Selamat sejahtera Mat Santun tujukan khas buat anda semua. Sudah lama agaknya kita tidak mengasah fikiran dengan menjual pantun teka-teki. Ok la, bagi anda yang dahagakan terbitan jenis ini, pastinya segmen Karya oh Karya kali ini tidak mengecewakan anda. Pantun kita kali ini bertemakan dunia di mana soalan-soalan yang berbentuk pantun ini akan berkisarkan tentang dunia. Ingin mencabar minda anda? Cubalah…
Pantun 6: dunia/globalisasi
Merangkumi pelbagai aspek seperti sejarah, kawasan, Negara, monomen, budaya, pertubuhan dan lain-lain lagi.
Burung Merbah si Burung Tempua,
Rupanya manis bulu berlapis,
Dahulu tanah berpecah dua,
Timur komunis barat kapitalis.
Pucuk Janggus tumbuh melebat,
Lalu dipijak si anak tapir,
Bukan kubus bukannya bulat,
Gagah bertapak di padang pasir.
Simpati sekali si anak rusa,
Kakinya cedera terkena duri,
Berdiri sejoli Tegak bersama,
Binaan Negara di zaman ini.
Pergi Makasar berdagang cincin,
Cincin diolah dari berlian,
Sibuk bertengkar di tempat lain,
Kota berkawah penduduk terkorban.
Tanam lengkuas di tepi permatang,
Lalu digali si tikus kelabu,
Geometrinya luas bukannya panjang,
Punca rezeki Angkor dahulu.
Ikan Kelah si Ikan Baung,
Berenang ke paya mencari makanan,
Mediterranean, merah dihubung,
Singkatkan masa ke kiri dan kanan.
Penat melangkah berehat di gua,
Cuacanya dingin menjemput lena,
Harimau, gajah, garuda dan singa,
Bersama yang lain sepuluh ahlinya.
Dari Keledang ke taman rimba,
Bersama teman ingin bercuti,
Setiap yang tandang kibarkan bendera,
Rekod kebanggan di puncak tertinggi.
Hijaunya sawah heningnya kampong,
Tempat kerinduan perantau di kota,
Dari bawah, kelihatan terapung,
Menjadi tarikan pelancong dunia.
Jika anda mengetahuinya, silalah uji minda. Pada terbitan-terbitan seterusnya, Mat Santun akan memberikan jawapannya. Sekian dahulu daripada Mat Santun. Selamat menjawab. Respon daripada anda amatlah dihargai. Terima kasih
Seindah bahasa, sesantun bicara,semurni pekerti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan