WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Sabtu, 28 September 2013

Syair Alam Sekitar



Assalamualaikum dan salam sejahtera Mat Santun ucapkan kepada anda semua. Bertemu lagi bersama-sama Mat Santun di sini dalam segmen yang lain pula iaitu Segmen Karya Oh Karya.

Petang Jumaat semalam, Mat Santun ada berkunjung ke Pantai Merdeka, sebuah pantai yang disebut-sebut ghah dalam sebuah lagu kumpulan Tropika, Cinta Pantai Merdeka. Biarpun persiaran itu bukan untuk melepaskan keriangan ingin bermandi-manda kerana sudah dicemari reba-reba dek perbuatan manusia. Persiaran itu hanya melepaskan niat untuk menjamu salah satu menu popular di situ yang mendapat sambutan baik oleh pengunjung iaitu mee udang Pulau Sayak. Mat Santun kemudian berehat di tepian pantai yang sudah tidak bermaya membawa pelbagai aneka sampah. Anginnya masih bertiup segar, namun ombaknya lemah membadai. Ekspresi ini Mat Santun persembahkan dalam sebuah syair di bawah. Bacalah…


Tajuk: Merdekakan Pantai Merdeka


Bismillah diberi pembuka kata,
Hajat bersyair harap dipinta,
Alam Sekitar tema dicipta,
Moga menjadi pedoman kita.


Pantai Merdeka cantik dan indah,
Pasirnya putih ombak menyembah,
Tetapi kini sudah berubah,
Laut yang  biru tinggal sejarah.


Senja menjelang ombak membisu,
Derunya tidak secergas dulu,
Angin bertiup seakan lesu,
Sampah dan pantai menjadi satu.


Ada pun kapal ghairah membawa,
Ke Tanjung Dawai sekalian jiwa,
Pemandu kapal yang sambil lewa,
Membuang sisa minyak kapalnya.


Pengunjung yang datang gembira berada,
Di Pantai Merdeka tenangkan minda,
Hajat di hati nak mandi-manda,
Melihat kotornya jadi tak reda.


Sedih dan pilu engkau binasa,
Angkara manusia engkau disiksa,
Mari  semua nusa dan bangsa,
Peliharalah alam milik yang Esa.


Demikianlah ekspresi keadaan Pantai Merdeka pada masa ini. Diharapkan pihak berkuasa seperti kerajaan tempatan mengambil tindakan keras bersifat perundangan kepada pesalah laku  sama ada dari kalangan pengunjung mahu pun penjaja yang tidak memelihara alam sekitar di situ. Sekian sahaja daripada Mat Santun, lain masa berjumpa lagi.


Seindah bahasa,Sesantun bicara, Semurni pekerti

Tiada ulasan:

Catat Komen