WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Sabtu, 8 Mac 2014

PBS Dan Penggal 2 (secebis pengalaman)



Assalamualaikum dan salam bahagia.


Terbitan watak sebenar untuk kali ini khusus kepada calon STPM khasnya buat junior junior watak sebenar di sekolah tu. Pastinya anda tercari-cari bingkisan pengalaman melaksanakan tugasan PBS daripada pelajar-pelajar kumpulan pertama STPM baharu. Hingga setakat ini pun, watak sebenar menerima pertanyaan berkenaan hal ini daripada beberapa orang rakan junior di sekolah. Maklumlah, penggal 2 memang suatu zon yang membebankan. Anda perlu melaksanakan tugasan PBS dan pada masa yang sama bersiap sedia menghadapi peperiksaan bertulis penggal 2 pada bulan Mei. Lagi lagi menyeksakan jikalau ada di antara kalian yang mengambil peperiksaan  MUET bulan Mac. Oleh yang demikan, penting bagi anda semua untuk melakukan pengurusan masa dengan efektif serta berkualiti.


Sehubungan itu, watak sebenar terpanggil untuk menceritakan serba sedikit pengalaman menghadapi kedua-dua kerja yang wajib disempurnakan oleh pelajar penggal 2 ini. Sebenarnya, watak sebenar juga gagal dalam menguruskan masa dengan baik dalam menyempurnakan kedua-dua tugasan ini. Kumpulan kami adalah kumpulan pertama dan pembimbingnya juga masih kurang berkemahiran. Namun, apa yang watak sebenar boleh simpulkan, jangan terlalu fanatic terhadap tugasan PBS sehingga anda melupakan persedian menghadapi peperiksaan penggal 2. Malangnya, keadaan inilah yang terjadi kepada watak sebenar setahun yang lalu.


Maklumlah, tugasan PBS ini baru sahaja diperkenalkan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia kepada calon STPM baharu. Memang menjadi lumrahlah sesuatu perkara yang baru, ingin dilangsaikan dengan sempurna. Didorong pula oleh beberapa pihak yang mengatakan, “kumpulan pertama perlu menjadi contoh kepada yang lain”, situasi itu sudah memaksa kami untuk berkerja keras demi PBS. Tambahan pula, tugasan PBS ini adalah baru, sewajarnya kami bertungkus lumus mencari maklumat dan mencipta kaedah sendiri untuk melaksanakan PBS dengan baik sebelum berdepan pula dengan peperiksaan. Malangnya, dalam perjuangan itu, ada yang tertewas dan ada juga yang kecewa. Tidak ketinggalan juga kepada mereka yang masih berusaha. Yang tertewas itu telah meninggalkan kami. Yang kecewa itu kembali bertenaga. Yang  masih berusaha itu sudah beberapa kali dikecewakan. Namun, watak sebenar masih menyertai yang lain untuk meneruskan perjuangan.


Watak sebenar tidaklah berapa baik dalam menguruskan masa sewaktu itu. Hal ini kerana, watak sebenar memberikan tumpuan lebih kepada PBS. Hingga lebih kurang 2 minggu peperiksaan penggal 2 akan tiba, barulah watak sebenar sedar tentang cabaran kedua itu sudah menanti. Waktu itu, watak sebenar hanya mengharapkan yang terbaik untuk diri dan cuba melepasi sasaran memperoleh keputusan 3.5 pointer ke atas. Dengan doa dan ikhtiar yang berbaki tempoh masa itu, Alhamdulillah! Sasaran itu Berjaya dilepasi. Namun, tidaklah sebaik keputusan penggal 1. Kepada junior junior tu, jangan ikut kaedah ini. Kaedah ini memang berisiko tinggi kerana anda memberikan yang terbaik kepada satu satu kerja sahaja dan kerja yang lain anda seperti membaling dadu menenun nasib.


Oh ya. berkenaan dengan tugasan PBS itu, apa yang dapat watak sebenar perkatakan, perancangan itu adalah punca segala-galanya. Pengalaman watak sebenar melakukan tugasan PBs ini, watak sebenar banyak memikirkan soal perancangan. Malah, watak sebenar juga memikirkan perancangan kedua dan ketiga sekiranya gagal pada perancangan pertama. Tidak kiralah esei ilmiyah atau kajian ilmiyah, watak sebenar akan memilih satu kajian yang benar-benar terdapatnya permasalahan atau isu. Dari situ, watak sebenar cuba untuk mengaitkannya dengan objektif kajian yang ingin dibentuk. Sekiranya sepadan, watak sebenar akan memikirkan soal kaedah kajian yang paling berkesan. Kaedah kajian haruslah dipilih dengan bijak. Kaedah kajian inilah yang mempengaruhi anda sama ada anda dibebankan dengan masa, tenaga atau kepala otak. 3 elemen ini amat-amat penting untuk difikirkan dalam minda. Biarkan ia berpusing-pusing di dalam minda kerana ia akan menghasilkan satu idea yang akhirnya diterjemahkan sebagai suatu keputusan yang tetap.


Setelah anda yakin dengan keputusan itu, bolehlah anda memulakan tugasan PBS yang dipertanggungjawabkan. Perancangan jenis ini memang agak lama. Namun, jangan risau, sekiranya anda gagal pada perancangan pertama, perancangan kedua dan ketiga masih menanti. Oleh itu, tidaklah anda seperti sebuah kereta yang tersesat untuk mencari destinasi yang ingin ditujui. Sekiranya pemandu kereta itu sudah melihat peta, kemudian menyelidik peta dan mengenal pasti jalan jalan yang bakal dilalui. Maka, insyaAllah lancer perjalanan itu. Setelah itu, sekiranya anda ingin melakukan sedikit demi sedikit tugasan PBS itu, bolehlah anda melakukannya pada hasil dapatan kajian. Hal ini kerana anda telah pun memperoleh semua maklumat. Apa yang perlu hanyalah untuk memproses, mendata, mendokumentasi atau menghuraikan maklumat. Situasi ini tidak ada bezanya dengan pembinaan rumah. Sekiranya bahan-bahan binaan sudah siap tersedia, pembinaan rumah itu bolehlah disiapkan dari hari ke hari.


Dalam melaksanakan tugasan PBS ini, ada suatu perkara yang penting. Perkara ini telah pun menjerat watak sebenar sehingga melupakan watak sebenar pada peperiksaan. Mungkin juga ia telah menjerat mereka yang lain dalam kumpulan pertama STPM baharu. Perkara yang dimaksudkan ialah fanatic. Sikap fanatic untuk menyempurnakan tugasan PBS memang benar-benar mengundang padah. Menyempurnakan serta menyiapkan adalah 2 perkataan yang berbeza yang juga memberikan maksud yang berbeza. Akan datang suatu zaman kepada anda nanti setelah anda menyiapkan tugasan PBS, setelah anda lega dan teruja dengan sebuah fail tebal di tangan anda, setelah anda mula ingin memikirkan soal peperiksaan, cikgu akan memberitahu anda supaya menyempurnakan tugasan PBS ini pula. Maksud cikgu itu adalah anda perlu memeriksa struktur ayat, ejaan ayat, menambah kekuatan pada fakta, mengindahkan lagi paparan maklumat, melakukan slide share kekreatif yang mungkin. Pendek kata, selagi ada masa untuk PBS anda, selagi itulah penambahbaikan demi penambahbaikan dicadangkan oleh cikgu anda atau pun lahir daripada anda sendiri. Sedangkan, sebuah fail PBS anda itu sudah cukup baik untuk disemak. Sudah sempadan dengan permarkahan cemerlang. Namun, disebabkan lumrah manusia untuk cuba lebih baik selagi ada upaya dan masa, selagi itulah proses itu tidak akan berakhir. Manusia memang begini, sudah memperoleh yang sempurna, akan dicari lagi yang lebih sempurna. Dalam perjuangan anda untuk memperoleh yang sempurna pada tugasan PBS anda, anda dengan perlahan telah melupakan soal peperiksaan penggal 2. Akhirnya, anda terpaksa berserah juga dan tidak mahu lagi mengindah-indahkan serta mengkreatif-kreatifkan kerja anda kerana sudah menyedari peperiksaan penggal 2 sudah pun tinggal lebih kurang 2 minggu lagi. Situasi inilah yang terjadi kepada watak sebenar setahun yang lalu. Mungkin juga kepada mereka yang lain.


Oleh yang demikian, penting bagi watak sebenar memberitahu akan perkara ini. Jika diimbas sejenak, tugasan PBS memang tidak ada pengakhir penyempurnaannya. Yang sempurna adalah Allah taala. Lantaran itu, anda haruslah bijak mengatur masa untuk menyiapkan tugasan PBS dan pada masa yang sama bersedia untuk peperiksan. Setahun lalu, watak sebenar juga pernah mengatakan PBS menyusahkan. Namun, kitalah yang telah menyusahkan kerja itu. Ianya sudah cukup baik. Namun, atas sifat manusia yang lemah, kita masih bersusah-susah diri untuk menjadikannya lebih baik dan lebih baik. Mudah-mudahan anda dipermudahkan oleh Allah. Sekian.


(Sekadar pendapat dan pemikiran yang tidak sempurna)

Tiada ulasan:

Catat Komen