Assalamualaikum dan selamat sejahtera Mat Santai ucapkan kepada anda tetamu maya halaman ini. Semoga anda sentiasa berada di dalam keadaan sihat-sihat hendaknya. Terbitan kali ini akan diambil alih oleh Mat Santai dalam Segmen yang sudah lama tidak ditampilkan iaitu Segmen Sembang Santai ini.
Mat Santai hanya sekadar ingin berceloteh panjang mengenai dunia bola sepak. Maklumlah, game bola sepak merupakan acara yang paling diminati ramai oleh penduduk dunia. Jadi, Mat Santai juga tidak terkecuali daripada turut menggemarinya. Namun, Mat Santai dan watak sebenar lebih meminati sukan bola sepak antarabangsa khususnya dalam aksi Liga Perdana Inggeris. Sama-sama kita nantikan tirai pembukaan musim baru Liga Perdana Inggeris 2013-2014.
Baiklah, untuk kali ini, Mat Santai ingin berceloteh mengenai sukan bola sepak tempatan. Maklumlah, semua peminat fanatic bola sepak Malaysia sekarang ini hanya tertumpu pada kemuncak Piala FA sahaja ekoran daripada beberapa acara sukan bola sepak sudah menamatkan saingannya seperti Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.
Masih terasa kehangatan 90 minit separuh akhir II Piala FA di antara Pahang dengan Johor Darul Takzim(JDT) tempoh hari?
Ada yang mengatakan ia dan ada yang mengatakan tidak. Mana tidaknya, perlawanan itu berlaku dalam keadaan yang sungguh dramatic sekali. Pahang menang dengan jaringan 2 berbalas 1 malam itu. Namun, secara agregatnya peluang cerah lebih kepada Johor Darul Takzim yang mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri secara agregat dengan 2-2. Maklumlah, tuah si ayam nampaknya di taji, tuah si Johor Nampaknya pada bekalan selesanya 1-0. Apa-apa pun, ucap congratulations juga kepada skuad Tok Gajah terutamanya Penyerang importnya yang dibawa masuk dari Argintina, Matias Conti(tak silap namanya) yang telah menyumbat gol Pahang sebanyak 2 biji(minit 2 dan minit 40) malam 1 Jun itu. Aksinya di padang memang menghiburkan semua lebih-lebih lagi seawall perlawanan sudah tidak membosankan penonton yang menyaksikan. Penyerang import Johor DT juga turut memeriahkan pesta gol. Persoalannya, mana pergi penyerang yang berbisa daripada pemain tempatan sendiri?
Walau apa-apa pun, perlawanan pada hari itu merupakan antara perlawanan yang dianggap controversy oleh sesetengah pihak. Perlawanan yang sepatutnya dijadualkan bermula 28 Mei telah ditunda hingga ke hari Sabtu yang bertarikh 1 Jun 2013. Venue perlawanannya juga terpaksa diubah dari Stadium Pahang ke Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur. Apakah puncanya semua ini?
Semua ini adalah kerana berlakunya limpahan penyokong bola sepak yang membanjiri stadium Pahang melebihi daripada jangkaan. Difahamkan, bilangan mereka yang mengunjungi stadium itu adalah seramai lebih kurang 40000 orang. Sedangkan kapasiti stadium itu hanya mampu memuatkan bilangan penonton seramai 35000 orang sahaja. Justeru, berlakunya limpahan penonton di situ. Lebih malang lagi, sebahagian daripadanya yang berjumlah sekitar 7000 penonton telah memenuhi ruang treck stadium. Ini menjadi masalah dan sebab kepada perlawanan itu ditangguhkan serta tidak diadakan di Stadium Pahang. Menurut FAM, perlawanan antara Pahang FC dengan JDT FC tidak akan dimulakan selagi mana penonton yang berada di treck tidak berundur dari situ. Itu merupakan peraturan perlawanan yang telah ditetapkan. Namun demikian, situasi tersebut berlarutan. Sehingga lebih kurang 10.30 malam hari Selasa itu, barulah diberitahu kata putus bahawa perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan dan ditunda ke tarikh yang akan datang.
Jika difikirkan, mengapa fenomena limpahan penonton di stadium tersebut boleh berlaku? Sedang hakikatnya, penonton yang ingin menyaksikan perlawanan itu perlu mendapatkan tiket terlebih dahulu sebelum mengambil tempat di stadium. Menurut pihak berkaitan, tiket yang dijual hanyalah sebanyak 32000 keping. Sementara Stadium Darul Makmur tersebut mampu memuatkan bilangan penonton sehingga 35000 orang mengikut kapasitinya.
Mengapa fenomena limpahan penonton boleh berlaku?
Ada sumber yang mengatakan, lambakan penonton berlaku di stadium itu adalah disebabkan kelima-lima pintu masuknya telah dipecahkan oleh segelintir penonton. Ada sumber yang mengatakan juga kononnya mereka tersebut tidak dibenarkan masuk oleh pihak stadium walau pun memiliki tiket perlawanan. Ada juga sumber yang mengatakan, mereka yang tidak dibenarkan memasuki stadium itu hakikatnya adalah kerana mereka telah memperoleh tiket daripada pengedar tiket palsu.
Mengapa keadaan ini boleh berlaku?
Berbalik kepada masalah limpahan penonton tadi. Segalanya berpunca daripada pemecahan pintu-pintu stadium tersebut. Lanjutan daripada itu, penonton sama ada yang mendapatkan tiket secara sah atau tidak sah mahu pun yang tidak bertiket meluru masuk ke stadium. Lantaran ruang tempat duduk di stadium yang terhad, sebahagian penonton telah mengambil keputusan untuk menyaksikan perlawanan dengan berada di treck stadium.
Persoalannya, bagai manakah pintu-pintu tersebut mudah untuk dipecahkan?
Sejauh manakah kawalan keselamatan daripada tanggungjawab pihak berkuasa sendiri berkesan kepada kejadian itu?
Tragedi pemecahan pintu stadium itu benar-benar menunjukkan bahawa pihak berkuasa kurang mengawasi kawasan tersebut. Memang telah sedia maklum bahawa pihak berkuasa telah sedia menghadapi apa-apa kemungkinan berlaku yang boleh menganggu kelancaran pada perlawanan tersebut. Tetapi apakan daya, kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan.
Diharapkan tragedy kelewatan atau penangguhan sebarang perlawanan yang sudah ditetapkan tidak akan berlaku lagi selepas ini. Cukuplah hanya setakat 2 buah kejadian sahaja yang telah berlaku dalam tempoh masa yang terdekat ini. Pertamanya di Stadium Larkin yang mana menyaksikan perlawanan antara Kelantan FC dengan Johor DT FC dan keduanya yang menjadi kontroversi baru-baru ini. Pihak FAM juga difahamkan telah menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut. Mereka berusaha menyelidik kekurangan dan kelemahan pada sesuatu anjuran sukan bola sepak itu. Berjuanglah FAM untuk terus meningkatkan mutu segala mutu agar bertambah baik termasuklah dari segi mutu pengadilan, mutu pertandingan, mutu pentadbiran sehinggalah ke mutu dalam mengadakan sesuatu perlawanan. InsyaAllah, Sukan Untuk Bersama! Bersama Untuk Sukan!
Kepada peminat-peminat sukan bola sepak, sama-sama kita nantikan perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan FC dengan Johor Darul Takzim FC yang akan diadakan pada 29 Jun ini iaitu pada hari Sabtu ini. Mengimbau aksi Piala FA tahun lepas, pertempuran di antara pasukan berstatus kelab, Sime Darby dengan juara Liga Supermusim lalu, Kelantan FC telah berkesudahan dengan Kelantan FC menjuarai piala itu selepas berkesudahan dengan jaringan 1-0.
Bagai manakah dengan aksi yang bakal dipamerkan oleh Kelantan FC selaku juara bertahan dalam perlawanan akhir lebih kurang beberapa hari lagi? Entah siapa yang tahu.
Apa-apa pun, mereka yang akan mengunjungi stadium nanti diharapkan datang sebagai seorang penonton yang bertatasusila. Kemudian dari itu, dapatlah membentuk sebuah kelompok penonton yang berkelakuan matang. Barulah muka-muka anda berseri-seri di kaca tv nanti tatkala ditonton oleh penonton yang setia di hadapan tv. Semoga perlawanan akhir bola sepak Piala FA yang dirancang ini tidak menghadapi masalah lagi. Diharapkan juga fenomena jerebu yang juga menerima tempiasnya di Kuala Lumpur tidak menganggu kelancaran perlawanan tersebut. Akhir kata dari Mat Santai, selamat memeriahkan sukan bola sepak tempatan. Berjuanglah bola sepak Malaysia!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan