WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Selasa, 25 Mac 2014

Misteri kehilangan MH370 Berakhir



Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Tanggal 24 Mac iaitu hari Isnin semalam, pukul 10.00 p.m. seluruh rakyat Malaysia serta isi dunia telah digemparkan dengan berita mengenai pesawat Malaysia Airline MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu kini dikatakan telah berakhir di lautan Hindi. Pengumuman berita itu telah dibuat oleh Perdana Menteri  Malaysia, dato’ Sri Mohd Najib.


Selama 17 hari kehilangan pesawat itu, pelbagai spekulasi telah dilontarkan oleh sebahagian mereka yang mengikuti perkembangan berita pesawat malang ini. Kini mulut mulut mereka sudah hamper boleh ditutup memperkatakan tentang tragedy kehilangan MH370. Mungkin itu adalah salah satu daripada hikmahnya.


Kepada keluarga penumpang pesawat MH370, ucapan takziah kepada kalian. Diharapkan kalian dapat menerima ujian Allah ini dengan penuh kesabaran serta hati yang tabah. InsyaAllah, banyak hikmahnya di sebalik ketentuan daripada Tuhan ini. Watak sebenar turut meluahkan rasa sedih dan bersimpati kepada keluarga mangsa selepas mendapat berita yang syarikat Malaysia Airline mengesahkan tiada penumpang yang selamat dalam nahas itu. Terdahulu, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing telah hilang dari radar pada tarikh 8 Mac lalu.


Pastinya, operasi SARS yang disertai sebanyak 26 buah negara tertumpu kepada pencarian kotak hitam bagi mengkaji punca nahas dan beberapa lagi aspek penting. Namun operasi ini dianggap mencabar kerana purata kedalaman lautan Hindi ini ialah 4000 meter ke bawah dan tahap kedalaman maksimumnya sekitar 7000 meter ke bawah. Diharapkan operasi ini Berjaya menemui kotak hitam pesawat tersebut dengan penuh kelancaran.


Bagi kita rakyat Malaysia, teruskan menyokong usaha merungkai misteri nahas MH370 ini. Apa yang lagi penting, rakyat Malaysia jangan cepat melatah dengan perkhabaran ini dan tidak lagi meneruskan sebarang spekulasi yang tidak masuk akal. Tangguhkan kepentingan anda itu dulu, setidak-tidaknya untuk menghormati keluarga penumpang yang sedang bersedih buat masa ini. Marilah kita menghadiahkan al-fatihah serta bacaan yasin untuk mereka. Moga Allah memberkati mereka di dunia dan di akhirat sana. Sekian.

Khamis, 20 Mac 2014

Terima Kasih Allah dan Sekolah



Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Pada 19 Mac, Rabu semalam, keputusan penuh STPM 2013 sistem baharu telah diumumkan. Keputusan ini dikira berdasarkan wajaran permarkahan yang terkumpul bagi sesuatu mata pelajaran di penggal 1, penggal 2, penggal 3 dan tugasan PBS.


Secara umumnya, prestasi pelajar yang mengambil STPM pada tahun 2013 adalah meningkat berbanding 2012. Namun, ianya tidak boleh diukur dan diperhalusi perbandingannya secara teliti kerana format bagi STPm 2013 tidak sama. Bagi pandangan watak sebenar, STPM baharu ini menekankan 2 aspek iaitu aspek akademik dan aspek kemahiran menjalankan tugasan serta insaniah. Berbanding dengan STPM yang lama yang hanya menekankan permarkahan semata-mata untuk peperiksaan bertulis tanpa menilai keupayaan atau kelebihan lain yang ada pada calon STPM itu.


Walau apa-apa pun, tahniah kepada yang Berjaya mencapai apa yang dinginkan sepanjang berada dalam medan perjuangan pra universiti. Kepada yang kurang Berjaya itu, anda sebenarnya turut Berjaya setidak-tidaknya berani meneruskan perjuangan dalam zon STPM baharu. Sememangnya, pelajar STPM 2013 akan dijadikan panduan dan landasan kejayaan kepada junior junior yang akan memasuki pra universiti pada masa akan datang. Sepastinya, mereka akan menggunakan pengalaman kakak dan abang selaku kumpulan pertama STPM baharu untuk turut juga melakar kejayaan. Oleh demikian, syabas diucapkan, sekurang-kurangnya dapat memberikan semangat untuk mereka yang lain meneruskan perjalanan di laluan pra universiti.


Tidak lupa juga kepada semua yang telah menyokong diri ini yang juga pelajar STPm 2013, terima kasih dan sejuta penghargaan kepada anda. Syukur Alhamdulillah, watak sebenar pun tidak menyangka akan memperoleh kejayaan seperti ini. Tetapi, ianya tidak mustahil kerana Allah telah menentukan segalanya dan menganugerahkan nikmat kejayaan ini. Apa yang perlu dilakukan oleh manusia itu selaku pelajar hanyalah terus meningkatkan usaha dan tidak putus-putus berdoa supaya dimudahkan segala urusan menimba ilmu.


Jika diimbas kisah lalu sebelum bertandang ke pra universiti, laluan ini bukanlah pilihan utama ketika itu apabila berhadapan dengan pelbagai tawaran pengajian seperti program diploma IPTA, institute pendidikan guru serta program asasi IPTS. Namun, setelah memikirkan tentang kesesuaian bidang serta beberapa factor lain, maka atas nasihat ibu watak sebenar juga, pilihan pra universiti inilah jalan alternatifnya setelah berehat panjang sebagai bekas pelajar SPM. Walaupun hati terasa agak berat untuk kembali ke separa alam persekolahan, namun semangat untuk Berjaya pada laluan ini perlu diteruskan. Agak lama juga watak sebenar berada di alam kekeliruan sama ada ingin meneruskan pra universiti yang memperkenalkan format baharu atau melangkah ke maktab perguruan mahupun memohon semula borang UPU online kemasukan IPTA sesi September. Walau bagaimanapun, ekoran memikirkan soal wang yang telah dibelanjakan, maka watak sebenar teruskan juga menjejaki dunia pra university dengan lebih jauh sehingga berupaya menamatkan penggal 1 pada penghujung 2012. Semangat perjuangan itu juga didorong oleh beberapa pihak termasuk ibu bapa dan guru. Kemudian, ada pula pegawai MPM yang memberikan taklimat berkenaan sistem baru ini. Daripada pemberitahuannya, ada suatu yang menarik pada watak sebenar sehingga tekad untuk meneruskan jalanan ini.

“STPM ialah kelulusan akademik yang diterima oleh semua Negara” katanya


Alhamdulillah, sekarang ianya sudah terjawab dalam masa lebih kurang 2 tahun. Memang tidak disangka bahawa simpang yang bukan pilihan untuk membelok ke arahnya menjadi simpang terbaik setakat ini. Itulah ketentuan ilahi, memberikan sesuatu yang tidak disangka-sangka kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Kini tibalah giliran watak sebenar untuk menentukan bidang pengajian yang khusus sekiranya diberikan rezeki untuk melangkah ke menara gading. InsyaAllah. Dahulunya, watak sebenar berasa ragu-ragu untuk membuat keputusan tentang perkara ini sewaktu mengisi borang UPU online kemasukan IPTA pelajar SPM. Tetapi sekarang, watak sebenar perlu lebih matang dalam membuat sebarang pilihan.


Terima kasih sekali lagi diucapkan kepada mereka yang telah menyokong perjuangan ini termasuklah ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, rakan-rakan, warga SKTI, warga SKPK Alma, warga SMPK Setapak dan terakhir warga SMK Tunku Abdul Malik. Selepas ini, watak sebenar tidak lagi berada dalam kehidupan yang bernama alam persekolahan sebagai seorang bernama pelajar. Sejujurnya, alam persekolahan memang indah dengan seribu kenangan pelbagai rasa suka dan duka. Terima kasih juga buat doctor-doktor serta warga perubatan yang memberi nasihat terhadap kesihatan mata ini sepanjang berada di alam persekolahan. Moga-moga kalian semua akan sentiasa diberkati Allah. Bye bye sekolah, selepas ini bolehlah datang melawat dan menggunakan tandas pelawat bukannya pelajar.

Sabtu, 15 Mac 2014

Ujian (Sekadar Pandangan)



Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Ya, semua ini adalah musibah daripada Allah, itulah kebanyakan kata-kata yang dilemparkan oleh sekumpulan mereka di luar sana.


Permulaan tahun 2014 yang sangat mencabar bagi kita rakyat Malaysia. Ketika mana kita sedang leka menyambut tahun baru 2014, ketika itu juga saki baki kesan banjir di Semenanjung Malaysia masih dirasai.
Apabila masa merangkak sedetik lagi, Malaysia pula tiba-tiba dilanda musim dingin sehingga suhu boleh mencecah 17 darjah celcius di beberapa kawasan pada waktu pagi. Setelah itu, cuaca yang amat-amat menerujakan sekalian mereka bertukar menjadi panas sehingga menyebabkan kemarau yang melampau. Kesan kemarau ini cukup dibimbangi dengan mengakibatkan kemerosotan paras air di empangan-empangan terlibat. Tidak cukup dengan itu, jerebu yang begitu teruk pula menyusur menyelebungi hamper semua ruang udara Semenanjung Malaysia. Fenomena yang berlaku dalam tempoh terdekat ini memang menjejaskan kehidupan seharian manusia terutamanya di Lembah Klang sana.
Sementara di Malaysia timur, mereka didatangi dengan ujian banjir di beberapa tempat sebelumnya. Agak menghairankan juga fenomena banjir yang berlaku di sana kerana bencana banjir bukan menjadi kebiasaan terjadi di kawasan tersebut.
Setelah itu, muncul lagi suatu kejadian yang paling mendapat tumpuan di Malaysia mahu pun di dunia. Kehilangan pesawat Syarikat Malaysia Air Line, MH370 penerbangan dari Kuala Lumpur Bejing masih menjadi misteri hingga setakat ini walau pun sudah seminggu berlalu.


Ramai jugalah yang berpendapat rakyat kini sudah taasub dengan kehidupan dunia. Tidak kurang juga mereka yang melatah di atas kejadian kejadian demikian sehingga mereka dengan tanpa berfikiran terbuka serta dorongan agama membuat spekulasi spekulasi kosong. Tidak terkecuali juga mereka yang melatah di atas kejadian kejadian tersebut dengan menyalahkan pihak pihak yang bertanggungjawab. Walhal, mereka itu hanyalah seorang manusia biasa yang pandai berkata-kata, sama seperti penulis ini.


Ya, manusia memang pandai berkata-kata, namun tidak pandai untuk bertindak. Manusia memang pandai menyalahkan orang lain, namun terasa segan untuk menyalahkan diri sendiri. Kesan jerebu yang begitu teruk, memang ianya dikatakan musibah daripada Allah. Disebabkan ianya atas nama musibah, lalu manusia yang pandai berkata dan berhukum itu menuding jari kepada pihak pihak yang terlibat. Kononnya, pihak pihak inilah yang telah melakukan dosa. Dosa dosanya yang lama.

“jerebu dah melanda, ini musibah Allah. Lihatlah wahai pihak bertanggungjawab. Tidak cukupkah dosa yang kau orang buat?”
Kata manusia itu di pinggir hutan. Tangannya memegang sepuntung rokok yang masih berbaki bara apinya yang sudah selesai dihisap, kemudian manusia itu melemparkannya ke semak-samun yang berhampiran.

Cukuplah dengan contoh ini. Rasanya anda di luar sana sudah pun memahaminya.


Memang segala yang berlaku ini adalah musibah daripada allah. Pastinya, di sebalik musibah itu ada sebab musababnya. Sekiranya sebab musabab itu adalah seperti manusia yang bermonolog di atas, maka itu boleh dielakkan selagi mana diizinkan oleh Tuhan. Oleh itu, apa-apa musibah yang mendatang, tidak usahlah kita menyalahkan sesiapa pun dengan ada niat ingin menjatuhkan pihak pihak tertentu. Anggaplah dengan musibah yang berlaku itu, walau pun dianggap tiada kaitan dengan diri, seharusnya atau setidak-tidaknya bermunasabahlah diri yang diri itu pun ada dosanya juga.
Ingatlah, apabila Allah menurunkan musibah kepada mereka yang dikehendakiNya, maka kesan musibah itu turut juga terkena tempiasnya kepada yang lain. Oleh itu, sama-samalah ditimpa musibah. Sekiranya itu berlaku, renunglah dosa diri sendiri sebelum merenung dosa orang lain.


Yang pasti, berhentilah membuat sebarang spekulasi yang berbaur berita palsu, Berhentilah membuat sebarang spekulasi yang bertujuan untuk menjatuhkan orang lain. Itu lebih penting. Ujian Allah bukan alat permainan kau. Sekian.


(Sekadar pendapat dan pemikiran yang tidak sempurna)

Sabtu, 8 Mac 2014

PBS Dan Penggal 2 (secebis pengalaman)



Assalamualaikum dan salam bahagia.


Terbitan watak sebenar untuk kali ini khusus kepada calon STPM khasnya buat junior junior watak sebenar di sekolah tu. Pastinya anda tercari-cari bingkisan pengalaman melaksanakan tugasan PBS daripada pelajar-pelajar kumpulan pertama STPM baharu. Hingga setakat ini pun, watak sebenar menerima pertanyaan berkenaan hal ini daripada beberapa orang rakan junior di sekolah. Maklumlah, penggal 2 memang suatu zon yang membebankan. Anda perlu melaksanakan tugasan PBS dan pada masa yang sama bersiap sedia menghadapi peperiksaan bertulis penggal 2 pada bulan Mei. Lagi lagi menyeksakan jikalau ada di antara kalian yang mengambil peperiksaan  MUET bulan Mac. Oleh yang demikan, penting bagi anda semua untuk melakukan pengurusan masa dengan efektif serta berkualiti.


Sehubungan itu, watak sebenar terpanggil untuk menceritakan serba sedikit pengalaman menghadapi kedua-dua kerja yang wajib disempurnakan oleh pelajar penggal 2 ini. Sebenarnya, watak sebenar juga gagal dalam menguruskan masa dengan baik dalam menyempurnakan kedua-dua tugasan ini. Kumpulan kami adalah kumpulan pertama dan pembimbingnya juga masih kurang berkemahiran. Namun, apa yang watak sebenar boleh simpulkan, jangan terlalu fanatic terhadap tugasan PBS sehingga anda melupakan persedian menghadapi peperiksaan penggal 2. Malangnya, keadaan inilah yang terjadi kepada watak sebenar setahun yang lalu.


Maklumlah, tugasan PBS ini baru sahaja diperkenalkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia kepada calon STPM baharu. Memang menjadi lumrahlah sesuatu perkara yang baru, ingin dilangsaikan dengan sempurna. Didorong pula oleh beberapa pihak yang mengatakan, “kumpulan pertama perlu menjadi contoh kepada yang lain”, situasi itu sudah memaksa kami untuk berkerja keras demi PBS. Tambahan pula, tugasan PBS ini adalah baru, sewajarnya kami bertungkus lumus mencari maklumat dan mencipta kaedah sendiri untuk melaksanakan PBS dengan baik sebelum berdepan pula dengan peperiksaan. Malangnya, dalam perjuangan itu, ada yang tertewas dan ada juga yang kecewa. Tidak ketinggalan juga kepada mereka yang masih berusaha. Yang tertewas itu telah meninggalkan kami. Yang kecewa itu kembali bertenaga. Yang  masih berusaha itu sudah beberapa kali dikecewakan. Namun, watak sebenar masih menyertai yang lain untuk meneruskan perjuangan.


Watak sebenar tidaklah berapa baik dalam menguruskan masa sewaktu itu. Hal ini kerana, watak sebenar memberikan tumpuan lebih kepada PBS. Hingga lebih kurang 2 minggu peperiksaan penggal 2 akan tiba, barulah watak sebenar sedar tentang cabaran kedua itu sudah menanti. Waktu itu, watak sebenar hanya mengharapkan yang terbaik untuk diri dan cuba melepasi sasaran memperoleh keputusan 3.5 pointer ke atas. Dengan doa dan ikhtiar yang berbaki tempoh masa itu, Alhamdulillah! Sasaran itu Berjaya dilepasi. Namun, tidaklah sebaik keputusan penggal 1. Kepada junior junior tu, jangan ikut kaedah ini. Kaedah ini memang berisiko tinggi kerana anda memberikan yang terbaik kepada satu satu kerja sahaja dan kerja yang lain anda seperti membaling dadu menenun nasib.


Oh ya. berkenaan dengan tugasan PBS itu, apa yang dapat watak sebenar perkatakan, perancangan itu adalah punca segala-galanya. Pengalaman watak sebenar melakukan tugasan PBs ini, watak sebenar banyak memikirkan soal perancangan. Malah, watak sebenar juga memikirkan perancangan kedua dan ketiga sekiranya gagal pada perancangan pertama. Tidak kiralah esei ilmiyah atau kajian ilmiyah, watak sebenar akan memilih satu kajian yang benar-benar terdapatnya permasalahan atau isu. Dari situ, watak sebenar cuba untuk mengaitkannya dengan objektif kajian yang ingin dibentuk. Sekiranya sepadan, watak sebenar akan memikirkan soal kaedah kajian yang paling berkesan. Kaedah kajian haruslah dipilih dengan bijak. Kaedah kajian inilah yang mempengaruhi anda sama ada anda dibebankan dengan masa, tenaga atau kepala otak. 3 elemen ini amat-amat penting untuk difikirkan dalam minda. Biarkan ia berpusing-pusing di dalam minda kerana ia akan menghasilkan satu idea yang akhirnya diterjemahkan sebagai suatu keputusan yang tetap.


Setelah anda yakin dengan keputusan itu, bolehlah anda memulakan tugasan PBS yang dipertanggungjawabkan. Perancangan jenis ini memang agak lama. Namun, jangan risau, sekiranya anda gagal pada perancangan pertama, perancangan kedua dan ketiga masih menanti. Oleh itu, tidaklah anda seperti sebuah kereta yang tersesat untuk mencari destinasi yang ingin ditujui. Sekiranya pemandu kereta itu sudah melihat peta, kemudian menyelidik peta dan mengenal pasti jalan jalan yang bakal dilalui. Maka, insyaAllah lancer perjalanan itu. Setelah itu, sekiranya anda ingin melakukan sedikit demi sedikit tugasan PBS itu, bolehlah anda melakukannya pada hasil dapatan kajian. Hal ini kerana anda telah pun memperoleh semua maklumat. Apa yang perlu hanyalah untuk memproses, mendata, mendokumentasi atau menghuraikan maklumat. Situasi ini tidak ada bezanya dengan pembinaan rumah. Sekiranya bahan-bahan binaan sudah siap tersedia, pembinaan rumah itu bolehlah disiapkan dari hari ke hari.


Dalam melaksanakan tugasan PBS ini, ada suatu perkara yang penting. Perkara ini telah pun menjerat watak sebenar sehingga melupakan watak sebenar pada peperiksaan. Mungkin juga ia telah menjerat mereka yang lain dalam kumpulan pertama STPM baharu. Perkara yang dimaksudkan ialah fanatic. Sikap fanatic untuk menyempurnakan tugasan PBS memang benar-benar mengundang padah. Menyempurnakan serta menyiapkan adalah 2 perkataan yang berbeza yang juga memberikan maksud yang berbeza. Akan datang suatu zaman kepada anda nanti setelah anda menyiapkan tugasan PBS, setelah anda lega dan teruja dengan sebuah fail tebal di tangan anda, setelah anda mula ingin memikirkan soal peperiksaan, cikgu akan memberitahu anda supaya menyempurnakan tugasan PBS ini pula. Maksud cikgu itu adalah anda perlu memeriksa struktur ayat, ejaan ayat, menambah kekuatan pada fakta, mengindahkan lagi paparan maklumat, melakukan slide share kekreatif yang mungkin. Pendek kata, selagi ada masa untuk PBS anda, selagi itulah penambahbaikan demi penambahbaikan dicadangkan oleh cikgu anda atau pun lahir daripada anda sendiri. Sedangkan, sebuah fail PBS anda itu sudah cukup baik untuk disemak. Sudah sempadan dengan permarkahan cemerlang. Namun, disebabkan lumrah manusia untuk cuba lebih baik selagi ada upaya dan masa, selagi itulah proses itu tidak akan berakhir. Manusia memang begini, sudah memperoleh yang sempurna, akan dicari lagi yang lebih sempurna. Dalam perjuangan anda untuk memperoleh yang sempurna pada tugasan PBS anda, anda dengan perlahan telah melupakan soal peperiksaan penggal 2. Akhirnya, anda terpaksa berserah juga dan tidak mahu lagi mengindah-indahkan serta mengkreatif-kreatifkan kerja anda kerana sudah menyedari peperiksaan penggal 2 sudah pun tinggal lebih kurang 2 minggu lagi. Situasi inilah yang terjadi kepada watak sebenar setahun yang lalu. Mungkin juga kepada mereka yang lain.


Oleh yang demikian, penting bagi watak sebenar memberitahu akan perkara ini. Jika diimbas sejenak, tugasan PBS memang tidak ada pengakhir penyempurnaannya. Yang sempurna adalah Allah taala. Lantaran itu, anda haruslah bijak mengatur masa untuk menyiapkan tugasan PBS dan pada masa yang sama bersedia untuk peperiksan. Setahun lalu, watak sebenar juga pernah mengatakan PBS menyusahkan. Namun, kitalah yang telah menyusahkan kerja itu. Ianya sudah cukup baik. Namun, atas sifat manusia yang lemah, kita masih bersusah-susah diri untuk menjadikannya lebih baik dan lebih baik. Mudah-mudahan anda dipermudahkan oleh Allah. Sekian.


(Sekadar pendapat dan pemikiran yang tidak sempurna)