WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Sabtu, 1 Jun 2013

Aktiviti Pertama Di Waktu Cuti

Selamat bertemu kembali bersama-sama watak sebenar dalam Halaman Santun-Santai. Watak sebenar mengharapkan anda berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Watak sebenar ingin menyambung kembali kisah kunjungan watak sebenar ke Pahang tempoh hari dalam bahagian ke II ini.


Setelah kami sekeluarga tiba di Gambang, Pahang dan telah pun melihat Kolej Matrikulasi itu dengan lebih dekat. Kami mengambil keputusan untuk ke Kuantan kerana di situ mempunyai banyak pilihan tempat penginapan untuk ditempah sebagai persedian pada malam itu. Ternyata ianya benar selepas kami sampai di Kuantan dan mendapati banyak hotel-hotel tersergam indah dan turut kelihatan di situ papan tanda yang menunjukkan inap desa(homestay) berhampiran di situ. Apa yang kami jumpa pertamanya sebelum memasuki Bandar Kuantan ialah Pasar Raya Giant, kemudian terdiri bermacam-macam jenis bangunan lain. Barulah kami menemui pembangunan di situ setelah kemarau dengan hutan-hutan, gunung-ganang dan ladang kelapa sawit yang luas.


Kali ini, alat bantuan GPS menjadi serba guna buat sekalian kalinya untuk mencari hotel yang sesuai. Akhirnya kami menjumpai sebuah hotel berhampiran dengan sebuah padang berdekatan sebuah masjid. Ia dikenali sebagai Hotel Suraya. Bangunannya agak tinggi jugak tetapi watak sebenar sudah terlupa akan berapa bilangan tingkatnya. Kami sudah pasti ingin memilih hotel itu dan terus menghala ke pintu utama hotel itu lalu menempah bilik yang sesuai. Alhamdulillah syukur, semuanya berjalan lancer.


Di bilik hotel, masing-masing sudah melepaskan kepenatan. Yang bukan pemandu pun merasakan kepenatan, apatah lagi yang menjadi pemandu. Tidak tahu la berapa tenaga yang habis dalam aksi mengawal pemanduan sepanjang perjalanan tadi lebih-lebih lagi mengharungi highway pelbagai bentuk muka bumi. Watak sebenar terlebih dahulu yang menerjah ke bilik airnya dan merasmikannya untuk membersihkan diri(mandi).


Bilik itu tidaklah begitu  hebat dan tidak juga begitu daif. Cukup setakat untuk keselasaan kami berlima. Di situ, terdapat 2 buah katil bersaiz queen, alat penghawa dingin, tv mempunyai siaran astro dan peralatan memasak seperti cerek, pinggan dan cawan. Bilik airnya pulak dilengkapi dengan alat pemanas air. Yang lain-lain tu tak payah ceritalah nanti jadi macam budak-budak punya pengalaman pulak.


Selepas kami bersolat jamak qasar takhir, masing-masing dengan pekerjaan sendiri. Adik perempuan watak sebenar  membuka satu per satu siaran tv bagi memilih siaran apa yang baik untuk ditonton. Abang watak sebenar sudah keluar dari hotel dan bersiar-siar di kawasan Bandar petang itu. Waktu itu lebih kurang jam 5.30  petang. Keadaan di Kuantan cerah dan tidak mengalami sebarang hujan. Hanya sewaktu permulaan memasuki Gambang tadi sahaja yang berlaku hujan. Tapi, itu sudah beberapa jam yang lepas. Sementara itu, watak sebenar mengikut ayah ke kereta untuk mengeluarkan dan membawa barang apa yang diperlukan untuk digunakan dalam bilik hotel pada malam itu.


Lebih kurang jam 7.00 petang, satu panggilan telefon berdering dari salah sebuah telefon bimbit di antara kami berlima. Ternyata bunyinya datang dari telefon ayah. Bapa saudara watak sebenar (pak teh) yang tinggal di Pahang telah menghubungi ayah untuk mengajak kami keluar malam itu bersama-samanya untuk menjamu selera di luar. Memang kami bercadang untuk makan di luar tetapi masih belum dirancang secara terperinci lagi untuk keluar makan di mana. Maklumlah, kami pun tidak mengetahui di mana restoran yang sesuai untuk dijadikan sasaran di Kuantan tersebut lebih-lebih lagi semuanya belum pernah menjejaki Kuantan. Sebenarnya, watak sebenar pun jarang-jarang mengenali (pak teh) itu kerana ia juga jarang-jarang pulang ke kampung di Parit Buntar biar pun pada hari raya Aidilfitri. Namun, perhubungan kami dengan dia masih belum terputus. (pak teh) lebih senang untuk mengunjungi kampung mentuanya di Kelantan pada hari raya Aidilfitri kerana jarak perjalanannya yang singkat.


Kali ini, giliran Teluk Chempedak pula yang menjadi sasaran lokasi kami pada malam itu. Kami dibawa oleh (pak teh) ke Teluk Chempedak untuk menjamu makan malam di sana. Jaraknya tidak begitu jauh dengan Kuantan. Apa yang pasti, sepanjang perjalanan ke kawasan itulah yang sebenarnya benar-benar Bandar Kuantan. Barulah kami dihadiahkan dengan pandangan pembangunan. Kami menjumpai Stadium Pahang dan pelbagai tempat lagi yang berfungsi sebagai bangunan-bangunan pentadbiran. Watak sebenar beranggapan bahawa Bandar Kuantan ini ialah Bandar yang boleh dikatakan besar juga dan lokasinya amat strategik kerana berdekatan dengan persisiran pantai.


Sampai di Teluk Chempedak lebih kurang pukul 9.00 malam. Kami mengambil masa untuk ke sana lebih kurang 10 minit. Teluk Chempedak merupakan lokasi tempat makan yang menarik dan menjadi tumpuan ramai kerana ianya berhampiran dengan persisiran pantai. Apatah lagi pantai itu boleh dijadikan tempat bermandi-manda kerana airnya yang bersih serta udaranya yang nyaman. Paling penting, makanan yang dijual di situ berpatutan harganya. Bak kata adik perempuan watak sebenar, memang terbaik tempat itu. Dia akan selalu berkujung ke Teluk Chempedak bersama-sama member barunya nanti di kolej tersebut apabila masa lapang.


Kami memilih sebuah restoran yang mana watak sebenar tidak mengetahui nama restorannya. Banyak juga menu yang dipesan oleh (pak teh) watak sebenar. Antara yang tidak boleh dilepaskan ialah tom yam laut dan ikan pari panggang. Ada di antara kami juga turut memesan lauk daging bakar air asam, sayur kailan goring dan ikan siakap masam manis. Memang seronok memesan makanan banyak-banyak apatah lagi dimakan oleh 2 buah keluarga besar yang ada pertalian darah.  Namun, persoalannya? Dapatkah kami semua menghabiskan semua juadah itu. Mungkin inilah yang dikatakan gaya hidup moden.


Apa-apa pun, di antara kami ada yang berfungsi sebagai penghabis makanan. Memang seronok kami menjamu selera di situ apatah lagi berlatarbelakangkan pantai Teluk Chempedak. Ayah mengambil kesempatan bertanya khabar dengan adiknya itu, (pak teh). Begitu juga yang dibuat ibu watak sebenar. Sementara abang watak sebenar berbual-bual dengan sepupu yang berada di sebelah kanannya. Watak sebenar yang duduk di antara ayah dan abang berbual-bual dengan adik perempuan yang berada bertentangan meja dengan dipisahkan oleh juadah di atasnya. Kami berbual-bual mengenai buruk baik kolej matrikulasi itu. Kami yang tadi hanya lima orang tela bertambah menjadi sepuluh orang dengan kehadiran keluarga (pak teh). Keseronokan berbual-bual serta menjamu selera kami sepuluh orang diteruskan sehingga lebih kurang 1.30 jam. Watak sebenar tidak melepaskan peluang menjamu keenakan tom yam laut disertakan bersama kailan goring. Watak sebenar turut juga menyambar ikan pari dan sedikit daging bakar. Nasi yang dipesan terlalu banyak dan ada di antara kami terpaksa menawarkan diri untuk mengisi perut lagi biar pun sudah kenyang. Namun, segala berakhir dengan senyuman setelah mendapati semua juadah di atas meja habis dimakan.


Setelah juadah habis lesap dek dimasukkan dalam perut, wang kertas yang dibawa juga habis lesap dek dibayar kepada pihak restoran. Kami pun berjalan-jalan anak menuju ke persisiran pantai Teluk Chempedak. Angin di pantai itu bertiup nyaman datang dari arah Laut China Selatan. Ternyata tempat itu menjadi tumpuan orang ramai apabila ramai orang pelbagai lapis umur bermain-main di sepanjang pepasir pantai itu. Apa yang kurang enak dipandang ialah tahap social orang-orang di situ kurang baik. Macam-macam jenis kelakuan orang dipamerkan sama ada dari sudut pemakaian, tutur kata dan tingkah laku. Mungkin lain padang lain belalang.


Satu yang menjadi perhatian ibu watak sebenar menurutnya ialah pasir di pantai itu bersih dan halus putih bak permata yang berkilau tatkala terrkena limpahan lampu nion berwarna-warni yang dipasang di gerai-gerai kecil yang menjual pelbagai cendera mata. Menurut ibu lagi pasir jenis halus itu sukar ditemui di pantai-pantai sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia khususnya di kawasan Kedah. Apa yang menjadi perhatian abang watak sebenar pulak ialah terdapatnya  sebuah tombolo di hujung pandangan kami yang mana bentuk muka bumi itu membentuk pulau di tengah laut. Menurut (pak teh) kawasan yang dimaksudkan abang itu merupakan kawasan popular bagi orang-orang berkelah dan memancing sekiranya di waktu siang. Kami terus melepak di hujung malam itu sambil membiarkan angin-angin manja menggerak-gerakkan kain baju kami. Menurut (pak teh), kawasan pantai Teluk Chempedak ini memang menjadi tumpuan masyarakat sekitar Kuantan lebih-lebih lagi pada waktu hujung minggu. Menurutnya lagi, keadaan riuh-rendah ini akan berterusan sehingga ke esok pagi. Keadaan seperti sebuah pesta ria ini kebiasaannya dilakukan oleh para remaja yang gemar melepak di sini.


Hampir jam 11.15 malam, kami akhirnya bangun dari tempat duduk tadi dan menuju ke kawasan menjual pelbagai barangan cendera mata. Banyak pakaian, beg dan kasut dijual di situ. Dari segi harganya, watak sebenar tidak mahu komen. Pandai-pandailah pilih yang terbaik kerana banyak gerai yang memperagakan barangan yang sama jenis serta harga yang bermacam-macam. Watak sebenar tidak melepaskan peluang membeli baju t-shirt(I Love You …) yang menjadi kegemaran watak sebenar apabila berkunjung ke tempat-tempat terkenal. Sementara yang lain, masing-masing membeli barangan yang dikehendaki sebagai kenangan di Teluk Chempedak khususnya dan di Pahang amnya. Kami berpecah di situ hamper 20 minit lamanya untuk membawa diri masing-masing menerkam barangan yang menjadi perhatian. Seperti biasa, watak sebenar mengikuti ayah dan (pak teh) berjalan-jalan di satu gerai ke gerai yang lain.


Kami pulang mendapatkan kereta masing-masing setelah selesai membeli-belah. Lebih kurang 12.00  tengah malam, kami tiba di pintu utama bangunan Hotel Suraya. Watak sebenar dan salah seorang sepupu berbual-beual kosong sebelum berpisah. Sementara abang watak sebenar yang telah selesai mencari tempat letak kenderaan telah hadir bersama-sama kami di situ. Kami berbual-bual kosong antara satu sama lain sebelum berpisah. Kami akan kembali ke dalam hotel itu dan keluarga (pak teh) akan kembali ke rumah mereka yang juga terletak di sekitar Bandar Kuantan. Setelah bersalam-salaman, kami akhirnya melangkah ke lobi utama sambil memandang kelibat mereka yang berjalan menuju kereta untuk pulang ke rumah. Jam sudahmenunjukkan 12.00 tengah malam, namun masih banyak lagi kereta yang lalu-lalang di kawasan bangunan-bangunan di sekitar Hotel Suraya. Watak sebenar cuba membandingkan suasana Bandar itu di waktu malam dengan suasana Bandar Alor Setar di waktu malam. Nescaya ianya berbeza. Di Alor Setar, kebisingan deruman kereta hanya setakat pukul 10.00 malam sahaja kerana ketandusan sebarang kegiatan di waktu malam. Hanya yang tampak meriah hanyalah di kawasan medan selera sekitar Kolej Universiti Insaniah(KUIN). Itu pun kerana lambakan siswazah yang datang dari kolej itu keluar menjamu selera di tengah malam. Sebab itulah sesetengah daripada rakan sekelas watak sebenar menggelarkan Alor Setar sebagai Bandar mati di waktu malam. Tetapi, sebaliknya bagi Bandar Kuantan ini.


Keesokan paginya yakni lebih kurang pukul 7.00 pagi, kami telah bersiap-siap mengemas barang untuk dimasukkan ke dalam kereta. Hotel Suraya sudah cukup masanya untuk ditinggalkan kerana kami perlu segera sampai ke Kolej Matrikulasi Gambang dengan secepat mungkin. Adik perempuan watak sebenar menyatakan bahawa sesi lapor diri akan bermula seawall 8.00 pagi. Namun, watak sebenar percaya lebih awal daripada itu orang sudah menanti beratur panjang untuk segera selesai urusan.


Lebih kurang pukul 9.00 pagi, segala urusan lapor diri telah selesai dilaksanakan oleh ayah dan adik perempuan watak sebenar. Adik perempuan watak sebenar telah memiliki blog asrama yang boleh dikatakan strategik. Ini kerana blog itu berdekatan dengan sebuah dewan himpunan yang dikenali dengan nama Dewan Mat Kilau. Ia juga berhampiran dengan sebuah kantin dan surau. Sementara biliknya terletak di aras 1 bagi blog itu. Apa-apa pun, lokasinya itu agak sedikit jauh dengan tempat belajar atau dewan kuliah berbanding dengan blog-blog yang lain. Namun, penggerakan untuk ke dewan kuliah sudah memadai dengan hanya berjalan kaki. Adik perempuan watak sebenar juga turut menemui rakan lamanya ketika di MRSM Baling dahulu. Rakannya itu pernah bersamanya dan menjadi ahli homeroom ketika di Kedah dahulu. Namun, menurut  adik perempuan watak sebenar lagi, rakannya itu tinggal di bilik yang berbeza tetapi dalam satu bangunan asrama yang sama. Sungguh pun begitu, jarak bilik mereka tidaklah begitu jauh.


Kami berehat-rehat di kantin yang dimaksudkan dan menjamu sedikit minuman ringan setelah selesai membawa barangan ke dalam asrama. Satu lagi  peristiwa penting telah berlaku di sini apabila tiba giliran adik perempuan watak sebenar pula untuk belajar di tempat yang jauh selepas giliran watak sebenar ketika dulu. Kami berbual-bual kosong sementara menanti jam 10.00 pagi. Banyak pesanan daripada ibu dan ayah kepada adik perempuan watak sebenar diberi satu per satu. Watak sebenar mendengar seperti masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan. Kemudian, kami menuju ke kereta dan berpisah di situ. Enjin kereta dihidupkan dan kereta terus membelok untuk menghala ke pintu pagar utama kolej itu. Kelihatan lambaian adik perempuan watak sebenar dari belakang. Lama-kelamaan, lambaian itu hilang apabila kereta telah meluncur keluar dari persimpangan yang menghala ke kolej itu. Lambaian itu muncul hanya di skrin kotak fikiran sahaja menjadi kenangan buat sementara. Kereta yang dipandu ayah terus laju mencari susur tol masuk ke lebuh raya untuk melengkapkan perjalanan yang jauh dan panjang sekali.


Apa yang pasti, sebuah perjalanan menuju ke Pahang dan kembali semula ke Kedah merupakan perjalanan yang bermakna dan penuh kenangan. Perjalanan yang boleh dikatakan jauh menyusuri beratus kilometer dan membelah beberapa buah negeri di Malaysia untuk sampai ke destinasinya. Di waktu itu, banyaklah cabaran dan dugaan terpaksa diharungi serta ianya menganggu kelancaran pada perjalanan itu. Begitu juga yang dikatakan dengan perjalanan hidup. Perjalanan hidup tidak pernah selesai. Perjalanan yang menujU kejayaan di samping mencari keredaan Allah SWT tidak pernah lenyap dengan rintangan dan onar-duri. Di waktu itu, perjalanan mencari ilmu amatlah perlu diutamakan kerana perjalanan mencari ilmu itu membuka persimpangan baru untuk perjalanan yang akan menuju kejayaan pula. Bagi adik perempuan watak sebenar, perjalanan ke Kolej Matrikulasi Gambang itu merupakan perjalanan dua dalam satu. Perjalanan menjejaki kolej itu telah selesai dilakukannya. Kini, perjalanan untuk menjejaki kejayaan di kolej itu masih belum dilakukannya. Segalanya akan bermula dengan langkah yang perlahan lalu berlari laju seterusnya mencipta sebuah perjalanan yang bermakna dan perjuangan mengejar kecemerlangan yang satu. Berjuanglah!!!




Tamat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan