WELCOME TO MY PAGE
HAI,yang memakai topi askar ini ialah mat santai. Sekali pandang, macam kawan spongebob. Tapi, tinggi langit dari bumi tau. HAI, yang tampak seperti waiter ini ialah mat santun. Memanglah korang tengok semacam pekerja Encik Krab, tapi aku ialah waiter halaman ini.

Khamis, 6 Disember 2012

Sepasang Kasut dan Sarung Kaki

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bertemu lagi bersama watak sebenar di sini dalam laman enciksantai.blogspot. Diharapkan anda berada dalam keadaan sihat-sihat hendaknya. Tajuk terbitan watak sebenar kali ini agak simbolik namun pengisiannya diharapkan menarik untuk dibaca.


“Sepasang kasut dan sarung kaki”, dua asesori pakaian ini selalu kita gunakan dalam kehidupan seharian, baik digunakan untuk berriadah mahupun digunakan untuk ke pejabat. Tidak kira peringkat usia tua atau muda, barangan ini cukup penting apabila kita hendak memulakan sesuatu aktiviti di luar rumah. Setiap barangan yang dicipta itu memang ada kegunaannya. Bagi sepasang kasut, banyak yang boleh dimanfaatkan oleh si penyarung setelah memakainya.

Kasut sukan berguna kepada si pemakainya untuk mengelakkan kecederaan di kaki sewaktu bersukan, kasut kegunaan ke pejabat penting bagi penyarungnya menjaga  penampilan serta mengikut protocol berpakaian sewaktu berkhidmat, kasut kegunaan untuk perkahwinan pula menjadikan si penyarung kelihatan cantik dan bergaya bersama pasangan dan kasut sekolah digunakan oleh murid-murid sewaktu menuntut ilmu di sekolah.

Walau warna apa sekali pun kasut kita, biru, coklat, hitam atau putih, ianya telah menjadi satu keperluan dalam kehidupan di zaman ini.
Kita menjadi bimbang sekiranya tidak ada kasut yang sesuai dipakai apabila ingin menghadiri sesuatu majlis. Situasi ini menunjukkan bahawa kita amat-amat bergantung nasib kepada kehadiran sepasang kasut dalam kamus hidup kita. Hal ini sekaligus menjadikan diri kita untuk berterima kasih kepada barangan itu. Disebabkan itulah tidak dinafikan ada yang sanggup berbelanja besar hanya untuk sepasang kasut. Sementara yang lainnya mengambil masa yang panjang untuk memikirkan fesyen dan jenama kasut yang mana menjadi pilihan. Semua itu adalah semata-mata untuk meningkatkan keyakinan diri apabila bersama dengan khalayak di waktu majlis.


Yang menjadi persoalannya, mengapa ungkapan “terima kasih” yang diucapkan pada sepasang kasut tidak atau jarang-jarang didengarkan kepada sarung kaki? Apa tidak bergunakah si kembar kasut ini?
Apabila kita mendapat bantuan daripada sebuah unit atau kumpulan, jangankan kita memandang hasil kerja sebahagian pihak sahaja. Dalam kes yang sama, kita membelakangi hasil kerja daripada sebahagian pihak lagi. Sedang hakikatnya, kesemuanya telah memberikan komitmen yang tinggi dengan kemahiran yang ada pada diri masing-masing. Bukan diminta untuk dihargai, tetapi sekadar mendapat sebuah pengiktirafan yang bersifat adil dan saksama.

Dalam situasi yang digambarkan oleh sepasang kasut dan sarung kaki, Mengapa wujud perbezaan darjat antara kedua mereka? Bukankah kedua-duanya kembar dan saling berfungsi kepada si pemakainya? Atau anggapan kita kasut itu lebih dominun?

Tidak dinafikan, kegunaan sepasang kasut bersifat pelbagai dan bagi sarung kaki hanyalah bertujuan untuk menjaga kulit kaki supaya tidak melecet. Meskipun begitu, secara tidak langsung jasanya kepada si penyarung cukup untuk mendapat keselesaan pada tapak kaki. Bahkan juga sewaktu berjalan di luar rumah yang semestinya perlu melalui pelbagai permukaan jalan.

Oleh demikian tidak hairanlah ada sesetengah daripada kita tidak menghargai kewujudan sepasang sarung kaki. Dengan keadaan demikian, mereka beranggapan kembar kasut itu tiada gunanya selain menjadi kemestian serta hanya mengikut cara berpakaian kebanyakan orang.
“Tanpa stoking, kita masih boleh berjalan malahan boleh melakukan aktiviti sukan.”. Demikianlah rata-rata pandangan orang.
Benar, tanpa sarung kaki, kita masih boleh memulakan perjalanan asalkan adanya sepasang kasut. Tanpa kasut pula, mustahil untuk kita masih memakai sepasang sarung kaki.

Tambahan mereka lagi, sarung kaki selalu perlu dicuci kerana perwatakannya yang mudah menerima kotoran selain selalu basah dan tidak boleh lari dari bau yang busuk. Mengapa mesti dihina orang berjasa sedemikian rupa? dek kerana bau kaki sendiri? Bukankah itu perbuatan sendiri?


Di zaman moden ini, banyaknya masyarakat kita yang menjadi kasut dan tidak kurangnya juga yang menjadi sarung kaki. Dalam kes melaksanakan projek-projek pembangunan, maka pegawai peraancangan menjadi watak kasut yang berfungsi secara langsung manakala buruh binaan pula menjadi watak sarung kaki yang berfungsi secara tidak langsung. Hal ini kerana jika tiada perancang pembangunan  masakan ada buruhnya. Setelah projek itu telah disiapkan, sudah pasti komuniti yang menggunakannya akan memuji jasa si kasut yang hitam berkilat itu dan membelakangi jasa si sarung kaki yang berbau nafasnya itu. Ini berlaku disebabkan perancang pembangunan memiliki banyak kepentingan dan buruh binaan memiliki kepentingan yang satu iaitu menjalankan kerja-kerja binaan. Walhal kedua-duanya memiliki hasil kerja. Sudah menjadi lumrah kepada kita bahawa pihak secara tak langsung sering ditenggelamkan jasa dan pengorbanannya oleh mereka yang lebih bersifat dominun. Ditambah pula dengan perbezaan darjat, memang golongan seperti sarung kaki iaitu pekerja di balik tabir sukar bertapak di hati khalayak ramai.

Sepatutnya, tidak kisahlah mereka di pihak yang mana, kedua-duanya perlu dihargai dan diberi sebuah pengiktirafan yang adil dan saksama. Kedua-duanya juga masih bekerja dalam satu unit dan kumpulan. Sekiranya ia berlaku kepada perancang pembangunan dan buruh binaan, tidak akan mustahil ianya berlaku juga kepada murid dan kejayaan sekolah, pembantu sukan dan kejayaan atlet, bintang filem dan staff pembikinan filem, nelayan dan pegawai pemasaran atau yang lainnya.


(Sekadar pandangan dan pemikiran yang tidak sempurna)

Tiada ulasan:

Catat Komen