WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Rabu, 21 Mei 2014

Kita Tak Tahu



Assalamualaikum dan salam bahagia. Bertemu semula bersama Mat Santun dalam Segmen Renungan.


Kali ini Mat Santun tertarik untuk berkongsi sebuah terbitan yang mengajak anda untuk berfikir sejenak.


Kita tak tahu, itulah tajuk  yang sesuai untuk dipadankan dengan pengisian dalam terbitan ini. Kita tak tahu, sebagai makhluk yang diciptakan Allah, kita sebagai manusia tidak mengetahui apa yang akan berlaku terhadap kehidupan kita pada masa depan. Pendek kata, ilmu masa depan itu tidak diturunkan kepada manusia biasa.


Sudah menjadi  lumrah hidup manusia, kita hanya mampu merancang apa yang bakal dilakukan oleh kita selepas ini dan akan datang. Namun, kita tidak berupaya untuk menterjemahkan apa yang kita rancangkan itu sebagai kenyataan. Hal ini kerana perkara sedemikian merupakan urusan dan ketentuan daripada Allah. Disebabkan itulah adanya pepatah “kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan”


Sudah menjadi amalan kita, untuk menyokong apa yang dirancangkan atau dihajati itu, maka berdoa adalah pelengkapnya. Doa adalah senjata orang mukmin, itu sudah pasti. Malahan, ada mutiara kata yang berbunyi, “apabila kita ingin berkomunikasi dengan Allah, maka berdoa adalah jalannya. Apabila kita ingin Allah berkomunikasi dengan  kita pula, maka membaca Al-quran adalah jalannya.”


Perancangan dalam memulakan usaha mendapatkan sesuatu jika tidak disertakan dengan berdoa, kebiasaannya seseorang itu akan kurang motivasi untuk merealitikan apa yang dikehendakinya. Bahkan, perkataan usaha selalu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan perkataan doa. Dua perkataan ini amat berkait rapat dan saling melengkapi, bagai isi dengan kuku. Tetapi persoalannya, Apakah kandungan doa kita itu atau perkara yang kita minta serta hajati itu adalah terbaik bagi kita kelak? Sedangkan kita tidak tahu, apakah perkara yang didoakan itu akan mendatangkan manfaat di masa depan. Disebabkan tiadanya ilmu masa depan, maka apakah kita tahu sesuatu yang dirancangkan itu menghasilkan pelaburan yang menguntungkan di hari muka. Anda tahu? Mat Santun tak tahu. Kita tak tahu. Allah yang menentukan segala-galanya meskipun perancangan milik kita.


Oleh demikian bagi pandangan Mat Santun, selain berdoa dengan berpandukan doa-doa yang terdapat dalam Al-quran dan yang diajarkan oleh nabi, eloklah kita memohon sesuatu yang dihajatkan kepada Allah dengan meletakkan perkara itu adalah terbaik bagi pandangan Allah untuk kita, bukannya terbaik bagi pandangan kita. Di sini Mat Santai meletakkan beberapa contoh.


1.       Ya Allah, kau berilah aku kekayaan kepadaku.
2.       Ya Allah, jika kekayaan itu kau takdirkan terbaik untukku, maka kau makbulkan doaku ini.

Contoh yang pertama, orang itu meminta kekayaan kerana menganggap kekayaan itu berfaedah kepadanya kelak. Sementara contoh kedua, orang itu meminta kekayan sekiranya kekayaan itu  ditakdirkan Allah terbaik untuknya kelak.
Sememangnya kekayaan itu merupakan keadaan yang diimpi-impikan oleh setiap manusia. Namun, bukankah setiap perkara di dunia ini dibina atas 2 perkara iaitu kelebihan dan kekurangan? Kekayaan sekiranya dianugerahkan Tuhan kepada seseorang banyak risikonya. Apatah lagi jikalau secara tiba-tiba orang itu menjadi kaya, walaupun luarannya sudah terbaik namun dalamannya iaitu mentalnya masih belum bersedia untuk menjadi yang terbaik. Mungkin disebabkan inilah ada orang yang kaya tidak tenang dalam kehidupan, kerap kali mengira-ngira hartanya dan sebagainya. Berbeza pula dengan situasi orang miskin. Biarpun luarannya kelihatan daif pada pandangan manusia, namun dalamannya senantiasa terbaik dan cukup segalanya. Ingat, ujian Allah itu boleh juga berbentuk kesenangan dengan pelbagai nikmat.


Dalam konteks seorang pelajar pula, lazimnya kita akan merancang dan memasang niat untuk memperoleh keputusan cemerlang bagi semua matapelajaran yang diambil dalam peperiksaan. Ini memang kebiasaan bagi calon peperiksaan awam seperti UPSR, SPM dan STPM. Kononnya, kita mengangap itu sebagai langkah kanan untuk Berjaya dalam hidup. Lantaran berdoa kepada Allah demi menyokong hajat tersebut.


Akan tetapi bagi pandangan Mat Santun pula, adalah lebih baik kita memohon doa kepada Allah supaya diberikan “yang terbaik” untuk keputusan peperiksaan kita. Meminta “yang terbaik” dalam keputusan peperiksaan tidak bermakna mendapat semua A dalam matapelajaran yang diambil semata-mata, bahkan  ia juga bermakna kita menyerahkan kepada Allah di atas urusan keputusan peperiksaan itu. Pendek kata, Berapa Allah hendak beri, kita terima sahaja dengan rela hati. Bukankah Allah itu Maha mengetahui? Hal ini kerana kita tidak menyebut dengan jelas berapa cemerlang yang kita hajati dan menggantikannya dengan perkataan “yang terbaik”.


Tidak semestinya memperoleh semua A dalam peperiksaan bagi matapelajaran yang diambil itu berfaedah kepada pelajar di masa hadapan. Hal ini kerana, setiap perkara ada baik dan buruknya. Salah satu daripada buruknya terhadap kesan di masa depan ialah pelajar itu akan lupa daratan, riak dengan kejayaan atau membelakangi rakan-rakan yang kurang Berjaya. Sedangkan, sewaktu belajar dahulu umpama bagai air dengan tebing. Inilah implikasinya jika mental tidak bersedia untuk menjadi orang Berjaya yang diredai.


Jika itu berlaku, adalah lebih baik pula memperoleh keputusan yang sederhana cemerlang. Itulah, ilmu masa depan itu tidak ada pada diri manusia biasa. Disebabkan itu, maka perkataan “yang terbaik” yang dicadangkan Mat Santun ketika berdoa meminta kejayaan dalam peperiksaan itu adalah jalan stategik. Biar mendapat yang sederhana, asalkan diri tidak berupaya menanggung ujian berupa nikmat kesenangan. Sekiranya keputusan yang sederhana cemerlang itu ditakdirkan Allah yang terbaik kepada seseorang pelajar, maka ianya sudah cukup. Tidak perlu dilebih-lebihkan kerana Allah Maha mengetahui. Allah tahu apa yang akan berlaku terhadap masa depan hamba-hambaNya. Manusia hanya dapat merancang inginkan itu inginkan ini, namun tidak berupaya mengetahui apa yang dimintanya itu bermanfaat di hari muka.


Oleh itu, sesuai untuk kita membaca doa yang telah ada di dalam Al-quran serta yang diajarkan oleh Rasulullah. Jika ingin berdoa untuk berhajat ke atas perkara-perkara tertentu, maka berdoalah dengan beradab dan sesuai pada ayatnya. Diharapkan agar perancangan kita adalah perancangan yang diredai dan diberkati lalu Berjaya mengapai apa yang dihajati dan ianya benar-benar berfaedah kepada kita sewaktu itu. Diharapkan agar permintaan doa kita benar-benar terbaik kepada kita. Memang kita tak tahu. Memang ilmu masa depan itu tidak ada pada kita. Bahkan Nabi Musa AS sendiri pun dalam kisah (Nabi Khidir dan Nabi Musa) turut mengalaminya. Mat Santun bukanlah seorang alim ulama yang ingin berceramah panjang, namun hanya sekadar mengajak anda merenung dan berfikir sejenak. Mat Santun ingin memohon maaf sekiranya pengisian ini tidak disenangi mana-mana pihak. Maafkanlah atas segala edealogi dan pemikiran yang tidak sempurna ini.
Jumpa lagi dalam terbitan-terbitan Mat Santun yang seterusnya. Sekian.


Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

2 ulasan:

  1. Selamat sejahtera Mat Santun! Bagi saya, Ideologi ini sangat menarik dan lebih practical, rasional dan bertepatan dengan pemikiran yang seharusnya dimiliki ramai. Semoga tulisan ini boleh menjadi sesuatu yang dipertimbangkan sekurang-kurangnya oleh para pembaca blog enciksantai. Ini tulisan yang sangat bagus bagi saya. Terima Kasih banyak ya!

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih Ee Beng. EncikSantai.blogspot akan berusaha menerbitkan sesuatu yg menarik lagi. tq bg support.

      Padam