WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Ahad, 6 Mei 2012

Lilin atau Pelita Yang kau Pilih

Apa khabar, Mat Santun menemani anda lagi. Segmen Renungan kali ini mengajak anda bermain fikiran mendesak nurani anda merungkai pilihan. Tajuknya ialah Pelita atau Lilin yang kau pilih. Nak tahu lebih lanjut, gerakkan anak mata anda ke bawah untuk menghayatinya. Semoga anda terhibur dengan paparan ini. Semoga anda mendapat pengajaran daripadanya. Pelita atau lilin, Yang menjadi pilihanmu? Yang mampu bertahta di sanubari? Pelita memuntahkan cahaya, Menerangi dunia kegelapan, Mencipta langit pelbagai warna, Lilin juga serupa, Turut berjasa atas kepentingan yang sama, Turut menemani kegelapan anda dengan cahaya kecerian. Apa yang boleh dibezakan, Hanyalah cara dan perwatakanmereka, Apakah pelita yang kau cari? Ataukah lilin yang sedia menanti? Yang pasti, Pelita, lilin sama-sama berbakti, Mencurah cahaya tatkala bergelap, Agar terang tidak terlenyap. Puisi Sajak 2012 Pelita atau Lilin yang kau pilih. Jika anda diberi pilihan. Siapakah yang berpijak di hati anda, Lilin atau pelita? Jika anda memilih pelita, anda ialah seorang yang mampu hidup dengan lebih sempurna. Jika lilin penambat minat anda, mungkin berlaku yang serupa. Sama seperti sebuah pelita. Kedua-duanya menghasilkan cahaya. Jika anda pelita, mungkin anda lebih bagus daripada sebatang lilin. Mampu mengeluarkan cahaya dengan banyak. Cahaya yang mampu menerangi lebih banyak ruang kegelapan. Namun begitu, anda tewas dalam soal berdikari. Lilin tidak memerlukan pergantungan sepanjang masa untuk bercahaya. Sebaliknya anda, perlu memikat hati pihak ketiga untuk mengcahayakan nur anda. Dengan kata lain, pelita memerlukan minyak tanah untuk terus bekerja. Dengan itu, dapatlah anda bercahaya mengharungi hidup yang penuh onak-duri. Jika lilin yang anda gemari, anda terpaksa akur dengan kekuatan pelita. Kekuatan cahayanya yang besar sehingga mampu melenyapkan tenaga anda. Tetapi, anda boleh menang dalam aspek lain. Menang dengan bermain selok-belok perjalanan hidup berdikari. Ini kerana, anda tidak memerlukan minyak tanah semacam sebuah pelita. Minyak tanah yang menjadi tulang belakang kepada anggota badannya untuk menjana pengcahayaannya. Tetapi. Sekiranya lilin memang pilihan anda, mungkin anda akan diancam maut. Lebih malang lagi, kematian itu berpunca daripada anda sendiri. Perlu anda ingat, kegigihan anda itu mungkin meragut nyawa sendiri. Kedegilan anda bergantung kepada orang lain mungkin membakar diri. Seperti sifat sebatang lilin, usahanya yang tekun memancing cahaya keluar mengakibatkan tubuhnya dimamah api sehingga lebur. Lama-kelamaan, hayatnya semakin pendek. Hidupnya berakhir seakan membunuh diri. Mungkin pelitalah yang benar-benar terbaik untuk dipilih. Sifatnya tidak seperti lilin yang berakhir dengan membakar diri. Sanggup menggadai nyawa yang dimiliki. Jika difikirkan, lilin dirasakan kecewa atas jalan hidupnya. Jalan hidup yang terpaksa disusuri tanpa perhatian orang lain. Dan, kesukaran hidup itu mungkin diakhiri dengan cara itu. Mungkin pelita bersikap manja. Manja dengan perhatian orang untuk meneruskan kehidupan. Tetapi, biarlah diri dianggap seperti begitu asalkan kehidupan tidak berakhir dengan aksi menydihkan. Seperti mana aksi lilin menamatkan hidupnya itu. Biarlah diri menyusahkan orang lain daripada menyombong diri yang akhirnya mempamerkan penyesalan. Namun begitu, sekali lagi anda harus ingat. Senikmat mana hidup, kematian bakal menjemput memaksa diri ke alam lain. Jika anda pelita, habis minyak tanahnya, habislah juga hidup anda. Walau pun minyak tanah itu diisi beberapa kali, pengakhirannya tetap sama iaitu sebuah kematian. Mungkin itulah penghujung usia anda untuk bergantung kepada orang lain. Lebih menyedihkan, penamat anda selepas itu mungkin di tempat yang menghinakan. Dengan kata lain, pelita yang sudah tenat fungsinya bakal dihumban ke dalam tong sampah. Di situlah, anda bakal ditemani dengan bau-bauan yang memeritkan hidung. Persekitarannya juga kotor. Sahabat-sahabat anda datang dari pelbagai rupa. Mungkin anda ditemani dengan botol-botol buruk atau kertas-kertas koyak. Yang menghinakan lagi, sisa-sisa makanan menjadi penghias hayat anda di sana. Nasib sebegini tidak terdapat pada pencinta lilin. Erti kata lain, anda yang memilih lilin sebagai role model tidak teraniaya seperti mana sebuah pelita. Ini disebabkan lilin mempunyai kehidupan yang unnik. Ini kerana, Di mana anda hidup di situlah juga anda mati. Dan di situlah juga anda terlebur sendirian bersemadi bersama-sama tubuh jatuh pada tempat di mana anda berdiri. Pendek kata, anda tidak terbuang ke mana-mana selepas meleburkan diri. Anda mungkin dipanah rasa sedih. Mungkin anda seperti membunuh diri disebabkan uasaha anda berdiri di atas kaki sendiri. Dan, mungkin masyarakat memandang tindakan anda itu dengan sebuah penghinaan. Walau bagai mana pun, anda tidaklah sehina pelita. Hina dalam suasana kematiannya. Malah, semangat kami kazi yang tertanam dalam lubuk hati anda bakal diangkat sebagai perkara yang mulia. Lihat di sini-sana, betapa banyaknya orang menyebut pepatah (ibarat lilin membakar diri.) Jelas di sini, sebegitu popular nama lilin di mata masyarakat. Lihat sekali lagi, betapa banyaknya pelajar-pelajar menggunakan pepatah ini dalam karangan mereka semata-mata meraih markah yang lebih baik. Segala-galanya hanyalah untuk menggambarkan sifat lilin itu sendiri. Betapa ramainya orang yang menulis perkara yang sama. Inilah yang menggambarkan mereka menghargai sifatnya walau hakikatnya berakhir dengan pembunuhan diri sendiri. Bagi anda semua, buatlah pilihan yang bijak. Pilihan yang pasti menterjemahkan kebahagian dalam kehidupan. Pilihan yang tidak merugikan diri anda dalam kehidupan. Gunakan akal untuk mencapai ke arah itu. Jangan mengikut nafsu kerana anda bakal menemui jalan buntu. Ingatlah, kehidupan yang anda miliki tidak mengecewakan anda. ATetapi anda yang bertindak mengecewakannya atas permulaan langkah yang salah. Renunglah sejenak, pilihan yang salah, bakal mengundang padah. Pilihan yang bijak, bakal mengelakkan diri daripada tersesak. Yang pasti, Pelita atau Lilin yang kau pilih. Seindah bahasa, sesantun bicara, semurni pekerti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan