WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Selasa, 9 Julai 2013

Marhaban Ya Ramadhan

Assalamualaikum dan salam sejahtera watak sebenar ucapkan kepada anda. Hari ini, genaplah sebulan lamanya umat Islam di Malaysia berada pada bulan Syaaban. Hari ini juga, pertama kalinya  umat Islam di Malaysia akan menunaikan solat sunat tarawikh bersama-sama di tahun 1434 Hijrah. InsyaAllah, ia akan berlaku pada waktu malam ini dan tidak beberapa ketika lagi.


Justeru itu, watak sebenar mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan al-mubbarak dalam tempoh sepurnama ini bermula esok khas buat kaum muslimin dan muslimat di Malaysia khususnya dan di dunia amnya. Sesungguhnya, bulan puasa merupakan tetamu teragong dan sebagai meraikan kedatangannya, kita perlulah meningkatkan amalan-amalan supaya mendekatkan diri kepada Allah Taala. Sesungguhnya, ibadah puasa itu bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga, malahan turut menahan deria-deria pancaindera daripada menggunakannya ke arah kemaksiatan.


Dan semestinya pada bulan Ramadhan itu, ada satu malam yang mulia yakni lailatul qaadar. Malam yang sempurna yang mana pahala ketika itu banyaknya umpama 1000 bulan. Marilah kita, umat Islam terus bersemangat menjalani ibadah puasa ini agar terus memperoleh keberkatan dari Ilahi. Kekalkan prestasi ibadah kita hingga ke akhir Ramadhan. Sesungguhnya, Allah hanya memandang ibadah yang dilakukan secara beristiqamah.


Dan pada tahun ini, watak sebenar sangat gembira kerana dapat meraikan 1 Ramadhan di rumah bersama-sama keluarga. Tidak seperti tahun-tahun yang lepas yang mana hanya meraikan 1 Ramadhan di sekolah bersama-sama member-member hostel. Apa-apa pun, selamat berpuasa kepada semua mulai esok hari! Lakukan ibadah-ibadah di bulan puasa dengan penuh ikhlas dan perasaan gembira.


Marhaban Ya Ramadhan!!!

Khamis, 4 Julai 2013

Sebuah Perjuangan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda semua. Watak sebenar ada sesuatu ingin berkongsi dengan anda. Di bawah ini ialah nukilan sajak pertama watak sebenar dalam mempelajari penulisan kreatif Kesusasteraan Melayu Komunikatif Penggal 3.


Sebelum ini watak sebenar memang telah menceburi bidang penciptaan sajak, namun sekadar minat sahaja. Namun, kini ilmu penulisan sajak perlu ditambah sebagai persedian untuk menjawab soalan Sastera Penggal 3 dalam bahagian A yang diperuntukan masa selama 40 minit. Suka diingatkan, walau pun sajak ialah puisi moden yang bebas bentuknya, namun elemen-elemen tertentu dalam bait-bait sajak perlu dijaga bagi menampakkan unsur estetika yang berkonsepkan kesusasteraan selain jelas mesej yang ingin disampaikan.


Selamat membaca…




SEBUAH PERJUANGAN


Di ladang perjuangan ini,
Hanya ada aku dan engkau,
Aku adalah aku dan engkau adalah keberanian,
Kau yang menyalakan api ketabahan,
Aku yang menyusuri jalan-jalan perlumbaan,
Menuju penamat jaya.


Tatkala di ketika itu,
Bermacam muka bumi kujejaki,
Meniti jambatan-jambatan usang,
Di bawahnya lembah-lembah putus asa,
Menyeberangi sungai-sungai kepayahan,
Di dalamnya ikan-ikan mengasyikkan,
Sekali pun anak mataku dikaburi mereka,
Sekali pun nyala apimu dipadam mereka,
Sihir kemalasan ini tidak mampu memukau kita.


Tatkala di ketika ini,
Kaki bukit kejayaan ada di hadapan,
Lena hatiku seakan menyedari,
Unggun apimu seakan membakar lagi.
Menatapi gugusan bintang berkelipan,
Di puncak sana,
Lantas kau dan aku memasang niat,
Memerah selautan keringat untuk bersama mereka.


Tatkala merenung ke bawah,
Terdetik sebungkus syukur ke hadrat Allah,
Aku sudah pun di pertengahan,
Kau masih kuat menamatkan perlumbaan.


Pedih sakit sedih dan pahit,
Diramu menjadi satu,
Yang akhirnya menjadi pedang kehidupan,
Yang dapat membelah cabaran belantara,
Inilah hakikat perjuangan,
Yang perlu didepani setiap insan.

Jumaat, 28 Jun 2013

Di Sebalik Fenomena Jerebu

Assalamualaikum dan salam sejahtera Mat Santun ucapkan kepada anda. Segmen Renungan bakal menyusur lagi selepas jarang-jarang berlaku sebarang pengeluaran terbitan-terbitannya.


Apa khabar semua? Diharapkan agar anda sentiasa dalam keadaan yang sihat hendaknya. Sihat seperti mana cuaca di bahagian tengah dan selatan Semenanjung Malaysia kita yang sudah pun segar dan pulih kembali. Jerebu yang dasyat sudah tidak berlaku lagi. Kini, masyarakat yang terlibat boleh keluar rumah kerana jerebu sudah pergi.


Itulah yang dikatakan bahayanya ancaman fenomena jerebu kepada manusia dan alam sekitar. Fenomena ini mampu membuatkan segala urusan manusia terganggu malahan memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia.


Jerebu merupakan ancaman yang biasa berlaku di Negara kita. Kejadian ini merupakan lumrah bagi salah satu daripada bencana alam yang berlaku di Negara Malaysia selain banjir, tanah runtuh dan kemarau. Namun, kejadian bencana alam ini tidak seteruk malapetaka yang lain seperti gempa bumi, tsunami atau letusan gunung berapi.


Biar pun begitu, kejadian ini cukup memberi kesan yang pelbagai kepada ekosistem alam sekitar serta kehidupan manusia. Misalnya, haiwan peliharaan seperti kucing, arnab dan anjing akan mudah mendapat sakit-sakit kerana saiz jantungnya yang kecil membuatkan mereka sukar bernafas dalam udara yang tidak bersih. Manusia yang menghidap penyakit berkaitan pernafasan seperti asma serta radang paru-paru akan berisiko untuk menjadi lebih kronik sekiranya langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan jerebu tidak dipraktikkan. Manusia biasa pula akan kerap kali mendapat sakit-sakit seperti selesema, demam atau batuk sekiranya sering keluar rumah dalam keadaan kualiti udara yang tidak sihat.


Dari segi kajian sains, jerebu dikategorikan sebagai sejenis pencemaran udara yang membawa bahan-bahan tertentu seperti sulfur dioksida dan karbon monoksida di ruang udara akibat beberapa perbuatan tertentu. Antara puncanya dan telah menjadi penyebab kepada fenomena tersebut berlaku baru-baru ini adalah ekoran daripada pembakaran hutan di Sumatera di Indonesia. Angin Barat Daya yang bertiup antara bulan Mei hingga bulan September dari arah Benua Australia ke kawasan pedalaman Benua Asia dengan melalui Malaysia telah membawa bahan-bahan bakar itu ke ruang udara Malaysia. Akibatnya, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Lembah Klang dan Perak telah menerima pencemaran udara ini dan ianya dipanggil jerebu. Sukar diingatkan, jerebu yang berlaku baru-baru ini adalah yang terburuk sejak kejadian ini berlaku pada tahun 2005 dan 2010 yang lalu.


Walaupun jerebu ini sudah tidak berlaku lagi, namun ia cukup memberi kesan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar memahaminya. Ramai daripada mereka beranggapan bahawa fenomena jerebu ini sekadar sejenis bencana alam yang berlaku secara semula jadi mahu pun perbuatan manusia. Namun, adalah lebih baik seseorang itu memikirkan bahawa fenomena jerebu ini merupakan amaran daripada Allah SWT yang boleh dianggap sebagai suatu musibah. Musibah ini terjadi disebabkan segilintir daripada kita yang sudah kufur denganNya dengan membelakangi segala perintahNya dan ghairah mendepani segala laranganNya.


Sebagai khalifah di atas muka bumi Allah SWT, kita yang terbabit perlu sentiasa diberi peringatan agar beristiqamah menjaga hubungan denganNya. Sesuai dengan sifat manusia itu seniri yang kerap kali disergah kelalaian akibat dimamah kemewahan dunia. Oleh itu, munasabahlah diri sendiri sekiranya ada perlakuan kita yang tidak diredai Allah SWT. Ingatlah, apabila Allah SWT menurunkan suatu musibah seperti yang terjadi baru-baru ini, maka tidak kira mereka yang beriman mahu pun sebaliknya turut mengalami tempiasnya.


Namun, yang menjadi tanda Tanya sewaktu fenomena jerebu berlaku, golongan hawa yang terbabit seolah-olah pandai mencari topeng muka untuk melindungi mereka daripada terdedah kepada pencemaran udara. Tetapi, mereka seolah-olah tidak pandai mencari penutup kepala untuk melindungi aurat mereka daripada terdedah kepada dosa. Mungkin inilah yang dikatakan takut dunia berani akhirat.


Apa-apa pun, ambillah pengajaran daripada kejadian jerebu ini. Allah SWT menurunkan balaNya dengan bersebab. Maka, pembakaran hutan itulah yang menjadi sebab musababnya. Bukankah Allah telah berpesan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu yang berubah sendirinya. Kita masih diberi masa dan ketika untuk berubah menjadi lebih baik. Jangankan kita diturunkan musibah Allah SWT seperti mana diturunkan kepada kaum-kaum terdahulu seperti banjir besar, kemarau panjang atau sekali pun kejadian tsunami yang berlaku pada 26 Desember dahulu.


Sekian…



Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Rabu, 26 Jun 2013

Kejohanan sukan tahunan, Shahbandar menang lagi

Salam sejahtera watak sebenar ucapkan kepada anda semua. Syukur Alhamdulillah, watak sebenar selamat pulang ke rumah lewat petang tadi. Untuk pengetahuan anda, watak sebenar baru sahaja menikmati cuti selama 3 hari bermula esok, Jumaat dan Sabtu. Cuti pada hari Jumaat dan Sabtu adalah kebiasaan bagi di Negeri Kedah kerana itulah merupakan cuti hujung minggu. Tetapi, hari Khamis, esok hari merupakan cuti eklusif hanya untuk SMK watak sebenar sahaja. Sekolah-sekolah lain di sini tidak bercuti pada esok hari. Apa-apa pun, cuti tersebut bukan kerana rentetan fenomena jerebu yang berlaku di sebelah Selatan sana.


Semuanya adalah kerana cuti peristiwa semperna temasya sukan peringkat sekolah yang baru sahaja selesai jam 6.00 petang hari ini. Masuk tahun ini, sudah dua kali watak sebenar meraikan kejohanan sukan sekolah tersebut. Sementara masuk tahun ini,sudah 39 kali sambutan temasya sukan bagi sekolah SMK ini dianjurkan. Alhamdulillah! Kejohanan sukan tahunan petang tadi telah berlangsung dengan jayanya dan ia turut disaksikan  oleh pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.


Terdapat 4 buah rumah sukan berentap untuk mendapatkan gelaran juara keseluruhan kejohanan sukan tahunan 2013. Bendahara, Temenggung, Laksmana dan Shahbandar yang mana keempat-empat buah rumah sukan ini bersaing dengan hebatnya petang tadi. Namun, tuah lebih kepada rumah Shahbandar yang meraih pungutan mata tertinggi sekali gus meletakkannya selaku juara tahunan. Sedikit maklumat, Shahbandar juga telah menjadi juara keseluruhan sukan tahunan pada sesi 2012 yang lalu. Dapatkah team Shahbandar mencipta hatreck pada sesi 2014? Apa-apa pun yang paling bermakna, team Shahbandar juga merupakan rumah sukan watak sebenar.


Bagi anugerah hiasan khemah terbaik dan anugerah perbarisan terbaik, kedua-duanya dibolot oleh rumah sukan Bendahara. Sedikit maklumat, rumah Bendahara telah mempamerkan hiasan seekor rama-rama merah yang besar di hadapan rumah sukannya. Mungkin, itulah daya penarik team tersebut agaknya. Namun, team ini hanya sekadar meraih tempat ketiga di dalam ranking pungutan mata keseluruhan. Walau apa-apa pun, syabas watak sebenar ucapkan kepada team Bendahara kerana orang kuatnya merupakan member watak sebenar sendiri.


Tahun ini, watak sebenar tidak memasuki apa-apa acara kerana acara lari 100 Meter yang diperuntukan oleh penganjur kepada bahagian program inklusif seperti yang dilaksanakan tahun lepas tidak disertakan pada tahun ini. Sedikit maklumat, tahun lalu, watak sebenar merentap bersama-sama 3 orang rakan seperjuangan dalam acara lari 100 Meter lelaki. Watak sebenar dapat menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Kedudukan itu tidak dapat diperbaharui memandangkan acara tersebut tidak dipertandingkan. Justeru, watak sebenar hanya menyertai pelajar-pelajar yang lain di khemah rumah sukan untuk memberi sokongan kepada atlet-atlet yang bertanding.


Acara yang menjadi tumpuan watak sebenar ialah acara larian 1500 Meter dan acara lompat tinggi semua kategori. Acara-acara ini tidak terdapat pada temasya sukan tahunan sekolah watak sebenar yang lepas. Biar pun begitu, acara lompat tinggi ini pernah disertai oleh watak sebenar sewaktu di bangku sekolah rendah dahulu. Ia menjadi kenangan manis apabila watak sebenar yang ketika itu berada dalam darjah 4 dapat beraksi di peringkat separuh akhir. Pendek kata, ada pengalaman yang berharga dalam acara ini.


Apa-apa pun, sekalung tahniah kepada rumah sukan Shahbandar kerana sekali lagi diangkat sebagai pendahulu keseluruhan. Berjuanglah sukan SMK Tunku Abd. Malik!!! Sekian…


Selamat bercuti semua!!!

Selasa, 25 Jun 2013

Di Sebalik Bola Sepak

Assalamualaikum dan selamat sejahtera Mat Santai ucapkan kepada anda tetamu maya halaman ini. Semoga anda sentiasa berada di dalam keadaan sihat-sihat hendaknya. Terbitan kali ini akan diambil alih oleh Mat Santai dalam Segmen yang sudah lama tidak ditampilkan iaitu Segmen Sembang Santai ini.


Mat Santai hanya sekadar ingin berceloteh panjang mengenai dunia bola sepak. Maklumlah, game bola sepak merupakan acara yang paling diminati ramai oleh penduduk dunia. Jadi, Mat Santai juga tidak terkecuali daripada turut menggemarinya. Namun, Mat Santai dan watak sebenar lebih meminati sukan bola sepak antarabangsa khususnya dalam aksi Liga Perdana Inggeris. Sama-sama kita nantikan tirai pembukaan musim baru Liga Perdana Inggeris 2013-2014.


Baiklah, untuk kali ini, Mat Santai ingin berceloteh mengenai sukan bola sepak tempatan. Maklumlah, semua peminat fanatic bola sepak Malaysia sekarang ini hanya tertumpu pada kemuncak Piala FA sahaja ekoran daripada beberapa acara sukan bola sepak sudah menamatkan saingannya seperti Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah.


Masih terasa kehangatan 90 minit separuh akhir II Piala FA di antara Pahang dengan Johor Darul Takzim(JDT) tempoh hari?
Ada yang mengatakan ia dan ada yang mengatakan tidak. Mana tidaknya, perlawanan itu berlaku dalam keadaan yang sungguh dramatic sekali. Pahang menang dengan jaringan 2 berbalas 1 malam itu. Namun, secara agregatnya peluang cerah lebih kepada Johor Darul Takzim yang mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri secara agregat dengan 2-2. Maklumlah, tuah si ayam nampaknya di taji, tuah si Johor Nampaknya pada bekalan selesanya 1-0. Apa-apa pun, ucap congratulations juga kepada skuad Tok Gajah terutamanya Penyerang importnya yang dibawa masuk dari Argintina, Matias Conti(tak silap namanya) yang telah menyumbat gol Pahang sebanyak 2 biji(minit 2 dan minit 40) malam 1 Jun itu. Aksinya di padang memang menghiburkan semua lebih-lebih lagi seawall perlawanan sudah tidak membosankan penonton yang menyaksikan. Penyerang import Johor DT juga turut memeriahkan pesta gol. Persoalannya, mana pergi penyerang yang berbisa daripada pemain tempatan sendiri?


Walau apa-apa pun, perlawanan pada hari itu merupakan antara perlawanan yang dianggap controversy oleh sesetengah pihak. Perlawanan yang sepatutnya dijadualkan bermula 28 Mei telah ditunda hingga ke hari Sabtu yang bertarikh 1 Jun 2013. Venue perlawanannya juga terpaksa diubah dari Stadium Pahang ke Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur. Apakah puncanya semua ini?


Semua ini adalah kerana berlakunya limpahan penyokong bola sepak yang membanjiri stadium Pahang melebihi daripada jangkaan. Difahamkan, bilangan mereka yang mengunjungi stadium itu adalah seramai lebih kurang 40000 orang. Sedangkan kapasiti stadium itu hanya mampu memuatkan bilangan penonton seramai 35000 orang sahaja. Justeru, berlakunya limpahan penonton di situ. Lebih malang lagi,  sebahagian daripadanya yang berjumlah sekitar 7000 penonton telah memenuhi ruang treck stadium. Ini menjadi masalah dan sebab kepada perlawanan itu ditangguhkan serta tidak diadakan di Stadium Pahang. Menurut FAM, perlawanan antara Pahang FC dengan JDT FC tidak akan dimulakan selagi mana penonton yang berada di treck tidak berundur dari situ. Itu merupakan peraturan perlawanan yang telah ditetapkan. Namun demikian, situasi tersebut berlarutan. Sehingga lebih kurang 10.30 malam hari Selasa itu, barulah diberitahu kata putus bahawa perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan dan ditunda ke tarikh yang akan datang.


Jika difikirkan, mengapa fenomena limpahan penonton di stadium tersebut boleh berlaku? Sedang hakikatnya, penonton yang ingin menyaksikan perlawanan itu perlu mendapatkan tiket terlebih dahulu sebelum mengambil tempat di stadium. Menurut pihak berkaitan, tiket yang dijual hanyalah sebanyak 32000 keping. Sementara Stadium Darul Makmur tersebut mampu memuatkan bilangan penonton sehingga 35000 orang mengikut kapasitinya.
Mengapa fenomena limpahan penonton boleh berlaku?


Ada sumber yang  mengatakan, lambakan penonton berlaku di stadium itu adalah disebabkan kelima-lima pintu masuknya telah dipecahkan oleh segelintir penonton. Ada sumber yang mengatakan juga kononnya mereka tersebut tidak dibenarkan masuk oleh pihak stadium walau pun memiliki tiket perlawanan. Ada juga sumber yang mengatakan, mereka yang tidak dibenarkan memasuki stadium itu hakikatnya adalah kerana mereka telah memperoleh tiket daripada pengedar tiket palsu.
Mengapa keadaan ini boleh berlaku?


Berbalik kepada masalah limpahan penonton tadi. Segalanya berpunca daripada pemecahan pintu-pintu stadium tersebut. Lanjutan daripada itu, penonton sama ada yang mendapatkan tiket secara sah atau tidak sah mahu pun yang tidak bertiket meluru masuk ke stadium. Lantaran ruang tempat duduk di stadium yang  terhad, sebahagian penonton telah mengambil keputusan untuk menyaksikan perlawanan dengan berada di treck stadium.
Persoalannya, bagai manakah pintu-pintu tersebut mudah untuk dipecahkan?
Sejauh manakah kawalan keselamatan daripada tanggungjawab pihak berkuasa sendiri berkesan kepada kejadian itu?


Tragedi pemecahan pintu stadium itu benar-benar menunjukkan bahawa pihak berkuasa kurang mengawasi kawasan tersebut. Memang telah sedia maklum bahawa pihak berkuasa telah sedia menghadapi apa-apa kemungkinan berlaku yang boleh menganggu kelancaran pada perlawanan tersebut. Tetapi apakan daya, kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan.


Diharapkan tragedy kelewatan atau penangguhan sebarang perlawanan yang sudah ditetapkan tidak akan berlaku lagi selepas ini. Cukuplah hanya setakat 2 buah kejadian sahaja yang telah berlaku dalam tempoh masa yang terdekat ini. Pertamanya di Stadium Larkin yang mana menyaksikan perlawanan antara Kelantan FC dengan Johor DT FC dan keduanya yang menjadi kontroversi baru-baru ini. Pihak FAM juga difahamkan telah menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut. Mereka berusaha menyelidik kekurangan dan kelemahan pada sesuatu anjuran sukan bola sepak itu. Berjuanglah FAM untuk terus meningkatkan mutu segala mutu agar bertambah baik termasuklah dari segi mutu pengadilan, mutu pertandingan, mutu pentadbiran sehinggalah ke mutu dalam mengadakan sesuatu perlawanan. InsyaAllah, Sukan Untuk Bersama! Bersama Untuk Sukan!


Kepada peminat-peminat sukan bola sepak, sama-sama kita nantikan perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan FC dengan Johor Darul Takzim FC yang akan diadakan pada 29 Jun ini iaitu pada hari Sabtu ini. Mengimbau aksi Piala FA tahun lepas, pertempuran di antara pasukan berstatus kelab, Sime Darby dengan juara Liga Supermusim lalu, Kelantan FC telah berkesudahan dengan Kelantan FC menjuarai piala itu selepas berkesudahan dengan jaringan 1-0.


Bagai manakah dengan aksi yang bakal dipamerkan oleh Kelantan FC selaku juara bertahan dalam perlawanan akhir lebih kurang beberapa hari lagi? Entah siapa yang tahu.


Apa-apa pun, mereka yang akan mengunjungi stadium nanti diharapkan datang sebagai seorang penonton yang bertatasusila. Kemudian dari itu, dapatlah membentuk sebuah kelompok penonton yang berkelakuan matang. Barulah muka-muka anda berseri-seri di kaca tv nanti tatkala ditonton oleh penonton yang setia di hadapan tv. Semoga perlawanan akhir bola sepak Piala FA yang dirancang ini tidak menghadapi masalah lagi. Diharapkan juga fenomena jerebu yang juga menerima tempiasnya di Kuala Lumpur tidak menganggu kelancaran perlawanan tersebut. Akhir kata dari Mat Santai, selamat memeriahkan sukan bola sepak tempatan. Berjuanglah bola sepak Malaysia!!!