Selamat bertemu lagi dalam segmen Karya oh Karya. Kali ini Mat Santun ada teka-teki yang baru. Kalau nak tahu, di bawah ini ialah pantun 8 kerat. Pantun jenis ini memerlukan 4 pembayang dan 4 maksud. Apa-apa pun, semoga anda berjaya menjawab teka-teki ini yang didatangkan dalam bentuk puisi.
Pantun 8 Nak cari barang apa?
Dari barat belayar ke timur,
Singgah Di Bentan berdagang besi,
Besi dikimpal bersama tembaga,
Kualliti tinggi amatlah murah,
Tempatku selalu ada di dapur,
Selamat disilmpan di dalam laci
Bermain dengnku amatlah bahaya,
Leka sedikit jari berdarah.
Anak Ketitir si anak Merbah,
Melompat--lompat mencari cacing,
Cacing di tanah takut membisu,
Lalu sembunyi di bawah papan,
Angka membulat jarum di tengah,
Selalu berada di atas dinding,
Sukar nak hidup jika tanpaku,
Perancang jadual dalam kehidupan.
Pucuk mengkudu tumbuh melata,
Daunnya dipetik diolah ubat,
Penawar penyakit si darah tinggi,
Enak dimakan sebagai ulaman,
Kepalaku bulat sayapku tiga,
Berpusing-pusing memerah keringat,
Apabila panas aku berfungsi,
Menghembus angin merata kawasan.
Dari Kerinci ke Kota Labus,
Singgah berkunjung ke pasar Grik,
Hajat di hati membeli berlian,
Sebagai hadiah pinangan dibalas.
Badanku seperti si ibu tikus,
Ekorku bersambung soket elektrik,
tugasku ialah panaskan pakaian,
Supaya kelihatan cantik dan kemas.
Pohon nangka daunnya berjuta,
Lalu bersarang si lebah beribu,
Membuat madu sebagai makanan,
Khasiatnya tinggi bagus diamal,
Suhu badanku berbeza-beza,
Ada yang nyaman ada yang beku,
Kerjaku menyimpan segala makanan,
Ingin beliku amatlah mahal.
Pantai Cahaya destinasi semua,
Pasirnya putih indah menghiasi,,
Kanak-kanak gembira bermain,
Istana pasir menjadi kenangan,
Pelbagai warna bermacam rupa,
Saizku kecil ringan sekali,
Kerjaku selalu di depan cermin,
Membelai rambut cantik kelihatan.
Dayung sampan ke Kuala Langat,
Hajat di hati membeli permata,
Apabila pulang dibasahi hujan,
Sampan di laut melambung tinggi,
Diriku ringan senang diangkat,
Memakai baju bukanlah manusia,
Tiada kepala tiada badan,
Tempatku berada di dalam almari,
Simpati sekali si anak kijang,
Kakinya cedera lukanya parah,
Lalu berjalan mencari si ibu,
Malang si ibu dibaham singa,
Tubuhku bermacam leherku panjang,
qKe sini sana berjalan di rumah,
Makananku hanya habuk dan debu,
Bersihkan rumah tugasku terlaksana.
Merdunya suara Nuri bersyair,
Bergema di hutan segenap tempat,
Lalu bertanya beribu haiwan,
Siapakah gerangan suara menyanyi,
Tempatku tinggal di bilik air,
Bermacam jenama ada terdapat,
Topi dibuka perut ditekan,
Keluar isinya pelengkap mandi.
Setakat ini saja dahulu teka-teki kita. Nantikan terbitan puisi teka-teki seterusnya dalam Halaman Santun-Santai ini. Semoga berjaya!
Seindah bahasa, sesantun bicara, semurni pekerti.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan