Assalamualaikum dan salam sejahtera Mat Santun ucapkan kepada anda. Segmen Renungan bakal menyusur lagi selepas jarang-jarang berlaku sebarang pengeluaran terbitan-terbitannya.
Apa khabar semua? Diharapkan agar anda sentiasa dalam keadaan yang sihat hendaknya. Sihat seperti mana cuaca di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia kita yang sudah pun segar dan pulih kembali. Jerebu yang dasyat sudah tidak berlaku lagi. Kini, masyarakat yang terlibat boleh keluar rumah kerana jerebu sudah pergi.
Itulah yang dikatakan bahayanya ancaman fenomena jerebu kepada manusia dan alam sekitar. Fenomena ini mampu membuatkan segala urusan manusia terganggu malahan memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia.
Jerebu merupakan ancaman yang biasa berlaku di Negara kita. Kejadian ini merupakan lumrah bagi salah satu daripada bencana alam yang berlaku di Negara Malaysia selain banjir, tanah runtuh dan kemarau. Namun, kejadian bencana alam ini tidak seteruk malapetaka yang lain seperti gempa bumi, tsunami atau letusan gunung berapi.
Biar pun begitu, kejadian ini cukup memberi kesan yang pelbagai kepada ekosistem alam sekitar serta kehidupan manusia. Misalnya, haiwan peliharaan seperti kucing, arnab dan anjing akan mudah mendapat sakit-sakit kerana saiz jantungnya yang kecil membuatkan mereka sukar bernafas dalam udara yang tidak bersih. Manusia yang menghidap penyakit berkaitan pernafasan seperti asma serta radang paru-paru akan berisiko untuk menjadi lebih kronik sekiranya langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan jerebu tidak dipraktikkan. Manusia biasa pula akan kerap kali mendapat sakit-sakit seperti selesema, demam atau batuk sekiranya sering keluar rumah dalam keadaan kualiti udara yang tidak sihat.
Dari segi kajian sains, jerebu dikategorikan sebagai sejenis pencemaran udara yang membawa bahan-bahan tertentu seperti sulfur dioksida dan karbon monoksida di ruang udara akibat beberapa perbuatan tertentu. Antara puncanya dan telah menjadi penyebab kepada fenomena tersebut berlaku baru-baru ini adalah ekoran daripada pembakaran hutan di Sumatera di Indonesia. Angin Barat Daya yang bertiup antara bulan Mei hingga bulan September dari arah Benua Australia ke kawasan pedalaman Benua Asia dengan melalui Malaysia telah membawa bahan-bahan bakar itu ke ruang udara Malaysia. Akibatnya, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Perak telah menerima pencemaran udara ini dan ianya dipanggil jerebu. Sukar diingatkan, jerebu yang berlaku baru-baru ini adalah yang terburuk sejak kejadian ini berlaku pada tahun 2005 dan 2010 yang lalu.
Walaupun jerebu ini sudah tidak berlaku lagi, namun ia cukup memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar memahaminya. Ramai daripada mereka beranggapan bahawa fenomena jerebu ini sekadar sejenis bencana alam yang berlaku secara semula jadi mahu pun perbuatan manusia. Namun, adalah lebih baik seseorang itu memikirkan bahawa fenomena jerebu ini merupakan amaran daripada Allah SWT yang boleh dianggap sebagai suatu musibah. Musibah ini terjadi disebabkan segilintir daripada kita yang sudah kufur denganNya dengan membelakangi segala perintahNya dan ghairah mendepani segala laranganNya.
Sebagai khalifah di atas muka bumi Allah SWT, kita yang terbabit perlu sentiasa diberi peringatan agar beristiqamah menjaga hubungan denganNya. Sesuai dengan sifat manusia itu seniri yang kerap kali disergah kelalaian akibat dimamah kemewahan dunia. Oleh itu, munasabahlah diri sendiri sekiranya ada perlakuan kita yang tidak diredai Allah SWT. Ingatlah, apabila Allah SWT menurunkan suatu musibah seperti yang terjadi baru-baru ini, maka tidak kira mereka yang beriman mahu pun sebaliknya turut mengalami tempiasnya.
Namun, yang menjadi tanda Tanya sewaktu fenomena jerebu berlaku, golongan hawa yang terbabit seolah-olah pandai mencari topeng muka untuk melindungi mereka daripada terdedah kepada pencemaran udara. Tetapi, mereka seolah-olah tidak pandai mencari penutup kepala untuk melindungi aurat mereka daripada terdedah kepada dosa. Mungkin inilah yang dikatakan takut dunia berani akhirat.
Apa-apa pun, ambillah pengajaran daripada kejadian jerebu ini. Allah SWT menurunkan balaNya dengan bersebab. Maka, pembakaran hutan itulah yang menjadi sebab musababnya. Bukankah Allah telah berpesan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu yang berubah sendirinya. Kita masih diberi masa dan ketika untuk berubah menjadi lebih baik. Jangankan kita diturunkan musibah Allah SWT seperti mana diturunkan kepada kaum-kaum terdahulu seperti banjir besar, kemarau panjang atau sekali pun kejadian tsunami yang berlaku pada 26 Desember dahulu.
Sekian…
Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan