Assalamualaikum
dan salam sejahtera. Sudah lama agaknya watak sebenar tidak menerbitkan apa-apa
bahan dalam blog ini.
Awal
bulan Jun tadi iaitu pada 8 sehingga 22 Jun, watak sebenar telah menyertai
sebuah kem pembangunan pelajar selama dua minggu di salah sebuah instituti
pengajian tinggi di Kuala Lumpur bersama-sama dengan pelajar-pelajar lepasan
SPM dan StPM 2013.
Seramai
82 peserta telah menghadiri kem ini yang datang dari pelbagai latar-belakang
pendidikan, negeri dan keluarga. Sewaktu kami bersemuka dan berkenalan dalam
proses ingin check-in untuk masuk ke tempat penginapan tempoh hari, kami
mengambil kesempatan untuk mengenali dengan lebih rapat antara satu sama lain.
Sebelum ini pun kami belum pernah berjumpa. Setelah berkenalan, barulah watak
sebenar mengetahui serba sedikit akan latar belakang pendidikan rakan-rakan
baru watak sebenar itu. Ada di antara mereka dari MRSM, ada di antara mereka
dari sekolah sains serta sekolah agama, ada juga yang dari sekolah berasrama
penuh. Mereka datang dari segenap perusuk Negara termasuk dari utara dan
selatan sehingga ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Keesokan
harinya, kami dibawa ke kampus IPT tersebut untuk mendengar taklimat daripada
pihak penganjur mengenai perjalanan dan aktiviti yang disusun mereka selama dua
minggu kami berada di sini. Seramai 5 orang kakitangan daripada pihak penganjur
menyertai kami dan memberikan ucapan selamat datang serta taklimat mengikut
bahagian tugasan masing-masing. Sepanjang hari Isnin itu, kami hanya mendengar ucapan dan melakukan beberapa
aktiviti sekiranya diminta untuk melakukannya. Bagi watak sebenar,
aktiviti-aktiviti yang dirancang pada hari pertama itu adalah lebih kepada sesi
bersua kenal dan untuk mengenali dengan lebih rapat di antara para peserta
dengan para peserta serta para peserta dengan pihak penganjur. Walaupun
sesetengah orang menganggap sesi seumpama ini bersifat bosan. Namun, sesi
inilah yang watak sebenar anggap paling penting kerana kita akan saling
memerlukan di antara satu sama lain sepanjang sesuatu program itu dijalankan.
Kami
juga dibekalkan dengan beberapa keeping kupon untuk keperluan makan sarapan
pagi dan makan tengah hari di cafeteria kampus tersebut. kupon berjumlah rm15
untuk dua kali makan itu akan diagihkan keppada para peserta pada setiap hari.
Sementara sesi makan malam pula
disediakan di tempat penginapan. Jarak di antara tempat penginapan kami dengan
kampus IPT tersebut adalah lebih kurang 1.5 KM dengan melalui jejantas dan
laluan pejalan kaki yang disediakan. Sebab itulah hamper setiap kali kami
berulang-alik pergi dan balik dari kedua-dua tempat ini, hujan sering membasahi
baju kami dan ia akan kelihatan lebih kuyup apabila telah menamatkan perjalanan
sejauh 3 KM.
Satu
perkara yang menarik bagi watak sebenar mengenai kem pembangunan pelajar ini adalah
terdapatnya aktiviti oud-door di antara peralihan minggu pertama dengan minggu
kedua iaitu pada hujung mminggu.
Pada
hari jumaat 13 Jun sebaik sahaja kami menunaikan solat Jumaat, kami telah
dibawa ke sebuah lagi lokasi baru. Pada hujung minggu itu, kami telah menyertai
aktiviti yang bertemakan riadah pula di salah sebuah kem rekreasi yang terletak
di daerah Semenyih, Selangor. Setelah kembali dari masjid dan berkemas-kemas
membawa barangan keperluan yang telah dimaklumkan, kami terus sahaja menaiki
dua buah bas persiaran yang telah disediakan. Perjalanan itu tidaklah begitu
jauh dan hanya memakan masa lebih kurang 1 jam setengah.
Bagi
watak sebenar, ia adalah sebuah pengalaman yang baru dalam menyertai aktiviti-aktiviti
yang dirancang sepanjang 3 hari 2 malam kem out-door ini dijalankan. Sebelum
ini pun watak sebenar telah banyak menyertai kem-kem rekreasi dan turut mencuba
beberapa aktiviti lasak sewaktu bersekolah menengah dahulu. Namun, di kem yang
watak sebenar sertai baru-baru ini terdapatya sebuah aktiviti yang
menghadiahkan pengalaman baru bagi watak sebenar dan juga pengalaman baru bagi sebahagian
besar rakan-rakan seperjuangan. Aktiviti night trekking di kem ini dianggap
paling istimewa bagi watak sebenar dalam senarai kem-kem yang pernah watak
sebenar lalui. Sebelum ini, watak sebenar ada melakukan jungle trekking sewaktu
di tingkatan 1 dan tingkatan 5. Tetapi kembara hutan itu hanyalah dilakukan
pada waktu siang. Berbeza dengan kembara hutan yang watak sebenar tempuhi
baru-baru ini kerana kembara hutan ini dilakukan pada waktu malam dan ianya
berlarutan sehingga ke tengah malam.
Kami
dipecahkan kepada 9 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 9 orang ahli. Dalam
aktiviti night trekking ini, setiap kumpulan dikehendaki memasuki hutan satu
per satu dan perlu berikhtiar mencari jalan keluar dari hutan itu dengan
kekuatan fizikal dan mental yang dimiliki oleh ahli-ahli kumpulan. Bagi
memudahkan kami untuk mencari jalan keluar, pita-pita pelekat telah ditampalkan
pada pokok-pokok sepanjang jalan yang betul dan kami hanya perlu mengikut
jalan-jalan yang hanya mempunyai pita-pita pelekat sahaja yang ditampalkan pada
pokok-pokok sekitarnya. Sekiranya kami menemui pokok yang berpita pelekat,
maknanya itu adalah jalan yang betul, jalan yang tidak membawa para peserta
tersesat ke dalam hutan yang lebih tebal di bawah pandangan bulan purnama. Sekiranya
tidak, mungkin kami gagal untuk menemui jalan keluar. Jarak antara pokok-pokok
yang berpita pelekat itu adalah lebih kurang 3 ke 5 meter.
Kami
juga dibekalkan dengan tiga buah lampu suluh. Kumpulan watak sebenar
menggunakan bantuan lampu suluh di hadapan di tengah dan di belakang. Kami juga
ditugaskan untuk mengira jumlah pita pelekat yang ditampalkan pada pokok-pokok
sekitarnya selain perlu membawa bendera kumpulan. Jarak di antara masa
pelepasan kumpulan dengan kumpulan yang lain adalah panjang. Hal ini adalah
untuk mengelakkan satu kumpulan itu bertemu dengan kumpulan yang berada di
hadapannya.
Sepanjang
watak sebenar berada di dalam hutan tersebut, pelbagai bentuk muka bumi hutan
perlu diharungi. Kami terpaksa mendaki bukit yang hamper menegak, menuruni
cerun bukit yang dalam, menyeberangi sungai dan berhadapan dengan dua tiga
simpang jalan yang berada di tengah hutan tersebut. Ada kalanya kami perlu
menghadapi bukit yang berbatu dan licin dan ada kalanya kami perlu berhadapan
dengan rintangan pokok-pokok buluh yang melintang. Ada juga laluan yang mana di
persekitarannya hanya terdapat pokok-pokok berduri selain perlu melalui satu
kawasan yang berlumpur. Gigitan nyamuk dan pelukan keringat pada tubuh sewaktu
itu sudah tidak dipedulikan lagi.
Sebelum
night trekking itu diadakan, faci-faci yang bertanggungjawab ada memberitahu
langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya dipatuk oleh ular, disondol oleh
babi hutan dan sebagainya. Tambah mereka lagi, lampu suluh hanya boleh
dipancarkan hanya setakat paras pinggang. Hal ini untuk mengelakkan tarikan
cahaya oleh binatang liar. Jika dipancarkan terlalu tinggi pula, sesuatu yang
??? akan kelihatan di rimbunan daun-daun pokok. Tambah mereka lagi, kami perlu
berjalan seperti ketam sekiranya menuruni cerun bukit yang curam serta licin
dan elakkan daripada terlalu banyak menggoyangkan pokok sewaktu berpaut dan
jangan sesekali menjerit. Sekiranya kami benar-benar menyedari yang kami sudah
sesat, faci-faci tersebut menasihatkan supaya menunggu sahaja di kawasan itu dan
bantuan pihak ranger akan sampai.
Sewaktu
itulah segala nilai-nilai murni yang telahpun dipelajari diperlukan serta
dipraktikan. Nilai kerjasama penting bagi melancarkan perjalanan ahli-ahli
kumpulan sebagai satu pasukan. Nilai setia diperlukan untuk sentiasa mendengar
arahan ketua sekiranya wajar diikuti. Nilai kebijaksanaan diperlukan bagi
membuat keputusan yang tepat dan bijak dalam memilih simpang jalan-jalan yang membawa
ke jalan untuk keluar hutan sewaktu berhadapan dengan pelbagai pilihan jalan.
Nilai keberanian diperlukan bagi memotivasikan diri supaya diri berupaya
melakukan apa sahaja tanpa diganggu oleh
perasaan takut dan seram apabila berada di tengah hutan. Nilai beriman pula diperlukan
bagi memohon perlindungan daripada Allah supaya tidak diganggu oleh binatang
liar mahupun binatang berbisa.
Aktiviti
night trekking itu memakan masa hamper 3 jam. Kami memulakan aktiviti itu pada
jam 9.30 malam dan berakhirnya lebih kurang jam 12.30 tengah malam. Satu
aktiviti yang boleh dikatakan mencabar dan meletihkan di samping memerlukan
pengorbanan dari setiap ahli kumpulan.
Banyak
lagi aktiviti riadah yang watak sebenar serta rakan-rakan lalui selama berada
di kem rekreasi tersebut. Di antaranya ialah exploras, persembahan malam
muhibbah dan praktikal cara-cara mendirikan solat dengan sempurna serta
perbezaan pendapat di antara pergerakan dalam solat. Selama 3 hari 2 malam
berada di situ, memang tidak putus-putus kami berhadapan dengan satu aktiviti
ke satu aktiviti yang lain. Kami juga berpeluang untuk mandi sungai dan merasai
nikmat air sungai yang dingin dan bersih. Bagi watak sebenar, ianya amat
memenatkan tetapi disebabkan adanya pengalaman baru dan memperoleh banyak
manfaat, maka kepenatan itu bagaikan tiada erti.
Kami
kembali ke tempat penginapan di Kuala Lumpur pada tengah hari Ahad. Kemudian, kami
meneruskan kembali program-program yang telah sedia dirancang di kampus IPT
tersebut sehinggalah menjelangnya hari Sabtu, 21 Jun yang mana tarikh terakhir
kem pembangunan pelajar itu dilangsungkan.
Sebelum
kami berangkat pulang ke negeri masing-masing, kami mengambil kesempatan untuk
berjalan-jalan di salah sebuah pusat beli-belah berhampiran untuk menikmati
detik-detik terakhir perjumpaan kami di kem tersebut. Watak sebenar juga tidak
melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama yang lain di sudut-sudut yang
menarik di dalam pusat beli-belah itu. Ada di antara kami yang melayari
detik=detik terakhir itu dengan bermain boling dan ada juga yang menonton filem
di pawagam. Watak sebenar dan yang lainnya pula meraikan detik-detik itu dengan
menikmati juadah makanan bersama-sama. Sesampainya di tempat penginapan, watak
sebenar tidak melepaskan peluang untuk mandi kolam di hari terakhir bersama-sama
yang lain yang ketika itu sudahpun berada di situ. Lebih kurang 45 minit, kami
kembali ke bilik masing-masing untuk berkemas-kemas barang. Kami perlu check-out
dari tempat penginapan itu keesokan paginya di antara jam 10.00 pagi sehingga
jam 12.00 tengah hari.
Rata-rata
pengisian dan ilmu yang disampaikan sepanjang kem ini amat baik dan berfaedah
kepada watak sebenar. Bermula dari bridging programme sehinggalah ke hari
persembahan sketsa Bahasa Inggeris yang bertemakan relationship Jumaat lalu,
semuanya amat memuaskan hati. Dalam kem pembangunan pelajar ini, watak sebenar
dan sebahagian rakan-rakan yang lain telah menimba satu pengalaman yang baru
juga. Sepanjang kami berada di kampus IPT ini, kami digalakkan untuk
berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris daripada perbualan kosong sehinggalah ke
acara formal. Segala bentuk aktiviti seperti taklimat, ceramah, pengajaran di
kelas mahupun aktiviti perbincangan dan permainan para peserta sememangnya
dituturkan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. Bagi watak sebenar, ianya suatu
perkara yang baik dan meningkatkan keyakinan watak sebenar untuk berkomunikasi
dalam bahasa kedua itu secara berterusan.
Watak
sebenar amat berasa bertuah kerana memperoleh rakan-rakan yang baru setelah
menyertai kem ini. Terima kasih kepada pihak penganjur dan jutaan penghargaan
juga kepada faci-faci yang bertanggungjawab mengendalikan kami sewaktu berada
di kem rekreasi hujung minggu yang lalu.
Terima
kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu watak sebenar sepanjang dua
minggu berada di kem tersebut. Semoga kalian Berjaya menterjemahkan cita-cita
kalian menjadi reality. Selepas ini, ada di antara kita yang akan melanjutkan
pengajian di peringkat asasi, diploma, ijazah, A-level atau IB, diharapkan tali
persahabatan kita dapat dikekalkan untuk sentiasa erat. Kepada anda, terima
kasih kerana sudi membaca cerita ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan