WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Sabtu, 28 September 2013

Syair Alam Sekitar



Assalamualaikum dan salam sejahtera Mat Santun ucapkan kepada anda semua. Bertemu lagi bersama-sama Mat Santun di sini dalam segmen yang lain pula iaitu Segmen Karya Oh Karya.

Petang Jumaat semalam, Mat Santun ada berkunjung ke Pantai Merdeka, sebuah pantai yang disebut-sebut ghah dalam sebuah lagu kumpulan Tropika, Cinta Pantai Merdeka. Biarpun persiaran itu bukan untuk melepaskan keriangan ingin bermandi-manda kerana sudah dicemari reba-reba dek perbuatan manusia. Persiaran itu hanya melepaskan niat untuk menjamu salah satu menu popular di situ yang mendapat sambutan baik oleh pengunjung iaitu mee udang Pulau Sayak. Mat Santun kemudian berehat di tepian pantai yang sudah tidak bermaya membawa pelbagai aneka sampah. Anginnya masih bertiup segar, namun ombaknya lemah membadai. Ekspresi ini Mat Santun persembahkan dalam sebuah syair di bawah. Bacalah…


Tajuk: Merdekakan Pantai Merdeka


Bismillah diberi pembuka kata,
Hajat bersyair harap dipinta,
Alam Sekitar tema dicipta,
Moga menjadi pedoman kita.


Pantai Merdeka cantik dan indah,
Pasirnya putih ombak menyembah,
Tetapi kini sudah berubah,
Laut yang  biru tinggal sejarah.


Senja menjelang ombak membisu,
Derunya tidak secergas dulu,
Angin bertiup seakan lesu,
Sampah dan pantai menjadi satu.


Ada pun kapal ghairah membawa,
Ke Tanjung Dawai sekalian jiwa,
Pemandu kapal yang sambil lewa,
Membuang sisa minyak kapalnya.


Pengunjung yang datang gembira berada,
Di Pantai Merdeka tenangkan minda,
Hajat di hati nak mandi-manda,
Melihat kotornya jadi tak reda.


Sedih dan pilu engkau binasa,
Angkara manusia engkau disiksa,
Mari  semua nusa dan bangsa,
Peliharalah alam milik yang Esa.


Demikianlah ekspresi keadaan Pantai Merdeka pada masa ini. Diharapkan pihak berkuasa seperti kerajaan tempatan mengambil tindakan keras bersifat perundangan kepada pesalah laku  sama ada dari kalangan pengunjung mahu pun penjaja yang tidak memelihara alam sekitar di situ. Sekian sahaja daripada Mat Santun, lain masa berjumpa lagi.


Seindah bahasa,Sesantun bicara, Semurni pekerti

Khamis, 26 September 2013

cara pemakanan berdasarkan hadis



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua yang masih mengunjungi halaman santun-santai. Bersama Mat Santun pada kali ini dalam Segmen Renungan bakal membincangkan inti pati sebuah hadis Rasulullah SAW. Hadis ini membicarakan soal pemakanan yang baik menurut Islam.


Daripada riwayat Imam Tarmizi, Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Bahagikan ruang perut dengan mengisinya 1 per 3 untuk makanan, 1 per 3 untuk minuman dan 1 per 3 lagi untuk pernafasan.”


Sesungguhnya, inilah panduan pemakanan yang teratur menurut Islam. Banyak faedah dan hikmah di sebalik amalan gaya pemakanan seperti yang dinyatakan dalam hadis ini.


Namun sebelum itu, kita perlu akur untuk mengatakan perut adalah sarang penyakit. Bukan sahaja penyakit jasmani malahan penyakit rohani. Sekiranya mengambil makanan lebih daripada 1 per 3 untuk diisi dalam perut, maka proses pencernaan makanan itu berjalan agak lambat. Apatah lagi, air yang tidak diambil secukupnya mengundang lagi masalah seperti semelit. Ruang pernafasan yang sempit dalam perut menyebabkan keadaan perut bertambah crowded dan manusia itu akan merasakan malas untuk melakukan sebarang penggerakan kerana terlalu kenyang. Oleh itu, bahagikan setiap unsur yang diperlukan perut ini sama banyak seperti panduan dalam  hadis di atas.


Seperkara lagi, sekiranya bahan-bahan tertentu diambil secara berlebihan, badan akan bertindak balas untuk mudah menghadapi penyakit. Contohnya, penggunaan garam berlebihan dalam masakan mengundang penyakit darah tinggi seterusnya berlaku stroke. Gula yang berlebihan dalam minuman pula mengakibatkan manusia itu dihidapi diabetes. Pengambilan lemak binatang tanpa kawalan menjadikan seseorang itu diancam sakit jantung dan kegemukkan. Oleh itu, kawallah gaya pemakanan kita agar diri sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera.
 Fakta ini dapat disokong serta dibuktikan melalui sebuah lagi hadis Rasulullah berkaitan pemakanan. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al-bukhari dan Ibnu Majah yang bermaksud:


“Makanlah dan minumlah dan pakailah dan bersedakahlah dengan cara tidak membazir dan tidak berlebihan.”


Selain itu, perut juga merupakan sarang penyakit rohani. Misalnya, penyakit malas, mudah lupa dan ketidakwarasan akal untuk berfikir. Keadaan seumpama ini boleh  berlaku sekiranya gaya pemakanan yang tidak baik dipraktikkan. Contohnya, pengambilan organ dalaman binatang seperti limpa dan hati mengundang kepada penyakit alfa. Untuk mengatasinya, banyakkanlah memakan buah tamar anggur kering atau madu. Bahkan, makanan ini juga dimakan oleh Baginda Rasulullah SAW dalam kehidupannya. Khasiat daripada buah tamar dan anggur kering memang bermutu tinggi selain peroleh pahala sunnah.

Selanjutnya, elak daripada mengambil dadah atau meminum arak. Dua bahan ini akan menyebabkan pengguna hilang kewarasan akal. Islam juga melarang penganutnya meminum arak kerana ia boleh merosakkan akal dan dikatakan ibu segala kemaksiatan. Muslim yang disabibkan kesalahan meminum arak dikenakan had hukuman 40 kali sebatan. Umumnya, jauhkan diri kita daripada memakan makanan yang tidak baik kerana berupaya menghidapi penyakit rohani.


Dalam menjaga kesihatan diri, konsep pyramid makanan dapat membantu kita untuk memilih nutrient yang lebih utama kepada kesihatan diri. Tidak lupa juga sentiasa mengikut gaya pemakanan yang disarankan oleh Baginda Rasulullah SAW. Namun, apa yang lebih penting daripada semua ini, kita perlu mengenal pasti di mana sumber makanan itu diperoleh sama ada halal atau pun haram. Justeru, konsep halalan toiyiba yang dipromosikan sejak akhir-akhir ini perlu disokong oleh Muslim di Malaysia. Konsep ini juga telah disokong baik di United Kingdom.


Kesimpulannya, pemakanan yang baik serta halal memberikan kesan positif kepada tahap kesihatan diri seterusnya menjamin kebahagian dalam kehidupan. Ingatlah, sekiranya yang haram berada dalam diri kita, maka darah suci akan bercampur dengan yang haram. Lalu, membesar bersama-sama dengan yang haram. Mungkin yang haram itu tidak ada pada perut kita, tetapi mungkin pada ahli keluarga kita. Pada masa yang sama, gaya pemakanan kita lebih bersifat moden dengan membelakangi panduan pemakanan daripada Baginda Rasulullah. Apakah yang haram itu mampu menjamin keredaan Allah terhadap kita di dunia? Apatah lagi di akhirat? Renungkanlah.

Sabtu, 21 September 2013

5 sukan paling popular



Salam bahagia kepada anda semua. Sudah lama agaknya Mat Santai tidak menemani anda di halaman santun-santai.

Hari ini, Mat Santai tampil dengan membawakan segmen yang juga sudah lama tidak diketengahkan iaitu Segmen 5 tak boleh bla. Tajuk untuk terbitan yang seterusnya ini dalam 5 tak boleh bla ialah mengenai dunia sukan paling popular. Agaknya, sukan apalah yang menjadi kegilaan orang ramai khususnya di Malaysia. Agaknya, apakah 5 jenis sukan paling popular yang bakal dicontengkan oleh Mat Santai. Nantikan sehingga penghujung terbitan.

Oleh sebab segmen ini ialah 5 tak boleh bla, maka struktur ayatnya tidak menggunakan tatabahasa yang betul. Dengan kata lain, ayatnya pun tak boleh bla juga.


Bila sebut pasal sukan, macam-macam akan keluar daripada kotak fikiran kita. Kalau ada gambar harimau Malaya kat tv, itu berita sukan. Kalau kat kaki tu, namanya kasut sukan. Kalau satu dunia tengok tv, itu sukan Olympic. Kalau ramai-ramai kat padang sekolah tu, namanya hari sukan. Kalau ada YB Khairy kat situ, itu Kementerian Belia dan Sukan. Kalau semua tgk piala dunia, dia wat kerja lain, itu tak minat sukan.
Pendek kata, banyak perkataan sukan boleh terpacul daripada pemikiran kita. Tapi, tahukah anda? Lima jenis sukan paling popular di Malaysia sukan apa? Apa jenis sukan yang banyak orang suka? Ini dia carta sukan Mat Santai menjelaskannya.


Di tempat yang kelima:

He he, agaknya sukan apa? Yang last ni Mat Santai bagi squash. Sebab apa, sukan tu hebat dimainkan oleh atlet Malaysia di persada dunia. Mestilah Datuk Nicol Ann David kita player yang dimaksudkan itu. Beliau dilahirkan pada 26 Ogos  1983 dan Berjaya merangkul gelaran juara sebanyak 7 kali dalam terbuka Malaysia. Malahan, beliau masih bergelar ratu squash Negara merangkap player no. 1 dunia. Kalau tak ada atlet yang pro dalam sukan ini, mesti tak akan popular.


Di tempat yang keempat:

Sukan berbasikal la jatuh ranking no. 4. Berbasikal kita boleh dikatakan hebat dan boleh dibanggakan. Sebab, ada atlet berbasikal kita masuk Olympic. Azizul Husni Awang dan Fatihah Mustafa, dua orang atlet yang ghah namanya. Itu acara pecut, acara berbasikal lebuh raya pun ada. Anuar manan dan Harith Salleh, kedua-duanya atlet berbasikal lebuh raya yang main kat Le Tour De Langkawi hamper saban tahun. Diharapkan, ada kilauan emas daripada acara berbasikal di Brazil 2016 nanti.


Di tempat yang Ketiga:

Yang ketiga ini Mat Santai bagi hoki. Setuju? Hoki merupakan game berpasukan yang macam bola sepak tapi main pukul-pukul guna tangan. Hahaha. Hoki Malaysia kira hebat juga. Baru-baru ni, mereka tewas 0-2 vs India dan menduduki peringat semi-final dalam suatu kejohanan. Namun, aksi tersebut cukup melayakkan skuad hoki Negara beraksi di Kejohanan hoki piala dunia. Syabas kat fitrisaari dan faizalsaari serta rakan-rakan seperjuangan. Walau pun permainan hoki tak setaraf identity sepak bola, tapi Malaysia punya sukan hoki ni boleh masuk sampai world cup. Bukan macam sepak bola tu.


Di tempat yang kedua:

Hehe, yang ni Mat Santai letak sukan badminton. Tak kisah la perseorangan ke, beregu ke atau beregu campuran, tiga-tiga dok ranking no. 2. Sebut pasal badminton Malaysia ni, macam-macam isu panas kuar. Baru-baru ni, dikatakan Jurulatih perseorangan Negara, Raziff Sidek telah meletakkan jawatan ekoran ketidakpuasan hati terhadap pihak pengurusan. Katanya la. Bagaimanakah nasib dua anak didik beliau, Chong Wei Feng dan Liew Daren. Apa-apa pun, LCW pemain no. 1 dunia sukan badminton sedang berjuang di kejohanan terbuka badminton Jepun. Khabarannya, LCW telah melepasi peringkat suku akhir. Diharapkan, LCW dapat mengulangi kejuaraan di terbuka Jepun wat kali yang seterusnya.


Yang dok ranking pertama:

Macam dah tahu je. Kalau bola sepak belum sebut lagi, sukan jenis ini la lepak ranking 1. Macam Liverpool FC sekarang ni kat Liga Perdana Inggeris yang bertahta di puncak liga.
Sebut je pasal bola, semua orang jadi giler. Kalau bola tempatan, skuad OKS dan skuad RajaGobal la yang bermain-main kat hati peminat fanatic bola sepak. Syabas kat team OKS yang baru-baru ni memenangi perlawanan Pesta Bola Merdeka selepas menundukkan Myanmar 2-0.
Sementara skuad harimau Malaya berlaku tanda Tanya siapakah yang bakal menggantikan RajaGobal sebagai jurulatih yang bakal menamatkan perkhidmatannya penghujung tahun ni. Dengan cite, FAM nak pancing bekas jurulatih kebangsaan Jepun.
Apa-apa je la, semoga sentiasa power sukan bola sepak Malaysia. Tak la lagi dok ranking no. 100 lebih.


Setakat ini 5 tak boleh bla Mat Santai mengenai sukan oh sukan. Statistik ni adalah berdasarkan responden dan prestasi serta fenomena sesebuah sukan itu dalam masa yang terdekat. Bangunkan sukan Negara kita. Lain kali jumpa lagi.


Nak santai, bukan sekadar lepak tepi pantai

Khamis, 19 September 2013

Result MUET diumumkan



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Diharapkan anda masih lagi setia melawati halaman santun-santai yang tidak seberapa ini.


Sekitar pagi tadi, hamper semua pelajar pra university penggal 3 di sini berteka-teki dengan diri sendiri mengenai keputusan rasmi peperiksaan Malaysia University English Test(MUET) yang bakal diumumkan. Mereka ini dan termasuk watak sebenar telah menduduki peperiksaan itu pada julai lepas dan pada pagi tadi berakhirlah penantian yang panjang untuk mengetahui result sebenar kertas bahasa inggeris itu.


Sebenarnya, seawall jam 12.00 A.M. tanggal 19 September iaitu hari ini, pelajar-pelajar yang telah menduduki peperiksaan itu pada julai tempoh lalu boleh mengetahui keputusannya melalui perkhidmatan sms melalui talian 15888. Perkhidmatan itulah juga yang digunakan oleh watak sebenar untuk mengetahui keputusan sendiri terlebih dahulu sebelum guru-guru yang mengetahuinya. Namun, kita tidak dapat mengetahui permarkahan sebenar sebelum keputusan rasminya dikeluarkan pada pagi tadi melalui laman web MPM.


Syukur Alhamdulillah, keputusan watak sebenar boleh dikatakan baik dan berupaya membawa watak sebenar ke menara gading bersama-sama bidang-bidang pilihan serta diimpikan oleh watak sebenar sejak keputusan peperiksaan bertulis penggal 1 yang diumumkan tempoh lalu. Ianya agak mengejutkan juga apabila kertas (speaking) dan kertas(listening) yang diambil watak sebenar mencatatkan markah yang memberangsangkan daripada yang lain. Namun, kertas (reading) mencatatkan sedikit penurunan dan menjejaskan sedikit keseluruhan markah. Apa-apa pun, ketentuan itu telah ditakdirkan Allah SWT. Dia yang lebih mengetahui daripada yang mengetahuinya.


Sekalung tahniah juga kepada rakan-rakan seperjuangan yang Berjaya melepasi syarat wajib ke university kelak. Sesungguhnya, keputusan MUET sebentar tadi dapat merangsang kita untuk menamatkan kertas 3 yang bakal dihadapi pertengahan November ini dengan penuh cemerlang. Tatkala mengimbas kembali, kitalah kumpulan pertama dan terawal menduduki peperiksaan MUET dalam suasana pembelajaran yang baru iaitu STPM Baharu yang berorientasikan sistem penggal. Diharapkan ada di antara kita yang melangkah ke university yang sama dalam jurusan yang sama. Sekiranya itu berlaku, perjuangan di antara kita dapat diteruskan bersama-sama rakan yang baru kelak. InsyaAllah, Allah SWT akan merestui perjalanan masa depan kita untuk ke pusat pengajian tinggi bagi memperoleh ijazah sarjana muda.

Selasa, 17 September 2013

Mengakhiri Tugasan PBS Pendidikan Seni

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Kali ini, watak sebenar nak share kisah aktiviti pendidikan di sekolah watak sebenar belajar.


Sekitar pagi tadi, lebih kurang pukul 9.00 A.M. telah diadakan majlis perasmian pameran airis jiwa di bangunan pentadbiran pra university  di sini. Majlis ini dirasmikan oleh tuan pengetua sendiri dan dihadiri oleh guru-guru serta pelajar-pelajar pra university. Pameran airis jiwa ini merupakan pameran bersifat kesenian di mana para pelajar pra university yang mengambil jurusan pendidikan seni di sekolah ini telah mempersembahkan hasil kerja mereka dalam penggal 3. Hasil kerja lukisan itu juga merupakan tugasan assignment atau tugasan PBS mereka yang memakan tempoh masa yang panjang untuk disempurnakan.


Hasil seni lukisan mereka telah dibingkaikan serta dipamerkan di dinding-dinding galeri seni untuk tujuan pendokumentasian. Para pelajar pra university serta pelajar menengah rendah dan atas turut dijemput menyaksikan pameran yang memukau pandangan itu. Watak sebenar difahamkan terdapat lebih kurang 20 jenis lukisan pelbagai tema dipamerkan yang mana setiap satunya masing-masing milik setiap daripada calon peperiksaan STPM jurusan kesenian. Antara tema hasil lukisan mereka adalah seperti alam sekitar, permainan tradisional, pencemaran serta kemanusian. Terdapat juga elemen-elemen lukisan yang dilakar yang bersifat simbolik dengan tujuan penyindiran atau menterjemahkan maksud yang mendalam dan berkesan kepada penatapnya. Pendek kata, dah jadi macam sastera-lukisan. Apa yang menghairankan sedikit watak sebenar ialah saiz kertas llukisan yang digunakan itu begitu besar. Tidak mungkin dapat diletakkan di atas meja kelas kerana kertas lukisan itu lebih besar daripada permukaan meja kelas yang standard. Ini bermakna, rakan-rakan seperjuangan watak sebenar itu telah melakarnya di atas sebuah papan cardboard yang semestinya tampak seakan ahli artisan yang berkelana.


Apa-apa pun, sejuta tahniah watak sebenar ucapkan kepada mereka kerana Berjaya menyiapkan tugasan PBS sekaligus mengakhiri sukatan pelajaran pendidikan seni tahun 2012-2013. Lebih manis lagi, rakan-rakan watak sebenar ini tidak ada lagi peperiksaan bertulis di penggal 3 ini berbanding dengan pelajar-pelajar jurusan lain yang terpaksa menghadapi peperiksaan bertulis kali ketiga.


Semestinya, perjuangan anda sudah hamper kemuncak dalam subjek pendidikan seni. Dan lebih manis lagi, kemuncak itu diraikan dengan mempamerkan hasil kerja lukisan anda di bilik galeri. Tahniah sekali lagi, anda sudah memiliki prospek pekerjaan yang tinggi. Anda berupaya mencipta pekerjaan sendiri sekaligus menjana pendapatan sendiri. Kalau ada rezeki, anda akan dapat melangkah ke Balai Seni Lukis dengan membawa hasil-hasil karya seni anda di situ untuk tujuan pemasaran domestic dan antarabangsa. InsyaAllah, semoga Berjaya!