WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Isnin, 19 Mei 2014

Bagaimana Bolasepak Beri Motivasi



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kembali lagi bersama watak sebenar di laman blog ini.
Macam biasalah, tak sah kalau watak sebenar tak membicarakan soal cerita-cerita bola sepak dalam laman ini.


Watak sebenar tertarik untuk menulis artikal ini adalah kerana reaksi daripada 2 3 orang yang watak sebenar kenali membuat ulasan terhadap satu kenyataan watak sebenar di twitter dan facebook mengenai bolasepak Liga Barclays.
Mereka meluahkan pandangan mereka terhadap watak sebenar berkenaan dengan bolasepak seolah-olah seperti mengatakan ada apa dengan bolasepak?


Watak sebenar telah mengikuti perkembangan Liga Barclays musim 2013-2014 hampir setiap ketika. Hanya pada 2 perlawanan terakhir saingan liga, watak sebenar terpaksa meninggalkannya kerana ingin bertolak ke Arab Saudi menunaikan umrah dan ziarah pada 4 Mei yang lalu. Watak sebenar tidak ada masalah dengan perkara tersebut kerana ibadat lagi utama bagi seorang muslim dan lebih baik melupakan buat seketika urusan dan hal duniawi sewaktu melaksanakan ibadah tersebut.


Watak sebenar amat meminati kelab Liverpool dalam saingan liga Barclays tersebut. Segalanya bermula pada tahun 2007 sewaktu watak sebenar di awal alam persekolahan menengah. Di awal musim 2013-2014 yang lalu pula, prestasi Liverpool amat memberangsangkan. Namun di pertengahan liga, kelab ini sedikit menurun aksi terbaiknya. Meskipun begitu, hamper di akhir-akhir saingan liga, Liverpool tiba-tiba menunjukkan taringnya dalam menerkam takhta liga tatkala perebutan dengan 2 kelab atasan Mancity dan Chelsea. Sewaktu itu, watak sebenar sudah menjangkakan skuad Liverpool akan menghadiahkan kejuaraan kepada kapten Gerrard dan menamatkan penantian selama 24 tahun. Namun, segalanya seakan sukar apabila Liverpool kecundang di tangan Chelsea pada perlawanan mingguan yang ke 36. Situasi tersebut cukup membuatkan Mancity dan fan-fannya tersenyum lebar. Namun, perjuangan Liverpool masih lagi menyinar dengan berbaki 2 perlawanan yang belum diharungi dengan syarat mesti menang 2 perlawanan itu dan memiliki jumlah jaringan gol yang banyak. Di saat-saat dramatic itu watak sebenar rela hati melupakan buat seketika cerita lagha dunia dan bersemangat untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah. Di tanah Arab selama lebih kurang 11 hari, watak sebenar tidak mengikuti apa-apa berita langsung mengenai bolasepak Liga Barclays tersebut, malahan berita semasa di Malaysia pun watak sebenar tidak dapat mengetahuinya. Media-media yang berbahasa Arab sukar untuk difahami. Tambahan pula, perkara itu bukan menjadi kepentingan watak sebenar sewaktu berada di sana.

Sebaik sahaja watak sebenar kembali ke tanah air Malaysiaku, barulah watak sebenar mendapat ekses berita bolasepak Liga Barclays. Pada masa itu, saingan liga sudah pun tamat dan Liverpool berada di tangga kedua dengan 84 mata, ketinggalan 2 mata di belakang pendahulu Mancity. Amat mengejutkan watak sebenar terhadap berita bola yang sudah lapok ituadalah Liverpool seri 3-3 dengan Cristal Palace. Menurut adik watak sebenar serta vedio rakaman perlawanan tersebut, Liverpool sudah mendahulu dengan 3 gol dan dikatakan 10 minit terakhir bertukar menjadi 3 sama. Watak sebenar benar-benar terkejut dengan cerita itu kerana musim inilah yang dianggap peluang paling terbaik untuk Liverpool menjadi juara liga selepas gagal selama 24 tahun. Namun, apa boleh buat, di akhir saingan pun macam-macam boleh berlaku. You’ll Never Walk Alone pun jadi You’ll Never win Alone. Walaupun kelab ini memperoleh 3 mata menentang Newcastle United pada perlawanan mingguan terakhir, namun Mancity terlebih dahulu mengishtiharkan skuadnya sebagai juara liga.
 “Mancity bernasib baik boleh menjadi juara disebabkan kekalahan Liverpool di tangan Chelsea.”


Di sini watak sebenar ingin jelaskan bahawa bolasepak pun boleh jadi touching kepada seseorang. Mungkin jiwa orang yang sebati dengan kelab bolasepak pilihannya serta fan-fannya yang faham akan penyataan ini.
Ada apa dengan bolasepak?
Macam-macam ada sekiranya anda tahu dan pandai untuk menghayatinya serta mengaplikasikan kekalahan atau kemenangan sesuatu perlawanan itu ke dalam kehidupan anda. Insan yang berjiwa spesies ini akan menjadikan pengajaran buat kehidupannya berdasarkan apa yang terjadi kepada kelab bolasepak pilihan mereka semasa bertarung. Mereka akan kaitkan dengan kehidupan reality apa kesannya kurang kerjasama sehingga bola bolos, apa kesannya kurang persefahaman sehingga setiap perancangan tidak menjadi, apa kesannya sekiranya seorang melakukan kesalahan sehingga memberikan gol kepada pihak lawan. Macam-macam lagilah jikalau anda pandai untuk menghayatinya dan tahu mengaplikasikan sebab dan akibat itu dalam kehidupan.


Seperti watak sebenar di alam persekolahan dahulu, bolasepak Liga Barclays ini khususnya melalui peranan kelab Liverpool berupaya memotivasikan hidup watak sebenar semasa tinggal di asrama. Yang ini banyak terjadi sewaktu watak sebenar belajar di tingkatan 6 sepanjang 2 tahun yang lalu.
Setiap kali watak sebenar layan perlawanan Liverpool pada malam hari dan kelab itu menang, watak sebenar akan berasa gembira dan bersemangat untuk bangun esok paginya meniba ilmu di kelas pada pagi persekolahan itu. Sepanjang hari itu juga akan jadi lebih ceria. Sekiranya tewas pula, watak sebenar masih mendapat aspirasi untuk maju ke hadapan dalam kehidupan sebagai pelajar kerana “You’ll Never Walk Alone”, banyak kata-kata ini kedengaran pada fan-fan Liverpool yang lain memberikan semangat dan harapan kepada kelab kesukaan untuk maju ke depan, bukan sahaja di Malaysia malahan seluruh dunia. Yang uniknya, semangat tersebut kesan daripada kemenangan kelab terputik pada diri dengan sendirinya dan ditentukan Allah tanpa sokongan manusia lain. Semangat kemenangan inilah yang watak sebenar aplikasikan untuk turut juga bersemangat dalam melakar kejayaan dalam pelajaran.
Untuk itu watak sebenar simpulkan bahawa perjuangan kita untuk Berjaya bukan dilakukan hanya berkeseorangan sebaliknya banyak jiwa-jiwa di belakang sana yang turut berjalan bersama kita untuk menyokong perjalanan hidup, kalau tiada siapa-siapa pun, Allah SWT masih ada Maha pengasih Maha penyayang yang akan membantu kita baik di awal perjuangan di tengah mahu pun di saat akhir perjuangan.


Mungkin cara untuk mendapatkan motivasi jenis ini tidak ada dalam syariat Islam. Dalam Islam, sebagai muslim salah satu caranya dalam konteks ini ialah berdoa. Berdoa untuk memperoleh semangat untuk maju ke depan. Berdoa itu memang sudah pasti cara bagi muslim memperoleh motivasi hidup. Tetapi tidak menjadi kesalahan bagi pandangan watak sebenar untuk membina motivasi diri dengan cara sebegini asalkan ianya tidak terlalu lagha dalam mengikuti hiburan bola sepak tersebut. Pendek kata, lebih baik bersederhana sahaja.


Apa yang watak sebenar ingin luahkan di sini, hormatilah sesuatu yang menjadi kesukaan orang lain. Mungkin ianya berfaedah kepada orang itu tetapi ianya belum berfaedah kepada kita. Buatlah apa sahaja selagi tidak melanggar syarak Islam, itu bagi seorang yang bergelar muslim. Hiburan pun perlu, namun biarlah berpada-pada.


(Sekadar pandangan dan pemikiran yang tidak sempurna)

Jumaat, 16 Mei 2014

Selamat Hari Guru 2014



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda yang masih mengikuti laman enciksantai.blogspot


16 Mei, itulah tarikh keramat saban tahun bagi mereka yang digelar seorang pendidik. Insan yang digelar guru ini akan diraikan dalam sebuah majlis bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak-anak bangsa. Tarikh ini juga merupakan hari bermakna bagi seseorang anak murid untuk meluahkan isi hatinya terhadap guru-guru yang dicintai dengan pelbagai cara.


(guru pencetus kreativiti, penjana inovasi), itulah tema sambutan perayaan hari guru yang ke 43 pada tahun ini. Cabaran para guru abad ini menjadi semakin sukar kerana mereka bukan sahaja diberi tanggungjawab untuk mencurahkan ilmu kepada para pelajar, malahan turut diberi tugas bagi membentuk sasiah diri para pelajar supaya menjadi orang berguna seimbang pada akademik serta rohaninya. Apatah lagi dalam menyusuri arus dunia yang bersifat globalisasi ini. Maka itulah wajarnya seorang guru diberikan penganugerahan khususnya dalam sambutan hari guru saban tahun.


Kesempatan ini juga watak sebenar ingin mengucapkan selamat hari guru kepada guru-guru di Malaysia. Selamat hari guru juga ditujukan khas kepada cikgu-cikgu watak sebenar di SKTI, SKPK Alma, SMPK Setapak dan SMK Tunku Abd Malik kerana mengajar dan mendidik diri ini sehingga Berjaya menamatkan alam persekolahan dengan baik. Terima kasih cikgu. Doakan diri ini untuk Berjaya dengan baik untuk mmenamatkan alam pendidikan di institute pengajian tinggi pula.

Rabu, 30 April 2014

Liga Barclays Hampir Kemuncak



Assalamualaikum dan berjumpa lagi. Untuk terbitan kali ini, watak sebenar ingin membicarakan berkenaan perjalanan Liga Barclays musim 2013-2014 yang sudah hamper kemuncaknya.


Ramai peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris sudah semakin ghairah untuk menantikan kelab yang mana akan bergelar juara liga pada musim ini. Maklumlah, saingan liga hanya berbaki 2 perlawanan sahaja bagi rata-rata kelab bola sepak yang berjuang. Selepas mengharungi 36 perlawanan, Liga Barclays memperlihatkan bahawa kelab LiverpoolFC  masih menjadi pendahulu dengan mengutip 80 mata, diikuti oleh kelab ChelseaFC dengan 78 mata dan kelab Mancity dengan 77 mata tetapi masih berbaki 3 perlawanan yang belum dilalui.


Liga Barclays pada musim ini juga memperlihatkan penyandang juara 19 kali, Manchester United gagal untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim hadapan. Hal ini adalah kerana kelab itu menunjukkan prestasi semasa hanya di tangga ke7 liga. Dengan berbaki 3 perlawanan untuk United, dirasakan amat sukar untuk mengatasi Arsenal yang kini berada di tangga ke4 liga di mana kedudukan itu melayakkan mana-mana kelab beraksi di UCL.


Di bawah liga pula, Cardiff City dan Fulham masih mencari-cari rentak prestasi terbaik untuk keluar daripada zon penyingkiran. Walau apa-apa pun, tumpuan lebih diberikan kepada 3 kelab teratas yang begitu hebat menunjukkan kekuatan masing-masing bagi merebut kejuaraan liga. Bagi Liverpool, 2 perlawanan yang masih berbaki ialah berhadapan dengan Cristal Palace dan Newcastle United. Chelsea pula perlu berdepan dengan Norwich City dan selepas itu adalah Cardiff City. Sementara Manchester City bakal menentang everton, Aston Villa dan Hull City.


Apa yang uniknya, sekiranya Liverpool dan Manchester City Berjaya memenangi setiap perlawanan mereka selepas ini, maka penentuan juara akan dikira berdasarkan jumlah jaringan dan jumlah bolos daripada kedua-dua kelab tersebut. Bagi watak sebenar, Mancity akan berhadapan dengan laluan sukar selepas ini apabila akan bertemu Everton di laman lawan. Chelsea pula masih memiliki perlawanan di luar liga iaitu di kejohanan Liga Juara-juara Eropah UCL. Namun apa yang pasti, macam-macam perkara boleh terjadi di Liga Barclays. Lihatlah sendiri, selepas Chelsea Berjaya mengalahkan Liverpool dengan jaringan 0 – 2 di Anfield, peluang Mancity untuk bergelar juara menjadi cerah semula. Kini tiba pula giliran Liverpool untuk mengharapkan rakan setempat, Everton untuk mampu menumbangkan Mancity. Sepastinya, saingan di puncak   liga menjadi semakin sengit. Ditambah pula dengan perang minda oleh pengurus-pengurus yang melakukannya serta perang mulut di media social oleh peminat-peminat, perjalanan di akhir-akhir liga menjadi cukup-cukup kontroversi. Apa pun, saksikan saingan liga yang masih berbaki ini sehingga ke penghujungnya. Mungkin sehingga perlawanan yang terakhir,  barulah kita dapat mengetahui kelab mana menjadi juara. Huh, betul-betul dramatic.

Sekitar Hari Anugerah Kecemerlangan 2014

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Sekitar majlis Hari Anugerah Kecemerlangan 2014 yang diadakan di sekolah pagi semalam, majlis berlangsung dengan begitu lancar tanpa adanya masalah cuaca dan hal-hal lain. Majlis bermula lebih kurang pukul 8.30 pagi. Watak sebenar tiba di sekolah pada jam 8.00 pagi setelah bertolak dari rumah di Sungai Petani pukul 7.00 pagi. Majlis ini berlangsung di Dewan Wawasan sekolah tersebut, venue yang sama seperti tahun-tahun yang lepas.


Hari Anungerah Kecemerlangan ini diadakan sebagai menghargai kejayaan para pelajar sekolah tersebut dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Ramai juga peserta yang terlibat sama ada dalam kalangan para pelajar sekolah itu serta pelajar lepasan PMR, SPM dan STPM dari sekolah tersebut.


Bagi watak sebenar, kesempatan majlis ini digunakan untuk bertemu semula dengan rakan-rakan seperjuangan sewaktu di tingkatan 6 dahulu. Kami yang diundang untuk menghadiri majlis ini masing-masing telah meraih kejayaan dalam keputusan STPM baharu dengan memperoleh 3.00 pointer ke atas. Meski pun tidak semua rakan setingkatan yang hadir, namun rakan setingkatan yang hadir sedikit sebanyak telah merakamkan kenangan-kenangan terakhir watak sebenar bersama yang lain di sekolah tersebut. Kalau 2 tahun lalu, kami sama-sama belajar di dalam satu bangunan, sekarang ini pula kami sama-sama mendapat penghargaan di bangunan yang sama juga. Syabas buat kalian, semoga kita diizinkan Allah untuk dapat melangkah ke menara gading pula.


Terima kasih juga diucapkan kepada AJK AJK majlis yang bertungkus-lumus dalam menjayakan hari yang boleh dianggap sebagai balasan kepada usaha pelajar ini. Harapnya, majlis hari anugerah cemerlang pada tahun hadapan juga berkeadaan baik dan berjalan lancar. Terima kasih cikgu-cikgu sekolah atas hadiah yang diberikan. Bagi watak sebenar, mungkin ini ialah anugerah STPM watak sebenar yang terakhir setelah bermulanya di peringkat kebangsaan sebulan setengah yang lalu. Kepada yang kurang berjaya, anda boleh berusaha lagi dan mungkin rezeki anda untuk hadir ke majlis seumpama ini adalah pada tahun hadapan. InsyaAllah.

Ahad, 27 April 2014

Menghadiri Temu Duga 2014



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Sudah agak lama watak sebenar tidak menjengah blog ini. Disebabkan kurang kesempatan masa dan sedikit sedikit ketandusan idea, maka enciksantai.blogspot tidak berfungsi awal awal bulan April ini.


Baiklah, pada terbitan kali ini, watak sebenar ingin menceritakan kisah pengalaman watak sebenar menghadiri sesi temu duga bagi mendapatkan biasiswa pembiayaan kos di institute pengajian tinggi kelak. Bermulanya apabila watak sebenar menerima suatu pesanan ringkas sms dari agensi berkenaan mengatakan watak sebenar disenarai pendek untuk tujuan tersebut. Setelah itu, watak sebenar melayari laman web yang diberi dalam pesanan ringkas tersebut lalu mengisi borang pengesahan kehadiran dan penempatan temu duga iaitu di bahagian utara.


Tiba hari sesi temu duga iaitu hari Sabtu 26 April, watak sebenar bersama-sama kakak pergi ke lokasi temu duga yang telah dinyatakan. Lokasi bagi bahagian utara adalah di Sunway Hotel Seberang Jaya Pulau Pinang. Jaraknya tidaklah jauh dari rumah watak sebenar di Sungai Petani. Oleh sebab watak sebenar menyatakan untuk hadir sesi sebelah petang, maka kami tela tiba di destinasi sebelum pukul 2 petang. Watak sebenar terus sahaja ke tingkat 1 tempat diadakan sesi temu duga tersebut. Selepas mendaftar nama dan dimaklumkan bahawa sesi temu duga itu dimulakan pukul 3.00 petang, watak sebenar mengambil kesempatan waktu itu untuk menunaikan solat zohor terlebih dahulu.


Memang ramai peserta temu duga yang hadir mewakili bahagian utara semenanjung Malaysia. Peserta pesertanya meliputi mereka yang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak utara. Peserta peserta juga terdiri daripada pelajar pelajar lepasan SPM dan STPM. Watak sebenar masuk semula ke dewan peserta menghabiskan masa yang berbaki. Tidak berapa lama watak sebenar membosankan diri, ada seorang peserta menghampiri watak sebenar menyapa lalu memberi salam. Dia mengatakan yang dia mengenali watak sebenar dan pernah pun berjumpa sebelum ini. Tetapi watak sebenar tidak mengenali dia dan percaya yang dia bukannya rakan sekolah watak sebenar belajar di tingkatan 6 dahulu. Setelah berkenalan, barulah watak sebenar tahu. Pelajar itu memang pernah watak sebenar jumpa sebelum ini. 2 minggu yang lepas, kami sama-sama menghadiri majlis kecemerlangan STPM 2013 di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. Rupa-rupanya rakan baru watak sebenar itu belajar di salah sebuah sekolah menengah di Pendang, kira satu negeri la kita.


Tepat jam 3.00 petang, taklimat oleh staff agensi yang bakal memberikan biasiswa itu dimulakan. Sesi taklimat diadakan dalam Bahasa Inggeris. Fikir watak sebenar, sudah tentu temu duganya juga diadakan dalam Bahasa Inggeris. Menurut taklimat itu, peserta perlu melalui dua sesi. Pertama ialah ujian betulis dan keduanya ialah sesi temu duga. Agak baik bagi watak sebenar kerana tidak perlu melalui ujian bertulis itu sebelaiknya terus melalui peringkat seterusnya. watak sebenar mendapat tahu yang ujian bertulis itu lebih bersifat uji minda. Soalannya lebih berkaitan akademik. Malahan, ada soalan matematik ala ala tingkatan 3 yang melibatkan pengiraan dan gambar rajah. Turut juga watak sebenar mencuri dengar ada soalan Bahasa Inggeris yang menyentuh keupayaan tatabahasa Inggeris. Satu yang menarik bagi watak sebenar tentang pemberi biasiswa ini ialah kos perjalanan para peserta boleh diklimkan. Agak payah juga nak cari mana mana pemberi biasiswa seperti ini. Turut juga diberikan ialah hidangan makan petang di ruang hotel yang disediakan.


Bagi watak sebenar, sesi temu duga yang watak sebenar lalui tidak berapa banyak masalah. Semuanya boleh dikatakan lancar. Mungkin yang membezakan di antara peserta sewaktu temu duga ialah peragaan dan kelengkapan dokumen dokumen yang dibawa. Mungkin ramai jugak yang tidak tahu, peragaan dokumen yang perlu dibawa itu ada prosedurnya. Mungkin juga apa yang membezakan di antara peserta sewaktu temu duga ialah pengalaman yang mereka miliki. Setelah selesai semuanya, watak sebenar pulang dengan seberkas harapan. InsyaAllah, usaha membuahkan hasil.


Kepada peserta peserta yang lain, diharapkan anda juga mendapat apa yang anda kehendaki daripada sesi temu duga itu. Terima kasih juga kerana sudi berkenalan dengan diri ini. Moga moga kita mendapat apa yang terbaik. Kepada agensi yang bakal memberikan biasiswa ini,  terima kasih kerana memberikan peluang kepada watak sebenar untuk melangkah sebelah kaki ke dunia pihak tuan puan. Agensi yang dimaksudkan ialah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputra   iaitu salah sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri. Moga moga jasa pihak tuan puan untuk membantu bakal bakal mahasiswa dan mahasiswi dibalas dengan kebaikan daripada Tuhan. InsyaAllah.