WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Ahad, 6 Mei 2012

Tentang Masa Depan

Assalamualaikum dan salam kebahagian diucapkan kepada anda semua yang sedang mengikuti Halaman Santun-Santai ini. Tiba giliran watak sebenar untuk berbicara buat renungan bersama.
    Hari berganti hari, Mei sudah berada di samping kita merentasi 2012. Bagi saya, inilah saat getir untuk saya berfikir tentang masa depan. Untuk pengetahuan semua, saya baru sahaja menamatkan kursus IT di sebuah pusat latihan iaitu St. Nicholas Home. Pelbagai kenangan berbeza rasa dapat dibawa buat tatapan di kampung halaman.
    Ramai orang berkata, apabila kita akan kembali ke pangkuan keluarga setelah lama berjauhan, itu merupakan saat kebahagian. Memang itu saya akui. Namun, itulah permulaan hidup baru bagi saya. Langkah baru ini perlu dirancang dengan teliti agar tidak tersesat di jalanan.
Dengan kata lain, selesai latihan di SNH tersebut, tibalah saatnya untuk saya berbicara tentang masa depan. Bermulalah juga gerbang baru dalam hidup saya iaitu melangkah ke gerbang menara gading. Memang itulah realiti seorang pelajar lepasan SPM atau STPM. Sebaik sahaja tamatnya persekolahan, maka dimensi baru pula menanti dengan menampilkan suasana belajar yang berlainan. Jika 2011 yang lalu ketika di tingkatan 5, suasana pembelajarannya bersifat santai. Kelompok masyarakatnya juga tidaklah besar. Kini, tiba saatnya untuk saya berdiri bersama-sama kelompok masyarakat yang lebih besar di menara gading kelak.
     Apa-apa pun, suasana sebegitu tetap akan saya lalui. Yang penting, sudah tiba saatnya untuk saya mempertimbangkan segala tawaran pengajian yang diperoleh. Tersalah pilihan, merana menanti kelak.
    Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih dan sebuah penghargaan kepada Cikgu-cikgu saya di SNH terutamanya Cikgu Hatty dan Cikgu Vijaya. Mereka berdua telah banyak mengajar saya menerokai dunia it yang sememangnya amat-amat berguna khususnya sebagai persedian dalam melanjutkan pengajian. Jasa dan titik peluh beliau berdua amat saya hargai. Semoga segala ilmu tersebut dapat saya praktikkan sebaik-baiknya dalam kehidupan di hari muka.
    Buat rakan-rakan yang masih berada di SNH, saya ucapkan selamat berjuang hingga ke akhir kursus. Doakan agar saya dapat memilih bidang pengajian yang terbaik dan sesuai bagi saya serta berpeluang cerah untuk meraih pekerjaan pada masa depan. Sekian daripada saya, Bye. Bye. Assalamualaikum.

Tiada ulasan:

Catat Komen