WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Sabtu, 22 Jun 2013

Sebuah Pendakian

Assalammualaikum serta salam bahagia Mat Santun ucapkan kepada anda yang masih setia mengikuti laman blog enciksantai.blogspot. Sudah terlalu lama agaknya Mat Santun tidak bermain falsafah bersama-sama anda. Oleh itu, Mat Santun akan menampilkan kembali terbitan baru dalam Segmen Renungan. (Sebuah Pendakian), itulah tajuk terbitan Mat Santun pada kali ini yang akan dihuraikan. InsyaAllah.


Dalam sebuah perjalanan yang panjang untuk sampai ke sesuatu destinasi, maka semangat diri serta kelengkapan pemanduan adalah wajib diutamakan. Apatah lagi sekiranya anda menyusuri kawasan tanah tinggi sebelum menyambung semula perjalanan di kawasan tanah pamah. Oleh itu, teknik pemanduan yang baik perlu dipraktikkan dalam aksi pendakian itu. Hal ini adalah untuk mengelakkan berlakunya sebarang malapetaka yang dapat meragut nyawa.


Sebelum melakukan pendakian, sewajarnya anda memeriksa fungsi break kenderaan anda sama ada baik atau tidak. Sesetengah kawasan pergunungan juga ada diletakkan papan tanda yang mengingati para pemandu supaya memeriksa fungsi break pada kenderaan sebelum memulakan aksi pendakian. Anda juga pasti mengubah laras gear pada kenderaan yang dipandu agar ianya bertukar kepada gear rendah dengan mengikut kesesuaian pada perjalanan di kawasan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang. Anda juga digalakkan menjauhkan jarak kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan supaya dapat mengambil lajak untuk memecut dengan lebih laju disebabkan kelapangan pada ruang hadapan.


Sewaktu di pertengahan pendakian, Apa yang biasa terjadi kepada anda ialah bakal mendapat kesakitan pada telinga. Fenomena ini berlaku ekoran perubahan pada tekanan udara di persekitaran sewaktu melakukan pendakian. Pada masa yang sama, anda perlu menjaga kawalan stering sama ada membelok ke kiri atau ke kanan mahu pun terus agar sentiasa mengikut arah jalan. Sehubungan itu juga, anda dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan kawalan break kerana terleka sedikit sudah mampu membawa anda ke kawasan kuburan sekiranya anda dan kenderaan terbabas ke dalam gaung.


Namun, suatu yang menarik untuk anda ialah semakin anda mendaki, semakin anda merasai kenikmatan demi kenikmatan. Sememangnya anda akan merasai kelembutan hembusan bayu pergunungan yang mendinginkan. Mana tidaknya, setiap 165 Meter perjalanan anda untuk ke atas, penurunan suhu sebanyak 1 darjah celcius akan berlaku. Anda juga bakal dianugerahkan dengan pandangan yang menakjubkan di kiri dan kanan jalan. Pohon-pohon hutan yang menghijau sentiasa menyambut kedatangan anda. Anak-anak sungai kecil juga turut menjadi penghias kepada saujana mata memandang. Di sudut atas, awan-awan putih yang melindungi langit biru kelihatan seakan dekat dengan anda. Tidak terkecuali Kabus-kabus putih, berkumpul seakan menari-nari di hadapan cermin kenderaan.


Setelah anda Berjaya menamatkan pendakian, anda akan merasai pemandangan yang indah tatkala melihat sesuatu yang berada di bawah. Jalan raya yang dilalui tadi dilihat seperti garisan di atas kertas lukisan. Bermacam Bangunan yang ada di bawah dilihat seperti kotak-kotak  mancis yang disusun kemas. Inilah nikmat jika kita berada di atas sesuatu puncak.


Begitu juga dengan anda yang sedang berada di alam pekerjaan. Anda bermula di tangga pertama berbekalkan seberkas pengalaman serta segulung sijil. Di waktu itu, anda sekadar meneruskan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan dan perlu melalui perjalanan yang panjang untuk membiasakan diri dalam sesebuah syarikat atau organisasi. Untuk itu, anda sentiasa perlu produktif dengan kerjaya di samping sedia berkhidmat selain mempelajari lebih banyak lagi ilmu-ilmu yang berkaitan dunia pekerjaan.


Anda akan menaiki beberapa anak tangga lagi setelah diberi penganugerahan kenaikan pangkat setelah tiba masanya. Dalam proses kenaikan pangkat itu, anda perlu bekerja keras tanpa menghiraukan soal kepenatan. Kebanyakan waktu senggang anda juga banyak dihabiskan untuk tujuan kerjaya. Anda juga akan tertekan ddengan persekitaran tempat kerja apabila ada sesetengah rakan sekerja merasai ketidakpuasan hati terhadap pencapaian anda. Anda juga perlu tahan mendengar bermacam-macam tomahan selain prihatin mendengar masalah orang-orang bawahan.


Namun, semakin anda berada di atas, semakin anda merasai kenikmatan demi kenikmatan. Anda akan memperoleh upah wang yang lebih lumayan. Pelbagai faedah sampingan seperti pemberian bonus dan elaun juga turut ditambah kuantitinya berdasarkan pangkat anda. Anda juga akan lebih mendapat kepercayaan daripada majikan dalam urusan syarikat yang penting. Nasib anda akan bertambah baik lagi sekiranya anda diberi hak dalam membuat keputusan berkaitan operasi syarikat.


Setelah anda berada di akhir anak tangga, anda adalah seorang yang Berjaya di alam pekerjaan. Anda akan bertambah Berjaya sekiranya amanat pekerjaan itu dilaksanakan dengan betul. Bekerjalah dengan sejujurnya untuk memperoleh rezeki yang halal. Gunakanlah kuasa anda dengan sebaiknya dalam memberi arahan kepada orang bawahan. Sebarang penglibatan rasuah perlu dijauhkan untuk mengelakkan anda dan pangkat terbabas lalu anda diberhentikan dan pangkat dilucutkan.


Dalam aksi pendakian untuk memperoleh jawatan yang lebih tinggi ini, suatu perkara yang penting perlu diingati. Anda yang berada di atas bekerja untuk orang yang berada di bawah, bukannya orang yang berada di bawah berkerja untuk anda yang berada di atas. Sebuah perjalanan di alam perkerjaan umpama perjalanan mendaki kawasan tanah tinggi. Renunglah sejenak, tatkala anda diberi hak memimpin orang bawahan, bukan bermaksud beban kerja anda berkurangan. Hakikatnya, andalah yang perlu bekerja keras untuk mereka. Sayangnya, ianya berbeza dengan keadaan reality pada hari ini.


Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Tiada ulasan:

Catat Komen