WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Ahad, 24 November 2013

Etika Majlis Kenduri



Assalamualaikum dan salam sejahtera Mat Santun ucapkan kepada anda. Untuk terbitan yang seterusnya ini, Mat Santun akan menampilkan segmen yang sudah lama tidak ditampilkan iaitu Segmen Renungan. Hari ini, kita akan membicarakan mengenai majlis kenduri kahwin. Al-maklumlah, tidak putus-putus kenduri kahwin bakal diadakan sempena cuti akhir persekolahan sesi 2013 ini.
Soalan untuk anda, banyak jemputan kenduri kahwin yang anda terima?



Tak kisahlah, berapa banyakka majlis kenduri yang anda akan hadiri, meraikan majlis kenduri itu adalah dituntut dalam agama Islam. Sebagai tetamu, kita perlu meraikannya dengan penuh keikhlasan dan menggembirakan tuan rumah. Bagi Tuan rumah itu pula, mereka perlu menyambutnya dengan  penuh kesederhanaan dan kesyukuran. Yang penting, keredaan dari Allah SWT itu menjadi punca segalanya dalam mengadakan atau menyambut majlis kenduri kahwin sama ada secara besar-besaran mahu pun kecil-kecilan.


Dalam mengadakan walimatul urus ini, maka pelbagai adab dan etika Islam perlu dipatuhi bagi insan yang bernama Muslim. Sejak belakangan ini, banyak kenduri kahwin telah disertakan denga hiburan yang melampau. Sebagai contoh, diadakan sesi berkaroake, nyanyian oleh pemuda dan pemudi serta bermacam-macam lagi. Sedangkan Islam hanya membenarkan hiburan yang berpatutan sahaja dan tidak menyebabkan sesuatu majlis itu melanggari syarak dalam perkara mengenai pergaulan lelaki dan perempuan.


Perbuatan bersalam-salaman juga harus dititikberatkan. Sebagai orang Islam, seseorang perempuan itu hanya boleh bersalaman dengan lelaki yang muhrimnya sahaja. Begitu juga para lelaki. Namun, bagi kanak-kanak tidak diambil kira kerana mereka baru di peringkat mumayiis yakni hanya sekadar dapat membezakan perkara yang baik dan buruk. Oleh itu, tuan rumah perlu berwaspada dalam menyambut tangan seseorang untuk bersalaman. Para hadirin juga perlu mengetahui batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dan jangan bersalaman dengan seseorang sesuka hati. Hakikatnya bersalam-salaman itu perkara yang mulia, namun adalah lebih mulia Muslim itu mengikuti syarak yang ditetapkan.


Dalam dunia serba moden ini juga, banyak kenduri kahwin telah diadakan secara bermewah-mewahan. Sebagai contoh, tibina sebuah pentas persandingan untuk pengantin lelaki dan pengantin perempuan, mengenakan pakaian yang mahal-mahal sempena hari kenduri dan dijemput juruhebah serta beberapa kumpulan seni persembahan seperti seni silat, tarian Melayu dan kawad formasi. Memang ada yang menyatakan bahawa mereka mampu mengadakan kenduri kahwin seumpama itu kerana memiliki modal yang besar. Namun, hakikatnya Islam menyarankan umatnya supaya sentiasa mencari kesederhanaan dan berbalik kepada niat untuk mengadakan kenduri tersebut iaitu adalah untuk menghebahkan kepada masyarakat mengenai sesuatu pasangan pengantin yang telah selamat diakadnikahkan.


Walau bagaimana pun, telah menjadi lumrah manusia untuk melakukan yang terbaik dalam sesuatu pekerjaan. Oleh yang demikian, adalah diharuskan mengadakan kenduri kahwin itu pada peringkat yang terbaik untuk keselasaan dan tujuan meraikan para hadirinnya. Apa yang pasti, keredaan daripada Allah SWT itu adalah perlu. Sungguh pun kita tidak mampu untuk melihat keredaan itu, namun jauh di sudut hati yang suci mampu untuk menyentuh lalu merasai keredaan dari Allah SWT.


Sehubungan itu, persembahan kompang menjadi salah satu penghias dan penyeri terbaik dalam temasya majlis kenduri kahwin kerana ia merupakan seni kebudayaan Melayu yang telah menjadi maslahah orang Melayu zaman-berzaman. Persembahan kompang berfungsi untuk menyambut serta meraikan kedatangan pasangan pengantin yang berjalan di dalam suatu perarakan. Ianya boleh dijadikan sebagai al-addah muhakkamah yakni adat dijadikan hakim selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam. Dewasan ini, trend sesebuah majlis kenduri kahwin terkenal dengan jemputan juruhebah bagi memeriahkan lagi majlis itu. Ini juga diharuskan selagi tidak bertentangan dengan syarak. Malahan, ia sudah menjadi suatu uruf masyarakat Malaysia dan maslahah bagi hadirin dalam sesuatu majlis kenduri itu. Meski pun begitu, juruhebah itu tidak dibenarkan memainkan lagu-lagu yang melalaikan dan memutarkan lagu-lagu yang dibawa masuk dari dunia hiburan Barat. Lagu-lagu nasyid untuk tujuan mengingati Allah serta alunan muzik marhaban, kasidah atau pun zikir lebih baik dilakukan untuk menggalakkan tetamu dan penerima tetamu sentiasa mengingati Allah dan bersyukur terhadap kenikmatan dalam majlis kenduri yang diadakan itu.


Aspek juadah juga perlu diberi perhatian. Pihak yang mengadakan kenduri kahwin itu perlulah merancang dengan sebaik-baiknya mengenai kuantiti juadah yang akan disediakan kepada para tetamu yang juga telah ditentukan kuantitinya. Ini adalah untuk mengelakkan daripada tuan rumah atau pihak yang mengadakan kenduri itu mengalami lebihan juadah. Sekali gus ia dianggap sebagai suatu pembaziran. Bukankah membazir itu merupakan amalan syaitan?
Jadi, anggarlah persedian juadah dengan sebaiknya agar tidak berlaku kurangan dan lebihan.


Bagi tetamu, wajiblah mereka yang bergelar Muslim menjaga kehormatan diri terutamanya di antara lelaki dan perempuan. Majlis kenduri kahwin bukan tempat untuk dijadikan pesta bersuka-suka di antara lelaki dan perempuan. Apatah lagi untuk dijadikan tempat berseronok bagi pasangan yang terjerumus di alam percintaan. Remaja perempuan perlu menjaga aurat dengan mengenakan pakaian muslimah yang baik. Ini adalah untuk menghapuskan anasir-anasir yang boleh menjadi zina kecil apatah lagi majlis kenduri ini ialah majlis yang bersifat terbuka dan tahap sosialnya begitu luas dengan kaum lelaki dan perempuan bersama-sama di dalam sesuatu khemah.


Biar pun  begitu, ada di sesetengah kawasan mengikut negeri telah meletakkan kaum lelaki dan perempuan di khemah yang berbeza dalam temasya majlis kenduri tersebut. Malangnya, ia menjadi suatu masalah bagi sesebuah keluarga yang ingin menjamu selera bersama-sama. Ada juga di sebahagian kawasan di sesetengah negeri telah mengatur jadual makan untuk lelaki dan perempuan secara berasingan. Pastinya, tujuannya adalah untuk mengelakkan sebarang permasalahan sosial di antara lelaki dan perempuan berlaku terutamanya yang melibatkan para remaja.


Walau apa-apa pun, carilah jalan terbaik mengikut kemampuan diri sendiri. Allah SWT sentiasa membantu hambaNya yang berada pada jalanNya. InsyaAllah, majlis kenduri kahwin anda akan berlangsung dengan sebaik mungkin. Namun dalam pada itu, renunglah sejenak, ada di antara adat sewaktu diadakan majlis kenduri tidak boleh disertakan bagi Muslim kerana melanggari syarak. Ada sesetengahnya juga diharuskan selagi tidak melanggari syarak dengan mengikut penetapan hukum secara zanni iaitu marsaleh-mursalah. Biarlah agama melanggari adat, jangankan adat melanggari agama.



Sekian dahulu daripada Mat Santun. Mat Santun nak bergegas ke majlis kenduri kahwin kawan Mat Santun pula. Sampai jumpa lagi.



Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan