WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Khamis, 27 Februari 2014

Kemarau Dan Kehidupan



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Kali ini, Mat Santai menemani anda dalam segmen renungan pula.


Apa khabar anda? Harap berada dalam keadaan sihat-sihat. Bagi yang kurang sihat, teruskan makan ubat untuk cepat sembuh. Beberapa hari lepas pun, kat klinik, ramai orang sakit-sakit. Penuh sesak, kena beratur panjang, walhal ingin mengambil ubat sahaja. Jiran Mat santai kat sini pun, dah ramai yang mengalami demam. Mungkin disebabkan cuaca kering agaknya.


Mat Santai dengar kat Selangor sana, sudah giat dijalankan aktiviti mencatu air. Mungkin kesannya cukup dirasai oleh penduduk di sana. Apatah lagi keadaan itu memaksa kehidupan seharian mereka yang dahulunya lancar terpaksa diubah. Setiap hari kena ambil air di tangki yang disediakan. Banyak jugalah kedai kedai makan yang ditutup kerana ketiadaan air. Penduduk sudah semakin resah. Diharapkan mereka yang terlibat tabah menerima ujian daripada Allah.


Oh ya, semalam, Mat Santai ada berjalan-jalan macam kutu rayau. Mat Santai melalui sebatang anak sungai. Air dari anak sungai itu datangnya dari sebuah pusat rekreasi air terjun berhampiran dengan Gunung Jerai. Ternyata aliran airnya tidak bermaya, kering dan tidak berarus. Desember lalu, aliran airnya penuh bertenaga. Ramai pengunjung berhampiran yang bermandi manda di air terjunnya. Tetapi sekarang, mungkin dah jadi tempat berendam sang ular sawa. Airnya terlalu sikit. Ini juga disebabkan fenomena cuaca kering yang melanda ketika ini.


Mat Santai memerhati kebun kebun kecil milik penduduk kampung yang berdekatan, ternyata tumbuh-tumbuhan itu lemah seakan tidak bermaya. Seperti pokok pokok bunga kat halaman rumah Mat  Santai rupa lakunya. Dah lama hujan tak turun menyebabkan tanaman tanaman ini tidak cukup dibekalkan dengan air. Ketiadaan air menyebabkan proses fotosintesis tidak dapat berlaku dengan baik. Oleh itu, pengeluaran  daripada tanman juga akan terjejas. Ramai jugalah pekebun tempatan yang terpaksa menanggung kerugian akibat fenomena ini.


Di rumah pulak, Mat Santun asyik merungut kepanasan. Mat Santun sering tertanya-tanya bilakah hujan akan turun. Mat Santun juga kerap kali masuk ke bilik air mandi merendamkan diri. Pelajar di sekolah pula sering kali dinasihatkan untuk banyak minum air, sekurang-kurangnya 8 gelas air putih dalam sehari.  Hal ini adalah untuk menstabilkan suhu badan dengan suhu persekitaran.


Di utara ini, suhu boleh mencecah 36 darjah hingga ke 38 darjah. Agak panas juga la. Dengan kurang litupan awan menyebabkan siang panas. Malam pun panas disebabkan batu yang menyerap haba di waktu siang dilepaskan pada malamnya. Begitu hebat gambaran fenomena cuaca kering ini terhadap kita. Namun, fikirkah kita kesannya kepada haiwan di luar sana?


Mat Santai juga ada terjumpa dengan seekor kucing yang lemah di medan jalanan. Raut wajahnya cukup diketahui bahawa haiwan itu benar benar ingin mencari air. Apakah kita masih memikirkan tentang kesusahan pihak lain? Pada masa yang sama, memikirkan tentang keadaan di pihak kita.


Musim kering, tasik atau sungai menjadi semakin kering. Kawasan yang berair menjadi semakin sempit. Banyak kehidupan akuatik yang terpaksa berkongsi tempat, makan dan perlindungan. Banyak jugalah daripada mereka yang mati kerana fenomena cuaca sebegini.


Bagaimana dengan kucing dan anjing yang terbiar di luar sana? Masih dapatkah mereka mencari air untuk meneruskan hidup. Masih ada manusia lagikah yang prihatin dengan kesusahan mereka. Sedangkan, manusia sekarang ini pun sedang sibuk dengan usaha untuk menyenangkan kehidupan sendiri. Pastinya, fenomena cuaca kering ini bukan sahaja memberikan kesan kepada kehidupan manusia malahan turut meninggalkan kesan kepada kehidupan yang lain. Renungkanlah..


Mat santai, bukan sekadar lepak tepi pantai

Rabu, 26 Februari 2014

Pengurusan



Assalamualaikum dan salam bahagia kepada anda. Mat Santun kembali lagi tetapi  kali ini membawakan segmen Pengkongsian Ilmu pula. Paparan di bawah ini adalah berkaitan dengan pengurusan di mana terdapat 5 elemen yang penting di dalamnya. Baiklah, Mat Santun tinggalkan anda dengan paparan ini. Semoga mendapat serba sedikit ilmu pengetahuan.



Pengurusan merujuk kepada fungsi, proses dan aktiviti merancang, mengorganisasi, memimpin, dan mengawal usaha semua ahli organisasi serta menggunakan sumber organisasi untuk mencapai objektif organisasi yang telah ditetapkan dengan cekap dan berkesan. Daripada definesi ini, dapatlah disimpulkan bahawa terdapatnya 5 elemen penting yang perlu diberikan tumpuan iaitu:


·         Perancangan
·         Pengorganisasian
·         Tenaga Kerja
·         Kepimpinan
·         Kawalan


1.0 perancangan

Langkah pertama dalam pengurusan ialah perancangan. Perancangan merupakan satu proses melibatkan pengurus menentukan matlamat yang ingin dicapai dan menentukan tindakan yang paling sesuai untuk diambil di semua peringkat organisasi untuk mencapai matlamat organisasi. Perancangan mempunyai beberapa tahap iaitu:

·         Rancangan stratergik
Satu plan tindakan jangka panjang menyeluruh, yang disediakan untuk mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan dalam tempo!' 5- 10 tahun yang akan datang.

·         RANCANGAN TAKTIKAL
Rancangan jangka masa sederhana(1- 5 thn) yang melibatkan pengagihan sumber kepada jabatan atau cawangan; memenuhi matlamat yang spesifik yang dinyatakan dalam misi.

·         RANCANGAN OPERASI
skop lebih sempit dan lebih khusus untuk satu-satu unit kerja atau individu yang berkaitan dengan output; merupakan rancangan harian yang lebih khusus untuk tempoh 30 hari hingga 1 tahun.


2.0 pengorganisasian

Langkah kedua ialah pengorganisasian yang merupakan satu proses yang melibatkan pengurus menyusun dan mengagihkan sumber2 mengorganisasi untuk melaksanakan tugas yang telah ditetapkan agar matlamat organisasi tercapai. Pengorganisasian terdiri daripada pengurusan sumber, aktiviti dan struktur organisasi.

Bagi pengurusan sumber, ia boleh melibatkan sumber kewangan serta sumber manusia. Contohnya, sekiranya diadakan Hari Sukan peringkat sekolah, maka sumber kewangan perlu ada bagi membiayai kos pembelian hadiah kepada atlet yang menang. Sumber kewangan juga diperlukan untuk membiayai kos makanan semasa program itu dijalankan. Sementara sumber manusia melibatkan pelajar sekolah yang mengambil bahagian dalam acara sukan. Sumber manusia juga boleh terdiri daripada pegawai sukan dan pengadil.


Elemen kedua dalam pengorganisasian ialah aktiviti. Dalam mengadakan sesuatu acara, wajar bagi sesuatu acara itu dirangka terlebih awal aktiviti yang bakal diadakan. Hal ini adalah untuk memastikan kelancaran pada acara mengikut waktu waktu yang telah ditetapkan.

Akhir sekali dalam pengorganisasian ialah struktur organisasi. Pengurus perlu membentuk carta organisasi yang terdiri daripada 4 jawatan atasan(pengerusi, naib pengerusi, setiausaha dan bendahari) serta ahli jawatankuasa yang sesuai dengan acara. Hal ini bertujuan untuk membahagikan tugas supaya tidak berlaku sebarang pemusatan kuasa atau pertindihan kuasa. Sekiranya diadakan Hari Sukan sekolah, maka ahli jawatankuasa yang boleh dibentuk adalah seperti:

·         AJK pementasan
·         AJK hadiah
·         AJK penyambut tetamu
·         AJK jamuan
·         AJK penyusunan kerja
·         AJK padang


3.0 tenaga kerja

Langkah yang ketiga ialah mengklasifikasikan tenaga kerja(staffing). Tenaga kerja bawahan perlu dibahagikan tugas mengikut kemahiran serta kepakaran mereka dalam bidang masing-masing. Sekiranya semua unit organisasi melakukan tugas yang telah diberikan, maka sesuatu acara itu akan mudah dijayakan.

Sebagai contoh dalam menjayakan temasya Hari Sukan sekolah, spesifikasi tugas adalah penting memandangkan acara ini boleh dianggap besar lebih lebih lagi melibatkan semua pelajar di sekolah tersebut. Oleh itu, penaung(pengetua sekolah) berperanan untuk memberikan kebenaran untuk menjalankan aktiviti di sekolah(padang) dan menyokong keseluruhan program. Penasihat pula perperanan menasihati, membimbing, pendamping, pendorong dan membantu secara keseluruhan acara. Sementara tugas yang lebih banyak akan dipimpin oleh 4 jawatan atasan serta ahli ahli jawatankuasa yang terlibat daripada guru sehinggalah pelajar.


4.0 Kepimpinan

Seterusnya, langkah yang keempat ialah kepimpinan iaitu satu proses yang melibatkan pengurus cuba mempengaruhi gelagat pekerja agar mereka dapat melaksanakan tugas yang diberikan dengan cekap dan berkesan untuk mencapai matlamat organisasi. Dalam elemen kepimpinan ini ada dua perkara penting iaitu gaya kepimpinan serta factor kejayaan.

4.1 Gaya kepimpinan

Dalam pengurusan, terdapat tiga gaya kepimpinan yang disenaraikan iaitu:

·         Gaya laissez-faire/bebas
Gaya kepimpinan ini  kurang mengawal pekerja. Selalunya pengurus jenis ini suka memberikan kebebasan kepada orang bawahan. Apa yang penting matlamat organisasi dapat dicapai dengan jayanya.

·         Gaya demokratik/penglibatan
Menitik beratkan output dan hal ehwal pekerja. Pemimpin ini memberikan peluang kepada orang bawahan memberikan pendapatnya. Pemimpin akan memberi pertimbangan terhadap sebarang cadangan pekerja bawahan. Wujud komunikasi dua hala. Namun pemimpin mengambil masa yang agak lama untuk membuat keputusan.

·         Gaya Autokratik
Menitik-beratkan hal-hal penyapaian matlamat melalui operasi tugas yang berkesan. Pemimpin ini mengamalkan komunikasi sehala di mana semua keputusan adalah di tangannya. Orang bawahan hanya menerima arahan dan melaksanakannya mengikut arahan pemimpin. Proses membuat keputusan lebih tepat kerana tidak memerlukan pandangan ramai pihak.

4.2 faktor kejayaan

Memang tidak dinafikan bahawa kejayaan sesuatu acara itu bergantung kepada usaha dan kemahiran pengurus dalam mengemudi anak anak buahnya demi menghasilkan sesuatu kejayaan. Oleh itu, seseorang pengurus perlu mempunyai potensi diri untuk mencapai perkara tersebut. Antara factor kejayaan pengurus yang utama ialah memiliki ilmu kepakaran dalam bidang pengurusan. Di samping itu, minat serta pengalaman juga berupaya untuk mencerahkan lagi kejayaan seseorang pengurus. Tidak dilupa juga pengurus perlu mempunyai nilai nilai murni serta sikap sebagai seorang pemimpin.


5.0 Kawalan

Langkah terakhir dalam pengurusan ialah kawalan. Kawalan merupakan proses di mana pengurus memantau prestasi semasa dan mengambil tindakan untuk memastikan hasil akhir tercapai seperti yang dijangkakan. Tindakan memastikan aktiviti organisasi dilaksanakan mengikut rancangan yang telah dibuat pada peringkat awal.

Sebagai contoh, dalam pengurusan Hari Sukan sekolah, pengetua sekolah perlu melangsungkan mesyuarat bersama jawatan atasan bagi membincangkan sejauh mana kelancaran kerja berlaku. Mesyuarat ini perlu diadakan beberapa kali sehinggalah acara itu dapat dilangsungkan dengan jayanya.


Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Ahad, 23 Februari 2014

Puisi Jenaka Mat Santun



Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali dalam Segmen Karya Oh Karya. Ini Mat Santun datang menemani anda lagi dalam segmen yang agak lama tidak diketengahkan. Kali ini, kita akan dipaparkan dengan sebuah puisi jenaka. Puisi ini penuh dengan maksud tersirat yang berunsurkan penyindiran terhadap sesuatu perkara dalam kehidupan manusia. Puisi ini juga turut diselitkan beberapa isu semasa yang sedang hangat menjalar ketika ini. Sebelum Mat Santun mengundurkan diri, bacalah terbitan ini.



Inilah sikap orang kkeparat,
Anak manusia mati tak makan,
Anak harimau mati dijerat,
Disebabkan dia mereka ditekan.


Terlajak sampan boleh diundur,
Terlajak bising buaya yang datang,
Itulah mulut sudah terlanjur,
Sampan hanyut buaya  kenyang terlentang.


Perkara yang besar semua berdendang,
Ada menari ada terjerit,
Ibarat ikan mati dipedang,
Monyet di pokok turut ke parit.


Jangan memandai nak buat jahat,
Biarpun kecil orang terbeban,
Seperti keldai kecewa melihat,
Rakusnya pak kancil membakar hutan.


Ini perangai usah terima,
Sanggup bermuka dalam bertindak,
Singa dan kerbau hairan bersama,
Rupa-rupanya nak serang badak.


Payahnya si ikan nak latih berenang,
Penat si kambing bertahun mengajar,
Inilah guru lagak bertenang,
Takutkan air muridnya dikejar.


Ini cerita ada lawaknya,
Gajah di sarkas orang tak gelak,
Lalu dipaksa puji aksinya,
Nampak tak ikhlas merungut pulak.


Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Rabu, 19 Februari 2014

Kebakaran



Assalamualaikum dan salam sejahtera watak sebenar ucapkan kepada anda semua.


Petang semalam, tidak jauh daripada kawasan taman perumahan watak sebenar tinggal telah berlaku suatu kejadian kebakaran. Kebakaran yang terjadi lebih kurang pukul 5.45 petang itu telah menggemparkan sebahagian penduduk taman perumahan watak sebenar dekat sini.


Sewaktu itu, kebanyakan kanak-kanak daripada kawasan perumahan kami sedang bermain di jalanan. Watak sebenar pula ada di bahagian belakang rumah sedang membantu ibu di kebun kecil kami. Menurut adik lelaki watak sebenar yang ketika itu menonton tv, dia terlihat api yang mulai marak di suatu kawasan lapang yang berbelukar. Sebenarnya kawasan lapang itu terletak di atas suatu bukit di mana di tengah bukit itu ada ditempatkan sebuah pencawang elektrik yang bersaiz besar. Kawasan itu tidaklah jauh dari rumah kami. Ia hanya dijarakkan dengan sebatang jalan raya di hadapan rumah serta suatu barisan rumah rumah. Sementara rumah rumah itulah tidak berapa  jauh dibelakangnya ada sebuah bukit di mana pencawang itu berada. Setiap kali kami membuka pintu rumah, sudah pasti kami akan melihat pencawang elektrik gergasi itu teguh berdiri. Tak ubah macam raksasa di atas bukit. Oh ya, kawasan perumahan ini memang terletak di kawasan muka bumi yang berbukit.


Di atas bukit itu, banyak dipenuhi belukar belukar serta rumput rumput liar. Di pinggir bukit berhampiran kawasan perumahan memang ada ditanam pokok pokok pisang oleh penduduk berhampiran. Manakala di sebelah kanan bahagian pencawang elektrik itu pula hanya kelihatan semak semak kecil. Permukaannya sudah mendatar membentuk sebuah tanah lapang kecil yang kosong. Oh ya, di bahagian belakang bukit itu jika dilihat dari arah barat terdapatnya dua baris taman perumahan. Berhadapan dengan dua baris taman perumahan tersebut terdapatnya kawasan perindustrian kecil yang menganjur sehingga ke kawasan Bandar. Oleh itu, salah satu jalan untuk memasuki kawasan taman perumahan ini, perlulah melalui atau membelah bukit tersebut. Jika membelah bukit itu untuk menuju kawasan perumahan ini, akan kelihatanlah di sebelah kiri jalan sebuah pencawang elektrik manakala di sebelah kanan jalan kelihatan sebuah tangki air. Itulah satu-satunya jalan yang membelah bukit di kawasan ini dan jalan itu agak sibuk. Di sebelah kiri jalan itulah berlakunya suatu kebakaran yang tidak diduga petang semalam.


Berbalik kepada kisah kebakaran ini. Sebenarnya, di saat adik watak sebenar menyedari kejadian itu, memang ada orang lain yang sudah pun menyedarinya. Mungkin dalam lingkungan merekalah yang telah membuat panggilan bomba. Lebih kurang 6 ke 7 minit, dua jentera bomba datang ke kawasan kejadian menyelamatkan keadaan.


Rata rata penduduk taman perumahan sekitar amat resah terhadap kejadian kebakaran ini. Hal ini kerana kebakaran itu terjadi di kawasan yang betul-betul berdekatan dengan rumah api atau pencawang elektrik. Bayangkanlah jikalau api itu merebak sehingga ke tengah bukit lalu menceroboh kawasan pencawang elektrik. Huh, na’uzubillah.


Walau apa-apa pun, pasukan bomba Berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan yang dimaksudkan itu lantas memadamkan api  keseluruhannya. Syukur Alhamdulillah! Namun, kejadian itu benar-benar memaksa penduduk sekitar keluar rumah secara beramai-ramai bagaikan suatu pesta ria. Bukan apa. Mereka ingin melihat dari saat ke saat kronologi kejadian kebakaran itu berlaku di depan mata sendiri. Sedangkan jauh di sudut hati sentiasa terdetik kerisauan. Namun, mujurlah kebakaran itu tidak mengapa-apakan keselamatan kami.


Ha, memang kejadian kebakaran seperti ini kerap berlaku apatah lagi pada musim kemarau ini. Seingat watak sebenar, lebih kurang 10 tahun yang lalu juga telah berlaku kejadian yang sama. Lokasi kejadiannya juga adalah di atas bukit itu. Namun, 10 tahun lalu kebakaran itu berlaku di sebelah kanan bukit.


Jika diimbas kembali akan kejadian lampau itu, memang boleh dikatakan sebagai suatu pengkhianatan. Dengan hanya entah berapa puntung rokok oleh perokok perokok tegar zaman kemarau, suatu kebakaran boleh terjadi. Disebabkan perokok perokok yang datang entah dari mana melepak di atas bukit itu. Dengan sikap mementingkan diri sendiri mereka, begitu mudah mereka membuang batang batang rokok yang masih berbara apinya. Lalu meninggalkan kawasan itu. Tanpa disedari, benda itu telah memakan belukar belukar yang berada di situ sehingga mengakibatkan kejadian kebakaran. Tetapi, itu cerita 10 tahun dulu selepas kami menerima laporan penuh daripada pihak terlibat. Kisah kebakaran yang berlaku petang semalam tidak diketahui lagi apa puncanya.


Apa-apa pun, ia tetap suatu kejadian kebakaran. Kejadian kebakaran yang boleh membahayakan nyawa nyawa manusia sekitarnya. Beberapa hari lepas, watak sebenar ada terdengar kisah kebakaran di Gua Tempurung dan di Dungun melalui berita tv. Tak sangka pula di sini juga berlaku kebakaran. Mujulah, ianya tidak begitu besar. Memang musim kemarau ini kerap kali kita diancam bencana seperti ini. Namun, kita perlu mencari cara pencegahannya sebelum bertindak untuk mengatasinya. Salah satu factor kebakaran yang tidak sepatutnya timbul adalah kerana bara api  punting rokok. Yang ini memang tidak boleh dimaafkan. Oleh itu, ambil perhatianlah kepada perokok perokok tegar zaman kemarau. Janganlah membuang punting rokok sesuka hati lebih lebih lagi di kawasan hutan atau padang. Semoga bencana seperti ini tidak berlaku di tempat anda.