WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Jumaat, 7 Disember 2012

Saja Teringat

Salam bahagia dari watak sebenar. Harap hendaknya kalian berada dalam keadaan sihat. Hari ini bukan ada apa-apa terbitan istimewa, saja-saja nak kongsikan kepada anda mengenai tarikh hari ini yang dianggap agak bersejarah dalam kamus hidup ini. 7 Desember 2011 dahulu jatuh pada hari Rabu dan pada tahun ini pula tarikh itu berada pada hari Jumaat.


Yang pasti, bermula tarikh ini pada tahun lepas, maka bermulalah suatu kenangan panjang selama 5 tahun lamanya. 7 Desember 2011 ini jugalah yang telah membuka gerbang baru bagi penghidupan watak sebenar untuk terus berada di Negeri Halaman sendiri hingga setakat ini. Kini, tarikh itu sudah genap setahun.


Ceritanya tidaklah menarik sangat. Tapi, buat watak sebenar bermulanya tarikh itu maka terciptalah kenangan terindah pelbagai rasa terhadap sekolah watak sebenar kat KL sana. Di suatu penghujung pagi itu di mana keadaannya hening dan mendamaikan, kereta bapa telah tiba di perkarangan sekolah untuk menjemput diri ini untuk pulang ke kampung halaman buat selama-lamanya tanpa kembali menjenguk kisah suka duka di situ lagi. Sewaktu itu, watak sebenar sedang berbual-bual dengan rakan-rakan yang senasib menerima pengalaman yang sama sambil mendengar radio yang bersiaran dari Singapura.


Kami telah menamatkan musim peperiksaan SPM di sekolah itu pada lewat petang hari Selasa. Sewaktu itu, kertas Ekonomi Asaslah yang menjadi penamatnya. Memang ada yang telah memulakan perjalanan pulang ke rumah pada petang hari itu juga. Namun, kebanyakan rakan-rakan masih belum mahu pulang untuk menghabiskan sisa-sisa persahabatan sebagai rakan setingkatan di situ. Antara yang masih bersama-sama untuk tinggal di asrama termasuklah diri ini.


Kenangan yang tidak boleh dilupakan  apabila menikmati jamuan akhir hari pada malam hari Selasa bersama-sama rakan selaku penjawab soalan SPM di sekolah itu yang pada ketika itu tidak terdiri daripada mana-mana pelajar pun melainkan pelajar tingkatan 5. Kemesraan bersama-sama mereka dihabiskan pada malam itu sehingga keesokannya.


Pada esok paginya pula bila mana matahari hamper mendaki puncak tertinggi di langit, maka tibalah waktu dan giliran watak sebenar untuk pulang ke rumah dan meninggalkan sekolah itu pula. Ketika itu, terdapat sebahagian kecil rakan-rakan yang belum pulang ke kampung halaman masing-masing. Dan ketika itu, Kereta bapa meluncur laju membelah Lebuh Raya Utara Selatan membelakangi bangunan-bangunan besar di Kuala Lumpur seperti KLCC dan KL Tower yang syup-sayup kelihatan. Jauh di celah-celah hutan batu itu, terselit Sekolah Menengah watak sebenar yang berada di Setapak itu. Jauh di sudut hati watak sebenar pula, terselit pelbagai rasa bercampur baur, sedih, pilu, gembira dan lega.


Tahun ini, kepada pelajar pelajar SPM yang ada sesetengahnya sudah pun menamatkan peperiksaan dan sesetengahnya lagi masih berjuang, pengalaman seperti ini pastinya akan menemani jiwa dan perasaan anda. Dan ketika itu, anda juga pasti mengucapkan “selamat tinggal” kepada sekolah anda. Gunakanlah waktu terluang pada masa yang panjang sementara menunggu keputusan SPM dengan melakukan aktiviti berfaedah. Paling penting perlulah mengambil lessen kereta atau motorsikal. Seterusnya, mempelajari dan menguasai Bahasa Inggeris dan tidak kurang penting juga ialah mempelajari dan menguasai kemahiran dalam bidang ICT. Watak sebenar percaya, 3 elemen ini sangat-sangat diperlukan untuk calon IPT apabila sudah memasuki menara gading kelak.

Tiada ulasan:

Catat Komen