Assalamualaikum
dan salam bahagia.
Terbitan
watak sebenar untuk kali ini khusus kepada calon STPM khasnya buat junior
junior watak sebenar di sekolah tu. Pastinya anda tercari-cari bingkisan
pengalaman melaksanakan tugasan PBS daripada pelajar-pelajar kumpulan pertama
STPM baharu. Hingga setakat ini pun, watak sebenar menerima pertanyaan
berkenaan hal ini daripada beberapa orang rakan junior di sekolah. Maklumlah,
penggal 2 memang suatu zon yang membebankan. Anda perlu melaksanakan tugasan
PBS dan pada masa yang sama bersiap sedia menghadapi peperiksaan bertulis
penggal 2 pada bulan Mei. Lagi lagi menyeksakan jikalau ada di antara kalian
yang mengambil peperiksaan MUET bulan
Mac. Oleh yang demikan, penting bagi anda semua untuk melakukan pengurusan masa
dengan efektif serta berkualiti.
Sehubungan
itu, watak sebenar terpanggil untuk menceritakan serba sedikit pengalaman
menghadapi kedua-dua kerja yang wajib disempurnakan oleh pelajar penggal 2 ini.
Sebenarnya, watak sebenar juga gagal dalam menguruskan masa dengan baik dalam
menyempurnakan kedua-dua tugasan ini. Kumpulan kami adalah kumpulan pertama dan
pembimbingnya juga masih kurang berkemahiran. Namun, apa yang watak sebenar
boleh simpulkan, jangan terlalu fanatic terhadap tugasan PBS sehingga anda melupakan
persedian menghadapi peperiksaan penggal 2. Malangnya, keadaan inilah yang
terjadi kepada watak sebenar setahun yang lalu.
Maklumlah,
tugasan PBS ini baru sahaja diperkenalkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia
kepada calon STPM baharu. Memang menjadi lumrahlah sesuatu perkara yang baru,
ingin dilangsaikan dengan sempurna. Didorong pula oleh beberapa pihak yang
mengatakan, “kumpulan pertama perlu menjadi contoh kepada yang lain”, situasi
itu sudah memaksa kami untuk berkerja keras demi PBS. Tambahan pula, tugasan
PBS ini adalah baru, sewajarnya kami bertungkus lumus mencari maklumat dan
mencipta kaedah sendiri untuk melaksanakan PBS dengan baik sebelum berdepan
pula dengan peperiksaan. Malangnya, dalam perjuangan itu, ada yang tertewas dan
ada juga yang kecewa. Tidak ketinggalan juga kepada mereka yang masih berusaha.
Yang tertewas itu telah meninggalkan kami. Yang kecewa itu kembali bertenaga.
Yang masih berusaha itu sudah beberapa
kali dikecewakan. Namun, watak sebenar masih menyertai yang lain untuk
meneruskan perjuangan.
Watak
sebenar tidaklah berapa baik dalam menguruskan masa sewaktu itu. Hal ini
kerana, watak sebenar memberikan tumpuan lebih kepada PBS. Hingga lebih kurang
2 minggu peperiksaan penggal 2 akan tiba, barulah watak sebenar sedar tentang
cabaran kedua itu sudah menanti. Waktu itu, watak sebenar hanya mengharapkan
yang terbaik untuk diri dan cuba melepasi sasaran memperoleh keputusan 3.5
pointer ke atas. Dengan doa dan ikhtiar yang berbaki tempoh masa itu, Alhamdulillah!
Sasaran itu Berjaya dilepasi. Namun, tidaklah sebaik keputusan penggal 1.
Kepada junior junior tu, jangan ikut kaedah ini. Kaedah ini memang berisiko
tinggi kerana anda memberikan yang terbaik kepada satu satu kerja sahaja dan
kerja yang lain anda seperti membaling dadu menenun nasib.
Oh
ya. berkenaan dengan tugasan PBS itu, apa yang dapat watak sebenar perkatakan,
perancangan itu adalah punca segala-galanya. Pengalaman watak sebenar melakukan
tugasan PBs ini, watak sebenar banyak memikirkan soal perancangan. Malah, watak
sebenar juga memikirkan perancangan kedua dan ketiga sekiranya gagal pada
perancangan pertama. Tidak kiralah esei ilmiyah atau kajian ilmiyah, watak
sebenar akan memilih satu kajian yang benar-benar terdapatnya permasalahan atau
isu. Dari situ, watak sebenar cuba untuk mengaitkannya dengan objektif kajian
yang ingin dibentuk. Sekiranya sepadan, watak sebenar akan memikirkan soal
kaedah kajian yang paling berkesan. Kaedah kajian haruslah dipilih dengan
bijak. Kaedah kajian inilah yang mempengaruhi anda sama ada anda dibebankan
dengan masa, tenaga atau kepala otak. 3 elemen ini amat-amat penting untuk
difikirkan dalam minda. Biarkan ia berpusing-pusing di dalam minda kerana ia
akan menghasilkan satu idea yang akhirnya diterjemahkan sebagai suatu keputusan
yang tetap.
Setelah
anda yakin dengan keputusan itu, bolehlah anda memulakan tugasan PBS yang
dipertanggungjawabkan. Perancangan jenis ini memang agak lama. Namun, jangan
risau, sekiranya anda gagal pada perancangan pertama, perancangan kedua dan ketiga
masih menanti. Oleh itu, tidaklah anda seperti sebuah kereta yang tersesat
untuk mencari destinasi yang ingin ditujui. Sekiranya pemandu kereta itu sudah
melihat peta, kemudian menyelidik peta dan mengenal pasti jalan jalan yang
bakal dilalui. Maka, insyaAllah lancer perjalanan itu. Setelah itu, sekiranya
anda ingin melakukan sedikit demi sedikit tugasan PBS itu, bolehlah anda
melakukannya pada hasil dapatan kajian. Hal ini kerana anda telah pun
memperoleh semua maklumat. Apa yang perlu hanyalah untuk memproses, mendata,
mendokumentasi atau menghuraikan maklumat. Situasi ini tidak ada bezanya dengan
pembinaan rumah. Sekiranya bahan-bahan binaan sudah siap tersedia, pembinaan
rumah itu bolehlah disiapkan dari hari ke hari.
Dalam
melaksanakan tugasan PBS ini, ada suatu perkara yang penting. Perkara ini telah
pun menjerat watak sebenar sehingga melupakan watak sebenar pada peperiksaan.
Mungkin juga ia telah menjerat mereka yang lain dalam kumpulan pertama STPM
baharu. Perkara yang dimaksudkan ialah fanatic. Sikap fanatic untuk
menyempurnakan tugasan PBS memang benar-benar mengundang padah. Menyempurnakan
serta menyiapkan adalah 2 perkataan yang berbeza yang juga memberikan maksud
yang berbeza. Akan datang suatu zaman kepada anda nanti setelah anda menyiapkan
tugasan PBS, setelah anda lega dan teruja dengan sebuah fail tebal di tangan
anda, setelah anda mula ingin memikirkan soal peperiksaan, cikgu akan
memberitahu anda supaya menyempurnakan tugasan PBS ini pula. Maksud cikgu itu
adalah anda perlu memeriksa struktur ayat, ejaan ayat, menambah kekuatan pada
fakta, mengindahkan lagi paparan maklumat, melakukan slide share kekreatif yang
mungkin. Pendek kata, selagi ada masa untuk PBS anda, selagi itulah
penambahbaikan demi penambahbaikan dicadangkan oleh cikgu anda atau pun lahir
daripada anda sendiri. Sedangkan, sebuah fail PBS anda itu sudah cukup baik
untuk disemak. Sudah sempadan dengan permarkahan cemerlang. Namun, disebabkan
lumrah manusia untuk cuba lebih baik selagi ada upaya dan masa, selagi itulah proses
itu tidak akan berakhir. Manusia memang begini, sudah memperoleh yang sempurna,
akan dicari lagi yang lebih sempurna. Dalam perjuangan anda untuk memperoleh
yang sempurna pada tugasan PBS anda, anda dengan perlahan telah melupakan soal
peperiksaan penggal 2. Akhirnya, anda terpaksa berserah juga dan tidak mahu
lagi mengindah-indahkan serta mengkreatif-kreatifkan kerja anda kerana sudah
menyedari peperiksaan penggal 2 sudah pun tinggal lebih kurang 2 minggu lagi.
Situasi inilah yang terjadi kepada watak sebenar setahun yang lalu. Mungkin
juga kepada mereka yang lain.
Oleh
yang demikian, penting bagi watak sebenar memberitahu akan perkara ini. Jika
diimbas sejenak, tugasan PBS memang tidak ada pengakhir penyempurnaannya. Yang
sempurna adalah Allah taala. Lantaran itu, anda haruslah bijak mengatur masa
untuk menyiapkan tugasan PBS dan pada masa yang sama bersedia untuk peperiksan.
Setahun lalu, watak sebenar juga pernah mengatakan PBS menyusahkan. Namun,
kitalah yang telah menyusahkan kerja itu. Ianya sudah cukup baik. Namun, atas
sifat manusia yang lemah, kita masih bersusah-susah diri untuk menjadikannya
lebih baik dan lebih baik. Mudah-mudahan anda dipermudahkan oleh Allah. Sekian.
(Sekadar
pendapat dan pemikiran yang tidak sempurna)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan