WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Ahad, 2 September 2012

Berani Mencuba...

Assalamualaikum serta salam sejahtera kepada anda yang setia mengikuti Halaman Santun-Santai dalam dunia maya ini. Giliran Mat Santai pula akan menamani anda dalam Segmen Sembang Santai. Pada hari ini, Mat Santai berhasarat ingin berkongsi sebuah kisah dengan anda. Kisahnya mengenai dua abang “saya” yang berani berdepan cabaran dengan memandu kereta sewaktu permulaan musim perayaan Syawal. Kedua-dua abang “saya” itu telah pun mendapatkan lessen. Namun, mereka tidak begitu mesra untuk memandu kereta sebelum ini. Mungkin sebabnya mereka tidak memiliki kereta sendiri untuk membiasakan diri dengan teknik pemanduan yang baik. Walau apa-apa pun, mereka benar-benar berani untuk memandu ketika mana bilangan kenderaan di merata-rata tempat menunjukkan peningkatan. Apatah lagi ketika itu merupakan hari raya Aidilfitri yang ketiga.

                Setelah kami sekeluarga  beraya di kampong halaman selama 3 hari bermula Hari Sabtu sehingga hari Isnin, kami kembali ke Sungai Petani untuk meneruskan perayaan Syawal di sana. Kami bertolak dari kampong halaman yang terletak di Bota, perak pada pukul 5.00 petang. Perjalanan pulang ke rumah memakan masa selama 4 jam. Dalam perjalanan, kami terpaksa menempuh kesesakan jalan raya terutamanya yang berlaku di susur Tol Juru. Memang menjadi kebiasaan di tempat itu berlakunya kesesakan jalan raya apabila Aidilfitri tiba. Kereta Proton Wira yang dipandu kakak saya telah tiba di rumah lebih awal. Namun, saya yang menaiki kereta bapa telah terlewat sedikit kerana kami terlibat dalam kesesakan jalan raya yang berlaku di susur tol keluar di Lebuh Raya Sungai Petani Selatan.
                Keesokannya, kami sekeluarga berhasrat untuk beraya di  Bukit Mertajam. Di sana, terdapatnya rumah-rumah saudara mara sebelah ibu yang menjadi kemestian kami sekeluarga untuk berziarah apabila Syawal menjelang. Abang saya yang pertama itu telah memberanikan diri untuk membawa kereta Proton Wira. Kami berlima di situ termasuk ibu dan kakak saya yang sentiasa memerhatikan dan mengawal abang saya yang dikatakan baru dalam situasi pemanduan. Pada mulanya, saya berasa gementar untuk turut serta di dalam kereta Proton Wira dan ingin menyertai dua adik saya yang menaiki kereta bapa. Namun disebabkan salah seorang adik saya itu ingin tidur di tempat duduk belakang, saya terpaksa melupakan hasrat itu. Apatah lagi, kedua-dua adik saya juga telah membuat pengakuan awal-awal lagi untuk tidak menaiki kereta yang dipandu oleh abang saya. Tambahan pula mereka menyatakan tidak selamat untuk menaiki kereta yang dipandu oleh orang baru.
                Ketika dalam perjalanan pada permulaannya, saya benar-benar gementar serta berdebar-debar apabila ternyata bilangan kereta di atas jalan raya benar-benar begitu banyak sekali. Tambahan pula, kami tidak mengikuti jalan lebuh raya. Hanya sesekali kami diancam kekalutan apabila beberapa kali di depan lampu isyarat, kereta yang kami naiki tiba-tiba termati enjin. Mujurlah di belakang tiada kereta bersesak-sesak. Menurut kakak saya, adik lelakinya itu tidak dapat mengawal gear dengan baik. Mungkin menjadi lumrah apabila seseorang itu baru berjinak-jinak dengan teknik pemanduan yang baik. Kakak saya yang turut berada di sisi saya sentiasa memerhatikan cara pemanduan abang saya itu. Sementara di sepanjang laluan kami itu, sudah terdapat 3 kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta dan motorsikal. Menurut ibu saya pula yang duduk di tempat duduk hadapan, abang saya mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam pemanduan tetapi akan hilang keyakinannya sekiranya terpaksa menempuh jalan-jalan yang sempit yang dipenuhi orang ramai di kiri dan kanan.
                Meski pun begitu, kami akhirnya tiba di destinasi yang ingin ditujui dengan selamat selepas hamper 1 jam berdepan dengan situasi yang tidak menentu. Hanya masa sahaja yang memisahkan kedatangan kereta bapa dengan kedatangan kereta yang kami naiki. Suasana beraya di situ amat meriah. Boleh dikatakan hamper satu kampong itu terdiri daripada rumah-rumah sanak-saudara dan teman-teman lama ibu saya. Dari segi juadah rayanya amat terbaik. Bak kata masyarakat, jika beraya di Pulau-Pinang, anda tidak perlu risau tentang juadah yang terhidang. Ambil sahaja apa yang ada, nescaya semuanya sedap-sedap belaka. Di kesempatan itu, saya telah mengambil peluang untuk menikmati  Lontong, ais batu campur”ABC”  dan Ca Koteow Penang. Keenakannya tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata. Hanya keronglong sahaja yang tahu. Tengah hari itu, saya mengambil keputusan untuk tidak menikmati makanan tengah hari yang terhidang. Bukan  bermaksud untuk menjual mahal, tetapi perut sudah  dipenuhi dengan segala macam makanan. Saya bersama-sama sepupu yang lain menonton rancangan realiti raya yang ditayangkan di Astro Warna. Saya tidak pasti akan tajuk rancangan itu. Yang pasti, kami yang berada di situ tidak henti-henti ketawa serta tidak kering gusi dibuatnya.
                Setelah petang menyusur hari, kami pulang ke Sungai Petani. Kali ini giliran abang saya yang kedua pula mengambil tugas sebagai pemandu kereta. Abang saya yang ini juga seperti abang saya yang pertama tadi. Ketiadaan kereta persendirian baginya menyebabkan abang saya itu tidak dapat membiasakan diri untuk memandu kereta. Saya sekali lagi menaiki kereta Proton Wira. Perjalanannya boleh dikatakan lancer. Hanya sekali-sekala sahaja kekecohan di dalam kereta berlaku. Ini kerana ibu saya mengingati abang saya itu untuk tidak mengikut terlalu rapat dengan kereta yang berada di hadapan. Abang saya berkata, memandu kereta adalah lebih penat berbanding memandu motorsikal. Mungkin abang saya berkata demikian kerana kehidupannya sudah serasi dengan memandu motorsikal. Kakak saya pula memberi pedapat, pada mulanya akan terasa penat dan susah untuk memandu kereta. Ini kerana, seorang pemandu itu perlu melihat cermin sisi, cermin depan, bermain gear, mengawal kelajuan dan bermacam-macam lagi. Semuanya perlu dibuat secara serentak dalam suatu masa. Sewaktu ini, saya sudah mulai tenang. Saya tidak dihantui perasaan gementar lagi. Namun, abang saya itu masih kurang mahir untuk membelok dengan keadaan yang selamat. Sudah beberapa kali abang saya itu sedikit termakan jalan orang. Tetapi, keadaan itu tidak menyebabkan permaslahan timbul pada kereta kami mahu pun pengguna jalan raya yang lain. Kami tiba di Sungai Petani pada pukul 5.00 petang. Keadaan jalan raya sewaktu perjalanan pulang tidak begitu sesak. Mungkin atas factor itulah abang saya yang kedua itu mampu mengawal pemanduan dengan selamat. Keseluruhannya, kedua-dua abang saya mempunyai keberanian yang tinggi untuk memulakan pemanduan secara reality. Apatah lagi mereka melakukan cabaran itu sewaktu perayaan yang sememangnya mengundang bilangan kereta yang banyak di atas jalan raya. Kedua-dua abang saya itu mempunyai kelebihan dan kekurangan diri masing-masing. Apa-apa pun, mereka Berjaya membawa saya dan yang lain untuk tiba ke destinasi yang ditujui dengan selamat. Mereka juga tidak menyebabkan saya dan yang lain terlibat dalam kemalangan jalan raya. Tidak juga mereka menyebabkan kemalangan jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya yang lain. Tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua abang saya, Mohd Fithri dan Mohd Firdaus atas usaha mereka itu.

Nak santai, bukan sekadar lepak tepi pantai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan