Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang melawati halaman ini. Ini Mat Santun ada segmen baru yang ingin diperkenalkan khas untuk anda yang dahagakan perubahan. Segmen yang bertemakan perkongsian ilmu mengharapkan agar Mat Santun dan anda dapat berkolaberasi dalam berkongsi ilmu yang pelbagai asalkan selamat diamalkan serta bermanfaat. Untuk terbitan pertama bagi segmen ini ialah berkenaan dengan ilmu jual beli. Mat Santun bukannya ingin mengajar tentang stratergi berjual beli, tetapi sekadar ingin memberikan konsep jual beli menurut syariat Islam. Nak tahu lebih lanjut, bacalah…
Jual beli atau mengikut laras ekonomi dikatakan berdagang. Menurut Syariat Islam jual beli ialah menukar harta yang mempunyai nilai mengikut cara-cara tertentu yang diharuskan syarak dengan lafaz ijab dan qabul. Bagi laras bahasa pula, jual beli bermaksud menukar sesuatu barang dengan barang yang lain. Jika dahulu, masyarakat menjalankan aktiviti jual beli dengan menggunakan system berter. Tetapi kini, pengenalan system kewangan telah mengubah cara untuk berjual beli.
Tidak kira pendekatan jenis apa pun yang digunakan, selagi tidak bercanggah dengan Syariat Islam jual beli tetap merupakan satu ibadah bagi Umat Islam. Namun, tahukah anda? Apa yang terkandung di dalam konsep jual beli mengikut laras Islam? Terdapat beberapa aspek yang perlu Umat Islam ketahui dalam urusan yang berkaitan dengan jual beli ini. Pertamanya, perlu mempunyai definesi bagi perkataan “jual beli” itu sendiri. Tujuannya adalah untuk kita memahami lebih lanjut apa yang dikatakan jual beli itu. Memang perkara ini selalu dilakukan sehari-harian, tetapi, tahukah anda? Sekiranya jual beli yang kita lakukan itu tidak memenuhi konsep dan syarat Islam, jual beli itu akan diragui sifat-sifatnya mengikut syarak. Sekali gus, ibadah itu bakal dikategorikan kepada jenis wajib, sunat, harus, makhruh dan haram. Oleh itu, aspek ini tidak boleh dipandang ringan.
Aspek kedua, Umat Islam perlu mengetahui dalil-dalil yang berkaitan sama ada dari Firman Allah SWT atau Hadis Rasulullah. Di sini, Mat Santun ingin memberikan sebuah dalil yang dipetik melalui Firman Allah SWT. Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 16 yang bermaksud:
Merekalah orang-orang yang membeli kesempatan dengan meninggalkan petunjuk. Maka, tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka peroleh petunjuk hidayah.
Selain itu, Umat Islam terutamanya perlu mengetahui serta mengesan hukum-hukum jual beli yang sememangnya akan berubah mengikut situasi-situasi tertentu. Untuk hukum pertama, jual beli menjadi wajib apabila penjual menjual barangnya yang amat diperlukan oleh pembeli itu atas sebab-sebab tertentu. Misalannya, menjual makanan kepada pembeli yang sedang kelaparan. Untuk kedua, jual beli menjadi sunat sekiranya penjual menjual barangan keperluan harian. Contohnya, menjual barangan basah, pakaian, keperluan asas dan barang yang sesifat dengannya. Jual beli menjadi makhruh pula adalah disebabkan penjual itu berurusan setelah berkemundang azan pertama di hari jumaat yakni azan Subuh. Sementara haram pula apabila penjual itu meneruskan jualannya setelah berkemundangnya azan kedua di hari Jumaat yakni azan Zohor. Sekiranya mana-mana penjual Islam yang berbuat demikian pada kedua-dua tempoh masa itu, nescaya urusan jual belinya akan jatuh pada hukum-hukum tertentu. Sebaliknya, mereka perlulah menunaikan Solat Fardhu terlebih dahulu dengan melupakan seketika urusan berdagangs. Dan, pada asasnya, jual beli ini ialah harus hukumnya.
Konsep seterusnya ialah pengetahuan mengenai rukun dan syarat-syaratnya. Antara rukun jual beli yang terkandung dalam ibadah jual beli ini termasuklah
1. Penjual.
2. Pembeli.
3. Barang.
4. Harga
5. Lafaz ijab dan qabul.
Jika menyebut soal rukun-rukunnya, pasti terdapat pula syarat-syarat bagi setiap rukun-rukun itu. Di sini, Mat Santun ingin membincangkan mengenai 3 syarat sahaja iaitu syarat penjual/pembeli, syarat barang dan syarat lafaz ijab dan qabul. Pertamanya, bagi syarat penjual dan pembeli, sebahagian perkara-perkara yang perlu ada adalah seperti berikut.
1. Penjual/pembeli mestilah cukup umur dan baligh.
2. Penjual/pembeli mestilah kedua-duanya waras.
3. Penjual/pembeli adalah bebas daripada sebarang ikatan dan bebas bertindak untuk emilih.
4. Pembeli mestilah beragama Islam jika barang yang ingin dijual ialah Al-quran dan Hadis.
5. Tidak boleh menjual senjata kepada musuh Islam.
6. Penjual/pembeli mestilah kedua-duanya merdeka.
Bagi syarat barang pula, antaranya termasuklah
1. Barang yang dijual mestilah bersih dari segi syarak.
2. Tidak sah menjual bangkai, najis atau barang yang mencampur dengannya. Sebagai contohnya, menjual minyak wangi yang mencampur dengan najis.
3. Barang mestilah bermanfaat.
4. Penjual/pembeli mesti mengetahui jenis, kadar dan sifat barang
5. Barang mestilah hak penjual atau wakil penjual.
Sementara untuk syarat ijab dan qabul pula, antaranya adalah seperti
1. “Semasa akad dilafazkan” Tidak boleh diselangi dengan perkataan lain yang tidak ada kaitan dengan ijab dan qabul.
2. Tidak boleh diam dalam tempoh masa ijab dan qalbu.
3. Makna ijab dan qabul mestilah sama walau pun lafaznya berbeza. Contohnya, “aku jual barang ini dengan harga rm200.” atau “aku jual barang ini dengan harga 20000 sen.”
4. Tidak boleh dihadkan tempoh masa sewaktu ijab dan qabul.
5. Tidak boleh ada taklid atau bersyarat dalam ijab dan qabul. Misalnya, “aku jual rumah ini dengan syarat engkau berikan kereta itu” Atau “aku jual barang ini dalam tempoh 2 hari”
Seterusnya, dalam konsep jual beli ini perlu mempunyai hikmahnya. Dengan kata lain, munafaat daripada aktiviti ini perlul ada. Sebagai Umat Islam, kita perlu mengetahui mengapa diharuskan jual beli ini pada asasnya. Antara lainnya adalah kerana Allah SWT menjadikan fitrah manusia itu saling bergantungan antara satu sama lain. Kesannya, manusia akan sentiasa berhubung dan mewujudkan sebuah masyarakat yang akhirnya membentuk penduduk Negara yang aman dan sejahtera. Diharapkan agar kita memperoleh manfaat dan pengetahuan melalui perkongsian ilmu ini. Sebagai renungan bersama, apakah jenis jual beli sah tetapi haram serta jual beli tidak sah dan haram? Sama-samalah kita fikirkan.
Kesimpulannya, Umat Islam perlulah mengetahui serta memahami konsep jual beli ini. Apatah lagi zaman sedang mengorbit pantas ke gerbang dunia tanpa sempadan serba moden. Impaknya, muncullah jualan-jualan baru yang mempraktikan pendekatan-pendekatan moden seperti jualan prabayar, jualan pascabayar, jualan kredit, jualan konsainer dan lain-lain lagi. Persoalannya? Adakah semua jenis jualan ini selamat diamalkan oleh Umat Islam? Jawapannya tidak pasti. Namun, yang pasti, selagi mana tidak bercanggah dengan konsep jual beli yang dibincangkan tadi, maka jualan-jualan itu Selamat diaplikasikan dalam kehidupan seharian Umat Islam. Jika dilihat dalam konteks perkembangan perdagangan Islam, jualan-jualan jenis ini sebenarnya telah sedia wujud dan dipraktikan serta digunakan sebagai sebuah perkhidmatan dalam system perbankan Islam. Antaranya termasuklah Bai Bithaman Ajil, Bai At Takjiri, Bai At Salam, Bai Muattah, Al-wadiah, Al-mudharabah, Al-musyarakah dan banyak lagi. Konsep dan pengenalannya lebih kurang sama dengan jualan-jualan konvensional tetapi namanya sahaja yang berbeza. Pendek kata, apa jenis jualan sekali pun boleh diamalkan dan diharuskan oleh syarak, asalkan tidak bercanggah dengan konsep serta Syariat Islam yang sememangnya telah menggariskan panduan mengenai jual beli ini. Akhir kata, berjual belilah kita selagi mana diharuskan syarak.
Seindah bahasa, sesantun bicara, semurni pekerti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan