Jumpa lagi bersama-sama anda. Mat Santun ada terbitan baru untuk dikongsi bersama buat anda semua. Dalam Segmen Renungan kali ini, kita akan membicarakan tentang (Yang mana baik, yang mana buruk.) Bacalah, semoga kita mendapat manfaat dari padanya.
Kitol penat berjalan di hutan itu. Entah di mana dia sekarang berada. Dia memang bernasib baik. Selepas segalanya berlaku, dia terus menerpa ke arah ngauman hurtan untuk menyelamatkan diri dari pada ditangkap dek polis. Nasib rakan-rakannya dia tidak mengetahuinya, mungkin mereka sudah digari dan dihumban dalam penjara. Mungkin juga mereka turut mengambil langkah seribu menyembunyikan diri. Memang berbahaya kegiatan penyeludupan dadah ini. Tersalah langkah, merana menanti mengikat diri ke lubuk penyesalan.
Kitol tiba di perkarangan hutan yang indah. Di situ, terdapat sebuah air terjun yang mengalirkan airnya dengan deras. Suasananya pun sepi serta menyamankan. Di situ juga, terdapat bau-bauan durian yang kuat. Barangkali pasti terdapat sebuah perkampungan orang asli. Kitol menuruni tebing-tebing sungai di situ. Pergerakannya agak lembut kerana dia perlu berhati-hati. Jika tidak, nescaya arus sungai itu akan menarik dirinya. Sebelum ini, dia tidak pernah bergerak secara lembut. Apa yang dibuatnya, hanyalah kekasaran walau pun bercakap dengan ibunya. Mungkin sifat penjenayah sudah sebati dengan kekasaran. Mungkin juga kekasaran menjadi simbol dan syarat untuk bergelar seorang penjenayah. Sedang ingin mengambil air, Kitol ternampak sebiji mempelam gugur ke tanah. Direnungnya ke persekitaran, tersergah sepohon mempelam yang berdekatan. Kelihatan pohon itu sarat menghasilkan buahnya.
Selepas meneguk sedikit air, Kitol merapati mempelam yang gugur itu. Dia ingin sekali menjamahnya bagi memulihkan semula tenaganya yang telah pudar. Mana tidaknya, sejak dari tadi dia asyik berlari tanpa arah hingga dirasakannya selamat. Kitol merenung mempelam itu. Didapatinya sebahagian kecil dari pada isi mempelam itu sudah berkulat. Kelihatan tompok-tompok hitam yang membentuk pada bahagian kecil isinya. Namun, masih banyak lagi isinya yang elok untuk dimakan. Hendak dimakan kesemuanya, takut-takut mengancam kesihatan perutnya. Hendak dimakan yang elok sahaja, masih belum mampu untuk memulihkan seluruh tenaganya. Kali ini Kitol merenung kembali. Tetapi, bukan pada mempelam itu. Dia cuba membuat keputusan sama ada ingin memakan kesemuanya atau sebaliknya,
Dilihatnya pohon mempelam itu yang masih banyak lagi buahnya. Ingin diambilnya, masakan hasratnya itu dapat dicapai. Pohon itu terlalu tinggi meletakkan buah-buahnya di atas sehingga tidak terjangkau oleh tangan-tangan manusia. Tanpa banyak bersoal, Kitol terus memakan buah mempelam itu. Tetapi, hanyalah dijamahnya isi-isi yang elok sahaja. Dia tahu baik dan buruknya jika memakan mempelam itu dalam keadaan begitu. Dia juga tahu jika yang buruk turut diambilnya, ceret-beret melanda dirinya dan itu akan menyulitkan pergerakannya.
Si Kitol itu tahu pula tentang baik dan buruk. Tahu pula dia yang isi pelam berkulat akan mengundang sakit perut. Jika dia mengerti, mengapa masih berbuat jenayah yang sudah diketahui akan keburukannya, seterusnya akan memberi buruk padah kepadanya. Mungkin kerana buruk mempelam itu dapat dilihat dengan mata kasar. Atau mungkin, pelam itu ialah makanan. Jadi, Kitol menitikberatkan soal baik dan buruk pelam itu.
Sekiranya begitu, Baiklah Si Kitol itu menganggap kegiatan penyeludupan dadah itu sebagai makanan. Maka, mengertilah dia bahawa baik dan buruknya. Namun sayangnya, Kitol tidak berbuat demikian, Sebab itulah dia dipanah keburukan jenayah itu. Sudah digempak dek polis, barulah dia sedar kegiatan itu memberi keburukan. Jika tidak buruk, masakan polis mengejarnya.
Bagi fenomena jenayah yang berlaku hari ini, Masakan mereka yang membuat jenayah tidak mengerti baik dan buruknya. Atau, buat-buat tidak mengerti akan keburukannya. Namun, jika mereka ini berada dalam watak Kitol, masakan mereka inginkan pelam yang buruk. Pelam yang akhirnya akan memberi kesan kepada kesihatan perut. Perkara ini samalah dengan perbuatan jenayah, Buat apa ingin terjebak dengan gejala jelik itu sedangkan kita mengerti akan keburukannya. Atau, kita perlu menukarkan jenayah itu kepada makanan, barulah disedari akan keburukannya. Barulah tertewas dengan keburukan jenayah itu kerana mereka tidak sanggup menguyah makanan yang tidak elok. Renunglah sejenak, Jika kita diberi pilihan untuk menjamu selera, masakan kita inginkan yang tidak elok atau yang basi. Sedangkan kita mengetahui akan kesan buruknya. Bagai mana dengan kegiatan jenayah, adakah kita masih lagi berminat dengannya sedangkan pilihan yang lain banyak bertandang di depan mata.
Dan lebih mustahak lagi, apakah kita benar-benar mengharapkan penyesalan pada penghujungnya walau pun sudah disedari bahawa jenayah itu menghadiahkan keburukan. Ingat, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi. Oleh itu, Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih.
Seindah bahasa, sesantun bicara, semurni pekerti.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan