WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Sabtu, 23 Mac 2013

Pengalaman Pertama

Assalamualaikum dan salam sejahtera watak sebenar ucapkan kepada anda yang melawati blog Enciksantai.blogspot. Belakangan ini, blog ini memang tidak menerbitkan apa-apa terbitan. Watak sebenar memohon maaf atas keadaan itu. Hari ini, watak sebenar kembali menemani anda untuk menceritakan hal diri ini.


Syukur Alhamdulillah watak sebenar ucapkan kerana watak sebenar telah pun dapat melengkapkan kertas projek Pengajian Am yang bersifat kajian ilmiyah ini. Kertas projek ini memakan masa yang panjang untuk disiapkan. Namun, terdapat 2 buah lagi kertas projek iaitu yang berkaitan dengan subjek sejarah dan syariah masih belum dilengkapkan. Insyaallah, sebaik sahaja buka sekolah ini kedua-dua kertas projek itu akan dihantar.


Watak sebenar berasa bertuah kerana memiliki pengalaman pertama dalam membuat kertas projek bertaraf university. Kini, kertas projek pertama yakni kertas projek Pengajian Am itu akan dihantar pada esok hari. Moga-moga watak sebenar menyiapkannya berdasarkan apa yang dikehendaki oleh Majlis Peperiksaan Malaysia(MPM). Pada mulanya, watak sebenar berasa bimbang takut-takut watak sebenar gagal untuk melengkapkan kertas projek ini. Namun, segala berubah apabila kita memiliki usaha, minat dan semangat  untuk melaksanakannya. Namun, ketika menjalankan kajian dahulu, banyak cabaran perlu dihadapi. Oleh sebab kajian watak sebenar tertumpu di pasar malam, watak sebenar terpaksa berhadapan dengan para peniaga yang sentiasa sibuk untuk memberikan borang soal selidik. Ada juga perasaan serba salah ketika itu. Watak sebenar juga melakukan survey penawaran harga barangan basah yang ditawarkan di antara pasar malam, pasar basah dan pasar raya berdekatan. Jika difikirkan, memang menarik aktiviti sepanjang kajian lapangan itu.


Namun, yang paling menyusahkan rasanya ialahkertas projek Syariah. Oleh sebab kajian ini berkaitan dengan jenayah ragut menurut undang-undang Islam, watak sebenar perlu memperoleh statistik jenayah ragut dalam tempoh tertentu daripada IPD Balai Polis Kuala Muda. Selain itu, kena banyak mengkaji buku-buku fekah untuk memperoleh maklumat berkenaan. Yang paling membosankan apabila membuat temu janji dengan pihak polis. Kesulitannya serta urusannya, hanya Allah sahajalah yang mengetahuinya. Mungkin Piagam Pelanggan mereka tidak sebegitu baik bagi pendapat watak sebenar. Bukan nak kata tapi sudah nyata.


Yang terakhir ini ialah kertas projek Sejarah. Yang ini hanyalah esei ilmiyah bukannya kajian ilmiyah. Namun, esei itu perlu ditulis dalam bilangan patah perkataan antara 2500-3500 patah perkataan. Kajian kertas projek Sejarah ini hanya banyak menggunakan kaedah perpustakaan dalam memperoleh maklumat dan data berkaitan. Taklah buat kajian lapangan sampai kena tebal muka nak minta sesuatu daripada orang lain. Esei ilmiyah ini berkaitan dengan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia. Moga-moga kajian ini dapat memberikan kebaikan kepada orang ramai kelak.


Apa-apa pun, kertas projek Pengajiam Am watak sebenar telah pun sempurna disiapkan. Kertas projek Syariah dan Sejarah masing-masing hamper siap dan sudah melepasi 80% proses pelaksanannya. Moga-moga ketiga-tiga kertas projek ini membantu watak sebenar dalam menyumbang markah terbaik terhadap keseluruhan markah. Watak sebenar benar-benar mengharapkan bahawa ketiga-tiga kertas projek ini tidak membangkitkan masalah setelah disemak oleh para penilai nanti. Mudah-mudahan ketiga-tiganya disiapkan berdasarkan apa yang dikehendaki oleh Majlis Peperiksaan Malaysia(MPM).


Selepas itu yakni sebaik sahaja buka persekolahan pada awal April, barulah watak sebenar perlu fokus dalam sukatan pelajaran pula. Insyaallah, dalam tempoh 1 bulan watak sebenar belajar dapat cover pelajaran daripada bulan 1, 2 dan 3 yang lalu. Semuanya memerlukan usaha, minat dan semangat. Paling penting, sentiasa menjaga hubungan baik dengan Allah SWT. Moga-moga watak sebenar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik pada penggal kedua ini.


Syukur Alhamdulillah, keputusan peperiksaan penggal 1 telah pun diumumkan pada Khamis tempoh hari. Watak sebenar memperoleh keputusan yang baik seperti mana yang dihajatkan. Kini, perjuangan tertumpu kepada peperiksaan penggal 2 dan tidak ketinggalan juga pelaksanaan kertas projek. Dalam cuti sekolah inilah watak sebenar perlu menyiapkan 20% lagi pelaksanaan kertas projek Syariah dan Sejarah. Tidaklah begitu berat. Paling penting, dasar cuti sekolah itu perlu dijalankan sepuas-puasnya. Kalau tidak, bukan nama cuti sekolah, tapi cuti kelas.


Walau apa-apa pun, ke mana kita melanjutkan pelajaran, seseorang itu perlu berpaksikan kepada usaha, minat dan semangat dalam apa-apa perkara yang dilakukan. Paling utama antara yang utama itu ialah doa dan tawakal kepada Allah dan keberkatan dariNya yang dihajatkan. Ok, lupa pula nak wish salam tahniah kepada pelajar-pelajar SPM yang telah Berjaya dan kurang Berjaya. Atau sekali pun yang tidak Berjaya. Tetapi, kejayaan itu tidak patut diukur hanya sekadar di atas slip peperiksaan yang bersifat lemah itu. Pendek kata, kesemuanya telah Berjaya kerana sekurang-kurangnya berani menunaikan fardhu kifayah yakni belajar dan seterusnya mengambil peperiksaan biar pun hasilnya kurang menyerlah. Kejayaan pada masa ini belum tentu menjamin kejayaan pada masa akan datang. Namun, kegagalan pada masa ini dapat membuka kejayaan pertama pada masa akan datang. Tak mahu tulis lagi, sekian terima kasih. Nantikan apa-apa bentuk terbitan lagi daripada Halaman Santun-Santai.


Rabu, 13 Februari 2013

Monolog Anak Kecil

Aku takut,
Aku terkejut,
Aku terpinga-pinga,
Aku hairan,
Aku gelisah.


Lalat, tikus, gelap dan kotor,
Itukah yang akan aku lihat?
Bodoh, Hina, jijik dan celaka,
Itukah yang akan aku dengar?
Sejuk, panas, sakit dan sedih,
Itukah yang akan aku rasa?


Oh Tuhan,
Jika itu benar-benar berlaku,
Aku sesungguhnya tidak mahu keluar dari tempat ini,
Biarlah aku tinggal di sini,
Biarlah aku hidup di sini,
Biarlah aku mati di sini, ,
Aku rela,
Aku reda,
Saban hari aku membesar,
Saban hari aku terdengar,
Bunyi cacian, bunyi makian,
Terpanah kepadaku.


Semakin hari aku membesar,
Semakin hari aku terpandang,
Wajah-wajah penyayang,
Bercampur wajah-wajah garang,
Dicium, dipelihara, diherdik dan dihina,
Tangan-tangan simpati,
Bercampur tangan-tangan keji,
Dibelai, dipegang, didera dan dibuang.


Aku tahu itulah akan nasibku,
Seperti nasib rakan-rakanku juga,
Bukan kami yang berdosa,
Mengapa pula kami sengsara?
Kami bahan keseronokan mereka berdua,
Kami mangsa keadaan mereka berdua,
Apa yang dapat aku dan rakan-rakanku buat?


Kepada anak-anak Adam,
Jangan kau jemput rakan-rakanku datang ke sini lagi,
Sekiranya langkah-langkah mereka sumbang dan haram,
Apa yang penting,
Jangan kau bermain pesta di malam-malam bertuah,
Seperti malam hari kekasih yang kau anggapnya indah,
Sehinggakan di suatu ketika,
Kau beraksi ghairah,
Hakikatnya kau telah pun kalah,
Tewas  dinodai askar berkuda,
Yang memang menunggu masa dan ketika,
Untuk menghancurkan manusia pada bila-bila masa.



Nukilan watak sebenar
Terima kasih kerana terus mengikuti Halaman Santun-Santai. Semoga secebis monolog daripada si kecil ini dapat kita  jadikan renungan bersama. Sesungguhnya, kehidupan itu indah selagi mana kita berpegang kepada mandate agama di samping mencari keredaan Ilahi. Kepada anak-anak muda, janganlah kamu mendekati zina kerana perbuatan itu amat hina dan dimurkai Allah serta mendapat hukuman yang keras dari Allah.

Selasa, 12 Februari 2013

3 perkara awal dan akhir

Assalamualaikum Dan salam sejahtera Mat Santun ucapkan. Mat Santun kira, ini merupakan terbitan yang pertama dipersembahkan buat tetamu blog ini pada tahun 2013. Pada Januari lepas, Halaman Santun-Santai tidak menghasilkan apa-apa terbitan sebagai tatapan anda semua. Oleh sebab terlalu banyak perkara penting dan tugasan utama yang perlu disiapkan sepanjang bulan tersebut, maka pada hari inilah Mat Santun berpeluang membuat kemunculan yang pertama.


Insyaallah, Mat Santun akan menemani anda dalam Segmen Renungan. Topik terbitan pada hari ini ialah mengenai 3 perkara penting yang perlu diketahui bagi seseorang manusia dalam permulaan hidupnya serta semasa hidupnya hingga kepada kematian. Moga-moga, renungan bersama ini dapat memberikan anda serba sedikit manfaat dan kebaikan di dunia mahu pun akhirat.


3 perkara awal dan 3 perkara akhir


                Sebaik sahaja kita dilahirkan di dunia, kita sudah ditemani dengan 3 perkara di waktu permulaan usia. Antara perkara yang dimaksudkan iaitu pertamanya ialah fitrah. Seorang makhluk Allah yang bergelar manusia tidak boleh lari dari dikurniakan seberkas fitrah. Fitrah ini bererti kejadian semula jadi. Sebagai manusia, kita tidak mampu mengubah fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah. Misalnya, fitrah manusia yang memerlukan makanan dan minuman untuk dijamu, fitrah manusia yang memerlukan pasangan hidup dengan mengadakan perkahwinan  dan banyak lagi.


                Keduanya, manusia ini dianugerahkan seberkas nafsu. Nafsu didefinesikan sebagai keinginan terhadap sesuatu perkara. Nafsu manusia boleh membawa kecelakaan hidup dan juga boleh membawa kepada kebaikan hidup. Segalanya berpaksikan kepada tindak-tanduk serta peribadi manusia itu sendiri dalam mengawal dan memandu nafsunya kea rah mana. Apa-apa pun, adalah lebih baik jika manusia memiliki nafsu daripada tidak bernafsu. Ini kerana, “tidak bernafsu” digambarkan lebih teruk berbanding bernafsu besar.


                Perkara ketiga yang ada dalam hidup manusia sejak awal kelahiran ialah akal pemikiran. Inilah antara anugerah yang besar dikurniakan oleh Allah kepada manusia yakni khalifah di bumi. Nikmat akal tiada diberikan kepada makhluk Allah yang lain baik binatang mahu pun tumbuh-tumbuhan. Dengan penggunaan akal yang baik berlandaskan sumber dari al-quran dan al-sunnah, maka seseorang manusia itu dapat mengenal Allah dan mengagongi kebesaranNya. Lantaran itu, golongan ini akan berusaha mencari keredaan Allah pada masa yang sama hidup memajukan diri, masyarakat dan Negara.


                Itu mengenai 3 perkara awal dalam konteks tajuk ini, apa pula 3 perkara akhir yakni perkara penting semasa hidup manusia sehingga kepada saat kematian?
Pertamanya ialah harta. Setelah menikmati hidup di dunia yang fana ini, seseorang manusia itu akan pergi menghadap Allah. Dengan kata lain, kembali semula kepada Allah namun telah berpindah alam iaitu alam barzakh dan bukannya lagi berada dalam alam roh seperti sebelum kejadian seseorang manusia. Selama manusia itu bekerja mengerjakan urusan dunia, maka manusia itu mengumpul harta yang banyak demi diri dan kaum kerabatnya. Namun, harta ini hanya menemani seseorang manusia hanya setakat berakhir hayatnya. Yakni, hartanya hanya dapat berada di sisinya sebelum kedatangan Malaikat Izrail Alaihis Salam bagi mencabut nyawanya. Apabila itu berlaku, maka hartanya yang dicari bukan menjadi miliknya lagi.


                Perkara yang kedua yang menemani hayat manusia sehingga kepada saat sakaratul maut ialah rakan-taulan serta kaum keluarga. Mereka ini akan menemani si mati dari permulaan manusia meninggal dunia hinggalah diarak ke pusara untuk dikebumikan. Mereka akan menemani si mati dengan pelbagai gaya dan tindak-tanduk. Ada yang meratapi pemergian si mati. Ada yang menginsafi diri di atas kematian si mati. Ada uga yang tidak putus-putus mengaminkan doa untuk kebahagian si mati. Golongan inilah yang menggantikan harta untuk menemani si mati, tetapi hanyalah setakat di rumah bertiang dua sahaja. Jadi, apa pula yang dapat menemani si mati sehingga ke akhirnya?


                Maka, perkara ketiga inilah  yang dapat menemani seseorang yang hidup sehingga ke saat akhir kebangkitannya setelah mati. Perkara yang dapat membahagiakan si mati untuk menyertai Rasulullah SAW dan para sahabat di Syurga Allah. Yakni, iman. Iman ini ialah satu benda yang abstrak. Manusia menilainya melalui peribadi serta akhlak seseorang. Walau pun sebahagian besar megetahui akan kewujudannya, namun sebahagian besar itulah yang masih tidak berusaha untuk mencarinya. Walau pun sebilangan besar tahu bagai mana untuk memperolehnya,  namun sebilangan besar itulah yang tidak berusaha untuk beramal dengannya. Pokoknya, iman merupakan perkara terakhir yang dapat membantu si mati dalam menjamin kebahagian hidupnya di akhirat sana. Imanlah peneman hidup si mati buat selama-lamanya. Ingatlah, iman boleh menipis dan boleh juga menebal. Semuanya bergantung kepada pengamalnya sama ada ingin mendekati Allah atau sebaliknya.


                Renunglah, ketika kita dilahirkan, kita dibekalkan oleh Allah dengan 3 perkara yakni fitrah, nafsu dan akal fikiran. Maka, apa pula bekalan terakhir kita di saat kita menghadapi kematian? Harta? Pangkat? Pasangan hidup? Atau Nur iman?


Seindah bahasa, Sesantun bicara, Semurni pekerti

Sabtu, 29 Disember 2012

Ulasan Novel, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

Assalamualaikum dan salam sejahtera watak sebenar ucapkan kepada anda yang setia mengunjungi halaman enciksantai.blogspot. Untuk terbitan kali ini, watak sebenar berhasrat untuk menceritakan sedikit sebanyak mengenai latar belakang sebuah novel yang baru selesai watak sebenar membacanya.


Secara umumnya,  novel ini sememangnya menarik dengan menerapkan beberapa teknik plot yang sesuai di samping terdapat falsafah-falsafah  perniagaan yang berguna dan lebih menarik lagi kerana bahasa yang digunakan amat puitis dan halus. Pendekatan ini menjadikan watak sebenar tidak bosan untuk terus-menerus menghabiskannya. Selain itu, novel ini sesuai dibaca oleh golongan muda seawall umur belasan tahun lagi.


(Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur), demikianlah ghahnya tajuk bagi novel yang dimaksudkan dengan mengandungi 365 mukasurat”halaman cetakan normal”. (Keris Mas), demikianlah pula nama bagi penulis yang telah mengilhamkan novel ini dan hasil karyanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2003 untuk dijadikan novel kajian untuk pelajar-pelajar tingkatan 6.


Seperti yang watak sebenar katakan tadi, novel ini sememangnya menarik dengan membawakan para pembaca kembali ke zaman awal kemerdekaan. Ringkasnya, karya ini vengisahkan tentang dunia perniagaan dan perusahaan orang Melayu yang masih belum membangun ketika itu. Encik Muhammaad sebagai watak utama, merupakan ahli korporat bangsa Melayu yang telah Berjaya dan maju ketika itu. Beliau berhasrat untuk mentranformasikan kampung halamannya iaitu Kampung Pulai di Wilayah Tualang menjadi sebuah medan perlombongan bijih timah. Kata Encik Muhammad, kegiatan ekonomi sebegitu perlu dilakukan dan diambil kesempatan oleh bangsa Melayu sendiri dalam menyaingi ekonomi bangsa-bangsa lain.


Dalam menjalankan kegiatan melombong kampung sendiri itu, maka tidak hairanlah pelbagai cabaran serta rintangan datang bertubi-tubi menyekat perusahaan itu khususnya oleh penduduk kampung sendiri. Sebelum itu berlaku, Encik Muhammad telah bekerjasama dengan Yang Berhormat Encik Mohd Yusof iaitu wakil rakyat kawasan pilihan raya di situ. Kata Yang Berhormat itu, penduduk Kampung Pulai perlu dibantu dari segi ekonominya kerana perkampungan itu seolah-olah gersang dan tandus tidak menghasilkan sesuatu yang lumayan. Kata Yang Berhormat itu lagi,sebuah rancangan Felda telah diperuntukan oleh penduduk kampong tersebut bagi memulakan penghidupan baru.


Dengan kolaberasi tenaga tokoh-tokoh  tersebut, maka kedua-dua misi mereka boleh dicapai.  Bagi ahli korporat itu, kegiatan perlombongan itu perlu dijalankan untuk mengembangkan sayap perniagaannya agar kekal kukuh di persada ekonomi. Bagi wakil rakyat itu pula, kebajikan rakyat perlu dijalankan bagi mendapat sokongan dan pengaruh dalam mengekalkan kedudukannya di parlimen dalam tempoh 5 tahun lagi.


Justeru, bermulalah rancangan licik cara korporat diperkenalkan dalam menyekat bantahan penduduk kampung dengan memenagi hati mereka terlebih dahulu. Satu per satu tipu muslihat berbaur bantuan telah diberikan kepada penduduk kampung untuk menutup rancangan sebenar perusahaan perlombongan itu.


Apa-apapun, kesudahan (Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur” ini amat menarik. Rahim, anak kepada Encik Muhammad yang berkelulusan Sarjana Pengurusan Dagang dari London telah datang menentang sendiri ayahnya. Kata Rahim terhadap ayahnya,
“Kebaikannya  hanya untuk kepentingan dirinya. Kebaikan seorang individulis yang tulen.”
“demikianlah bunyinya”


Bagi pendapat watak sebenar, kegiatan ekonomi seperti perlombongan itu memang baik. Namun, adalah lebih baik sekiranya kegiatan ekonomi yang dijalankan itu mendapat keredaan Allah. Kegiatan ekonomi sememangnya penting untuk maju dan membangun, namun adalah lebih penting sekiranya kemajuan itu disertai dengan keredaan Allah. Bukankah rezeki itu dari Tuhan?

5 Persedian Back To School

Kembali menemui Mat Santai lagi di sini semestinya dalam Halaman Santun-Santai. Terbitan seterusnya ini, Mat Santai akan menyenaraikan 5 persiapan yang perlu dilakukan oleh para pelajar untuk kembali ke sekolah. Tentunya melalui Segmen 5 tak boleh bla yang terakhir dalam tahun 2012 ini.

Oleh sebab segmen ini ialah 5 tak boleh bla, maka struktur penggunaan ayatnya tidak mengikut tatabahasa yang betul. Dengan kata lain, ayatnya pun tak boleh bla juga.


Tirai 2012 hampir perlu dilabuhkan dan umat dunia hari ini sudah berkira-kira untuk menantikan tirai 2013 yang akan dibuka tidak lama lagi. Bagi pelajar sekolah, menjelang 2013, maka tirai persekolahan juga akan bermula. Oleh itu, pelbagai persiapan yang perlu dilakukan untuk mereka back to school.


Ada yang kata, 2013 ini membawa malang kerana cuti persekolahan serta-merta ditamatkan. Ada yang kata, 2013 membawa kebaikan kepada mereka yang ingin menunjukkan bakat terpendam beraksi lebih baik dalam pentas musim persekolahan sehingga November tahun depan. Apa-apa pun sebelum itu berlaku, persiapan itu lebih penting. Dan di antara persiapannya termasuklah:


5. Jadual harian.
Yang ni bbukan buat jadual, tapi kena tukar jadual. Pagi-pagi, tak leh la nak bangun lambat lagi. So, kena buat training dalam minggu ni. Itu pun kalau ada yang tak boleh automatic tukar jadual sendiri. Kalau tak, orang study peta Malaysia, dia buat peta Malaysia. Orang ghairah tunggu lepas ni nak belajar apa, dia berangan ghairah nak tengok tv cerita apa. Entahlah, tak puas tengok tv waktu cuti dulu.


4. Mental dan fizikal.
Mesti kena jaga badan dan otak betul-betul sebelum nak mulakan sekolah. Akal tak sihat,  tak kan nak fikir guna hidung. Badan tak sihat, tak kan nak hantar roh belajar kat kelas.
So, jangan buat susah. Pergi merempit sana sini. Kaki patah, baru ingat dunia. Member masuk sekolah, dia masuk hospital.
Yang main facebook  sampai tak tidur2 tu, kena stop buat persedian ready ke sekolah. Nanti otak jem. First day kat kelas jadi ble. Silap-silap cikgu suruh bukak buku, dia bukak muka buku.


3. keperluan sekolah
Macam-macam benda la. Budak tadika pun tahu. Cuma nak ingatkan, pakaian sekolah yang boleh guna lagi tu jangan buang. Boleh guna lagi untuk next year. Beli baru pun boleh, tapi jangan sampai membazir. Alat tulis tu janganlah ghairah nak guna awal-awal. Silap-silap, belum sekolah dah habis. Bagi semua pelajar, semua benda nak baru. Tapi, terpengaruh dengan member tu biarlah berpada-pada.


2. Wang.
Bunyinya ringkas. Tapi, penggunaannya banyak. Ramai yang tak tahu, selain bayar yuran, beli buku atau beli pakaian, ada satu lagi pembayaran secara tak langsung. Biasanya, pihak sekolah punya kerja.
Awal Januari memang kena kikis duit. Ye la, bayar  yuran persatuan la, yuran rumah sukan la, yuran kelas la macam-macam. Lagi banyak yuran lagi pokai. Tu belum masuk buku-buku tambahan. Ye la, kadang-kadang cikgu tu macam-macam gaya, mintak buku spesis ni la nak buku colour ni la. Apa boleh buat, pelanggan lah kena hormat.


1.    Semangat
Yang ni payah nak sediakan. Pelajar kena seru semangat belajar datang. Tak ada semangat, macam mana kaki nak langkah ke sekolah. Satu kaedah yang agak baik juga, habiskan apa yang kita nak waktu cuti sekolah yang lalu setakat yang mampu. Kemudian, dengan harapan bersedia untuk ke sekolah. Maka, kita tak akan ada hajat lain lagi menjelang tirai sekolah sesi baru.


Apa-apapun, masa merangkak menghampiri anda. Selamat kembali ke sekolah masing-masing ikhlas dari Mat Santai.
Sekian


Nak santai, bukan sekadar lepak tepi pantai