WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Rabu, 21 Mac 2012

Merdekakan Pantai Merdeka

Oh indahnya,
Peristiwa,
Cinta kita di Pantai Merdeka.

Apa khabar semua yang masih setia dengan halaman maya ini. Kali ini dalam Segmen Renungan, Mat Santai akan membicarakan tentang pantai yang merupakan kurnian Tuhan yang sungguh menakjubkan ini. Kurnian alam ini diperuntukkan kepada kita semua sebagai makhluk bumi. Tidak juga terkecuali kepada makhluk-makhluk yang lain. Nak tahu lebih lanjut, bacalah.

(Cinta kita di Pantai Merdeka,) itulah saat-saat manis yang tidak semua orang memilikinya. Sungguh indahkan suasana sebegitu rupa. Sambil bercinta, sambil ditemani dengan nyanyian ombak yang menghempas pepasir pantai yang penuh kemanjaan. Begitulah juga anda bermanja dengan pasangan anda di tepian pantai. kebahagiannya akan terungkap lebih-lebih lagi apabila berada dalam suasana langit jingga yang bakal menjemput kegelapan. Ketika itu, cahaya mentari silih berganti dengan cahaya nion yang dipasang di merata-rata sudut kawasan pepantai. Kemudiannya, cahaya-cahaya itu berkolaberasi menerangi semua yang ada di persekitarannya.
Tatkala menikmati suasana itu, terdengar pula suara beburung gembira pulang ke sarang memungut rezeki yang berlimpahan di ceruk-ceruk alam. Kemerduan alunan muzik yang dipersembahkan oleh makhluk bersayap itu menambahkan lagi suasana romantis anda. Jauh di hujung laut, kelihatan sampan-sampan nelayan menghala ke daratan membawakan buah tangan dari alam iaitu hasil laut yang melimpah-ruah. Tidak ketinggalan juga hembusan angin yang lembut sepoi-sepoi bahasa turut menerpa ke arah daratan. Hembusan itu kemudiannya menghadiahkan kedinginan yang menterjemahkan ketenangan. Keadaan ini benar-benar menarik keasyikan pengelana pantai untuk terus bersantai dalam halaman kurnian tuhan ini. Apabila petang menutup jendelanya, maka muncul pula cahaya purnama indah mempersonakan menghiasi malam-malam anda.
Ketika itu juga cahaya-cahaya nion rancak memuntahkan keterangan menyuluh persekitaran pantai. Seolah-olah nion-nion ini berhasrat melawan cahaya purnama. Dari jauh pula kelihatan berkelompok-kelompok gerai dengan jualan pelbagai jenis. Ada yang menjual makanan dan minuman. Tidak kurang juga yang menjual cendera hati. Gerai-gerai ini seperti bersusun rapi sepanjang persisiran pantai. Segalanya enak apabila menjamu selera sambil menghias pandangan ke arah laut yang mempamerkan bayang-bayang purnama pada airnya yang berombak. Menikmati makanan malam secara eklusif sambil ditemani cahaya purnama selaku raja cahaya amat-amat diimpikan oleh pengelana pantai. Apatah lagi angin malam bertiup sopan turut mencantikkan permandangan dan suasana. Yang lebih menggemhbirakan lagi, jika suasana eklusif ini turut dapat dikongsi bersama-sama ahli keluarga, rakan-rakan atau pasangan kekasih. Pasti tidak kering gusi berjenaka serta bergurau senda antara satu sama lain. Segalanya tampak seperti sebuah panorama klasik namun bertatahkan elemen-elemen moden yang membahagiakan.
Memang menakjubkan gambaran suasana pantai yang diharapkan. Dengan kejernihan air laut yang dipamerkan serta pepasir pantai yang tidak ubah seperti kilauan permata putih,pasti memukau setiap pengunjung yang bersantai. Amat sesuai sekali untuk anda membawa rakan istimewa bersiar-siar. Amat sesuai sekali untuk ibu dan bapa membawa anak-anaknya bermandi-manda. Dan... Amat sesuai sekali untuk seseorang itu melepaskan tekanan jiwa. Itulah segala perwatakan yang dipamerkan oleh Pantai Merdeka. Sebuah pantai yang terletak di daerah Kuala Muda Negeri Kedah. Keindahan... Keasyikan... Ketenangan... Semuanya terdapat di dalam sebuah pantai yang begitu mempersonakan. Walau pun pantainya tidak begitu panjang, namun sudah cukup untuk meraih kegirangan apabila bermandi-manda. Dengan limpahan bukit-bukau yang menghijau serta sifat lautnya yang tidak berbuka luas ke arah lautan besar, menjadikan pengunjung-pengunjung lebih tertarik untuk mendekatinya.

Tetapi, gambaran suasana indah itu hanya tinggal kenangan buat Pantai Merdeka ini. Tidak ada lagi kecantikan panorama yang ghah seperti dulu. Tidak ada lagi kejernihan airnya yang membiru ketika dulu. Segala-galanya mengungkapkan permandangan yang merencatkan penglihatan. Seolah-olah Pantai Merdeka kita sudah tidak sihat lagi. Keasyikan permandangannya yang pernah dipuji-puji ketika dahulu kini telah berlalu bersama-sama kelodak-kelodak lumpur yang menemani air lautnya.
Sekiranya dulu, ramai pengunjung yang menjadikan pantai ini sebagai halaman menemani cinta. Menemani kekasih bersiar-siar di pantai sambil menghirup udara segar. Segala-galanya tampak sebagai (Cinta )Pantai Merdeka) kerana keadaan pantainya yang bersih menyebabkan kebahagian cinta dapat dicari. Ditambah pula dengan alunan lagu Cinta Pantai Merdeka benar-benar menjadikan pantai ini sebagai destinasi pilihan untuk menemani cinta. Tetapi, kini kemanisan itu sukar dicipta. Hanya lagu yang tinggal menemani usia pantai itu. Hanya lirik-lirik lagunya sahaja yang mampu dinyanyikan. Sedangkan, apa yang terkandung dalam lirik-lirik itu seakan sukar untuk diterjemahkan sebagai kenyataan. Dan, alunan muziknya sudah ketandusan suasana romantik yang sebenar. Masakan ada lagi jiwa-jiwa yang berhasrat menemani cintanya di pantai ini. Masakan ada lagi jiwa-jiwa yang sudi mengikut kekasihnya bersiar-siar di pantai ini. Mengapa bisa jadi begini? Mengapa Pantai Merdeka yang diserang penyakit? Dan, mengapa pengunjung yang datang tidak seceria dulu?
Segala persoalan itu memang mudah dilontarkan kepada sesiapa pun. Barangkali, turut mudah dijawab. Namun, usaha untuk merealitikan jawapan itu begitu sukar untuk dikotakannya. Mengapa? Mengapa begitu sukar? Sebab segalanya berpunca dari pada manusia, Dari pada sikap kita sendiri. Sikap negatif seperti mementingkan diri sendiri sehingga terlupa akan tanggungjawab menjaga kebersihan dan kebajikan pantai. Namun, seakan mudah kita mempersoalkan tentang kecacatan pantai. Sedangkan kecacatan itu adalah dari tangan-tangan kita sendiri. Lihatlah sendiri, Pantai Merdeka sudah kelihatan kusut masai. Ombaknya kini menghempas perlahan semacam tenat. Lebih teruk dari itu, ombak itu turut membawa kelodak-kelodak kotor ke gigi air. Ombak-ombak itu juga turut menghasilkan bau lumpur yang tidak menyenangkan. Persoalannya, entah dari mana kelodak-kelodak itu datang. Mungkin sekali dari Tanjung Dawai? Mungkin juga dari Pulau Sayak? Atau juga dari Sungai Kuala Muda sendiri. Apa-apa pun, Situasi ini sekali gus merencatkan aktiviti mandi-manda di situ. Lebih malang lagi, sebahagian habitat hidupan akuatik seperti ketam dan bermacam siput di situ telah musnah sama sekali.
Tidak cukup dengan itu, terdapat sesetengah pengunjung yang sanggup membuang sampah merata-rata tempat sedangkan tempat pembuangan sampah telah disediakan. Mala petaka ini seterusnya bakal mengundang lalat dan lipas yang sememangnya bersifat kotor dan lebih dasyat lagi serangga ini mampu membawa penyakit. Kesan dari itu juga, bau-bau busuk sering terhidu di ceruk-ceruk perkarangan pantai.Akhirnya telah menyebabkan pengurangan pengunjung di sini. Sementara itu, situasi sebigini bakal memberi persepsi yang buruk terhadap Pantai Merdeka oleh pengunjung dari negeri lain.
Oleh itu, tanggungjawab terletak pada semua pihak Mahu pun kerajaan, peniaga dan pengunjung. Sebagai peniaga, mereka perlulah menjaga kebersihan pantai dengan tidak membuang sisa-sisa jualan merata-rata Di samping kualiti jualan harus ditingkatkan untuk terus memancing lebih banyak pengunjung datang. Bagi pihak kerajaan, memang tidak dinafikan bahawa sudah terdapat undang-undang berkenaan yang terlah dilancarkan. Namun malangnya, ada segelintir pengunjung yang bersantai di Pantai Merdeka ini seakan tidak mengerti. Apa yang boleh dilakukan, hanyalah penegasan dan penguatkuasaan ke atas peraturan tersebut supaya lebih bersifat drastik. Kepada para pengunjung, amalkanlah adab-adab berekreasi di tempat-tempat awam. Jika itu tidak dilakukan, nescaya Pantai Merdeka ini bakal jatuh sakit dan tidak berupaya lagi untuk melayan peminat-peminatnya.
Kesimpulannya, Semua pihak perlulah menjalankan tanggungjawab masing-masing terhadap alam sekitar. Cuba direnung kembali, Pantai Merdeka pernah menjadi destinasi pilihan buat semua. Lokasinya yang berhadapan dengan Tanjung Dawai mencantikkan lagi landskapnya terutamanya pada waktu malam. Dengan terdapatnya sebuah masjid tepian laut di Tanjung Dawai mengindahkan lagi kawasan itu. Yang pasti, semua ini gagal diungkapkan jikalau usaha konsisten bagi menjaga keindahan pantai tidak dilaksanakan. Renunglah sejenak, sekiranya kita menunjukkan sikap negatif sebegini. Bukan sahaja Pantai Merdeka yang mendapat padah, malah pepantai di Langkawi yang sememangnya diiktiraf sebagai antara 10 pantai terindah dunia turut menjadi mangsa. Adakah kita ingin berbuat demikian, berbuat kerosakan pada pantai-pantai Malaysia? Fikir-fikirkan.

Nak Santai, bukan sekadar lepak tepi pantai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan