Assalamualaikum Mat Santai ucapkan kepada anda tetamu maya halaman ini. Pertemuan kita kali ini menemukan segmen Sembang Santai yang berkisar mengenai perbuatan buruk manusia. Perbuatan yang dimaksudkan ialah sifat kedekut.
Assalamualaikum semua, Buat apa kita nak kedekut? Bukankah itu ialah salah satu daripada sifat-sifat mazmumah. Sifat buruk manusia yang dibenci masyarakat serta dimurkai Allah. Sifat yang boleh mengheret kita ke lembah neraka jika dipelihara, disayangi, dibela, diagongi.
Masih nak kedekut lagi?
Sedankan apa yang dikedekutkan itu bukan hak milik sebenar.
Harta! Wang! Ilmu!
Bukankah itu semuanya hak milik sebenar Allah?
Allah yang menganugerahkan semua nikmat itu kepada hamba-hambaNya.
Mengapa masih berdegil lagi?
Banyaknya orang kedekut harta dengan enggan menghibahkan hartanya yang berlebihan terutamanya kepada golongan yang memerlukan. Lebih malang lagi, ada juga yang berdegil daripada membayar zakat ke atas hartanya yang berlebihan sebagai tuntutan agama. Perlu diingat! sebanyak mana kau mengumpul harta itu, banyak lagi azab di akhirat sana yang bakal menjerat tubuhmu sekiranya nikmat Allah itu tidak diuruskan dengan cara yang diharuskan syarak. Perlu diingat juga! Seseorang manusia ini memiliki 2 jenis harta. Pertamanya ialah harta dunia dan keduanya ialah harta akhirat.
Tidak perlu kau bangga-banggakan dengan harta dunia seperti wang tunai, hartanah, simpanan bank, saham, atau barangan mewah. Ini kerana harta itu tidak mampu membantu kau setelah kau dikebumikan di alam barzah. Harta itu hanya bermunafaat tatkala kau masih hidup di dunia. Bermewah-mewahan tinggal di istana besar bersama seisi keluarga, memiliki kereta mewah atau melancong ke luar Negara. Kadang-kadang kau belum sempat pun memunafaatkan harta yang kaukatakan sebagai milik kau dek kerana kematian. Misalnya, simpanan wang di bank, saham pelaburan, atau faedah-faedah sewa. Kau hanya mampu menatap angka nilai hartamu itu di buku-buku akaun tanpa dapat menyentuh nikmatnya apatah lagi dapat menggunakannya sebagai sebuah munafaat.
Oleh itu, segala harta yang kau ada hendaklah kau gunakan sebaik-baiknya. Jika tidak, nikmat harta itu akan berpindah milik setelah tubuhmu terperosok di rumah bertiang dua yakni liang lahat. Jika itu berlaku, 50-50 roh kau akan dijerat seksa. Sekiranya harta pusaka itu difaraidkan dengan cara yang berlandaskan syarak oleh ahli waris, maka terlepaslah seksaan kau. Jika tidak, Nauzubillah.
Oleh itu, lebih baik kau menghibahkan harta kau yang berlebihan itu pada jalan Allah. Sebagai contoh seperti bersedekah, menunaikan Haji dan Umrah, mengadakan jamuan makan atau memberi sumbangan kepada fakir miskin, anak-anak yatim, golongan warga emas atau saudara terdekat yang memerlukan. Perbuatan murni ini dikira sebagai harta akhirat. Harta yang bakal menyelamatkan kau daripada dibakar api neraka. Ini kerana, membelanjakan harta pada jalan Allah merupakan perbuatan yang dituntut syarak dan sebagai suatu ibadah. Jika ibadah, sudah tentulah akan dikurniakan pahala yang akan memberatkan timbanganmu di sebelah kanan. Insyaallah.
Banyaknya orang kedekut ilmu, menganggap ilmu yang dicari itu sebagai ilmu mutlak disebabkan dirinya bersusah-payah mendapatkan ilmu tersebut. Lalu, enggan mengongsi pengetahuan yang dimiliki itu kepada orang lain.
Mengapa masih berlagak menggelarkan diri sebagai wira peneroka ilmu? Mengapa perlu dibangga-banggakan semua itu?
“kau bersuara megah mengaatakan itu ilmu aku dan perlu meminta pengizinan daripada aku jika ingin mengaplikasikannya.”
Sedangkan siapa yang mengurniakan ilmu tersebut?
Bukankah ilmu milik bersama?
Jika sesuatu ilmu itu kita peroleh, wajiblah kita menyampaikan selagi mana ilmu itu bermanfaat kepada manusia. Inikan cirri ketiga yang perlu ada pada diri pengelana ilmu yang sejati. Menuntut, mengamalkan dan seterusnya menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain.
Ilmu bukanlah seperti harta peninggalan. Bukan juga seperti wang tunai yang saban hari hangus terbakar kerana perbuatan berjual-beli. Sebaliknya, sebanyak mana kau mencurahkan ilmu kepada orang lain, banyak lagi ilmu-ilmu baru yang mendatang. Tambahan lagi, kau akan terus ingat tentang sesuatu ilmu itu jika menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain. Pendek kata, 1 kau beri, 10 yang menanti. Oleh itu, profession perguruan dikatakan pekerjaan yang amat mulia kerana tugasnya mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.
Buat apa nak kedekut ilmu?
Jika kau fikirkan, apa faedahnya atas perbuatan itu. Dan jika kau fikirkan lagi, apa pula faedahnya atas pengongsian ilmu kau kepada orang lain. Jadilah pengamal ilmu yang disanjung tinggi oleh masyarakat serta diredai Allah. Kerana itu kau akan dihormati, disayang, dihargai serta dikenang. Sepastinya, ilmu itu unik sifatnya. sebanyak mana kau meneroka ilmu, banyak lagi ilmu yang perlu kau pelajari. Lalu, kau tunduk malu sebagai seorang yang ketandusan ilmu dek kerana kecetekan ilmu yang diterokai. Akhirnya kau mengakui bahawa kehidupan padi yang semakin berisi semakin menunduk itu perlu dijadikan panduan, nasihat, bimbingan serta azimat.
Kesimpulannya, buat apa nak kedekut lagi? Kedekut itu hanya untuk perkara-perkara yang diharuskan sahaja. Jangan gunakan kuasa kedekut itu sewenang-wenangnya. Ini kerana, apa yang dikedekutkan itu adalah merupakan harta Allah. Buat apa nak kedekut dengan harta yang bukan milik sebenar?
“tidak perlu nak terasa hati kerana ini perkara realiti dan bersifat benar. Hampir semua orang buat termasuk pemilik blog ini. Akhir kata, harap maaf jika terkasar bahasa.”
Nak santai, bukan sekadar lepak tepi pantai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan