pantai Merdeka ini bakal jatuh sakit dan tidak berupaya lagi untuk melayan peminat-peminatnya.
Kesimpulannya, Semua pihak perlulah menjalankan tanggungjawab masing-masing terhadap alam sekitar. Cuba direnung kembali, Pantai Merdeka pernah menjadi destinasi pilihan buat semua. Lokasinya yang berhadapan dengan Tanjung Dawai mencantikkan lagi landskapnya terutamanya pada waktu malam. Dengan terdapatnya sebuah masjid tepian laut di Tanjung Dawai mengindahkan lagi kawasan itu. Yang pasti, semua ini gagal diungkapkan jikalau usaha konsisten bagi menjaga keindahan pantai tidak dilaksanakan. Renunglah sejenak, sekiranya kita menunjukkan sikap negatif sebegini. Bukan sahaja Pantai Merdeka yang mendapat padah, malah pepantai di Langkawi yang sememangnya diiktiraf sebagai antara 10 pantai terindah dunia turut menjadi mangsa. Adakah kita ingin berbuat demikian, berbuat kerosakan pada pantai-pantai Malaysia? Fikir-fikirkan.

Nak Santai, bukan sekadar lepak tepi pantai.

Situasi masjid

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang mengikuti Halaman Santun-Santai. Ini Mat Santai, pengemudi segmen Sembang Santai yang baru sahaja diperkenalkan. Untuk hidangan terbitan yang kedua ini, Mat Santai ingin kongsikan selembar situasi panas bersama-sama anda. Situasi ini berlaku di salah sebuah masjid. Nak tahu lebih lanjut, terus layan.
Sebelum itu, Mat Santai nak congratulate kat pelajar-pelajar SPM yang berjaya mencapai target yang diinginkan. Bagi yang kecundang, jangan risau. Rezeki ada di mana-mana menanti di hadapan anda.

Apalah dunia hari ini. Tak habis-habis dengan kerosakan. Kerosakan fizikal mahu pun kerosakan rohani, semuanya mara serentak. Mat Santai memang (hot) dengan situasi minggu lepas. Memang tidak boleh dimaafkan. Waktu tu, Mat Santai pergi ke masjid solat jumaat. Di sebuah masjid ni, permulaannya yang baik. Semua orang duduk sopan, kusyuk dan mendiamkan diri. Lama-lama sikit, mulalah beberapa orang buat hal. Yang teruknya, hal-hal mereka tu tak mempamerkan adab-adab ketika berada di nmasjid. Tak cukup dengan itu, hal-hal tadi bersambung selepas khutbah sedang dibacakan. Sudahlah jarang-jarang pergi ke masjid, lepas tu nak solat jumaat pun ade yang buat hal. Ade yang tidur la, main sms la, lepak dekat luar la, hisap rokok la, macam-macam. Lebih-lebih lagi waktu khatib baca khutbah tu lah yang lagi rancak halnya. Dah la tak dapat pahala jumaat, buat perkara-perkara lagha pulak tu. Baik remaja atau orang tua semua sama. Kanak-kanak tak ape la jugak sebab diorang belum matang lagi. Ini tidak, orang tengah takafur, diorang buat kufur. Kalau nak tahu, insan-insan macam tu lah yang mencemarkan maruah semua orang di masjid tersebut. Yang mengecewakan kite, merekalah jugak yang mencemarkan maruah agama sendiri. Kerana setitik nila, rosak sesusu belanga.

Selesai bersolat, datang lagi satu hal. Kali ini, banyak pulak kecurian menerjah kite. Curi kasut la, Curi selipar la, curi beg la macam-macam hal. Nak kate barang tu tertukar dengan orang pun, tak boleh jugak. Sebab dah kosong masjid, kosong jugak rak-rak dan halaman luar masjid dari kehadiran selipar atau kasut. Yang peliknya, selipar mahal pulak tu yang dirembat. Nasib kasut pun same lah jugak. Kasut yang tampak mahal itu la dia nak balas. Mungkin tengok barang tu cantik sikit, gerenti dia kate mahal. Katenya lagi, Boleh bergaya dengan kasut mahal yang dicuri. Tapi, tak ke buruk akhlak namanya. Tak best la luar je nampak kemas bergaya. Tapi kat dalam, MasyaAllah! Berserabut dengan dosa-dosa. Hidup umpama tak berkat dan lebih teruk lagi kehidupan tidak diredai Tuhan.

Dah la korang yang terlibat, hentikan sikap-sikap buruk tu. Mat Santai tahu, yang tu baru aksi kat masjid. Kat luar sana, macam-macam boleh terjadi. Memang la kite semakin hampir dengan kiamat. Den, memang perkara-perkara sebegini akan berlaku apabila kiamat semakin dekat. Namun, kite sebagai manusia yang beriman, perlulah mengikuti garis-garis panduan yang telah ditetapkan. Kalau tak tahu, refer Al-Quran dan sunnah. Bak kata semua, tinggalkan kemungkaran, patuhkan pada kebaikan. Bukan kah itu lebih penting. Buat apa kite nak tamak tambah tanggungjawab yang bukan-bukan, sedangkan amanah kite kepada agama masih tak tentu arah. Bagi yang berakkal, fikir-fikirkan. Binatang yang tidak berakal mungkin mampu merenung sejenak dengan mata hati mereka, tetapi manusia. Belum pasti lagi.

Bagi kite yang melihat aksi-aksi kemungkaran ini, sebenarnya kita dipertanggungjawabkan untuk mencegahnya daripada terus berlaku. Agama mengajar kite untuk berbuat demikian dengan 3 pendekatan. First, melalui lidah. Yang ini, semua orang boleh buat. Dengan hanya teguran, nasihat, tunjuk ajar, kata-kata pujukan atau tindakan yang sewaktu dengannya, bolehlah dibuat untuk mencegah kemungkaran tersebut. Nescaya mereka yang terlibat akan berubah. Jika didapati kurang berkesan, never mine. Cara yang kedua menanti menghambat kejahatan daripada berleluasa di bumi yang sejahtera ini. Cara yang dimaksudkan ialah dengan menggunakan tangan. Tangan ini merujuk kepada kuasa dan tanggungjawab yang digalas kita. Misalnya, tanggungjawab bapa terhadap anaknya, tanggungjawab guru terhadap pelajarnya dan tanggungjawab pemimpin terhadap anak buahnya. Tiga pihak ini dikatakan amat penting bagi menggarapkan kecermelangan insan agar berakhlak mulia. Dengan itu, nescaya kemungkaran mampu dibendung. Itu pun jikalau semua pihak yang terlibat sama ada yang telah disebut atau sebaliknya sama-sama bertindak bagai aur dengan tebing. Jikalau itu berlaku, nescaya kemungkaran di muka bumi Tuhan ini akan terhakis. Namun, jikalau masih lagi berlaku, gunakanlah cara terakhir. Cara yang dimaksudkan ialah dengan menggunakan hati. Cara ini merupakan selemah-lemah iman kita. Ini kerana, perkara ini menyuruh kita membenci dan menempelak perubatan kemungkaran itu. Ingat, perbuatan itu sahaja yang perlu dibencikan. Jangankan orangnya jugak turut dibenci.

Yang menjadi persoalannya, apakah hari ini kemungkaran terus berlaku. Apakah tindakan (tangan) yang sememangnya efektif gagal disudahkan. Cubalah renung kembali. adakah tugas seorang bapa berjaya mendidik anaknya menjadi orang mulia yang meninggalkan kemungkaran? Adakah tugas seorang guru berjaya mendisplinkan pelajarnya menjadi anak bangsa yang patuh kepada agama? Adakah tugas seorang pemimpin berjaya mengajar anak-anak buahnya berbuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran? Dan lebih penting, adakah seorang pemimpin negara berjaya menyebarkan syiar agama kepada rakyatnya untuk beristiqamah melakukan kebaikan tanpa memandang kepada keburukan? Jangan isytiharkan sebuah negara itu negara yang mulia jika pemimpin negara itu sendiri masih belum berakhlak mulia. Bak kata masyarakat, cermin muka lu dulu, sebelum bertindak baik menyelesaikan masalah. Ingat, jika pihak-pihak itu sendiri yang melakukan kemungkaran, masakan pihak-pihak di bawah tanggungjawab mereka akan berubah ke arah positif. Jangan nak memandai ajarkan orang terbang tinggi jika kita tak pandai untuk melakukannya. Bak kata peribahasa, seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Jika diamati, Mungkin ini lah yang menyebabkan mengapa kemungkaran dunia terus berlaku. Panduan sudah diberi untuk segera menyekat kejahatan, tetapi manusia masih leka dan alfa melayani dunia yang dicipta sendiri iaitu Dunia khayalan yang membawa hiburan melampau. Renunglah sejenak, apa akan terjadi sekiranya pihak-pihak terlibat membelakangi tugasnya sebagai khalifah bumi yang sebenar. Mungkin, yang bakal terjadi adalah perkara yang lebih dasyat dari yang terjadi hari ini.

Nak santai, bukan sekadar lepak tepi pantai.

Selasa, 20 Mac 2012

Seloka sindiran fasa 8

Selamat sejahtera kepada anda semua. Diharapkan anda terhibur dengan persembahan terbitan ini dalam segmen Karya oh Karya kali ini. Buat anda semua, Mat Santun meminta maaf jika karya ini memedihkan hati serta menggoreskan fikiran. Biasalah, nama pun seloka sindiran. Pasti yang makan cili tu akan rasa penangan pedasnya.

Seloka sindiran 9 fasa ke 8

Anak gajah semangat berlari,
Ular menjalar mengejar ke depan,
Semua menyorak sedekahkan simpati,
Cacing di tanah mengadili perlawanan.


Kasihan harimau berkubang keringat,
Memanjat bukit tak henti-henti,
Lalu ketawa kura-kura melihat,
Tersenyum mendaki tangga di tepi.


Cicak di gua ikan di paya,
Selalu berjumpa di Taman Fantasi,
Lalu berkahwin membina bahagia,
Lalat yang tua menjadi Tok Kadi.


Kasihan buaya sakit giginya,
Lalu berjumpa si bomoh musang,
Duit habis rumah digadainya,
Malangnya sakit tetap tak hilang.


Senja hari ke pasar malam,
Menjual itik di tepi surau,
Alangkah terkejut melihat di dalam,
Imamnya kancil jemaahnya kerbau.


Ibu monyet mengorbit di hutan,
Mencari penawar ubat-ubatan,
Kasihan anaknya demam berpanjangan,
Mengajar ikan berjalan di hutan.


Semoga anda mendapat pengajaran daripada seloka yang menyerupai pantun ini. Amalkan perkara-perkara yang mulia dan tinggalkan anasir-anasir yang menjerat kehidupan ke arah keburukan. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Bye... Bye...

Seindah bahasa, sesantun bicara, semurni pekerti

Kebaikan Adam(bahagian 2)

Mendengar kata-kata ibu tadi, serta-merta aku tersentak. Kemudaian menghampiri ibu seolah-olah tertarik dengan topik yang dibincangkan. Sekali lagi aku terpinga-pinga entah apa yang ingin kujawab.
(Dah agak, Memang kes main bola. Tapi, bukan aku yang lakukan. Emm...)
Aku berfikir dalam hati menyelami dasarnya bagi mencari hujah terbaik. Memang aku akui, perhubungan ibu dengan Cik Bedah memang rapat. Mereka selalu berjumpa atas persamaan minat yang sama iaitu fanatik dengan gubahan bunga. Namun, aku tidak menyangka bahawa kejadian tempoh hari benar-benar membawa konflik kepada pihak ketiga. Pihak yang telah berhubungan baik antara satu sama lain iaitu ibuku dan Cik Bedah. Tanpa membuang masa, aku bersuara memberanikan diri melawan pandangan mata ibu yang sememangnya mempamerkan api kemarahan.
(Sebenarnya ibu, bukan Adam yang pecahkan tingkap itu. Kawan Adam yang buat. Percayalah, Adam tak tipu.
Jelas aku satu per satu. Segalanya tampak tenang. Namun, dadaku sudah berdebar kalau-kalau sesuatu hinggap pada mukaku disebabkan penjelasan itu.
(Tipu!!!)
Suara ibu kali ini lebih kuat dari pada tadi. Reaksi wajahnya juga serta-merta bertukar bagaikan singa lapar.
(Kalau Adam tak buat, kenapa Cik Bedah jumpa ibu bagi tahu semuanya. Sudah!!! Mulai petang ini, Adam tak boleh main bola lagi.)
Ibu berhenti seketika. Kemudaian menyambung lagi.
(Cik Bedah tak marah pun. Dia tak kisah tingkap tu pecah. Yang kisahnya, ibu sekarang dah dapat malu.)
Kata-kata ibu tadi benar-benar menguncikan mulut aku. Gerak badanku juga turut kaku seperti tembok batu. Perasaan bercampur-baur mencorakkan hatiku kini. Perasaan kasihan kepada ibuku kerana mendapat malu serta nasib diriku, semuanya bersatu membentuk gelora fikiran. Cuma soal Cik Bedah, sedikit pun aku tidak bersimpati. Perempuan itu seolah-olah talam bermuka dua.

(Sudahlah Adam. kau balik sekarang. Lain kali jangan main kat sini. Kalau kau muncul lagi, siap kau aku kerjakan.)
Kali ini benar-benar perempuan itu menunjukkan taringnya. Dia seolah-olah mahu menerkamku.
(Tapi, mak cik. Bukan saya yang buat. Mak cik boleh tanya kat kawan-kawan saya di padang tu. Saya datang ni pun cuma nak ambil bola ni.)
Kali ini aku pula yang menunjukkan keegoan. Menunjukkan keadilan kepada perempuan itu.
(Sudah!!! aku kata balik. Jangan jadi budak kurang ajar. Kau ingat aku tak kenal siapa mak kau. Sekarang, ajak kawan-kawan kau balik rumah. Faham...)
Aku melangkah longlai keluar dari rumah itu. Namun, sesampainya di gigi padang, aku berpura-pura ceria seperti tidak ada apa-apa berlaku.
Lamunan aku terhenti apabila terpandang jam tepat mengarahkan 3 petang. Serta-merta aku teringatkan soal solat Zohor. Jika difikirkan kembali, itulah perangai buruk Cik Bedah. Depan ibuku berkata yang sopan. Sanggup berbohong akan perkara sebenar. Kononnya, ingin menjaga hubungan mereka. Tetapi hakikatnya, lava gunung berapi yang dicurahkan kepada aku tempoh hari. Mungkin peristiwa itulah juga yang membuatkan aku tertuduh sebagai pemecah tingkap. Sedangkan, kehadiranku di rumah Cik Bedah itu hanyalah untuk mengambil bola sahaja. Badrul yang menyebabkan segala-galanya.

Pagi masih lagi hening. Semua pelajar darjah 4 Amanah dan Bestari sudah berada di padang. Entah apa pula permainan yang ingin diajar olejh Cikgu Halim, guru PJK aku selepas ini. Angin pagi benar-benar tidak mengecewakan semua yang berada di situ. Udara segar dan nyaman ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Beberapa ketika, Cikgu Halim bersuara,
(Ok semua. kita rehat dulu. Cikgu ada sedikit maklumat mengenai kem rekreasi kita
Jelas Cikgu Halim memulakan perbualan. Kemudian dia meneruskan percakapan seterlah mendapati semua pelajarnya teliti menumpukan perhatian.
(Untuk peserta darjah 4 ini, cikgu akan pecahkan beberapa kumpulan sekarang. Semua beratur, buat dua barisan.)
Ketegasan cikgu itu menyebabkan tiada siapa yang berani membantah. Namun, Sedang dalam membina barisan itu, kelihatan seorang pelajar 4 Amanah tiba-tiba rebah menyembah atas rumput padang. Situasi itu benar-benar mengejutkan semua orang termasuk Cikgu Halim. Tanpa membuang masa, cikgu itu mendekati pelajar tersebut dan mendapati dahinya dirasai panas. Kemudian cikgu itu memeriksa degupan jantungnya pula. Degupan itu benar-benar rancak seperti degupan jantung yang selesai berlari jauh. cepat-cepat suara cikgu itu memanggil pengawas-pengawas yang berada di situ.
(Akmal, Haziq, Dengar tak? cikgu panggil kita la.
Aku yang turut berbaris dari tadi memulakan kata-kata meminta respon Akmal dan Haziq.
(Mesti nak minta kita bawakan Haniff tu. Kawan kita tu dah pitam.)
Kata Akmal ringkas. Pandangannya tepat ditujukan kepada Haniff yang kini sudah terkaku.
(Yelah. sebelum perhimpunan tadi, aku dengar cerita dia demam panas. Mesti mata dia pun sakit sekali agaknya.
Kali ini Haziq pula memberi responnya.
(Korang sajalah yang peergi tolong dia. Lagi pun, dia bukan pelajar kelas aku.)
Akmal seperti enggan menyahut panggilan cikgu PJK itu. Tumpuannya kini lebih terarah kepada soal kem itu.
(Kau gile ke. Tak kan Lina dan yang lain tu pulak kena buat. Haniff tu lelaki.)
Balas Haziq dengan hati yang sedikit panas. Dalam hatinya, sedikit penyesalan timbul kerana memilih Akmal sebagai AJk pengawas darjah 4. Mungkin juga itu lumrah alam. Apabila orang sudah berstatus lebih tinggi, lupa daratan yang menghantui tamggungjawabnya.
Mujurlah aku menyudahkan segala-galanya. Jikalau terus dibiarkan tadi, nescaya wujud satu lagi masalah di padang itu. Nescaya muncul seorang lagi yang bakal rebah pengsan dek pergaduhan besar.
Aku dan Haziq menuruti sahaja perintah Cikgu Halim. Malah, terpaksa juga menjadi hamba arahan si Akmal. Namun, itu juga salah satu tugas seorang pengawas sekolah. Enggan menjalankan tugas dan arahan cikgu, bermakna enggan juga mematuhi arahan agama. Selesai menghantar Haniff ke bilik sakit, selesai jugalah tugas itu. aku dan Haziq bergegas kembali ke padang memasang minat terhadap kem itu. Namun malangnya, mereka yang lain sudah pun berkumpulan.
(Adam, kamu sertai kumpulan3 dan Haziq pula di kumpulan 4.)
Suara Cikgu Halim menerpa gegendang telinga aku. Seketika, aku merenung kumpulan aku yang dimaksudkan cikgu tadi. Ternyata ahli-ahli kumpulan itu kurang digemariku. Lebih mengecewakan aku, si gemuk peminjam barang terkemuka tu juga ada di situ. Ketiadaan aku tadi membuatkan aku tidak dipilih secara suka-rela. Tidak seperti yang lain. Berhak memilih rakan masing-masing asalkan berbeza kelas. Tugas yang diberikan aku dan Haziq membantu Haniff tadi benar-benar membuatkan diriku ditolak ke mana-mana kumpulan. Asalkan semuanya mencukupi. Nasib Haziq agak baik. Walau pun turut bersamaku tadi, Namun dia masih punyai Amar dan Kok Meng dalam kumpulannya. Begitu berbeza buat diriku. Yang paling rapat dengan aku pun, Badrul. Tetapi, dialah yang mengancam perhubungan ibu dan Cik Bedah.
Bersambung...

Nantikan bahagian seterusnya dalam Kebaikan Adam.

Seindah bahasa, sesantun bicara, semurni pekerti.

Study last minute

Bertemu lagi dengan Mat Santai. Kali ini Mat Santai telah menyiapkan menu santai yang seterusnya. Tajuknya ialah Study last minute. Setelah membuat temu ramah terhadap pelajar-pelajar seantero dunia di gurun sahara, benua antertika, puncak kinabalu dan pulau Greenland, inilah hasilnya.
Oleh sebab segmen ini ialah 5 tak boleh bla, maka struktur ayatnya tidak mengikut tatabahasa yang betul. Dengan kata lain, ayatnya pun tak boleh bla juge.

5 alasan kenape nak study last minute.


No. 5. Sebab nak ikut member.
Yelah, Takkan nak tolak aje pelawaan member kalau nak pergi mane-mane. Macam nak tengok bola ke, wayang kea tau meal same-same. Sebaliknya, kite study sampai lebur kerusi yang kite duduk. Sebab dah panas sangat. Jadi, ape salahnye ikut member, same-same happy pergi enjoy. Lagipun, exam lambat lagi. Sebab tu la nak study last minute. Nanti kalau biar member tu bertindak solo, Putus pula kawan karang.

No. 4. Sebab nak dapat mrkah kokorikulum.
Kan korang tahu, mrkah kokorikulum macam sukan ke, kelab persatuan kea tau unit beruniform dikira dalam gred result kite. Jadi, takkan nak tolak tepi bende ni semata-mata nak study. Sebab la tu nak study nak minute. Nanti kecemerlangan sebagai pelajar hanya ghah di muka exam je. Tak naklah macam tu. Kitekan nak seimbang dalam semua aspek. Pandai-pandailah nak hidup.

No. 3. Sebab salah faham dengan konsep perlumbaan.
Yelah, yang korang ikut cara Azizul lumba basikal tu apesal. Memang la permulaannye slow, lepas tu pecut sampai tak ingat dunia. Samelah dengan pelari jarak jauh Jamaica tu, dah last minute barulah keluarkan ejin turbo. Yang tu pendekatan yang diaplikasikan dalam bidang sukan. Tak boleh nak folow sangant. Tapi, ape-ape pun itulah sebab nak study last minute.

No. 2. Sebab nak dapat feeling.
Mane tidaknya bile jauh lagi dengan exam, kie asyik relax j. Alasannya, sebab tak dapat feeling lagi. Kalau dah hamper sangat dengan exam tu, barulah dapat suasanaanya. Waktu tu, mulalah buat-buat terkejut beruk. Study hard dan study smart pun enta hkat mane, yang penting telaah buku siang malam tak henti-henti sebab nak sangat dapat feeling exam.

No. 1. Sebab terpengaruh dengan kartun jepun.
Kartun jepun macam ultraman tu kan kate bile dah last minute berlawan, pasti ade keajaiban berlaku. Maknenye, bile dah waktu kecederaan keajaibanberlaku menyelamatkan yang benar. Sebab tu ultraman tak keluarkan tenaga mental dan fizikal die mule-mule, sebab die tahu keajaiban akan memihak kepadanya. Watak Son Goku dalam Dragon Ball pun menyatakan, semuanya berakhir dengan kedamaian. Bertenanglah wahai kawanku, Janganlah depressed dan bersusah-susah di awal pertarungan. Jadi, diorang terpengaruh dengan watak-watak maya ni. Buat ape ikut aksi dank ate-kate mereka, bukan boleh apply pun formula yang watak-watak tu sedekahkan untuk exam kite. Tapi, ape-ape hal pun diorang study last minute sebab teruja dengan ultraman yang menang di saat terakhir walau pun tak keluarkan power awal-awal lagi waktu lawan raksasa.

Terima kasih Mat Santai ucapkan kepada semua yang membaca. Jumpe lagi, Mat Santai nak buat resepi lain pula.

Nak santai, bukan sekadar lepak tepi pantai.