WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Khamis, 26 Jun 2014

Cerita Kem Watak Sebenar

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sudah lama agaknya watak sebenar tidak menerbitkan apa-apa bahan dalam blog ini.


Awal bulan Jun tadi iaitu pada 8 sehingga 22 Jun, watak sebenar telah menyertai sebuah kem pembangunan pelajar selama dua minggu di salah sebuah instituti pengajian tinggi di Kuala Lumpur bersama-sama dengan pelajar-pelajar lepasan SPM dan StPM 2013.
Seramai 82 peserta telah menghadiri kem ini yang datang dari pelbagai latar-belakang pendidikan, negeri dan keluarga. Sewaktu kami bersemuka dan berkenalan dalam proses ingin check-in untuk masuk ke tempat penginapan tempoh hari, kami mengambil kesempatan untuk mengenali dengan lebih rapat antara satu sama lain. Sebelum ini pun kami belum pernah berjumpa. Setelah berkenalan, barulah watak sebenar mengetahui serba sedikit akan latar belakang pendidikan rakan-rakan baru watak sebenar itu. Ada di antara mereka dari MRSM, ada di antara mereka dari sekolah sains serta sekolah agama, ada juga yang dari sekolah berasrama penuh. Mereka datang dari segenap perusuk Negara termasuk dari utara dan selatan sehingga ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.


Keesokan harinya, kami dibawa ke kampus IPT tersebut untuk mendengar taklimat daripada pihak penganjur mengenai perjalanan dan aktiviti yang disusun mereka selama dua minggu kami berada di sini. Seramai 5 orang kakitangan daripada pihak penganjur menyertai kami dan memberikan ucapan selamat datang serta taklimat mengikut bahagian tugasan masing-masing. Sepanjang hari Isnin itu, kami  hanya mendengar ucapan dan melakukan beberapa aktiviti sekiranya diminta untuk melakukannya. Bagi watak sebenar, aktiviti-aktiviti yang dirancang pada hari pertama itu adalah lebih kepada sesi bersua kenal dan untuk mengenali dengan lebih rapat di antara para peserta dengan para peserta serta para peserta dengan pihak penganjur. Walaupun sesetengah orang menganggap sesi seumpama ini bersifat bosan. Namun, sesi inilah yang watak sebenar anggap paling penting kerana kita akan saling memerlukan di antara satu sama lain sepanjang sesuatu program itu dijalankan.
Kami juga dibekalkan dengan beberapa keeping kupon untuk keperluan makan sarapan pagi dan makan tengah hari di cafeteria kampus tersebut. kupon berjumlah rm15 untuk dua kali makan itu akan diagihkan keppada para peserta pada setiap hari. Sementara  sesi makan malam pula disediakan di tempat penginapan. Jarak di antara tempat penginapan kami dengan kampus IPT tersebut adalah lebih kurang 1.5 KM dengan melalui jejantas dan laluan pejalan kaki yang disediakan. Sebab itulah hamper setiap kali kami berulang-alik pergi dan balik dari kedua-dua tempat ini, hujan sering membasahi baju kami dan ia akan kelihatan lebih kuyup apabila telah menamatkan perjalanan sejauh 3 KM.


Satu perkara yang menarik bagi watak sebenar mengenai kem pembangunan pelajar ini adalah terdapatnya aktiviti oud-door di antara peralihan minggu pertama dengan minggu kedua iaitu pada hujung mminggu.
Pada hari jumaat 13 Jun sebaik sahaja kami menunaikan solat Jumaat, kami telah dibawa ke sebuah lagi lokasi baru. Pada hujung minggu itu, kami telah menyertai aktiviti yang bertemakan riadah pula di salah sebuah kem rekreasi yang terletak di daerah Semenyih, Selangor. Setelah kembali dari masjid dan berkemas-kemas membawa barangan keperluan yang telah dimaklumkan, kami terus sahaja menaiki dua buah bas persiaran yang telah disediakan. Perjalanan itu tidaklah begitu jauh dan hanya memakan masa lebih kurang 1 jam setengah.


Bagi watak sebenar, ia adalah sebuah pengalaman yang baru dalam menyertai aktiviti-aktiviti yang dirancang sepanjang 3 hari 2 malam kem out-door ini dijalankan. Sebelum ini pun watak sebenar telah banyak menyertai kem-kem rekreasi dan turut mencuba beberapa aktiviti lasak sewaktu bersekolah menengah dahulu. Namun, di kem yang watak sebenar sertai baru-baru ini terdapatya sebuah aktiviti yang menghadiahkan pengalaman baru bagi watak sebenar dan juga pengalaman baru bagi sebahagian besar rakan-rakan seperjuangan. Aktiviti night trekking di kem ini dianggap paling istimewa bagi watak sebenar dalam senarai kem-kem yang pernah watak sebenar lalui. Sebelum ini, watak sebenar ada melakukan jungle trekking sewaktu di tingkatan 1 dan tingkatan 5. Tetapi kembara hutan itu hanyalah dilakukan pada waktu siang. Berbeza dengan kembara hutan yang watak sebenar tempuhi baru-baru ini kerana kembara hutan ini dilakukan pada waktu malam dan ianya berlarutan sehingga ke tengah malam.

Kami dipecahkan kepada 9 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 9 orang ahli. Dalam aktiviti night trekking ini, setiap kumpulan dikehendaki memasuki hutan satu per satu dan perlu berikhtiar mencari jalan keluar dari hutan itu dengan kekuatan fizikal dan mental yang dimiliki oleh ahli-ahli kumpulan. Bagi memudahkan kami untuk mencari jalan keluar, pita-pita pelekat telah ditampalkan pada pokok-pokok sepanjang jalan yang betul dan kami hanya perlu mengikut jalan-jalan yang hanya mempunyai pita-pita pelekat sahaja yang ditampalkan pada pokok-pokok sekitarnya. Sekiranya kami menemui pokok yang berpita pelekat, maknanya itu adalah jalan yang betul, jalan yang tidak membawa para peserta tersesat ke dalam hutan yang lebih tebal di bawah pandangan bulan purnama. Sekiranya tidak, mungkin kami gagal untuk menemui jalan keluar. Jarak antara pokok-pokok yang berpita pelekat itu adalah lebih kurang 3 ke 5 meter.
Kami juga dibekalkan dengan tiga buah lampu suluh. Kumpulan watak sebenar menggunakan bantuan lampu suluh di hadapan di tengah dan di belakang. Kami juga ditugaskan untuk mengira jumlah pita pelekat yang ditampalkan pada pokok-pokok sekitarnya selain perlu membawa bendera kumpulan. Jarak di antara masa pelepasan kumpulan dengan kumpulan yang lain adalah panjang. Hal ini adalah untuk mengelakkan satu kumpulan itu bertemu dengan kumpulan yang berada di hadapannya.
Sepanjang watak sebenar berada di dalam hutan tersebut, pelbagai bentuk muka bumi hutan perlu diharungi. Kami terpaksa mendaki bukit yang hamper menegak, menuruni cerun bukit yang dalam, menyeberangi sungai dan berhadapan dengan dua tiga simpang jalan yang berada di tengah hutan tersebut. Ada kalanya kami perlu menghadapi bukit yang berbatu dan licin dan ada kalanya kami perlu berhadapan dengan rintangan pokok-pokok buluh yang melintang. Ada juga laluan yang mana di persekitarannya hanya terdapat pokok-pokok berduri selain perlu melalui satu kawasan yang berlumpur. Gigitan nyamuk dan pelukan keringat pada tubuh sewaktu itu sudah tidak dipedulikan lagi.

Sebelum night trekking itu diadakan, faci-faci yang bertanggungjawab ada memberitahu langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya dipatuk oleh ular, disondol oleh babi hutan dan sebagainya. Tambah mereka lagi, lampu suluh hanya boleh dipancarkan hanya setakat paras pinggang. Hal ini untuk mengelakkan tarikan cahaya oleh binatang liar. Jika dipancarkan terlalu tinggi pula, sesuatu yang ??? akan kelihatan di rimbunan daun-daun pokok. Tambah mereka lagi, kami perlu berjalan seperti ketam sekiranya menuruni cerun bukit yang curam serta licin dan elakkan daripada terlalu banyak menggoyangkan pokok sewaktu berpaut dan jangan sesekali menjerit. Sekiranya kami benar-benar menyedari yang kami sudah sesat, faci-faci tersebut menasihatkan supaya menunggu sahaja di kawasan itu dan bantuan pihak ranger akan sampai.


Sewaktu itulah segala nilai-nilai murni yang telahpun dipelajari diperlukan serta dipraktikan. Nilai kerjasama penting bagi melancarkan perjalanan ahli-ahli kumpulan sebagai satu pasukan. Nilai setia diperlukan untuk sentiasa mendengar arahan ketua sekiranya wajar diikuti. Nilai kebijaksanaan diperlukan bagi membuat keputusan yang tepat dan bijak dalam memilih simpang jalan-jalan yang membawa ke jalan untuk keluar hutan sewaktu berhadapan dengan pelbagai pilihan jalan. Nilai keberanian diperlukan bagi memotivasikan diri supaya diri berupaya melakukan apa sahaja  tanpa diganggu oleh perasaan takut dan seram apabila berada di tengah hutan. Nilai beriman pula diperlukan bagi memohon perlindungan daripada Allah supaya tidak diganggu oleh binatang liar mahupun binatang berbisa.

Aktiviti night trekking itu memakan masa hamper 3 jam. Kami memulakan aktiviti itu pada jam 9.30 malam dan berakhirnya lebih kurang jam 12.30 tengah malam. Satu aktiviti yang boleh dikatakan mencabar dan meletihkan di samping memerlukan pengorbanan dari setiap ahli kumpulan.
Banyak lagi aktiviti riadah yang watak sebenar serta rakan-rakan lalui selama berada di kem rekreasi tersebut. Di antaranya ialah exploras, persembahan malam muhibbah dan praktikal cara-cara mendirikan solat dengan sempurna serta perbezaan pendapat di antara pergerakan dalam solat. Selama 3 hari 2 malam berada di situ, memang tidak putus-putus kami berhadapan dengan satu aktiviti ke satu aktiviti yang lain. Kami juga berpeluang untuk mandi sungai dan merasai nikmat air sungai yang dingin dan bersih. Bagi watak sebenar, ianya amat memenatkan tetapi disebabkan adanya pengalaman baru dan memperoleh banyak manfaat, maka kepenatan itu bagaikan tiada erti.


Kami kembali ke tempat penginapan di Kuala Lumpur pada tengah hari Ahad. Kemudian, kami meneruskan kembali program-program yang telah sedia dirancang di kampus IPT tersebut sehinggalah menjelangnya hari Sabtu, 21 Jun yang mana tarikh terakhir kem pembangunan pelajar itu dilangsungkan.


Sebelum kami berangkat pulang ke negeri masing-masing, kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di salah sebuah pusat beli-belah berhampiran untuk menikmati detik-detik terakhir perjumpaan kami di kem tersebut. Watak sebenar juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama yang lain di sudut-sudut yang menarik di dalam pusat beli-belah itu. Ada di antara kami yang melayari detik=detik terakhir itu dengan bermain boling dan ada juga yang menonton filem di pawagam. Watak sebenar dan yang lainnya pula meraikan detik-detik itu dengan menikmati juadah makanan bersama-sama. Sesampainya di tempat penginapan, watak sebenar tidak melepaskan peluang untuk mandi kolam di hari terakhir bersama-sama yang lain yang ketika itu sudahpun berada di situ. Lebih kurang 45 minit, kami kembali ke bilik masing-masing untuk berkemas-kemas barang. Kami perlu check-out dari tempat penginapan itu keesokan paginya di antara jam 10.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari.


Rata-rata pengisian dan ilmu yang disampaikan sepanjang kem ini amat baik dan berfaedah kepada watak sebenar. Bermula dari bridging programme sehinggalah ke hari persembahan sketsa Bahasa Inggeris yang bertemakan relationship Jumaat lalu, semuanya amat memuaskan hati. Dalam kem pembangunan pelajar ini, watak sebenar dan sebahagian rakan-rakan yang lain telah menimba satu pengalaman yang baru juga. Sepanjang kami berada di kampus IPT ini, kami digalakkan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris daripada perbualan kosong sehinggalah ke acara formal. Segala bentuk aktiviti seperti taklimat, ceramah, pengajaran di kelas mahupun aktiviti perbincangan dan permainan para peserta sememangnya dituturkan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. Bagi watak sebenar, ianya suatu perkara yang baik dan meningkatkan keyakinan watak sebenar untuk berkomunikasi dalam bahasa kedua itu secara berterusan.


Watak sebenar amat berasa bertuah kerana memperoleh rakan-rakan yang baru setelah menyertai kem ini. Terima kasih kepada pihak penganjur dan jutaan penghargaan juga kepada faci-faci yang bertanggungjawab mengendalikan kami sewaktu berada di kem rekreasi hujung minggu yang lalu.
Terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu watak sebenar sepanjang dua minggu berada di kem tersebut. Semoga kalian Berjaya menterjemahkan cita-cita kalian menjadi reality. Selepas ini, ada di antara kita yang akan melanjutkan pengajian di peringkat asasi, diploma, ijazah, A-level atau IB, diharapkan tali persahabatan kita dapat dikekalkan untuk sentiasa erat. Kepada anda, terima kasih kerana sudi membaca cerita ini.

Tiada ulasan:

Catat Komen