Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Watak sebenar ada sesuatu ingin berkongsi dengan anda. Di bawah ini ialah nukilan sajak pertama watak sebenar dalam mempelajari penulisan kreatif Kesusasteraan Melayu Komunikatif Penggal 3.
Sebelum ini watak sebenar memang telah menceburi bidang penciptaan sajak, namun sekadar minat sahaja. Namun, kini ilmu penulisan sajak perlu ditambah sebagai persedian untuk menjawab soalan Sastera Penggal 3 dalam bahagian A yang diperuntukan masa selama 40 minit. Suka diingatkan, walau pun sajak ialah puisi moden yang bebas bentuknya, namun elemen-elemen tertentu dalam bait-bait sajak perlu dijaga bagi menampakkan unsur estetika yang berkonsepkan kesusasteraan selain jelas mesej yang ingin disampaikan.
Selamat membaca…
SEBUAH PERJUANGAN
Di ladang perjuangan ini,
Hanya ada aku dan engkau,
Aku adalah aku dan engkau adalah keberanian,
Kau yang menyalakan api ketabahan,
Aku yang menyusuri jalan-jalan perlumbaan,
Menuju penamat jaya.
Tatkala di ketika itu,
Bermacam muka bumi kujejaki,
Meniti jambatan-jambatan usang,
Di bawahnya lembah-lembah putus asa,
Menyeberangi sungai-sungai kepayahan,
Di dalamnya ikan-ikan mengasyikkan,
Sekali pun anak mataku dikaburi mereka,
Sekali pun nyala apimu dipadam mereka,
Sihir kemalasan ini tidak mampu memukau kita.
Tatkala di ketika ini,
Kaki bukit kejayaan ada di hadapan,
Lena hatiku seakan menyedari,
Unggun apimu seakan membakar lagi.
Menatapi gugusan bintang berkelipan,
Di puncak sana,
Lantas kau dan aku memasang niat,
Memerah selautan keringat untuk bersama mereka.
Tatkala merenung ke bawah,
Terdetik sebungkus syukur ke hadrat Allah,
Aku sudah pun di pertengahan,
Kau masih kuat menamatkan perlumbaan.
Pedih sakit sedih dan pahit,
Diramu menjadi satu,
Yang akhirnya menjadi pedang kehidupan,
Yang dapat membelah cabaran belantara,
Inilah hakikat perjuangan,
Yang perlu didepani setiap insan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan