Assalamualaikum dan salam merdeka kepada sesiapa yang masih lagi mengikuti Halaman Santun-Santai. Terbitan kali ini adalah untuk memberi ucapan kemerdekaan sebagai tanda peringatan kepada tarikh keramat Negara.
31 Ogos, 1957 merupakan sebuah tarikh yang penting dan bermakna buat semua rakyat Malaysia. Bermula tarikh itulah Negara kita dapat dibangunkan dan dimajukan sama ada dari sudut pembangunan lahiriah mahu pun rohaniah. Yang lebih bersejarah, bermula tarikh itulah juga negara kita atau Persekutuan Tanah Melayu ketika itu telah mendapat kebebasan daripada penjajahan Britain. Dengan semangat juang serta perasaan cinta akan Negara yang diilhamkan oleh perajurit-perajurit terdahulu, maka pada hari ini kita mampu menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera tanpa adanya sebarang ancaman kuasa asing.
Jika dahulu, Portugis menjajah Melaka pada 1511 dan bertindak menyebarkan agama Kristian, menguasai perdagangan rempah di samping mencengkam kawasan Selat Melaka yang sememangnya menjadi pusat ekonomi dunia sewaktu dahulu. Selepas itu, Belanda pula mengambil tempat menguasai Kota A Famosa selanjutnya menyebarkan pengaruh. Hasil Perjanjian Inggeris-Kedah dan Perjanjian Inggeris-Belanda membawa pula kedatangan Britain di Tanah Melayu. Orang-orang putih telah menindas penduduk tempatan dengan mengenakan cukai yang tinggi, memaksa kerahan tenaga serta membonekakan raja-raja Melayu. Pada tahun 1942 hingga 1945 pula, Negara Jepun pula dengan agenda mereka tersendiri menjajah Tanah Melayu. Propaganda yang digunakan seperti “Asia Untuk Orang Asia” sebenarnya bererti sumber ekonomi Asia hanya dapat digunakan oleh Orang Asia. Ketika itu, banyaklah penduduk tempatan disiksa serta dipaksa mengikut budaya dan cara hidup mereka sebagai orang Jepun. Selepas itu, kita dijajah lagi. Kali ini pengenalan pemerintahan kejam oleh Parti Komunis cukup menggambarkan kepedihan dan keperitan hidup golongan terdahulu walau pun hanya selama 14 hari. Seterusnya, muncul pula bentuk penjajahan baru yang dilakukan oleh Pihak British dikenali sebagai Malayan Union. Dengan kebangkitan semangat nasionalisme serta semangat permuafakatan yang dikolaberasikan oleh penduduk tempatan, maka sebuah pertubuhan dibentuk yang dikenali sebagai UMNO yang bertujuan membantah pelaksanaan Malayan Union. Hasil rundingan yang panjang oleh kedua-dua pihak, maka bermulalah langkah-langkah kea arah mendapatkan kemerdekaan selanjutnya berkerajaan sendiri. Orang Melayu khususnya dalam UMNO tidak mahu lagi maruah raja-raja Melayu tergugat di samping merobik status quo Penduduk Bumiputera sekiranya dasar imperialisme ini terus dilangsungkan oleh kuasa asing.
Namun, pada hari ini segalanya telah berubah. Benih-benih subur yang disemai sewaktu dahulu telah menampakkan hasilnya. Pohonnya yang keras telah menjadi symbol kekuatan bersama. Daun-daunnya telah menjadi pelindung kepada bahagian-bahagian pohon yang lain. Akarnya pula menjadi tanda keutuhan tegaknya berdiri. Sementara buahnya menjadi hadiah dan azimat kepada pemiliknya yakni hadiah kepada generasi kini. Segalanya berada pada tangan pelapis Negara di zaman ini. Kitalah yang akan menentukan nasib bangsa dan hala tuju Negara. Kitalah yang meletakkan di mana tingginya maruah dan martabat Negara di samping tahap kemajuan pembangunan Negara. Kitalah juga yang berhak mewarisi tanah bertuah ini agar tidak dicerobohi oleh pendatang asing. Yang pasti, kita itu ialah kita. Penduduk tempatan yang memberi taat setia kepada kedaulatan Negara.
Di ambang Sambutan Kemerdekaan ini, saya mengharapkan agar masyarakat di dunia reality sana dapat menerapkan nilai patriotisme dalam diri masing-masing. Jagalah tingkah laku serta batas-batas pergaulan ketika berada dalam keramaian sewaktu menantikan detik-detik terindah yakni tanggal 31 Ogos yang akan menjelang beberapa minit lagi. Janganlah anak-anak muda khususnya memalukan maruah keluarga, masyarakat, pemimpin seterusnya maruah Negara. Sambutlah hari kemerdekaan kita ini dengan cara yang benar serta diredai oleh Tuhan. Dan ingatlah, Allah SWT sahajalah yang satu-satunya yang berkuasa menganugerahkan nikmat Kemerdekaan Malaysia ini kepada kita. Bagaimana agaknya jika kita meraikannya dengan kemurkaan Allah Yang Esa. Fikir-fikirkan. Akhir kalam daripada saya, Selamat Menyambut Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke 55.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan