Salam Syawal kepada anda yang setia mengikuti Halaman Santun-Santai. Mat Santai doakan agar anda berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping merayakan lebaran di mana sahaja. Semoga segala pekerjaan kita akan diredai Allah. Mat Santai ingin menemani anda lagi dalam segmen 5 tak boleh bla. Tajuknya pada kali ini ialah 5 jenis golongan di hari raya.
Terbitan ini menampilkan beberapa golongan manusia yang masing-masing dengan kerenah dan pekerjaan sendiri sewaktu merayakan Syawal. Berdasarkan pemerhatian yang Mat Santai lakukan selama 2 hari iaitu pada 1 dan 2 syawal, Mat Santai mendapati terdapat 5 jenis golongan yang mempunyai perwatakan serta kerenahnya tersendiri. Ingin tahu? Terus layan.
Oleh sebab segmen ini ialah 5 tak boleh bla, maka struktur penggunaan ayatnya tidak mengikut tatabahasa yang betul. Dengan kata lain, ayatnya pun tak boleh bla juga.
Golongan-golongan yang dimaksudkan ini tidak kesemuanya melakukan kerenah dan pekerjaan yang akan dipaparkan. Yang akan dipaparkan di bawah ini adalah sebahagian sahaja yang melakukannya. Sebarang tingkah laku atau mewakili mana-mana pihak adalah secara kebetulan. Terbitan ini adalah sekadar untuk hiburan.
5 jenis golongan di hari raya:
Golongan pertama”
Golongan pertama ini diwakili oleh masyarakat tua. Dengan kata lain, datuk dan nenek kita. Sewaktu hari raya, golongan ini lebih sibuk untuk membuat juadah hari raya. Contohnya, dodol, wajik dan sebagainya. Walau pun sudah tua, tapi si nenek khususnya masih kuat untuk melakukan semua ini. Bukan tidak mahu anak-anaknya menghulurkan pertolongan, tapi tidak rela cucu-cucunya ditinggalkan bersendirian tanpa si ibu. Tambahan pula, amalan menyiapkan juadah hari raya sudah lama sebati dalam diri masyarakat tua. Lainlah masyarakat moden ini yang menyiapkan juadah dengan kuih raya versi tunjuk. Si datuk pula, sibuk membakar lemang di luar rumah. Bukan tidak mahu anak-anak lelakinya membantu, tetapi Si datuk ingin memberi peluang kepada mereka untuk beristirehat kerana keletihan dalam perjalanan pulang ke kampong. Mungkin juga ingin memberi peluang kepada mereka untuk bersama-sama adik-beradik yang lain.
Golongan kedua:
Golongan kedua ini diwakili oleh masyarakat dewasa. Pendek kata, anak-anak kepada golongan pertama tadi. Kebiasaanya, golongan inilah yang gemar beraya sakan memusing satu kampong untuk menemui sanak-saudara serta teman-teman lama di sekitar kampong. Kesannya, Ibu dan bapa mereka ditinggalkan keseorangan di rumah sebagai pelayan tetamu. Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang, Pak Cik dan Pak Su, semuanya dengan kerenah masing-masing beraya di rumah jiran-jiran di persekitaran. Ada sesetengah juga yang beraya lebih jauh dari itu. Akhirnya, kesesakan jalan raya berlaku di merata perusuk kawasan. Tidak hairanlah juga jika ada sesetengah daripada golongan ini menyumbang kepada peningkatan kemalangan jalan raya.
Golongan ketiga:
Sementara golongan seterusnya ini diwakili oleh masyarakat muda. Dengan kata lain, golongan-golongan yang berjiwa belia/remaja. Mereka ini lebih tertumpu di dalam rumah semasa hari raya. Bukan bermakna mereka ini ringan tulang untuk menolong datuk dan nenek untuk melayan tetampu. Tetapi, adanya mereka di rumah adalah kerana mereka ingin menonton tv. Mereka tidak akan melepaskan rancangan-rancangan raya yang disiarkan khas oleh pihak media penyiaran. Contohnya, tayangan filem, drama dan persembahan artist-artist jemputan. Ada sesetengah tu, mereka sanggup tidak menyertai ibu dan bapa mereka untuk beraya. Mereka lebih gemar beraya di hadapan tv untuk melihat artist sanjungan beraksi.
Golongan keempat:
Golongan keempat ini diwakili oleh golongan kanak-kanak. Pekerjaan mereka pada hari raya memang begitu hebat. Tugasnya adalah untuk memeriahkan sambutan hari raya. Tetapi dengan cara yang salah. Ini kerana, mereka beraksi di luar rumah dengan berperang antara satu sama lain. Adik menentang abang, Sepupu menentang sepupu, dan sepupu menentang dua pupu. Sebutlah apa jenis sekali pun, Mercun papan, bola, roket, semuanya silih berganti meletup di luar rumah datuk dan nenek. Ada sesetengah tu boleh menyebabkan kematian golongan tua kerana terkejut mendengarkan bom atom. Golongan ini jugalah yang menyumbang kepada jumlah pesakit di hospital. Ini kerana, mereka datang ke hospital sebagai pesakit tanpa tangan, tanpa kaki, tanpa mata dan macam-macam lagi.
Golongan kelima”
Golongan kelima ini diwakili oleh bayi. Mereka ini juga mempunyai kerenah tersendiri. Apabila di sebuah rumah kampong itu terdengarnya suara menangis, maka bayi-bayi yang lain juga turut menangis. Mungkin mereka ingin berjemaah untuk memeriahkan sambutan hari raya dengan tangisan. Jika kedengaran suara-suara perbulan bising dari sanak-saudara, bapa saudara serta ibu saudara, mereka juga turut menangis. Lalu, berakhirlah perbualan mereka. Jika kedengaran kuat suara tv menjerit, Mereka juga turut menangis. Lalu, beralah golongan muda yang sebelum ini setia dengan rancangan-rancangan raya. Apa boleh buat. Golongan ini masih bayi. Semuanya perlu beralah.
Kesimpulannya, pelbagai ragam golongan manusia menyambut suasana hari raya. Si nenek dan datuk sibuk menyiapkan juadah. Si pak cik dan mak cik pula sibuk beraya di rumah jiran-jiran serta teman-teman lama mereka. Sementara, anak-anak remaja sibuk menjamu mata dan telinga menikmati rancangan-rancangan raya di tv. Kanak-kanak pula ligat berperang di luar rumah bermain bunga api dan mercun. Si bayi-bayi turut beraksi dengan menangis tak henti-henti silih berganti. Begitulah keadaan dan kemeriahan di sebuah rumah kampong halaman yang dipenuhi dengan ramai sanak-saudara ketika meraikan perayaan Aidilfitri. Semoga hari raya anda semua terus meriah dan diberkati oleh Allah. Insya-Allah
Nak santai, bukan sekadar lepak tepi pantai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan