WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Sabtu, 20 September 2014

Ikhtibar Daripada Sejarah



Assalamualaikum dan salam sejahtera


Ya betul, Islam itu memang indah.


Tindakan awal dalam perkiraan Nabi Muhammad S.A.W. setelah membuka Kota Madinah ialah menyatu-padukan golongan muhajirin, Ansar serta Yahudi menjadi satu anggota masyarakat yang berkongsi kepentingan bersama yakni Negara. Muhajirin kumpulan yang mengikuti Baginda berhijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. Ansar kumpulan yang memberi bantuan kepada muhajirin seperti bantuan makanan, tempat tinggal serta perempuan untuk diperisterikan setelah mereka tiba di kota Madinah. Sementara Yahudi pula satu kumpulan penduduk yang telah lama menetap di situ. Sebaik sahaja Baginda Rasulullah berjaya membina sebuah ikatan ukhuwah yang erat dan membentuk satu identity bersama, maka nilai murni antara lainnya saling menghormati sesama anggota kumpulan akan wujud.

Setelah selesai melakukan proses integrasi itu, maka barulah Baginda Rasulullah menjalankan hal-hal pentadbiran seperti memperbaiki dasar politik Negara berdasarkan wahyu dan seterusnya mengembangkan kegiatan ekonomi Madinah. Di zaman inilah sejarah Islam mencatatkan berlakunya perluasan syiar Islam itu sehingga ke Parsi. Dari sudut kejayaan ekonomi  juga semakin pesat apabila banyak aktiviti perdagangan telah dijalankan. Industri tekstil dan industry pertanian juuga menjadi semakin berkembang.


Penyatuan dan kebersamaan adalah suatu aspek yang penting dalam sesebuah unit organisasi tidak kira organisasi itu bersaiz besar ataupun kecil.


Sekiranya nilai penyatuan dan kebersamaan tidak wujud dalam sesebuah organisasi, maka organisasi itu akan jatuh kerana tiadanya tiang sokongan daripada ahli-ahlinya. “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta”, tema sambutan hari kemerdekaan Negara dan Hari Malaysia pada tahun ini telah meletakkan 3 prinsip asas yang menjadi teras kekuatan Masyarakat majmuk Malaysia. Dalam amanat YAB Peerdana Menteri baru baru ini, beliau ada menyebut tentang prinsip-prinsip ini dan yang amat dititikberatkan ialah soliderasi yakni membawa erti perpaduan.
Begitulah juga praktikalnya dalam sesebuah organisasi atau persatuan. Langkah menyatu-padukan ahli-ahli kumpulan seterusnya mengenali antara satu sama lain perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum melangkah ke hadapan untuk memulakan sesuatu tugas, projek atau sebagainya dalam organisasi tersebut.


Apa akan jadi sekiranya nilai-nilai kebersamaan itu tidak diamalkan terlebih dahulu? Jawapannya sebarang tugas, projek atau apa-apa kerja yang memerlukan sokongan dua atau lebih ahli akan kurang Berjaya. Lebih malang lagi apabila ada di antara ahli-ahli kumpulan yang berpecah membentuk puak-puak kecil. Sementara yang lainnya lebih mementingkan diri sendiri daripada kepentingan organisasi. Jika ini berlaku, kerjasama dalam mencapai matlamat organisasi akan menjadi sukar kerana hanya sebahagian kecil sahaja ahli-ahli kumpulan yang benar-benar ingin memperjuangkan matlamat organisasi. Bagi pandangan watak sebenar, kumpulan yang pasif terhadap organisasi itu tidak boleh dipersalahkan 100 % sekiranya ketua tidak menerapkan nilai-nilai kebersamaan itu terlebih dahulu. Dalam Hubungan Antarabangsa, identity menjadi kaedah untuk mengharmonikan masyarakat antarabangsa. Contohnya, seorang saudagar Amerika Syarikat boleh menyumbang berjuta dollar kepada mangsa-mangsa Tsunami di Acheh atas dasar identity satu masyarakat dunia. Jepun dan Jerman tidak menggunakan sumber nuclear untuk membangunkan industry senjata api atas dasar identity kumpulan Negara-negara yang anti-peperangan. Askar-askar dari pelbagai Negara boleh bersatu dan bekerjasama kerana identity sebagai satu pasukan pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB). Pemain bola sepak dari pelbagai bangsa dan Negara boleh bermain di atas padang kerana identity sebagai sebuah kelab.


Perang Uhud dalam imbasan sejarah Islam telah menjadi saksi terhadap kemerosotan nilai-nilai kebersamaan. Dalam perang tersebut, kumpulan Yahudi enggan bersama-sama Baginda Rasulullah untuk berperang menentang Arab Quraish. Lebih malang lagi apabila ada di antara mereka yang bersubahat dengan pihak musuh mengkhabarkan tentang kelemahan-kelemahan tentera Madinah. Inilah yang ditakuti oleh mana-mana kumpulan dalam berorganisasi. Mereka bukan sahaja tidak menyokong tugas, projek atau matlamat organisasi, malahan berhasrat menjatuhkan organisasi sendiri.


Sehubungan itu, bagi pandangan watak sebenar, sebelum sesuatu organisasi itu menjalankan tugas, projek atau ingin mencapai matlamatnya, maka adalah penting untuk diterapkan terlebih dahulu nilai-nilai kebersamaan itu kepada ahli-ahli kumpulan. Apabila satu identity bersama telah dibina, maka ahli-ahli kumpulan akan cuba mengurangkan kepentingan diri dan bekerja untuk kepentingan bersama. Salah satu kelemahan OIC adalah kebanyakan Negara-negara ahli lebih mementingkan manfaat Negara berbanding dengan manfaat organisasi. Akibatnya, setiap projek atau dasar organisasi yang ingin dilaksanakan akan kurang mendapat sambutan dan akhirnya gagal berfungsi seperti mana yang diharapkan.


Identiti, satu perkataan yang mudah disebut tetapi sukar untuk direalitikan dalam pengamalan organisasi. Jika ditanya kepada watak sebenar, maka watak sebenar akan merujuk kepada sesebuah Negara. Mengapa sesebuah Negara itu mempunyai bendera, lagu kebangsaan, jata Negara seta lambang-lambang tertentu?
Maka jawapan yang sesuai adalah untuk membina satu identity bersama. Dengan usaha itu, diharapkan agar rakyat mencintai negaranya dengan berpaksikan medium-medium identity tersebut. Maka, tidak hairanlah mana-mana organisasi atau persatuan masing-masing mempunyai medium-medium identiti tersebut demi mencapai matlamat organisasi. Sekiranya itu jelas, ahli-ahli akan berasa lebih bersamangat untuk berdiri atas nama organisasi. Setelah ahli-ahli jelas dan faham akan semua perkara tersebut, maka barulah perkataan “belot” itu boleh timbul sekiranya didapati ada di antara ahli-ahli yang pasif dan tidak memacakkan tiang sokongan. Usaha mencapai nilai kebersamaan ini bukan sahaja sedang berjalan di peringkat organisasi kecil, malahan di peringkat sebuah Negara juga masih lagi mengharapkan kejayaan dan hasilnya. Sebab itulah di Malaysia sahaja, pelbagai slogan dan lagu berbentuk perpaduan sering diperkenalkan silih berganti.


Apa-apa pun, , setiap sejarah yang telah berlaku itu penting untuk kita ketahui dan dijadikan ikhtibar.


(Sekadar pendapat dan pemikiran yang tidak sempurna)

Khamis, 11 September 2014

Watak Sebenar Kembali, (Sekadar Bersembang)



Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Sudah agak lama watak sebenar tidak muncul dalam laman enciksantai.blogspot. Alhamdulillah, kali ini watak sebenar ada kesempatan untuk meneruskan semula terbitan dalam halaman ini.
Kali ini watak sebenar tidaklah mempunyai terbitan-terbitan menarik. Hanya sekadar meng-update perjalanan hidup diri ini sahaja. Sesiapa yang kerapk kali mengikuti blog ini sememangnya akan tahu bahawa watak sebenar sudahpun menamatkan alam persekolahan selepas selesai mengakhiri STPM.


Tetapi kini, watak sebenar sudahpun Berjaya menjejakkan kaki ke sebuah university tempatan yang terletak di ibu kota. 1 September 2014, itulah tarikh di mana watak sebenar telah mendaftarkan diri ke university yang dimaksudkan dan akan melakukan persedian bagi mendapatkan ijazah sarjana muda dalam tempoh 3 tahun setengah. InsyaAllah. Termasuk watak sebenar, sejumlah 3174 mahasiswa mengisi kekosongan lanjutan belajar ke IPT ini bagi kemasukan sesi 2014-2015. Daripada jumlah itu, sebahagian besarnya telah mendaftarkan diri di 12 buah kolej kediaman masing-masing dan telah pun bergelar mahasiswa university ini.


Pada minggu pertama kami di menara gading tersebut, kami dikehendaki mengikuti program Minggu Haluan Siswa sebagai sesi orientasi. Pelbagai taklimat dan makluman juga telah disalurkan dalam minggu tersebut dan berterusan pada tarikh-tarikh akan datang. Dalam minggu tersebutlah kami diperkenalkan dengan organisasi tertinggi dalam pentadbiran university ini seterusnya organisasi tertinggi bagi jabatan-jabatan yang penting bagi kami ketahui. Dalam minggu ini juga kami diarahkan supaya menyertai pertandingan antara kolej kediaman sama ada pertandingan bertemakan kesukanan ataupun kesenian. Sememangnya jadual masa dalam minggu orientasi itu terlalu padat dan memenatkan semua mahasiswa tahun pertama. Namun begitu, sekiranya tiada komitmen yang baik daripada pihak kami, masakan program tersebut akan Berjaya dan meriah sebagaimana yang telahpun berlangsung dengan penuh bersejarah sekali.


Dalam Minggu Haluan Siswa inilah juga, watak sebenar mengenali siapa alunnai daripada university ini. Di antaranya dan telahpun diundang dalam program Malam Road To Success termasuklah Aznil Haji Nawawi, pengacara popular dan Mejar Dr. Faiz Khalid, angkasawan Negara kedua. Bukan dua tokoh ini sahaja yang pernah bergelar mahasiswa di university ini. Tetapi ramai lagi dan sebahagian daripadanya telahpun menjadi pentadbir Negara. Sudah pastinya langkah watak sebenar serta rakan-rakan yang lain beru sahaja bermula dan watak sebenar yakin dan pasti inilah langkah kanan untuk mencapai bintang kejayaan.


Dalam minggu kedua, kelas kuliyah pula berlangsung. Setelah para mahasiswa baru mendaftar kertas peperiksaan yang akan diambil, kami mula memasuki sesi kuliyah mengikut kursus yang didaftarkan. Mungkin ini juga pengalaman pertama bagi mahasiswa tahun pertama. Kami diwajibkan untuk mendaftarkan kursus dengan jumlah maksimum 18 kredit, jumlah yang standard bagi mana-mana university awam. Watak sebenar turut menghadiri sesi kuliyah mengikut kursus yang telah diambil. Sehingga hari ini, watak sebenar telahpun mengikuti 6 sesi kuliyah dan masih ada 2 sesi kuliyah yang berbaki dalam minggu kedua ini. Rata-rata pensyarah menasihati para pelajarnya supaya sentiasa proaktif dan kuat berusaha memandangkan semuanya dalam tahun yang pertama. Para pelajar juga digalakkan supaya menjadi mahasiswa yang bermaklumat di samping produktif dengan kerja-kerja yang diminta termasuklah tugasan perbentangan dan assignment. Bagi watak sebenar, semua nasihat itu benar dan perlu dipraktikkan. Namun begitu, dalam mengejar segulung ijazah di masa depan, tugas dan tanggungjawab masa ini dan selama-lamanya sebagai hamba Allah tidak boleh dilupakan.


Jika di alam persekolahan dahulu, segala aktiviti dan pergerakan akan dikawal oleh para guru dan ibu bapa. Jadual masa belajar di alam persekolahan juga adalah seragam dan tidak berselerak. Tetapi apabila sudahpun  belajar di menara gading, mahasiswa itu akan bebas dan lebih banyak berdikari. Bukan bermaksud tidak ada siapa yang mengawal tingkah laku dan perbuatan yang boleh dianggap jenayah, namun kehidupan di university lebih banyak memberi peluang kepada mahasiswa itu untuk membuat keputusan sendiri. Ditambah pula dengan jadual masa sesi kuliyah yang berselerak sehinggakan berlarutan pada waktu malam, maka seorang mahasiswa yang memakai gelaran muslim perlu kuat untuk meneruskan amalan wajib yang semestinya jadual masanya telah ditetapkan oleh Allah.
Dalam soal membuat keputusan pula, hanya iman yang akan menjadi pengukurnya. Jangankan pula kita bersemangat menunaikan fardhu kifayah yakni Berjaya dalam hidup tetapi tanpa disedari telah membelakangi syariat agama. Bagi watak sebenar, tidak berguna jika belajar dan berusaha dengan kuat, tapi melakukannya bukan dalam keadaan yang berkat. Apa yang penting, rezeki kejayaan itu datangnya dari Tuhan juga.


Watak sebenar mengharapkan diri ini dan rakan-rakan agar sentiasa berada di bawah lindungan rahmat Tuhan. Dengan itu, proses pembelajaran akan menjadi mudah dan mahasiswa itu sendiri akan sentiasa tenang. InsyaAllah.
Selamat menuntut ilmu di alam menara gading, ikhlas dari watak sebenar kepada semua mahasiswa lepasan STPM dan setaraf kemasukan ke IPTA bagi sesi tahun 2014-2015.

Jumaat, 15 Ogos 2014

Sajak Kehilangan



Kehilangan

Di kebunan lapang ini,
Adanya aku dan kalian,
Aku yang menanam benih,
Kalian yang menjaga pepohonnya,
Lalu tumbuh rimbun di rimba perjuangan,
Buahnya lebat berupa sebuah persahabatan.


Tatkala kedinginan rimba itu menggigit tulangku,
Tatkala angin subuh menghembus seberkas kegusaran,
Tatkala itulah jua kalian bertandang ke dangauku,
Menyelimuti diri ini dengan sehelai ketenangan,
Begitulah jua lakuku di hari-hari kita.


Masih ingatkah kalian?
Di kala senyum mentari di kaki langit,
Aku engkau dan kita bertujuh,
Mengukir senyuman di balik jernihan anak sungai,
Mewarnai lukisan masa depan di pinggiran tebing,
Sambil ditemani lambaian dedaun hijau,
Menyanyikan lagu persahabatan,
Lalu hujan turun,
Kita berasak di sebuah pondok kecil,
Bercerita tentang impian.


Begitulah kronologi dalam novel hidup kita,
Kadangkalanya langit di angkasaraya tidak kelihatan cerah,
Kadangkalanya malam purnama tidak dihiasi cahaya bintang,
Kita masih bersama,
Masih leka bermain di jernihan air,
Sekalipun airnya dari lautan biru membuas,
Bahtera ini teguh belayar.

Tetapi tidak di ketika ini,
Kita hilang dan Tenggelam dalam sebuah perjuangan,
Terpisah dan lemas dalam arus dunia,
Arus itu deras bagi kita bermain,
Tidak seperti aliran sungai di masa lampau,
Sudah kurasakan langit ini tidak lagi cerah,
Sudah kusedari lagu persahabatan tidak lagi berkumandang.


Hari ini,
Aku masih menjejaki detik-detik cemas itu,
Detik di mana kita hanyut ditelan arus zaman,
Aku pasti kalian jua begitu,
Pepohon yang kita pelihara dahulu masih rendang,
Masih menanti tetamu bermain di bawahnya,
Jernihan anak sungai masih lagi riang,
Masih mengalirkan sebuah kedamaian,
Untuk kita,
Untuk persembahkan kembali hasil lukisan di masa lalu.


Demikianlah terbitan sajak Mat Santun dalam segmen Karya oh Karya. Diharapkan anda terhibur dan gembira menghayatinya.


Seindah Bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Jumaat, 18 Julai 2014

Tragedi MH17, Malaysia Menjadi Tumpuan Lagi

Assalamualaikum dan salam sejahtera


Selepas dikejutkan dengan tragedi kehilangan pesawat MH370, kita digemparkan dengan sebuah lagi tragedi yang juga melibatkan pesawat dari syarikat Malaysia Airline. Pesawat MAS Mh17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dikatakan telah terhempas di Timur Ukraine dekat sempadan Ukraine-Rusia setelah jatuh ditembak pada ketinggian 10000 meter.

Pihak yang menembak pesawat malang ini sudah pastinya di antara tentera Ukraine ataupun pihak pemisah pro-Rusia. Ini kerana, konflik di antara kedua-dua pihak ini masih berterusan dan perang di sekitar lokasi kejadian masih berlaku. Beberapa hari sebelum insedin nahas pesawat MH17 ini pun, berita asing melaporkan pihak ppemisah pro-Rusia ada menembak pesawat pengangkutan Ukraine. Andaian awal dalam kejadian ini adalah mungkin mereka beranggapan pesawat milik MAS yang melalui ruang udara itu adalah milik military Ukraine. Menurut sumber berita yang lain pula menyebut, peluru berpandu itu berkemungkinan disasarkan pada sebuah pesawat Rusia yang dikatakan membawa Presiden Negara itu ketika dalam penerbangan. Namun malangnya, MH17 yang terlebih dahulu melalui jalan tersebut dari pesawat berkenaan lalu ditembak dan sasaran sebenar tidak menepati. Walau bagaimanapun bentuk rupa ceritanya, pihak yang bertindak sedemikian perlu tampil ke hadapan dan bertanggungjawab terhadap tragedy yang berlaku.

Sementara itu, Pesatuan Peengangkutan Udara Antarabangsa(IATA) melaporkan pesawat MH17 berada di ruang udara yang terbuka yang tidak tertakluk kepada sekatan. - Reuters
Ini bermakna, didapati memang pesawat Boeing 777 ini melalui ruang udara yang selamat dan boleh digunakan oleh mana-mana pesawat komersial.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib turut meluahkan rasa terkejutnya di akaun twitter miliknya. Beliau menegaskan kajian dan penyelidikan ke atas nahas pesawat akan segera dilakukan. Dalam sidang media yang dibuat, Beliau mengatakan sekiranya pesawat MH17 ditembak  jatuh, pihak yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan. Beliau juga berharap agar serpihan dan kotak hitam pesawat tidak sepatutnya diusik.

Syarikat Boeing turut sedia menawarkan sebarang bantuan sekiranya diperlukan khususnya mengenai ciri-ciri khas pesawat itu. Sememangnya dunia sekarang ini tertumpu pada tragedy MH17. Di twitter sahaja, sudah beberapa hashtag berkaitan pesawat ini menjadi trending sama ada di Malaysia mahupun global.

Hingga setakat ini, MAS mengesahkan sejumlah 44 rakyat Malaysia termasuk 2 bayi telah terkorban. Angka korban nahas paling ramai adalah warga Belanda iaitu sejumlah 154 orang. Sementara mangsa korban yang lain turut melibatkan warga Jerman, UK, Belgium, Filipina, Indonesia, Kanada, Australia dan New Zealand.(angka tidak rasmi) Pesawat MH17 yang bertolak dari Amsterdam lebih kurang jam 12.15 P.M. pada 17 Julai itu dan dijangka tiba di Kuala Lumpur jam 6.10 A.M. telah terhempas ketika melalui sempadan Ukraine-Rusia dan MAS mengesahkan semua penumpang di dalamnya telah terkorban. Disebabkan tragedi tersebut, Badan Keselamatan Penerbangan Eropah mengambil tindakan selamat dengan menutup Ruang udara timur Ukraine sehingga diberitahu kelak. - AFP

Pastinya tumpuan kita beralih pada misi pencarian bangkai pesawat dan paling penting ialah kotak hitamnya yang mengandungi pelbagai maklumat sebelum dan semasa tragedi berlaku. Ada sumber yang memetik, Kumpulan pemisah pro-rusia di timur Ukraine mendakwa, mereka telah menemui kotak hitam pesawat MH17 yang terhempas. - Interfax
Sementara Ketua Situasi Kecemasan Ukraine berkata, usaha mencari di lokasi nahas pesawat MAS ini menghadapi ancaman pengganas bersenjata. - Reuters

Walau apa-apapun, kita sebagai rakyat Malaysia khususnya dan penduduk dunia umumnya perlu bertenang tatkala berdepan dengan situasi ini. Apatah lagi ianya melibatkan korban manusia dan banyak Negara terlibat. Malaysia harus bijak menggunakan pendekatan diplomatic yang sesuai dalam menangani isu ini agar dapat memuaskan hati pihak berkaitan. Pengalaman yang hamper serupa mungkin boleh digunapakai sewaktu mengendalikan nahas MH370. Akan tetapi, tragedi yang ini lain pula isi ceritanya. Agak mengejutkan juga berita ini bagi watak sebenar dan mungkin juga bagi anda. Malahan, sebelum nahas itu berlaku pun, MAS telah mengesahkan bahawa tiada panggilan kecemasan dari MH17 dan operasi penerbangannya juga berlaku seperti biasa.

Pada masa inilah sikap toleransi dan kerjasama penting dititikberatkan oleh Negara-negara terlibat tanpa mengenal perbezaan politik dan agama. Diharapkan agar di sebalik tabir kejadian ini dapat dirungkai dengan jayanya. Kepada ahli keluarga mangsa, salam takziah diucapkan. Pastinya, ada hikmah di balik suatu perkara yang berlaku itu.

Isnin, 14 Julai 2014

Gaza Dibedil Lagi, Luahan Rasa

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Hanya disebabkan kes kematian 3 orang remaja yang tidak tahu akan punca kematiannya, perang boleh meletus dan terus dilancarkan. Macam tak logik. Yang ligiknya ada udang di sebalik batu. Hanya disebabkan itulah juga, semakin hari semakin ramai rakyat Palestin yang terbunuh, mati syahid di jalan Allah dan jumlah korban telah mencecah angka 172  orang hingga setakat hari ke-7. Sementara beratus-ratus yang lain cedera akibat peperangan yang dilakukan oleh rejim zionis di Gaza.


Hampir saban hari kita mendengar berita mengenai konflik yang sedang meruncing di antara Israel dan Palestin. Tangisan kanak-kanak serta penderitaan yang dialami bagaikan seberkas pengalaman dalam perjuangan mempertahankan agama serta Negara. Lebih menyedihkan, mereka terpaksa menyambut bulan Ramadhan tahun ini dengan bertemankan bunyi tembakan senjata api dan ngauman letupan bom tentera zionis.


Hampir saban kali jugalah apabila terdengar berita peperangan di antara Israel dan Palestin, kita akan memboikot barangan Israel demi menyekat perkembangan ekonomi mereka agar mereka tidak dapat menjana pendapatan untuk membeli senjata api yang baru. Pada masa itu, nama-nama seperti mac-donald, Coca Cola dan lainnya sering mendapat perhatian orang ramai. Memang di Israel sana, watak sebenar difahamkan industry utama Negara haram itu adalah pembuatan senjata api. Buat apa cipta senjata api banyak-banyak kalau tujuannya bukan untuk perang. Kalau bukan perang senjata api itu pun, perang psikologi Negara mana yang memiliki sistem pertahanan yang canggih. Betul?


Apa yang watak sebenar tahu, di Palestin ada terdapatnya sebuah tempat yang dianggap suci bagi 3 penganut agama yang berbeza iaitu Islam Kristian dan Yahudi. Bagi penganut Islam, masjidil absa di baitulMakdis adalah tempat suci dan sesiapa yang melakukan amal ibadah di dalamnya, pahala mereka akan digandakan. Bagi penganut Yahudi, mereka menganggapnya sebagai castle of Sulaiman. Mereka menjadikan kawasan itu sebagai tempat suci juga. Tambahan pula, ramai dari kalangan nabi pernah bermaustautin di wilayah tersebut dan apa kaitannya dengan  Israel ini ialah nabi-nabi tersebut adalah berbangsa Israel. Mungkin disebabkan itulah mereka gemar berperang, jihad la katakan jika menggunakan istilah Islam.


Itu tujuan peperangan dari aspek sejarah agama. Dari segi  politik pula, Israel tidak henti-henti membedil bumi Palestin untuk menceroboh kawasan jajahan Palestin lalu menjadikan sedikit demi sedikit tanah itu milik mereka. Sedangkan, mereka dari azali lagi memang bertapak di tanah orang. Kesan daripada perluasan wilayah tersebut, Israel telah mengambil kesempatan untuk membangunkan rumah-rumah kediaman bagi rakyat mereka. Wilayah Israel sekarang ini sudah semakin besar. Bila dah semakin besar, maka besarlah penderitaan rakyat di tanah yang merdeka. Sampai bila Israel ni nak  ceroboh tanah orang ha…


Soalan tu semua orang boleh lontarkan. Tapi nak cari jawapannya memang sukar.
Apa yang muslim sejagat boleh buat khusus untuk membantu saudara seagama yang ditindas ialah dengan berdoa memohon kepada Allah agar memberikan perlindungan dan keselamatan kepada mereka. Macam itulah setiap kali situasi ini berlaku, Negara Jordan tidak putus-putus memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin yang ditindas dengan menyediakan kem perlindungan bagi orang-orang pelarian. Seperti kita juga dan seluruh umat manusia di dunia ini, setiap kali situasi itu berlaku, misi keamanan akan segera didatangkan, bantuan makanan, bantuan perubatan dan bantuan pakaian kerap kali dihulurkan. Nama-nama agensi PBB juga banyak kali kedengaran di stesen-stesen tv dan corong-corong radio seperti UNHCR, UNICEF dan sebagainya.
Pbb sendiri juga mulai berkata-kata sepatah dua berkaitan dengan peperangan yang berlaku di antara Palestin dan Israel ini. Namun, semua itu bagaikan tiada ertinya bagi mereka yang bergelar rejim zionis.


Suatu ketika dahulu, watak sebenar pernah terdengar sesuatu daripada orang yang arif, orang itu menyampaikan maklumat yang berbunyi seperti ini:
“qiamat tidak akan berlaku sebelum meletusnya peperangan besar-besaran di antara Islam dan Yahudi”.

Masuk konflik yang terbaru ini, sudah banyak kali dua Negara ini bersengketa. Persoalannya, bila perang besar-besaran di antara kedua mereka ini akan bermula…