WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Jumaat, 24 Februari 2012

Arang Batu menagis lagi

Salam untuk semua buat semua yang membaca terbitan ini. Dalam segmen Renungan kali ini, Mat Santun akan membawa anda meninjau kehidupan sejenis haiwan di hutan. Dikhabarkannya, later tempat kisah ini adalah di kawasan Arang Batu. Semoga pengajaran kisah ini memberi kesedaran kepada kita selaku manusia di dunia ini. Tajuknya ialah (anArang Batu menangis lagi)

(Ayah!!!)
Hati kecil itu mulai merapati tubuh ayahnya. Tangan kerdilnya sayu meraba-raba tangan dan kaki milik tubuh yang telah terkulai layu itu. Kali ini suara Kini pula yang berteriak memanggil ayahnya yang sudah terbujur kaku di atas tanah. Ayahnya tidak bergerak sejak dari tadi dengan kelihatan darah-darah keluar dari tubuhnya. Apakah dia dibaham Si Belang sehingga gagal melawan kekuatan binatang buas itu. Apakah pula nasibnya itu adalah kerana ditembak orang sehingga mati.
(Sudahlah Kini. Marilah kita pulang. Hari pun dah senja. Lama-lama kat sini, banyak binatang besar yang mengancam kita.)
Pujuk Kino, abang kepada Kini yang asyik menangis dari tadi. Beberapa ketika, dia memandang wajah ibunya yang mempamerkan kesedihan. Kemudian, dia kembali merenung wajah ayahnya yang tidak menunjukkan sebarang reaksi air muka.
(Marilah kita pulang. Ayah mati mungkin kerana angkara manusia. Jangan pula kita yang menjadi mangsa seterusnya.)
Mendengar kata-kata ibunya, Kini mulai mengesat air matanya yang masih berbaki. Seketika, mereka pulang selepas menyemadikan jasad ahli keluarga yang mereka sayangi itu.
Sesekali Kino membayangkan wajah ayahnya sebentar tadi. Jika diamati betul-betul tubuh ayah, memang benar kata ibu bahawa ayah ditembak oleh pemburu. memang tidak boleh dinafikan lagi, manusia ini amat dirasai kejam. Apakah yang dirasai membawa kepentingan kepada Khalifah Bumi itu sehingga sanggup berbuat yang demikian. Apakah mereka cucu Adam sudah tidak bertamadun lagi. Jiklau itu, masakan mereka kaum manusia masih menjadi pemimpin di sini.


Sudah beberapa hari selepas kematian ayah mereka, kini ibunya pula yang menggantikan tugas ayah mencari rezeki. Hendak diharapkan kepada Kino dan Kini, anak monyet itu masih kecil lagi. Kehidupan mereka mulai berubah. Setiap hari, Kino dan Kini akan ditinggalkan oleh ibu mereka. Apabila larut malam, barulah ibu mereka pulang membawakan bekalan tenaga untuk esok hari. Begitulah seterusnya melewati hari-hari yang tercipta. Seolah-olah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Lebih malang lagi, ibu monyet itu mula merasai sukar untuk hidup lebih lama di situ. Ada kalanya, hampir segenap hari mencari makanan, tetapi belum berhasil. Hendak dipungut banyak-banyak, kudratnya tidak mampu untuk memikul bekalan yang terlalu berat. Lainlah jika suaminya yang melakukannya. kerana kudrat monyet jantan biasanya lebih kuat untuk memikul beban yang besar. Keadaan itu memaksa mereka tiga beranak berlapar buat beberapa ketika.
(Ibu, Kini lapar lah.(
Kini memulakan percakapan. Suaranya perlahan sahaja merayu kepada ibunya supaya diberi makanan. Tetapi, di luar. Suara kuat hujan menerjah kuat ke segenap ruang hutan membasahi setiap yang ada di situ.
(Kini lapar ye. Kejap nak, Ibu nak ambil makanan.).
Ibu monyet itu terbongkok-bongkok menuju ruang dapur. Ada kalanya, titis-titis hujan membasahi tubuhnya menterjemahkan kesejukan. namun, dia cuba menahan keadaan itu. Matanya meredup memandang ke sudut-sudut dahan pokok.Segalanya tampak kecewa. Bekalan makanan mereka habis lagi. Apa yang harus dipersembahkan kepada Kini. Pasti anak kecil itu akan menangis mengiringi amukan hujan yang masih rancak meligat.
Mujurlah ada sesuatu yang boleh menyelamatkan keadaan itu. Cepatt-cepat ibu monyet mengambil buah-buahan yang dicarinya tadi. Sebenarnya, bekalan itu adalah untuk esok hari. Tetapi, ibunya amat bersimpati dan kasihan kepada anak kecilnya. Biarlah dia yang tidak menjamah apa-apa, asalkan anak-anaknya ceria dan sihat untuk meneruskan hari-hari muka. Kini mulai gembira apabila melihat 2 biji pisang yang dibawa ibunya. Sebaliknya, ibu monyet itu berasa resah. Entah apa pula yang akan dimakan mereka pada esok pagi. Entah apa pula yang akan dia perolehi untuk esok hari.
Ketika dahulu, suaminya yang menjaga nafkaf kehidupan mereka anak beranak. Namun, apakan daya, suaminya itu sudah meningalkan dia untuk selama-lamanya. Ingatannya masih segar merenung babak-babak penemuan suaminya yang sudah nazak. Di tubuh suaminya, kelihatan suatu lubang membulati kulitnya dan dalamnya bertompok-tompok darah kering. Pada amatannya, suaminya sudah mati setengah hari yang lalu. Ketika itu, dia begitu resah kerana suaminya tidak pulang-pulang walau pun malam sudah menjangkau jauh. Pada amatannya juga, objek kecil yang ditemui dalam tubuh suaminya itu adalah sejenis peluru. Dengan itu, mengertilah dia akan punca kematian ayah Kino dan Kini itu.


Sudah 2 bulan mereka anak beranak berhijrah ke tempat baru. Di Sini, surga makanan tersedia untuk hidangan mereka setiap hari. Namun, perkara buruk lain pula yang muncul menyulitkan kehidupan mereka. Tempat baru itu terletak di pinggir hutan. Lokasinya juga berhampiran dengan sebatang jalan raya yang menjadi penghuni kereta-kereta untuk lalu-lalang. Tersilap pergerakan, bala pula akan menjemput kematian. Kenderaan yang meluncur laju di situ sudah cukup menggambarkan situasi tersebut.
Ada kalanya, ibu monyyet itu tidak perlu memerah keringat mencari makanan. Ini kerana terdapat sesetengah kereta yang melalui jalan itu akan memuntahkan makanan mereka keluar dari isi kenderaan masing-masing. Jika nasib baik, kaum monyet di situ akan memperolehi pisang bagaikan rezeki itu turun dari langit. Namun, ada kalanya mereka terpaksa mencuba resepi baru yang mereka sendiri belum merasainya. Begitu juga ibu monyet yang turut mengetahui makanan baru seperti roti, kacang, buah-buahan berjenama dari luar negara dan lain-lain. Keadaan itu juga memaksa kehidupan ibu monyet dan anak-anaknya berubah cita-rasa. Kalau dahulu, mereka leka menikmati makanan-makanan hutan hasil pungutan sendiri. Tetapi kini, segala-galanya berubah seolah-olah anjakan paradikma mengorbit kehidupan mereka.
Memang bahagia ibu monyet sekeluarga meneruskan detik-detik kehidupan di situ tanpa perwatakan ayah mereka. Namun, lagi bahagia jika dibayangkan ayah Kino dan Kini ada bersama melewati suasana di tempat baru itu. Apa kan daya, memang itu takdir untuk mereka. Memang itulah juga sebab mereka berpindah ke tempat baru memasuki gerbang makanan yang tersedia selalu.


(Hai, nampaknya awak ni penghuni baru di sini.)
Upi memulakan perbualan dengan muka baru yang berada di situ.
(ye, saya memang baru berpindah di sini. Selepas kematian suami saya, kami terus tinggal di sini. dengar cerita, tempat ni senang perolehi rezeki.)
Jelas ibu monyet sambil memungut beberapa biji pisang yang berhampiran dengan gigi jalan. Pagi itu benar-benar sepi. Ini memudahkan ibu monyet memungut makanan sepuas-puasnya kerana tidak perlu bersaing dengan yang lain.
(Saya Upi. Tinggal sebatang kara di sini. Ibu dan bapa saya telah meninggal dunia. Itu pun sudah bertahun-tahun.)
Jelas Upi memperkenalkan namanya. Seketika, dia menguntumkan senyuman. Di tangannya, terdapat beberapa biji pisang dan makanan lain untuk dibawa pulang.
(Saya Paruna. Boleh panggil saya Runa.)
Kali ini suara ibu monyet pula yang memberitahu tentang dirinya. Kemudian, dia berkata pula.
(Pagi ni tak banyak pula kawan-kawan kita yang memungut buah-buahan.)
Seketika, ibu monyet melebarkan senyuman. Wajahnya jelas menghadiahkan kecerian kepada Upi. Namun, kata-katanya tadi sukar ditaksirkan oleh Upi sama ada meminta jawapan balas atau hanya ingin bermonolog.
Suasana pagi itu masih lagi segar. Angin bayu dari puncak gegunung riang bertiup nyaman melimpahkan kesegaran ke serata-rata tempat. Keadaan yang sunyi di situ menambahkan lagi ketenangan yang tercipta. Hanya Sekali-sekala sahaja ada kereta yang melalui jalan itu mendengar perbualan mereka.
(Kebiasaannya, pagi-pagi macam ni sunyi saja. Tapi, petang karang berkurumunlah jiran-jiran kita. Lagi pun, waktu petang lah banyak kereta yang datang.)
Ibu monyet mengerti kata-kata Upi tadi. Memang benar penjelasannya, setakat dia tinggal di situ memang ramai yang melepak di tepi jalan raya menunggu hadiah dari pada manusia bagi mengyangkan perut.
Kelihatan di situ, daun-daun pohon yang menghijau melambai-lambai mereka berdua dari atas dengan dibantu oleh hembusan angin. Jauh di sudut seberang jalan, terdapat 2 ekor monyet mulai bekerja mengutip rezeki yang terbentang di hadapan mata mereka. Tiba-tiba, muncul pertanyaan tentang ibu dan bapa Upi yang telah meninggal dunia di kotak fikiran ibu monyet.
(Sebab apa ibu dan bapa awak meninggal dunia? Maaf saya bertanya.)
Ibu monyet perlu berhati-hati dengan pertanyaannya sebentar tadi. Takut-takut membuatkan perasaan Upi tersinggung dengan soalan mendadak itu.
Mendengar pertanyaan itu, Upi serta-merta tunduk mempamerkan reaksi muka yang baru. Kali ini wajahnya tidak seceria tadi. Mungkin tertewas oleh pertanyaan Ibu monyet tadi. Matanya jauh merenung tajam seperti mengingatkan peristiwa pahit itu. Namun, Ibu monyet gagal menterjemahkan renungan tajam Upi itu.
(Ibu mati disebabkan berlanggar dengan sebuah kereta. Waktu itu, ayah sibuk memungut rezeki yang bertaburan di jalan. Nasibnya tidak baik apabila dia dilanggar kereta yang laju ketika itu. Ibu yang melihat kejadian itu cuba menyelamatkan ayah. Tapi, apa kan daya. Tuhan lagi menyayangi mereka berdua.)
Nada suara Upi agak rendah. Dia tunduk menahan perasaan sedih itu. Memang sukar baginya untuk menelan kepahitan peristiwa itu walau pun sudah bertahun-tahun lamanya.
Serta-merta Ibu monyet mendekati Upi menenangkan kolam hati rakannya itu yang sedang berkocak. Bagi ibu monyet, perasaan itu harus diubati agar kocakan itu tidak bertukar gelombang besar yang akhirnya menterjemahkan trauma. Ibu monyet perlu menyelamatkan keadaan itu dari pada benar-benar terjadi.
(Bersabarlah Upi. Kaum kita memang selalu diancam. Anggaplah ini ujian dari Tuhan. Mulai hari ini, kita akan sama-sama hidup berjuang untuk hari-hari yang berbaki ini.)
Kata-kata ibu monyet tadi seolah-olah memulihkan semangat Upi. Sejak dari itu, Upi dan Paruna berkawan baik. Mereka kerap kali berjumpa di gigi jalan untuk sama-sama menikmati rezeki.


Aliran air terjun itu kuat melontarkan suaranya. Deras airnya juga turut diringi dengan suara beburung yang menyanyi. Kino dan Kini masih leka bermain air yang dingin itu. Sudah lama mereka tidak ke tengah hutan itu. Kali terakhir pun, semasa ayah mereka masih hidup. Itu pun, sudah hampir 2 tahun yang lalu. Kali ini ibu monyet berasa bertanggung jawab untuk membawa anak-anaknya bergembira di situ. Jika di pinggir hutan, mereka acap kali mendengar deruman kenderaan yang melalui jalan di situ. Tidak berpeluang untuk merasai suasana di dalam hutan sebenar sebagai mana mereka rasai dahulu.
Kini asyik bermain air sejak dari tadi. Sementara Kino, abangnya sudah ke darat menemani ibunya. Kelihatan daun-daun kering berguguran meliputi tanah seperti menjadi permaidani alam. Air yang jernih mengalir mengundang sekumpulan ikan berenang-renang berhampiran Kini. Ikan-ikan itu pantas bergerak dalam kederasan air itu apabila diganggu oleh Kini. Kino memandang wajah ibunya seolah-olah ingin memulakan perbualan. Kemudian, Kino bersuara.
(Ibu, kalau ayah ada kan bagus. Boleh mandi sungai sama-sama.)
Ibu monyet yang asyik memerhatikan Kini tersentak. Serta-merta menoleh ke arah Kino.
(Sudahlah Kino. Ayah dah lama tinggalkan kita.)
Ibu monyet menyambut perbualan anaknya dengan bersahaja.
(Tapi, ayah tidak sepatutnya mati. Kalau bukan manusia kejam yang buat, ayah tidak akan mati.)
Kino mulai menguatkan suaranya seperti ingin melawan suara derasan air. Tetapi, nadanya agak rendah mengiringi perasaan kecewa. Pada anggapannya, manusia memang kejam. Khalifah bumi itu sanggup membunuh makhluk lain tanpa sebab. Makhluk yang sempurna akal itu juga sanggup mengkhianati habitat mereka dengan mengubah landskap mengikut kepentingan mereka.
(Tidaklah. Manusia tidak kejam. Jika mereka begitu, masakan kita mendapat makanan dengan senang-lenang. Hampir setiap hari, rezeki kita diperolehi dari tepi jalan itu.)
Ibu monyet memberi jawapan dengan tenang. Jauh sudut hatinya, terbit perasaan serba-salah sama ada ingin memenangkan manusia atau pun ingin menuntut hak kematian suaminya. Namun, dia cuba berprasangka baik kepada manusia. Takut-takut tersalah langkah akan menyebabkan Kino diracuni perasaan benci kepada makhluk sempurna akal itu.
Bagi Kino pula, terbit bermacam-macam perasaan dalam benak hartinya. Yang paling jelas, perasaan konflik terhadap manusia. Dia sendiri tidak mengetahui sama ada manusia ini berhati mulia atau sebaliknya. Ingin bersangka buruk akan dipanah rasa tidak mengenang budi kerana manusia yang sering memberi makanan kepada mereka. Ingin bersangka baik, seolah-olah telah mengkhianati kematian ayahnya yang disebabkan kekejaman manusia.
Tiba-tiba, Kini menjerit meminta tolont. Keadaannya seolah-olah berbahaya. Kini hampir-hampir ditelan arus sungai yang deras. Namun, Kepantasan ibu monyet telah menyelamatkan segala-galanya. Begitu berhati-hati ibu monyet memilih pepohon untuk bergayut. Ini kerana, pohon yang berhampiran dengan Kini akan memudahkan Ibu monyet itu menarik anak kecilnya ke atas dahan. Memang naluri seorang ibu, pantang melihat anaknya berada dalam kesusahan. Itulah yang dikatakan kasih-sayang ibu terhadap anaknya.


Petang itu, matahari masih merembang di puncak langit. Tidak banyak monyet-monyet yang memungut makanan hasil pemberian manusia di tepi jalan itu. Sebaliknya, masih banyak makanan yang diberikan kepada mereka. Rezeki mereka seperti bertaburan di sepanjang jalan itu. Hanya kerajinan dan usaha sahaja yang mempu menghasilkan sesuatu yang lumayan. Ibu monyet perlu berhati-hati membawa Kino dan Kini keluar dari pinggir hutan itu. Kali ini mereka tidak perlu membawa makanan ke dalam hutan untuk makan bersama. Ini kerana tidak banyak kaum mereka yang berada di situ. Bagi Kino dan Kini, mereka seolah-olah dibawa ibunya keluar makan di sebuah restoran serba mahal. Mana tidaknya, gigi jalan itu terhampar segala rezeki yang bermacam-macam. Selain buah-buahan segar, mereka juga dapat merasai makanan manusia seperti roti, kekacang, kuih-muih dan beraneka jenis lagi.
Angin dingin masih lagi menemani mereka dalam kesibukan memungut makanan. Keadaan itu membuatkan mereka terus bersemangat untuk bekerja. Ini kerana cuaca tidak begitu panas. Kini gembira mengutip segala yang ada di tepi-tepi jalan itu. Baginya, jenis makanan apa pun tidak dihiraukannya. Asalkan tidak memudaratkan kesihatan seterusnya memberi kekenyangan kepadanya. Kini menjadi semakin seronok, dia diberi peluang untuk bebas mengaut apa yang ada di pinggir jalan tanpa kawalan ibunya. Namun, Kino ditugaskan untuk menjaga adiknya agar tidak berada begitu lama di pertengahan jalan. Ini kerana takut-takut tubuhnya dijamah kereta yang melalui jalan itu. Sementara ibu monyet leka mencari buah-buahan yang benar-benar elok dan ranum. Sebelum ini, dia sukar mendapat peluang itu kerana sering bersaing dengan monyet-monyet jantan. Tenaganya yang agak lemah gagal melawan persaingan itu dan akhirnya kekalahan diterimanya. Mungkin inilah peluang terbaiknya kerana tidak perlu bersaing dengan sesiapa pun.
Tiba-tiba, sebuah kereta berwarna hitam melluncur laju melepasi ibu monyet. Mujurlah dia tidak berada di pertengahan jalan. Hampir-hampir dia mengikut jejak langkah suaminya tadi, namun Tuhan menyelamatkannya. Tetapi, dia teringat Kini yang dibiarkan bersendirian. Mungkin tidak apa-apa, Kino ada bersama di sampingnya. Ibu monyet mulai sedar bahawa dia sudah lama berada di gigi jalan itu. Setakat inilah saja rezeki mereka untuk hari itu. Mungkin dirasakan rakan-rakan yang lain perlu merasainya.
Tetapi, ketenangan ibu monyet itu tidak lama. Kelihatan sebuah kereta lain meluncur laju bagai tidak menghiraukan apa yang berada di hadapannya. Nasib Kini mungkin berbahaya apabila hati kecil itu benar-benar bertentangan dengan bunyi deruman kereta. Melihat kejadian itu, ibu monyet cepat-cepat mencari pohon-pohon untuk bergayyut. Pergerakan di atas udara lebih pantas dari pada pergerakan kereta itu. Dengan itu, dapatlah dia menarik Kini ke tepi jalan. Kini terhumban ke tepi jalan. Mujurlah Kino ada berhampiran di situ. Kino menyambut adiknya itu dari terjatuh betul-betul ke tanah. Jika itu berlaku, mungkin Kini akan diselubungi luka di tubuh kecilnya. Sementara itu, ibu monyet berusaha mengelak serangan kereta itu. Berjaya ibu monyet mengelak dirinya dari pada dihentam kuat ke badan kereta itu. Ibu monyet perlu bangun dengan segera untuk menyelamatkan diri walau pun keadaan itu sudah selamat untuknya berada. Ketenangan mulai dirasakan oleh Kino dan Kini apabila mendapati bahawa ibunya terselamat dari pada berlanggar dengan kereta itu. Tetapi itu tidak lama, Pergerakan pantas sebuah lori yang berisi muatan ayam tiba-tiba menyergah jalan itu. Ibu monyet gagal bangun dengan segera. Dia cuba bingkas bangun, namun tetap gagal. Mungkin tenaga kuat tadi sudah pudar kerana digunakan untuk menyelamatkan Kini. Kali ini ibu monyet pula yang bertentangan dengan deruman kenderaan. Saiz lori itu yang besar mengakibatkan kenderaan itu menutup hampir keseluruhan jalan bahagian kiri. Tiada apa yang diharapkan oleh ibu monyet melainkan memastikan Kino dan Kini benar-benar selamat. Tiada apa juga yang boleh dibuat oleh ibu monyet itu. Segala-galanya sudah berakhir. Dia hanya mampu berdoa agar nyawanya tidak diragut ketika itu. Mungkin inilah masanya untuk dirinya menemani suaminya buart selama-lamanya. Mungkin ini juga masanya dia terpaksa meningalkan anak-anaknya buat selamanya.
(tum!!!)
Bunyi hentakan kuat akibat pelanggaran lori itu benar-benar mengejutkan Kino dan Kini. Serentak dengan itu, jeritan kuat dari hati yang lemah melolong memenuhi ruang jalan itu. Tidak sesiapa pun yang mendengarnya melainkan Kino.
Seketika, ibu monyet yang bernyawa sebentar tadi mulai terkulai layu. Darah-darah mulai kelihatan di sekeliling tubuh yang terkaku itu. Kaki ibu monyet itu sudah hancur dilenyek dek tayar lori yang ligat berpusing. Matanya tertutup tidak melihat apa-apa pun. Walau pun yang berada di hadapannya ialah anak-anaknya. Sementara itu, lori yang berlanggar tadi mulai hilang dari pandangan tempat itu.
(Ibu!!!)
Kali ini suara jeritan tadi lebih kuat memanggil ibunya.)
Namun, tiada sesiapa pun yang mendengarnya termasuk ibunya. Ibunya sudah tidak bersuara lagi. Apakah ibu monyet itu benar-benar meningalkan anak-anaknya untuk selamanya.
(Sudahlah Kini. Mungkin ini ujian buat kita. Bersabarlah.)
Suara Kino teresak-esak cuba menenangkan adiknya yang asyik meraung dari tadi. Kino yang mulai membesar dengan matang benar-benar sedih apabila menyaksikan sendiri bahawa ibunya dilanggar kenderaan manusia. Hatinya dilanda konflik yang berterusan. Pada anggapannya, apakah manusia ini memang kejam. Apakah juga manusia ini berhati mulia. Namu, Untuk terakhir kali ini. barulah dia berpendirian bahawa manusia ini benar-benar kejam. Dia tidak mampu untuk memaafkan kejadian di hadapan matanya itu.

Apa benar manusia baik...
Farid Imran 2012

Kesimpulan, apa benar kita khalifah bumi layak memegang peranan yang tersedia diberi. Jika benar, masakan ada lagi makhluk lain yang tidak tenteram kehidupannya dengan sikap berfoya-foya kita serta pembangunan yang tercipta. Dan... apakah kita hanya membiarkan kereta merempuh nyawa haiwan-haiwan kecil seperti kucing, ayam, katak atau watak di atas begitu sahaja dengan mata yang bersahaja. Dan... apakah kereta kita hanya merempuh sahaja nyawa haiwan-haiwan lain seperti lembu, kambin, anjing dan sebagainya dengan tidak berperasaan. Renunglah sejenak, Jadilah pemandu yang sebaik mungkin. Dengan itu, mungkin nyawa (manusia...) (HAIWAN...) tidak tergadai di atas jalan raya.

Seindah bahasa, sesantun bicara, semurni pekerti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan