Assalamualaikum dan salam sejahtera Mat
Santun ucapkan kepada anda semua. Bertemu lagi bersama-sama Mat Santun di sini
dalam segmen yang lain pula iaitu Segmen Karya Oh Karya.
Petang Jumaat semalam, Mat Santun ada
berkunjung ke Pantai Merdeka, sebuah pantai yang disebut-sebut ghah dalam
sebuah lagu kumpulan Tropika, Cinta Pantai Merdeka. Biarpun persiaran itu bukan
untuk melepaskan keriangan ingin bermandi-manda kerana sudah dicemari reba-reba
dek perbuatan manusia. Persiaran itu hanya melepaskan niat untuk menjamu salah
satu menu popular di situ yang mendapat sambutan baik oleh pengunjung iaitu mee
udang Pulau Sayak. Mat Santun kemudian berehat di tepian pantai yang sudah
tidak bermaya membawa pelbagai aneka sampah. Anginnya masih bertiup segar, namun
ombaknya lemah membadai. Ekspresi ini Mat Santun persembahkan dalam sebuah
syair di bawah. Bacalah…
Tajuk: Merdekakan Pantai Merdeka
Bismillah diberi pembuka kata,
Hajat bersyair harap dipinta,
Alam Sekitar tema dicipta,
Moga menjadi pedoman kita.
Pantai Merdeka cantik dan indah,
Pasirnya putih ombak menyembah,
Tetapi kini sudah berubah,
Laut yang
biru tinggal sejarah.
Senja menjelang ombak membisu,
Derunya tidak secergas dulu,
Angin bertiup seakan lesu,
Sampah dan pantai menjadi satu.
Ada pun kapal ghairah membawa,
Ke Tanjung Dawai sekalian jiwa,
Pemandu kapal yang sambil lewa,
Membuang sisa minyak kapalnya.
Pengunjung yang datang gembira berada,
Di Pantai Merdeka tenangkan minda,
Hajat di hati nak mandi-manda,
Melihat kotornya jadi tak reda.
Sedih dan pilu engkau binasa,
Angkara manusia engkau disiksa,
Mari
semua nusa dan bangsa,
Peliharalah alam milik yang Esa.
Demikianlah ekspresi keadaan Pantai Merdeka
pada masa ini. Diharapkan pihak berkuasa seperti kerajaan tempatan mengambil
tindakan keras bersifat perundangan kepada pesalah laku sama ada dari kalangan pengunjung mahu pun
penjaja yang tidak memelihara alam sekitar di situ. Sekian sahaja daripada Mat
Santun, lain masa berjumpa lagi.
Seindah bahasa,Sesantun bicara, Semurni
pekerti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan